Twitter Updates

    follow me on Twitter

    Wednesday, November 28, 2007

    METODOLOGI AL-QURAN DAN SUNNAH DALAM PERBINCANGAN KENABIAN


    Jika dilihat saban masa berlaku beberapa kecelaruan di kalangan umat Islam berkaitan dengan perkara paling tunjang yang menjadi jati diri mereka sebagai muslim iaitu persoalan akidah. Kedudukan akidah yang merupakan aspek paling asas dalam Islam boleh diumpamakan seperti seorang manusia dengan akalnya. Makhluk yang bergelar manusia ini hanya dibezakan dengan nikmat akal yang boleh berfikir jika dibandingkan dengan makhluk ciptaan Allah yang lain. Kita bergelar manusia yang bertanggungjawab memakmurkan bumi ini dianugerahkan akal sebagai memastikan tanggungjawab besar itu tertunai. Begitu juga seorang manusia tidak akan bergelar muslim selagimana dia tidak menetapkan akidah Islam di dalam hatinya, menzahirkan dengan lisan serta melaksanakan segala tuntutannya. Dan dalam hal ini manusia sentiasa terlencong dari tempat duduk fitrah mereka. Hasil kejahilan yang tidak diatasi, hawa nafsu yang menaungi dan Iblis yang menjadi raja di hati maka lahirlah pelbagai ajaran sesat yang ditempelkan atas nama Islam. Lahir juga mereka yang mengaku sebagai nabi melalui dakwaan palsu yang hanya melihat dan berpegang kepada nas-nas zahir semata-mata serta ajaran guru yang tidak diketahui dari mana ilmunya.

    Faktor ini juga menyebabkan sekian banyak ajaran sesat yang tumbuh di tanah air bercambah walaupun cuba dihapuskan oleh pihak jabatan agama. Lahirlah ajaran-ajaran yang dibawa oleh Ayah Pin, ‘Rasul’ Kahar, Hasan Anak Rimau dan yang terkini ajaran Hassan dari Terengganu. Mereka bukan setakat mengaku sebagai nabi bahkan lebih dari itu dengan cuba untuk menyamakan kedudukan dan kuasa mereka dengan Pencipta. Sila rujuk Harian Metro bertarikh 28 November 2007 bagi mengetahui lebih lanjut berkaitan ajaran sesat Tok Hassan ini. Apa yang penting, masyarakat harus difahamkan bahawa pengetahuan berkaitan akidah perlu dilihat kepada sumber paling utama dan berautoriti iaitu al-Quran dan al-Hadith, bukannya hanya dengan melalui pembacaan buku semata-mata. Sebarang ajaran yang bercanggah atau menyalahi apa yang terkandung di dalam kedua-dua sumber agung ini maka ia secara automatik tertolak dan tidak boleh diletakkan bersama ajaran Islam. Oleh sebab itu sebahagian besar ulama’ meletakkan konsep akidah perlu berpandukan pengetahuan yang dimiliki bukannya hanya dengan bertaklid. al-Quran dan al-Hadith sebagai pedoman kepada manusia mengulas secara panjang lebar berkenaan dengan persoalan akidah melalui pelbagai metod dan kaedah.

    Konsep kenabian merupakan antara asas paling utama yang wajib diimani oleh setiap Muslim. Mereka yang menolak rukun iman ini akan menyebabkan imannya turut terbatal. Penerangan mengenai konsep kenabian yang meliputi tugas, ciri-ciri dan matlamat kenabian serta pengisahan mengenai riwayat para Nabi merupakan faktor psikologi terpenting yang dipaparkan oleh Al-Quran untuk dijadikan senjata di dalam menghadapi penentang-penentangnya yang terdiri dari golongan kuffar dan munafiqin terutama ketika menyampaikan khabar gembira tentang keredhaan Allah dan ancaman bagi orang yang mengingkari Allah. Al-Quran juga menggunakan metod dan kaedah yang jelas melalui perbincangan mengenai kenabian ini di mana dasar-dasar dakwah Islamiyyah dapat lebih difahami oleh umat Islam. Ianya juga meneguhkan hati Nabi dan pengikutnya, serta ketika menjadi dalil yang membuktikan kebenaran kenabian Nabi Muhammad SAW sebagai utusan Allah SWT.

    Nabi Muhammad SAW menyampaikan riwayat yang menakjubkan tentang riwayat para Nabi sebelumnya secara jelas dan terperinci sedangkan baginda seorang buta huruf yang tidak pernah belajar dengan pendeta Yahudi atau Nasrani. Oleh itu perkara ini merupakan bukti nyata bahawa apa yang baginda sampaikan adalah wahyu Ilahi.

