Twitter Updates

    follow me on Twitter

    Wednesday, March 31, 2010

    1Malaysia yang kontroversi dan sistem kasta


    Konsep 1Malaysia yang diperkenalkan DS Najib merupakan satu konsep yang diperkenalkan dengan tujuan menggagaskan kembali perpaduan penduduk Malaysia pada masa kini. Lebih kurang begitulah kefahaman saya selaku penduduk di negara yang mengamalkan konsep integrasi ini. Namun ia tidak mudah seperti yang disangka, kerana pertikaian terhadap gagasan ini terus berlaku. Ada yang mengatakannya hanya sebagai slogan sedangkan inti langsung tidak ada, bahkan yang paling kontroversi apabila DS Anwar mengaitkan konsep ini dengan 1Israel melalui khidmat nasihat syarikat bernama APCO. Persoalan ini boleh dikaitkan dengan pelbagai perspektif cuma apa yang ingin dibawa hanyalah difokuskan kepada persoalan sosial. Jika dilihat dalam peradaban kuno, strata sosial memainkan aspek penting kepada perkembangannya. Identiti sesuatu peradaban secara asasnya dikenali melalui bangsa yang membangunkannya. Namun apabila Islam membina peradaban ia membawa konsep tersendiri apabila agama iaitu Islam itu sendiri menjadi tunjang kepada peradaban tersebut. Lantas sifat kebangsaan dan kepuakan yang mewarnai penduduk dari padang pasir di tanah arab hingga utara India diatasi dengan agama Islam itu sendiri. Apabila idea kepuakan ini mendominasi pemikiran, maka peradaban Islam mengalami perpecahan. Ini yang berlaku di akhir pemerintahan khilafah Uthmaniyyah apabila idea nasionalisme yang diperkenalkan awal abad ke-18 dan menjadi kenyataan di abad ke-19 menguasai sebahagian besar pemimpin menyebabkan khilafah yang sudah sedia lemah dengan faktor yang lain bertambah tenat dan akhirnya musnah. Golongan Turki Muda yang menguasai Istana Uthmaniyyah mendendangkan Turki untuk orang Turki, pihak pemberontak di Mekah melaungkan keperluan golongan Arab khususnya suku Quraisy sebagai pemimpin manakala beberapa wilayah yang lain mendesak kemerdekaan untuk menjadi negara-bangsa yang terpisah dari Khilafah. Akhirnya khilafah lebur, Turki menjadi sebuah republik, lahirnya negara-negara Arab yang berpecah manakala Syarif Husin yang bersepakat dengan British ditipu oleh penjajah tersebut dan memberikan Arab Saudi kepada keluarga Saud.

    Di Malaysia dasar afirmatif menjadi tunjang kepada pelbagai sistem di Malaysia, dari sistem ekonomi sehinggalah kepada sistem pendidikan. Asas penubuhannya dilihat baik namun penyalahgunaan kepada dasar ini menyebabkan berlakunya keburukan yang tiada taranya. Pembahagian kek ekonomi yang sepatutnya dinikmati oleh majoriti bumiputera hanya dirasai oleh sebilangan pihak, mewujudkan jurang kaya-miskin yang semakin melebar. Proses yang terjadi ini mengingatkan saya tentang sistem kasta di India ketika membaca buku The Ethics of Buddhism karya Shundo Tachibana. Menurut beliau sistem kasta yang terjadi di India pada awalnya diamalkan oleh bangsa Arya yang dianggotai oleh puak-puak kecil yang pelbagai. Setiap puak ini mempunyai pemimpinnya masing-masing. Di awal perkembangannya, setiap orang dinilai sama, sama ada mereka ialah pendeta agama, pahlawan dan orang biasa. Mereka tidak dibeza-bezakan berdasarkan kelahiran dan pekerjaan. Namun masa berlalu melahirkan sistem masyarakat yang lebih rumit. Ini berlaku apabila pekerjaan memerlukan kepakaran yang tertentu dan khusus seterusnya menjadikan hanya keluarga tertentu terlibat dalam satu-satu profesion. Di samping itu, perayaan keagamaan menjadi semakin kompleks menyebabkan hanya yang dididik dan diajar secara khusus sahaja yang mampu mendalami seterusnya memimpin sesuatu perayaan atau ritual. Ini seterusnya menjadikan kelebihan sebagai pengantara antara tuhan-tuhan dan manusia tersebut diteruskan secara turun-temurun kepada waris dari keluarga mereka sendiri. Dari perkembangan ini, lahirnya kasta Brahman yang berperanan dalam keagamaan. Dalam masa yang sama perkembangan masyarakat membuatkan puak yang pelbagai ini cuba untuk menyerap dan memasukkan puak yang lain ke dalam puak mereka. Puak yang berjaya dalam usaha penyerapan ini menjadi Samraj atau penguasa sejagat yang berkuasa melindungi sempadan dan penduduk-penduduk mereka. Usaha perlindungan ini memerlukan tentera-tentera yang terlatih yang akhirnya melahirkan pula kasta Vaisya. Tiga kasta dari bangsa Arya ini dibezakan berdasarkan peringkat dan profesion. Mereka dinamakan dvija (kelahiran kedua) dan gelaran ini didapati selepas melalui upacara tertentu. Bangsa lain yang dijajah dan dikuasai oleh bangsa Arya pula diletakkan dalam kasta paling rendah iaitu Sudra. Mereka diberi nama yang khusus iaitu sekali lahir kerana tidak akan dapat bermula seperti kasta yang lain. Kerana itu juga mereka dikutuk secara sosial dan agama serta kedudukan tersebut pula adalah abadi sifatnya.

