“Kalau kita nak kejar orang, kita perlu lari lebih laju dari orang di depan kita, barulah kita akan berjaya.”
Tun Dr. Mahathir Mohamad
Seorang pemimpin berkarisma, tokoh pemikir yang ulung dan pejuang bangsa yang kental. Itu yang dapat saya rumuskan dalam perbincangan hampir dua jam kami pimpinan PMIUM bersama Tun Dr Mahathir di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya. Dan kenyataan ini tidak dapat disangkal oleh mana-mana pihak samada dari pihak kawan atau lawan beliau. Harapan beliau dalam saki baki kehidupannya adalah bagi memastikan generasi masa hadapan mengakui bahawa perang adalah satu jenayah dan menolak sebarang penyelesaian dengan cara keganasan. Oleh hal yang demikian dari harapan inilah maka diasaskan sebuah yayasan yang memperjuangkan keamanan dunia dan menolak keganasan.
Tun Dr. Mahathir Mohamad
Seorang pemimpin berkarisma, tokoh pemikir yang ulung dan pejuang bangsa yang kental. Itu yang dapat saya rumuskan dalam perbincangan hampir dua jam kami pimpinan PMIUM bersama Tun Dr Mahathir di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya. Dan kenyataan ini tidak dapat disangkal oleh mana-mana pihak samada dari pihak kawan atau lawan beliau. Harapan beliau dalam saki baki kehidupannya adalah bagi memastikan generasi masa hadapan mengakui bahawa perang adalah satu jenayah dan menolak sebarang penyelesaian dengan cara keganasan. Oleh hal yang demikian dari harapan inilah maka diasaskan sebuah yayasan yang memperjuangkan keamanan dunia dan menolak keganasan.
Sepertimana dalam ucapan-ucapan beliau, Tun banyak mengupas berkaitan agenda Melayu, situasi politik tanah air dan keadaan pentadbiran kini. Beliau berulang-kali meluahkan rasa tidak puas hati dengan sikap dan kedudukan bangsa Melayu kini walaupun selepas 50 tahun merdeka. “Kalau kita tak berusaha, negeri ini akan hilang dari tangan kita”. Itu keluhan yang beliau luahkan pada kami, satu rasa putus asa beliau tentang nasib orang Melayu di bumi sendiri. Bahkan Tun mengatakan bahawa beliau cuba mengubah mentaliti dan pemikiran orang Melayu semasa memimpin negara, namun usahanya selama 23 tahun gagal dan belum tercapai. Isu Wilayah Pembangunan Iskandar dijadikan satu contoh fokus utama perbincangan. Beliau amat tidak bersetuju dengan projek pembangunan mega yang dilaksanakan. Ibarat kita bakal menyerahkan sebahagian Malaysia kepada Singapura sepertimana yang berlaku semasa Lee Kuan Yew mengambil Singapura. Beliau tidak bersetuju jika kita umpamakan Hong Kong dan Shenzen sama seperti WPI kerana kedua-dua kota metropolitan tersebut sememangnya berada di bawah kerajaan China walaupun mempunyai kuasa autonomi tersendiri. Ini berlainan dengan WPI yang mana tanah, udara dan lautnya berada dalam peta tanah air kita. Oleh sebab itulah beliau bimbang fasiliti yang dibangunkan bukan akan diduduki oleh bangsa Melayu tetapi oleh masyarakat lain dan kita hanya mendapat nama atas kemajuan yang dicapai. Itu adalah pandangannya dan kami menghormati pandangan beliau selaku bekas pemimpin negara dan berpengalaman luas puluhan tahun dalam arena politik antarabangsa dan tanah air. Mungkin pandangan ini berbeza pula dengan pandangan pihak kerajaan dan ahli ekonomi yang lain. Masing-masing melihat dari sudut yang berbeza dan dari mana kapasiti kerusi yang diduduki.
Satu nasihat berguna yang perlu dipegang oleh generasi muda ialah kata-katanya yang meminta supaya orang Melayu mengambil alih kedudukan sama ada dalam ekonomi mahupun pendidikan melalui kecekapan kita sendiri. Beliau tidak menolak kepentingan keberadaan masyarakat Cina di Malaysia bahkan beliau pasti bahawa Malaysia tidak akan sampai ke tahap ini tanpa usaha bangsa Cina. Akan tetapi apa yang dikesalkan dan semua terpaksa mengakui bahawa bangsa kita kini semakin lemah, tidak mampu bersaing dengan bangsa lain bak dedaun kering yang ditiup angin ke mana sahaja. Bahkan apabila ditanya mengenai Wawasan 2020 satu gagasan ideanya semasa menjadi Perdana Menteri, beliau tegas mengatakan usaha Malaysia untuk menjadi negara maju tidak akan tercapai jika dilihat kepada situasi hari ini. Itu adalah satu pandangan yang diberikan oleh orang yang menggagaskan wawasan tersebut, dan pandangan ini kita tidak boleh ketepikan bahkan perlu diteliti, diperhalusi dan dikaji secara mendalam dan saksama. Jika itulah kenyataan yang dikeluarkan sendiri oleh bekas Perdana Menteri maka kita seharusnya melihat perkara ini dengan lebih serius dan rasional. Bukan atas dasar kepentingan politik dan diri tetapi atas dasar masa depan agama dan bangsa.
Apa yang boleh saya simpulkan dalam pertemuan kami ini ialah nasib orang Melayu Islam di bumi sendiri perlu terus diperjuangkan. Minda tajam Tun masih diperlukan dalam kita membangun dan memajukan negara. Idea-idea beliau perlu dilihat secara luas agar ia mampu memberikan sumbangan dalam melahirkan bangsa Melayu yang maju. Hasrat beliau adalah supaya generasi muda khususnya mahasiswa terus berusaha dan kembali meletakkan bangsa Melayu Islam di atas. Kenyataan ini bukan dikeluarkan oleh mulut seorang awam tetapi oleh seorang negarawan yang pernah memimpin Malaysia. Dan saya juga bimbang ramalan dan jangkaan yang diberikan oleh beliau akan benar-benar berlaku jika orang Melayu Islam terus tidur lena dibuai kesenangan palsu. Oleh hal yang demikian bersempena dengan sambutan 50 tahun kemerdekaan ini kita perlu meneliti kembali adakah kita benar-benar bebas dan merdeka menurut definisi dan takrif Islam itu sendiri? Apakah yang menyebabkan kita gagal untuk bersaing di bumi sendiri? Adakah kita selesa dengan kedudukan dan situasi sekarang? Dan adakah kita melupakan sesuatu yang lebih penting sehingga menyebabkan kita tidak mampu menjadi umat terbaik seperti mana yang telah dijelaskan oleh Allah SWT dalam al-Quran? Persoalan-persoalan ini akan saya tinggalkan dan jawapannya terletak di bahu semua untuk menjawabnya.