Menurut Josef Van Ess dalam penulisannya berkenaan dialog antara Islam dan Barat cuba merumuskan apa yang berlaku di dunia Islam kini adalah rentetan perubahan Barat yang menukar strategi daripada mengeksport agama kepada hak asasi. Barat juga turut mengeksport apa yang dinamakan sebagai etika, demokrasi, politik dan lain-lain secara agresif seterusnya menjadikannya berbentuk universal. Pandangan yang disampaikan oleh beliau cuba disejajarkan dengan kolonialisme yang dilakukan Barat selama ratusan tahun dan apa yang berlaku pasca-kolonial ini. Kesan atau pengaruh hasil kolonialisasi di negara-negara membangun adalah sangat besar. Dalam jangka masa tersebut juga, negara-negara bekas jajahan cuba bangun kembali dan berusaha bersaing dengan negara yang lebih maju. Negara Islam yang berpecah selepas jatuhnya Empayar Khilafah Uthmaniyyah turut sama mengorak langkah ke hadapan namun sebahagiannya hanya terikut-ikut dengan apa yang dibawa bekas penjajah tanpa membentuk acuan sendiri.
Saya melihat arus pembangunan yang digerakkan oleh negara-negara Islam termasuk Malaysia yang dikatakan ingin maju mengikut acuan sendiri hanya dibezakan dari sudut kebudayaan setempat semata-mata. Ditambah lagi dengan kegagalan membangunkan insan tetapi lebih memfokuskan kepada pembangunan ‘bangunan’, fasiliti, pelaburan serta kemudahan kewangan untuk diisi oleh insan dari luar. Teori Ibnu Khaldun berkenaan masyarakat yang dijajah dan kesannya menepati apa yang berlaku kini. Penafian kepada pembinaan intelektual ini melahirkan apa yang digelar oleh Syed Hussein Alatas dalam bukunya Intelektual Masyarakat Membangun sebagai orang bebal. Menurutnya bebalis merupakan seorang authoritarian, tidak reflektif dan tidak berasaskan eksperimen atau kajian. Mereka mengharapkan orang lain percaya pada apa yang dikemukakannya tanpa memberi alasan atau penjelasan apabila merujuk pada pokok permasalahan yang berada di luar jangkauan penerimaan biasa. Mereka tidak mempunyai kecintaan terhadap hujah yang tertib dan rasional dan jika berperilaku rasional sekalipun ia lebih sekadar paksaan. Bahkan tidak mempunyai kemampuan menilai masalah secara kontekstual, mendalam serta berterusan. Dan apa yang merunsingkan sebahagian besar golongan ini duduk dalam sektor politik masa kini yang berperanan menghala-tujukan negara dan masa depan. Akhirnya orang bebal akan melahirkan generasi-generasi bebal seperti mereka berdasarkan dasar dan polisi bebal yang dirangka.
Ramai graduan atau lebih khusus lagi para profesor yang tidak menumpukan perhatian untuk mengembangkan bidang mereka atau mengusahakan penemuan terhadap masalah tertentu dalam bidang masing-masing. Oleh itu intelektual tidak hanya boleh dinilai kepada segulung ijazah semata-mata. Apa yang dimaksudkan sebagai intelektual? Menurut Malek Bennabi, intelektualisme dalam pengertian sebenarnya bererti thaqafah walaupun timbul paradoks penggunaannya dengan realiti masyarakat Islam pada zaman kini. Thaqafah biasanya diterjemahkan sebagai budaya dalam bahasa Melayu dan culture dalam bahasa Inggeris. Culture sebagai idea moden Eropah mempunyai maksud berbeza dengan pemikiran Islam sesuai dengan asas dan gerakan intelektual di Eropah dan sememangnya tidak boleh disamakan dengan Islam yang mempunyai gerakannya yang tersendiri. Oleh itu budaya menurut pemahaman Islam perlu dibezakan dengan kebudayaan menurut pandangan Marxisme dan Amerika. Syed Husin memberi klasifikasi jelas seorang intelektual yang mempunyai ciri-ciri seperti: direkrut dari segala kelas sekalipun dalam proporsi berbeza, ditemui dalam kalangan pendukung atau penentang pelbagai gerakan kebudayaan atau politik, sebahagian besarnya menjadi penulis, wartawan dan sebagainya, sampai batas tertentu mereka agak menjauhkan diri dari masyarakat dan bergaul dalam kelompok sendiri, tidak hanya tertarik terhadap pengetahuan teknikal dan mekanikal semata-mata, melihat hal dalam perspektif yang luas dalam bentuk hubungan saling menyaling dan menyeluruh serta akhir sekali merupakan bahagian kecil dari masyarakatnya.
Oleh itu perlu difahami bahawa nilai intelek dan idea yang ada sebenarnya membentuk pemikiran individu. Dan pendirian individu serta sosial merupakan refleksi gaya hidup masyarakat Islam. Dan ditegaskan di sini bahawa antara ciri penting kebudayaan ialah gaya hidup. Gaya hidup yang diamalkan menggambarkan sejauh-mana nilai intelektualisme yang dicapai serta dihayati. (Bagaimana di Malaysia?) Justeru nilai kesedaran amat wajar bahkan wajib untuk digerakkan kepada seluruh masyarakat kini. Kesedaran inteletual diperoleh melalui lingkaran kehidupan dan lingkaran kesedaran rohani. Disebabkan itu seperti yang dijelaskan sebelum ini intelektual dan kebudayaan dalam Islam membawa perspektif berbeza kerana ia berhubung erat dengan kerohanian itu sendiri yang meletakkan Tuhan sebagai asas epistemologi.
Realiti masyarakat Islam sekarang memerlukan perspektif berbeza dalam persoalan kebudayaan kerana walaupun ia mempunyai konsep yang asas tetapi memiliki aspek yang pelbagai. Proses intelektual lahir dari individu dan masyarakat yang memaparkan konsep dinamik dan statik. Dan jika dilihat situasinya di Malaysia kini serta di beberapa negara Islam, aspek pembinaan intelektual dan meletakkan mereka di kedudukan yang sepatutnya tidak dihiraukan bahkan ia terus statik tanpa ada kemajuan. Jika ketidaksedaran ini terus dibiarkan maka negara-negara Islam hanya terus menyediakan fasiliti dan kemudahan inteletualisme untuk intelektual dari Barat. Saya mengesyorkan bagi sesiapa yang berminat berhubung permasalahan ini untuk membaca buku Syed Husin Alatas berkenaan intelektual dalam masyarakat membangun, beberapa karangan Malek Bennabi yang mengupas kebudayaan dan intelektualisme dan Edward Said dalam karya agungnya Orientalism.