Sudah banyak penulisan tentang Facebook. Selagi ia masih menjadi tarikan paling utama di internet selagi itu ia akan diulas-hurai, dan selagi itu perkembangannya akan turut sama mempengaruhi segenap kehidupan umat manusia. Pengguna Facebook kini mencecah 400 juta di seluruh dunia dengan penggunanya menghabiskan 10 bilion minit setiap hari dengan: mencari dan berinteraksi dengan kawan, menulis sesuatu di ‘wall’, mengklik gambar-gambar dan merendamkan sebahagian masa dalam dunia sosial mereka. Puratanya 55 minit dihabiskan oleh seorang pengguna setiap hari, 30 juta meng'update' statusnya setiap hari, 3 bilion foto di'upload', 5 bilion 'post' dikongsi dan 5.3 bilion 'fan' dicipta.
Ia menjadi medium penjalin hubungan dan pembentuk budaya sosial baru, namun ia juga melahirkan penagih-penagih bentuk baru. Kebanyakannya di kalangan belia dan pelajar. Banyak kajian mendedahkan ia mengganggu kerja dan pelajaran pekerja dan pelajar.
Facebook bukan sahaja mengalih perhatian, memfana’kan diri dalam laman sosial sendiri tetapi juga mampu mengelirukan identiti diri sendiri. Ia memandu reaksi spontan, menentukan pengawalan diri pengguna untuk terus meng’klik’ laman sosial tersebut sebaik sahaja ‘online’ dan terus lena dalam dunia tersebut sehingga berjam-jam. Dan sekiranya ia diabaikan maka si pengguna akan gelisah, tidak senang duduk dan jika di luar liputan dia akan asyik memikirkan apa yang perlu dilakukan sebaik membuka akaun masing-masing nanti.