    Sistem kasta di era moden kini tidak dicirikan melalui perkauman tetapi dibezakan dengan penyisihan dalam dasar politik dan ekonomi. Ia terevolusi dari konsep yang sama namun kehadirannya tidak dirasai oleh masyarakat yang menghadapinya. 1Malaysia seharusnya bukan lagi dilihat sebagai slogan tapi perlu diperkenalkan dengan tindakan. Ia dimulai antaranya dengan kebebasan demokrasi dan ketelusan pentadbiran. Sekiranya dua aspek ini masih dinafikan maka 1Malaysia hanyalah slogan politik untuk dapatkan undi.

    Sunday, March 14, 2010

    KUASA DESAKAN


    Saya pertama kali membaca berkenaan kuasa DESAKAN melalui buku Dr. HM Tuah Iskandar kira-kira 6 ke 7 tahun lepas. Beliau membincangkan bagaimana desakan mampu untuk menarik manusia yang menempuhinya untuk makin berusaha apabila berhadapan dengan perkara yang mendesak. Dibawa contoh penciptaan kereta Volkwagen oleh tentera Jerman di perang dunia ke-2 sebagai satu hasil dari desakan yang dialami. Tentera Jerman memerlukan sebuah kenderaan yang tahan tanpa air dan lasak. Lantas terciptalah kereta ini. Saya sedar tentang kuasa desakan apabila mengalaminya sendiri. Ketika memegang jawatan dalam organisasi kemahasiswaan di universiti dua tahun yang lepas, yang mana jawatan itu memerlukan komitmen yang paling besar. Semester yang sama juga saya mengambil jumlah kredit terbanyak dengan tugasan yang juga banyak. Pengagihan masa sangat diperlukan dan ini menjadikan kerja yang perlu saya lakukan perlu lebih fokus dan tersusun. Dan tidak disangka saya berjaya memperolehi GPA 4.00 pada semester itu. Terima kasih kepada desakan yang mendesak diri.

    Kuasa desakan juga menghasilkan kekreatifan dan semangat kepada diri. Kebiasaannya jika saya ke Indonesia saya lebih suka menikmati pemandangan masyarakat kelas bawahannya. Lantas ibukota Jakarta yang sangat macet yang didiami golongan elit tidak terlalu menjadi keutamaan untuk disinggahi. Desakan hidup yang dialami penduduk Indonesia khususnya yang tinggal di bandaraya yang dihuni belasan juta penduduk memberi mereka satu kesedaran dan kekreatifan. Mereka di sana bukan sekadar mencari pekerjaan bahkan mencipta pekerjaan. Sehinggakan polis trafik tidak perlu lagi menjaga jalan raya, semuanya kerana sudah ada sekelompok awam yang menjaga lalu lintas. (dalam masa yang sama tangan menadah sebagai upah kerja yang dibuat). Terdapat beberapa pemain muzik dan penyanyi yang suara dan bakat mereka tidak ubah ibarat kumpulan Peter Pen atau Wali Band. Mereka boleh kaya raya jika membuat album di Malaysia. Tetapi mereka memilih jalan-jalan sebagai tempat mencari rezeki, memperdengarkan kemerduan suara untuk pemandu yang pening dengan kesesakan. Jalan raya ibarat lubuk rezeki bagi mereka. Jika di Malaysia jalan raya hanya sebuah jalan dan tidak lebih dari itu. Kesungguhan juga boleh dilihat di sini. Di tengah kota Bandung terdapat beberapa petak sawah yang ditanam golongan pesawah. Satu yang ‘anti-klimaks’ apabila melihat ketika ribuan orang mundar-mandir berkereta, bermotorsikal dan berjalan melalui jalan raya yang sesat dalam masa yang sama terdapat pula sekelompok petani membanting padi di tengah kesesakan tersebut. Dengan di kekelilingi bangunan-bangunan batu di sekeliling mereka. Bahkan jika berkereta api dari Bandung ke Jakarta akan dilihat keindahan sawah bertingkat yang ditanam oleh mereka. Apabila masuk ke pinggir bandaraya tanah untuk bersawah semakin berkurangan tetapi itu tidak menghalang mereka. Parit tersumbat dengan tanah akan dijadikan tempat untuk menanam padi dan dituai apabila masak! Fenomena sebegini satu kebiasaan di sana. Dengan kesusahan dan kesempitan yang dihadapi lahirnya seniman yang berbakat, ahli politik yang hebat dan segala macam individu yang lain. Semua itu dilihat mendesak tetapi desakanlah yang mendesak mereka untuk berubah.