Memikirkan aduan-aduan mahasiswa di UM tentang isu sesat-menyesat yang melanda kini menyebabkan saya mengurut dahi dua tiga kali. Masih berlaku fenomena sebegini, ia berkembang di surau-surau kolej kediaman dengan masing-masing pelajar yang muda remaja ini saling tuduh-menuduh mereka yang paling benar dan patut diikuti dan yang lain salah sehingga ke tahap sesat. Ada yang mencaci ulama’ dan mempertikaikan karya-karya berharga yang dikarang dan diguna-rujuk oleh umat Islam sejak ratusan tahun lampau. Bahkan ada pula yang menegaskan tidak akan melakukan sebarang kerja selagi akidahnya belum benar-benar utuh, tanpa dia benar-benar arif sampai tahap mana keutuhan dan indikator ilmu yang perlu dicapai itu. Jika persoalan kalam yang dia bangkitkan maka saya perlu katakan sampai mati pun hal khilaf ini tidak akan dapat diselesaikan. Ia sudah diperdebatkan ratusan tahun yang lampau dengan ribuan kitab dan ia terus disambung hingga kini dengan pandangan-pandangan yang baru pula. Mengupas persoalan ini ibarat menjadikan air laut sebagai dakwat. Ia tidak akan selesai selagi sikap dan disiplin manusia itu tidak dikawal. Saya cadangkan baca kupasan Ust Zaharuddin berkenaan ilmu sekerat-sekerat. Kupasannya sangat baik dan menyedarkan.
Saya amat bersetuju dengan pandangan Dr Majid Irsan Kaylani dalam kitab beliau Hakaza zahara Jayl Solahuddin bahawa antara penyebab mundurnya umat Islam disebabkan fanatisme mazhab yang seterusnya menimbulkan pertikaian antara mazhab. Permasalahan ini pernah berlaku sejak pertengahan kedua abad kelima hijrah lagi. Para ulama’ dan pelajar yang mengikuti akademi-akademi pemikiran seperti yang dipelopori Sufyan al-Tsauri, Abu Hanifah, Syafie, Ahmad bin Hanbal dan sebagainya ditukar oleh sesetengah pihak menjadi mazhab mutlak yang menyerupai parti politik. Menyeret ajaran murni yang diajar para Imam ke dalam pertikaian yang banyak membuang tenaga dan masa, memperlihatkan diri siapa yang lebih hebat. Ini menjarakkan lagi kesepaduan masyarakat, konsep ukhuwwah diketepikan dan permusuhan dijadikan keutamaan. Kenapa ini berlaku? Kerana masing-masing mengaku kelompoknyalah yang paling benar. Kesannya penulisan buku-buku hanya bersekitar pengulangan pemikiran para pemuka mazhab yang terdahulu, menjawab kembali hujah yang dilontarkan pihak lawan dan langsung tidak menyentuh pelbagai permasalahan umat.
Dalam kitab Tarikh Ulama’I Baghdad, Ibnu Asakir meriwayatkan dari guru beliau Abu Muhammad Qasim berkenaan perpecahan yang pernah berlaku di Baghdad:
“Sekelompok orang dari kalangan rakyat jelata, pekerja kasar dan penganggur yang mengaku sebagai pengikut mazhab Hanbali di kota Baghdad melakukan bermacam bidaah yang sangat tercela dan perbuatan yang sangat memalukan, suatu hal yang tidak pernah diperkenankan oleh seorang ateis sekalipun, apalagi seorang ahli tauhid. Mereka sangat keterlaluan mencaci maki para imam terdahulu, mengumpat orang-orang soleh dan pembela agama. Mereka mencaci maki di tempat-tempat umum, masjid, perkumpulan, pasar dan jalan-jalan.
Ia benar-benar berlaku lagi kini, kita menghabiskan masa berdebat dan penontonnya orang awam yang tidak faham pun apa yang diperdebatkan. Gelanggangnya adalah masjid dan surau iaitu rumah Allah yang sepatutnya menjadi tempat perpaduan. Buku menghuraikan hukum menggerakkan jari telunjuk turut dikarang bagi menegaskan prinsip yang dipegang. Saya melihat satu usaha positif apabila masing-masing ingin mengikuti setiap aspek yang dilaksanakan oleh Rasulullah. Isu-isu yang berlaku kini antaranya kerana semua tegar mengaku bahawa merekalah yang paling dekat dan betul dalam meneladani apa yang dibuat baginda SAW. Cara tahiyyat, baca basmallah, berdoa dan sehingga menggerakkan jari telunjuk sewaktu tahiyyat. Alhamdulillah, nasib baik semuanya menggunakan jari telunjuk, jika ada yang guna ibu jari atau jari kelingking mungkin lebih haru jadinya. Namun negatifnya apa yang kita teladani itu hanya separuh-separuh. Terhad kepada bentuk peribadatan baginda, tanpa kita mengambil berat sunnah baginda yang lain termasuklah akhlak, adab bahkan strategi dakwah dan politik yang baginda laksanakan.
Ini bukan bermaksud kebenaran tidak boleh ditegakkan tetapi pemahaman kaedah mengurus perbezaan pandangan itulah yang lebih perlu diutamakan. Dalam keadaan umat Islam yang lemah dalam segenap segi dan sering kali juga masih menyalahkan orang luar (Yahudi, Freemason, Kristian, Amerika, Black Metal dsb) kita dihadapkan lagi dengan perpecahan sebegini. Umat Islam yang lemah mustahil dapat mengalahkan setiap bahaya dari luar jika mereka belum mengubati kelemahan sendiri terlebih dahulu. Hal ini bukan sahaja melalaikan kita dari ancaman pengaruh luar tapi tambah mencederakan lagi diri sendiri, menyebabkan kita semakin lemah. Lebih lemah dari sebelumnya.