    “Kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad) seindah-indah kisah dengan jalan Kami wahyukan kepadamu Al-Quran ini padahal sebenarnya engkau sebelum datangnya wahyu itu adalah dari orang yang tidak pernah menyedari akan halnya.” (Yusuf:12:3)

    Di samping itu disebut ciri-ciri yang terdapat pada Nabi dan Rasul itu serta matlamat pengutusannya sebagai peneguh dan penerang kepada kisah tersebut sekaligus pengajaran dan iktibar dari riwayat tersebut boleh dimanfaatkan. Pada dasarnya juga tujuan utama yang akan dicapai dengan riwayat para nabi beserta tugasan dan matlamat mereka diutuskan itu adalah sebagai penjelasan bahawa agama-agama yang ada yang diutus kepada setiap Nabi dan Rasul sejak zaman Nabi Adam a.s sampai Nabi Muhammad SAW semuanya datang dari Allah SWT. Manakala orang-orang yang beriman kepada para Nabi dan Rasul merupakan umat yang satu dan menyembah Allah Yang Esa. Oleh kerana itu agama Yahudi, Nasrani dan Islam pada dasarnya tidak berbeza di mana semuanya berasal dari satu sumber iaitu Allah SWT dan risalah ajaran Nabi sebelumnya.

    “Allah telah menerangkan kepada kamu di antara perkara-perkara agama yang Dia tetapkan hukumnya, apa yang telah diperintahkanNya kepada Nuh dan yang telah Kami wahikan kepadamu (wahai Muahmmad) dan juga yang telah kami perintahkan kepada Ibrahim dan Musa serta Isa iaitu: tegakkanlah pendirian agama dan janganlah kamu berpecah belah atau berselisihan pada dasarnya.” (As-Syuura:42:13)

    Memetik kata-kata Dr. Afif Abdul Fathah Thobbaroh dalam membincangkan konsep yang digunakan Al-Quran dalam perbincangan kenabian dan riwayat para Nabi bahawa Al-Quran mengungkap riwayat para Nabi serta konsep kenabian secara umum dan mengendalikannya secara halus, menjelaskan makna yang terkandung di dalamnya, menentukan maksud-maksud yang diharapkan, menanamkan kisah-kisah yang kuat ke dalam hati sanubari sehingga dapat menumbuhkan rasa kasih sayang dan memupuk perkembangan unsur batin. Maka tidak layak jika ada kecaman bahawa Al-Quran tidak mengungkapkan cerita para nabi secara menyeluruh atau cerita yang diungkapkan Al-Quran dikatakan tidak berurutan secara rapi dan teratur atau dikatakan cerita-cerita Al-Quran itu sulit difahami jika tidak dikuatkan dengan sumber bacaan lainnya.

    Uslub Al-Quran Dalam Menjelaskan Soal-Soal Kenabian

    Al-Quran dengan tatabahasanya yang amat indah dalam mengungkap dan menjelaskan soal-soal kenabian dan dengan ketajamannya dapat menembusi lubuk hati sesiapa yang menghayatinya sehingga ianya dapat melekat di dalam jiwa. Inilah salah satu metod yang digunakan oleh Al-Quran dalam menjelaskan konsep kenabian iaitu berasaskan uslub yang memang sudah menjadi keistimewaan Al-Quran iaitu uslub bahasa yang indah. Itulah kesan yang ditanamkan oleh balaghah Al-Quran dengan penggunaan kata-kata yang indah, susunan kalimat yang teratur serta rapi dan isinya yang padat. Manusia tidak akan menjumpai suatu lafaz pun yang lebih baik atau lebih indah dan lebih lembut dibandingkan lafaz-lafaz Al-Quran ini. Manakala dari segi makna pula para ulama’ dan cendiakawan sama ada yang beragama Islam ataupun tidak, memperakui dan tidak dapat menutup mata bahawa makna yang terkandung dalam Al-Quran itu menguji akal untuk ditafsirkan dengan lebih mendalam. Al-Baqalani berpendapat: “Sebenarnya uslub Al-Quran itu hanya terdapat pada Al-Quran itu sendiri, tidak terdapat pada karangan-karangan lain, kerana memang jauh berbeza dengan uslub-uslub yang sudah dikenali.”

