Tanggal 29 Oktober merupakan satu detik tragis kepada kehidupan rakyat Turki dan umat Islam di seluruh pelusuk dunia. Tarikh itu menandakan berakhirnya pemerintahan Khilafah Uthmaniyyah dengan terisytiharnya Turki sebagai sebuah republik. Detik penting 3 Mac 1924 pula memaparkan peristiwa terlupusnya jawatan khalifah yang telah dilaksanakan dengan jayanya oleh Mustafa Kamal Ataturk. Peristiwa ini menandakan bermulanya satu era baru dalam kehidupan umat Islam Turki secara khususnya dan masyarakat Islam seluruh dunia amnya. Sejak dari detik tersebut juga pelbagai usaha pembaharuan dibuat oleh Mustafa ke arah menjadikan republik tersebut sebuah negara sekular sepenuhnya. Daripada penutupan sekolah-sekolah agama, pengurusan harta wakaf dikawal selia oleh instititusi sekular, penutupan mahkamah syariah, kebebasan wanita sehinggalah kepada kempen-kempen ketenteraan bagi merealisasikan wawasannya.
Usaha beliau diteruskan pula oleh presiden-presiden selepas itu seperti Ismet Inonu, Celal Bayar, Cemal Gursel, Cevdet Sunay sehinggalah ke Ahmet Necdet Sezer yang mula mengambil alih kerusi presiden pada 16 Mei 2000 yang lalu. Sebarang pembaharuan atas nama Islam akan ditentang secara habis-habisan oleh golongan sekular ini. Penentangan-penentangan seperti ini pernah terjadi seperti yang dialami oleh Badi’uzzaman Said Nursi seorang tokoh gerakan Islam Turki yang terkenal dan Parti Milli Salamat pimpinan Prof. Najmuddin Erbakan atas alasan yang sama. Perkara ini terjadi kerana sikap sebahagian pemimpin politik dan rakyat yang terlalu obses dan kagum kepada kemajuan kebendaan Barat. Semua aspek yang dibawa oleh Barat ditiru dan dicontohi secara total termasuk dalam soal pandangan hidup sekalipun. Sekularisasi secara konsisten menjadi dasar dan konsep dalam pemerintahan negara sehingga mengubah posisi masyarakat, institusi-institusi pendidikan, badan-badan berkanun serta entiti-entiti yang lain. Semua ini berubah daripada pandangan yang berkonsepkan agama kepada penumpuan sepenuhnya kepada aspek-aspek duniawi semata-mata. Segala bentuk pemikiran, aliran, ideologi termasuk adat kebiasaan sekalipun dilihat menurut perspektif moden Barat.
Akan tetapi apa yang ingin ditekankan di sini ialah adakah sekularisasi yang dilaksanakan ini membawa kemajuan dan pemodenan kepada Turki? Mereka meniru Barat untuk muncul maju seperti negara-negara Eropah yang lain tetapi pemodenan yang dibuat tidak pula menjadikan Turki sebuah negara yang maju. Pandangan ini dibawa kerana aspek modenisasi dan sekularisasi ini diambil secara menyeluruh oleh Turki dan dipraktikkan secara tetap sehingga kini. Sehingga sekarang Turki masih menunggu kelulusan daripada EU atau Kesatuan Eropah untuk menjadi salah sebuah anggota dalam blok ekonomi dan politik yang dianggotai oleh negara-negara maju di Barat. Sejarah juga jelas memaparkan Turki turut berhadapan dengan pelbagai masalah dan kekacauan politik yang berlaku sama ada dalam konteks tempatan atau hal-hal yang melibatkan persoalan antarabangsa. Mereka pernah berhadapan dengan krisis di Cyprus yang merupakan salah satu masalah yang berpunca sejak ratusan tahun yang lampau. Turki juga turut terpaksa berhadapan dengan siri-siri pemberontakan masyarakat Kurdi bagi menubuhkan sebuah negara Kurdis yang merdeka. Rampasan kuasa juga pernah tercetus beberapa kali yang dilakukan oleh pihak tentera akibat kebimbangan tergugatnya pengaruh sekularisasi dan pemodenan oleh kumpulan pro Islam.
Dari sudut sektor pekerjaan pula kadar pengangguran di Turki mencecah 10.2%. Tahap ekonomi pula menunjukkan populasi penduduk yang berada di bawah paras kemisikinan adalah merangkumi 20% manakala kadar inflasi pula adalah pada paras 9.8%. Beberapa masalah yang dihadapi ini jelas menunjukkan usaha-usaha pemodenan dan sekularisasi ini tidak menjamin kestabilan dan keamanan politik di Turki. Pemodenan ini juga tidak menjamin peningkatan taraf ekonomi Turki. Bahkan mereka masih bergantung kepada pinjaman dan bantuan daripada luar khususnya Amerika Syarikat dan negara-negara Barat yang lain. Setelah lapan puluh empat tahun Turki diisytiharkan sebagai sebuah republik dengan pelbagai pembaharuan yang dibuat, negara tersebut belum mampu muncul sebagai sebuah negara maju yang setanding dengan negara Barat yang lain. Mereka tetap dikelompokkan dalam blok negara-negara membangun, manakala keadaan politik pula terumbang-ambing dengan campur tangan pihak tentera. Peniruan kepada model pembangunan Barat ini bukan membawa mereka ke hadapan tetapi menarik pula mereka ke belakang.
Oleh hal yang demikian masyarakat Turki yang 99.8% adalah Muslim ini perlu kembali melihat kepada ajaran Islam yang murni. Mereka pelu memahami maksud pembangunan dan pembaharuan yang sebenar berdasarkan kaca mata Islam. Pembangunan bukan setakat mendirikan bangunan-bangunan tinggi, membina sistem jalanraya yang teratur dan membuka pelaburan-pelaburan besar. Akan tetapi ia adalah lebih luas daripada itu. Pembangunan yang lebih penting adalah pembangunan jiwa manusia. Pembangunan yang membangun dan memupuk insan yang berakhlak, bermoral, berdaya saing dan berkualiti. Pembangunan yang bukan sahaja berfokus kepada aspek material semata-mata tetapi melihat kepada kepentingan modal insan yang bermutu dan bersyaksiah tinggi. Pemimpin dan masyarakat Islam di Turki perlu memulakan langkah lebih pantas bagi mengeluarkan kehidupan mereka dari kepompong sekular yang melingkungi kehidupan mereka seharian. Syabas diucapkan kepada pengundi-pengundi di bumi Turki kerana memilih parti yang benar-benar berwibawa untuk menggerakkan negara mereka. Hal ini merupakan salah satu titik mula lembaran baru bagi melahirkan negara Turki yang baru. Proses pengembalian kepada ajaran Islam yang hakiki perlu dilaksanakan agar satu bentuk kemajuan yang sebenar dapat dikecapi. Satu perubahan yang berani akan menghasilkan matlamat yang dihajati.
No comments:
Post a Comment