Suasana ibu kota Yaman, Sana’a menggambarkan seribu satu kelainan. Kotanya walaupun masih mundur untuk dibandingkan dengan ibu kota negara Arab yang lain, namun senibina bangunannya sangat unik dan indah. Mungkin masyarakat di sana masih mewarisi keagungan ketamadunan kerajaan Saba’ ribuan tahun yang lampau. Batu-bata diukir dan dipahat sendiri. Batu tersebut juga mempunyai pelbagai warna yang menghasilkan ciri seni bina yang indah. Itulah kelebihan masyarakat di sana, mepunyai kemahiran membina bangunan walau di tempat yang sempit sekalipun dan tanpa menggunakan teknologi yang canggih dan maju. Di sebabkan itu juga empangan Saba’ itu pernah menjadi mercu tanda kemajuan masyarakat di Yaman.
Kedudukan Sana’a terletak di atas bukit. Ibu kota tersebut dikelilingi bukit yang tinggi. Ibarat ia terletak di tengah kawah gunung berapi. Gambarannya seperti di qal’ah Salahuddin di Aleppo, Syria. Tetapi qal’ah tersebut terletak di atas tetapi Sana’a ke dalam. Mungkin gambaran dari atas boleh lebih menggambarkan. Ketinggiannya pula dikatakan dua kali ketinggian Genting Highland. Atas sebab itulah masih terasa suasana sejuk di sini walaupun di musim panas. Masyarakat di sana tidak menggunakan pendingin hawa kerana sejuknya masih terasa. Malahan hotel di sana pun tidak menggunakan kemudahan tersebut. Seorang pelajar di sana pernah mencabar saya mencari bangunan yang menggunakan aircond dan saya gagal untuk mencari bangunan sebegitu.
Kerajaan di sini dipimpin oleh pemerintah yang berpegang kepada ideologi sosialis. Namun perlembagaan mereka dirujuk kepada al-Quran dan al-Hadith. Undung-undang hudud juga tetap diamalkan. Oleh sebab itu pembangkang yang kuat di sana diterajui oleh Parti Islah, sebuah gerakan Islam yang dipmpin oleh ulama’ terkenal Sheikh Abdul Majid al-Zindani. Maksud Islah tersebut adalah untuk mereka memperbaharui apa yang ada dan memperbaiki apa yang masih lompang. Presidennya Abdullah Salleh telah menerajui kerajaan sejak puluhan tahun. Beliau masih berkuasa kerana sistem pilihanraya yang korup. Penggunaan dakwat ketika mengundi diamalkan di sini. Cuba bayangkan kerajaan yang menggunakan dakwat ini pun masih menipu dalam keadaan pembangunan yang mundur apatah lagi Malaysia yang lebih maju dan membangun.
Suasana sekarang dikatakan semakin terjaga. Baru empat bulan yang lepas kerajaan mewartakan pengharaman pembawaan senjata di tempat awam. Jika dahulu kalashnikov boleh didapati di mana-mana. Boleh sahaja mereka menganjurkan pertandingan menembak tidak formal di tengah-tengah bandar. Namun semangat jihad masyarakat di sini sangat tinggi. Kedutaan Amerika pernah dibom ketika isu penghinaan Rasulullah satu ketika dahulu. Bahkan mereka pernah memaksa kerajaan menghantar mereka berjihad di Palestin, Beberapa warga Yaman juga sekarang ini ditahan di Teluk Guantanamo kerana dituduh pengganas. Salah seorangnya adalah pemandu Osama Laden yang kini dibicarakan di mahkamah Amerika Syarikat. Perbicaraan ketenteraan pertama di negara tersebut selepas perang dunia kedua. Pada 18 Julai yang lepas diadakan multaqa ulama’-ulama’ Yaman yang pertama dan julung-julung kali dianjurkan. Ia berkenaan penubuhan badan pencegah maksiat bagi mengawal gejala sosial yang semakin membahanakan di Yaman sekarang. Ribuan yang hadir dan ia mendapat liputan media yang luar biasa. Terlihat suasana tanggungjawab dari riak muka mereka yang hadir. Badan tersebut akhirnya berjaya ditubuhkan dengan dipimpin oleh para ulama’ terkemuka dan sokongan padu rakyat Yaman. Tidak menghairankanlah masyarakat di sana lebih mendengar kata-kata ulama’ dari kata-kata pemimpin kerajaan.
Selain itu, biah di Yaman masih terjaga dan terpelihara. Memang tidak kedapatan langsung wanita tempatan yang tidak menutup aurat. Pemakaian mereka sangat terjaga. Hendak mencari wanita yang tidak memakai niqab agak sukar. Jika dahulu hendak mencari wanita yang keluar ke ibu kota juga sangat sukar. Namun kini perubahan sedikit demi sedikit berlaku. Semakin ramai wanita telah berani keluar tetapi masih ditemani muhrim masing-masing. Allah masih dan semoga akan tetap merahmati bumi Yaman ini. Tidak seperti di tempat yang lain masyarakat di sini tidak gemar gambar mereka di ambil. Pernah sahaja seorang lelaki pernah megacukan pistol kepada pelajar Malaysia kerana dikatakan mengambil gambar adik perempuannya. Walhal ia diambil secaa kebetulan, lalu kamera tersebut dihancurkan. Pernah juga ketika saya melawati Bab al-Yaman kota ribuan tahun itu saya mengambil gambar pemandangan binaannya. Dan tiba-tiba seorang nenek yang umurnya 60-an menutup mukanya kerana disangkanya saya mengambil gambar beliau. Sampai begitu sekali mereka menjaga kehormatan dan maruah. Tidak seperti di Malaysia, yang lebih suka segala tubuh badan mereka ditayangkan kepada orang ramai. Betapa rosaknya tanah air kita sekarang ini.
Kecuali ratusan siaran televisyen yang ditarik melalui parabola, cyber café dan kedai CD, tiada apa yang mencemarkan biah di sini. Masyarakat di sini sangat menghormati wanita. Tiada kedapatan papan tanda menayangkan wanita, tiadanya kedai arak dan kelab malam. Beberapa minggu lepas sebuah kedai makanan milik warga China ditutup kerana menjual arak kepada warga tempatan. Remaja-remaja itu dikatakan mabuk dan melepaskan tembakan membuta-tuli. Dengan desakan masyarakat, kedai tersebut ditutup.
Begitulah serba sedikit yang boleh digambarkan perihal Sana’a, ibu kota yang menjadi nadi kepada warga Yaman. Masyarakat di sana perlu lebih berusaha bagi memaju dan membangunkan ekonomi dan taraf hidup mereka. Kekuatan ekonomi dan kepandaian teknologi sangat penting dalam era milenia sekarang. Namun semangat jihad dan pegangan Islam itu tidak boleh terhakis seiring dengan pengejaran kepada keduniaan. Dasar sekularisme sebegini perlu dihapuskan dalam pemikiran setiap Muslim. Apa yang perlu diingati ialah sesiapa yang inginkan dunia maka ia memerlukan kepada ilmu dan sesiapa yang memerlukan akhirat ia juga memerlukan ilmu, dan sesiapa yang memerlukan kedua-duanya maka ia juga memerlukan ilmu. Ilmu sahaja yang mampu memajukan masyarakat itu di dunia mahupun di akhirat.