    Belum pernah dan tidak pernah ada karangan berbahasa Arab yang dapat menandingi balaghah Al-Quran. Ini kerana di sepanjang isinya sentiasa menggunakan uslub-uslub yang indah dan dalam bab-bab yang berbeza mengandungi makna, perintah-perintah, larangan-larangan, janji dan ancaman serta cerita-cerita. Di antara ciri khusus uslub Al-Quran ialah terdapatnya unsur seni pada hujung pemberhentian pada tiap-tiap hujung kalimah. Pada hujung suku kata tiap-tiap akhir ayat terdapat harakat-harakat tertentu yang mencipta suatu irama bagaikan nada-nada muzik yang serasi. Demikian juga halnya yang terdapat pada pembukaan surah di mana ia merupakan susunan huruf yang berirama. Balaghah Al-Quran yang mengandungi makna-makna hidayat atau petunjuk ini telah menyentuh hati bangsa Arab pada zaman permulaan Islam. Manakala para penulis dan sejarawan mengakui bahawa balaghah Al-Quran tidak dapat ditandingi sepanjang perkembangan peradaban umat manusia. Dengan keistimewaan ini manusia dapat memahami dengan jelas lagi terperinci setiap apa yang ingin disampaikan oleh Al-Quran apatah lagi mengenai konsep kenabian yang merupakan sebahagian daripada keseluruhan wahyu Allah SWT tersebut.

    Rahsia Pengulangan Dalam Perbincangan Konsep Dan Riwayat Para Nabi

    Ayat-ayat mengenai kenabian dan riwayat mereka selalunya diulang-ulang pada pelbagai tempat dalam surah-surah Al-Quran dan pengulangan itu disebut pada sebahagian isi sahaja. Ini kerana apa yang dicari dan diperlukan ialah makna sastera dan seni yang dikehendaki dalam ayat tersebut. Satu kejadian akan digambarkan dengan bermacam-macam cara dan ungkapan sesuai mengikut keadaan dan situasi. Selain itu, tujuan cerita di dalam Al-Quran tidak hanya berupa sejarah semata-mata tetapi tujuan utamanya adalah untuk menyampaikan ajaran, contoh tauladan, pembasmian maksiat menyampaikan khabar gembira dan keredhaan Allah SWT. Manakala keadaan suatu daerah dengan daerah lainnya dalam perkara tersebut selalu berbeza. Oleh itu perlu adanya perbezaan-perbezaan maksud sehingga membolehkan bentuk-bentuk sastera yang berlainan pula. Oleh sebab itu juga kadang kala di tempat tertentu uslub Al-Quran itu disampaikan secara kiasan dengan berbagai-bagai ibarat yang tepat dan lafaz-lafaz yang indah agar nampak jelas balaghah dan seni kajian yang unggul itu. Sistem pengulangan riwayat Al-Quran dengan pelbagai cara ibarat ini membuktikan bahawa Al-Quran adalah wahyu Ilahi.

    Perbezaan Kaedah Al-Quran Dan Taurat Dalam Membicarakan Aspek Kenabian

    Kaedah yang digunakan oleh Al-Quran dan Taurat dalam membincangkan konsep kenabian memang berlainan dan berbeza. Al-Quran hanya mengisahkan riwayat sebahagian para Nabi dan tidak menyebut yang lainnya. Tujuan utamanya adalah untuk menguatkan dakwah Islam dan persesuaian kedudukan Nabi di kalangan kaumnya. Riwayat para Nabi yang diungkapkan oleh Al-Quran tidak terperinci seperti yang diriwayatkan oleh Taurat, sebagai bukti masalah tahun tidak dijadikan sebagai faktor yang asasi dalam membicarakan mengenai riwayat para Nabi dan Rasul.

    “Dan (Kami telah mengutuskan) beberapa orang Rasul yang telah Kami ceritakan kepadamu dahulu sebelum ini, dan Rasul-Rasul yang tidak Kami ceritakan hal mereka kepadamu” (An-Nisa’:4:164)

    Perkara ini menunjukkan adanya perbezaan ketara di antara apa yang diriwayatkan oleh Al-Quran dengan Taurat. Ini kerana sasaran yang dituju Taurat adalah sejarah sedangkan sasaran Al-Quran adalah contoh dan tauladan, berita gembira dan ancaman, petunjuk dan penerangan tentang dasar-dasar dakwah Islam serta pencegahan terhadap tentangan.

    Selain itu antara tujuan utamanya juga adalah untuk menanam keteguhan hati Nabi Muhammad SAW dan para pengikutnya.

    “Dan tiap-tiap berita dari Rasul-Rasul itu, Kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad) untuk menguatkan hatimu dengannya. Dan telah datang kepadamu dalam berita ini kebenaran dan pengajaran serta peringatan bagi orang yang beriman.” (Hud:11:20)

    Siapakah Para Nabi Dan Rasul?

    Al-Quran dan As-Sunnah dalam membincangkan mengenai konsep kenabian ini telah menjelaskan dengan secara detail dan mendalam mengenai siapakah Nabi dan Rasul itu. Di dalam Al-Quran perkataan Nabi disebut sebanyak tujuh puluh lima kali sama ada dalam bentuk mufrad iaitu naba’ atau jama’ iaitu anba’. Kalimah ini dikaitkan dengan makna berita, cerita, sejarah, keterangan dan bagi menerangkan sebahagian tugas Nabi sebagai penyampai berita daripada Allah SWT. Ianya dapat dilihat seperti yang dijelaskan oleh Al-Quran dalam surah al-Naba’ ayat 2, surah Sad ayat 67, surah al-An’am ayat 67 dan banyak lagi.

    Dalam memahami siapakah Nabi dan Rasul itu Allah SWT telah menjelaskannya di dalam Al-Quran:

    “Dan tidaklah Kami utuskan para Rasul itu melainkan sebagai pembawa berita gembira dan pembawa amaran, kemudian sesiapa yang beramal soleh, maka tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka tidak akan berdukacita” (Surah Al-An’aam: 6: 48)

    Daripada ayat di atas dapat difahami bahawa para Nabi dan Rasul itu ialah manusia pilihan Allah SWT untuk menyampaikan dakwah kepada hamba-hambaNya, memberi khabar gembira kepada orang-orang beriman dan beramal soleh dan menjelaskan bahawa mereka akan diberi pahala dan balasan yang baik di dunia dan akhirat. Di samping itu juga mereka memberi ancaman kepada orang-orang kafir yang tidak beriman bahawa mereka akan mendapat seksa dan tempat kembali yang buruk.

    Ciri-Ciri Kenabian

    Di samping itu Al-Quran menjelaskan mengenai ciri-ciri yang terdapat pada seseorang Nabi atau Rasul.

    “Allah memilih utusan-utusanNya dari malaikat dan dari manusia, sesungguhnya Allah Maha mendengar lagi Maha Mengetahui” (Al-Hajj:22:75)

    “Rasul-Rasul mereka berkata kepada kaumnya: Kami hanyalah manusia seperti kamu tetapi Allah memberi kurnia kepada sesiapa yang dia kehendaki antara hamba-hambaNya. Tidak patut bagi kami mendatangkan suatu bukti kepada kamu melainkan dengan izin Allah” (Ibrahim:14:11)

    Dari kedua-dua ayat di atas dapat dilihat metod yang digunakan oleh Al-Quran yang menggesa Nabi mengakui dirinya berasal daripada keturunan Adam sama seperti manusia lain kecuali dalam aspek-aspek wahyu yang melibatkan keagamaan dan kenabiaan. Ini menjadi bukti dan dalil yang paling kukuh membuktikan Nabi dan Rasul itu adalah manusia biasa di mana manusia dapat memahami, berhubung dan berbincang dengan mereka dan tiada alasan untuk menolak kenabian tersebut. Tambahan pula jika diutus seorang Nabi atau Rasul yang bukan dari golongan manusia dengan corak dan gaya kehidupannya yang jauh berbeza maka manusia tidak dapat memahami apa yang ingin disampaikan selain matlamat kenabian itu tidak akan tercapai

    Selain itu Al-Quran dengan jelas menyebut bahawa setiap Nabi dan Rasul itu dilindungi dan dipelihara oleh Allah SWT:

    “Bukankah Dia mendapati kamu sebagai seorang yang kekurangan lalu Dia melindungimu dia mendapati kamu sebagai seorang yang kebingungan lalu dia memberi petunjuknya dan Dia mendapati kamu sebagai seorang yang kekurangan lalu dia melengkapkanmu”. (Al-Dhuha:93:6-8)

    Di samping itu Al-Quran menjelaskan dakwah yang dilaksanakan oleh para Nabi sebenarnya bukan kerana kecerdasan otaknya atau rasa hiba melihat keburukan yang melanda masyarakat dan tidak kerana ketajaman perasaan pancainderanya tetapi dasar tindakan mereka adalah melalui wahyu dan risalah dari Allah SWT walaupun mereka juga dikurniakan akal dan mempunyai kecerdasan serta ketajaman pancaindera.. Oleh kerana itu mereka tidak dapat dan boleh ditandingi oleh sesiapapun juga kerana segala dasar dan ketetapan yang dipegangi adalah dari Allah Tuhan sekalian alam.

    “Ia menurunkan malaikat membawa wahyu dengan perintahNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya dari hamba-hambaNya (yang layak menjadi Rasul), (lalu ia berfirman kepada para Rasul): Hendaklah kamu menegaskan kepada umat manusia bahawa tiada Tuhan malainkan Aku, oleh itu bertakwalah kamu kepadaKu.” (al-Nahl:16:2)

    Dasar dakwah dan tingkah laku Rasul adalah wahyu Allah kerana mereka tidak pernah menurut bisikan nafsunya, di samping menyampaikan risalah Allah bukan sekadar menyelesaikan masalah yang melanda masyarakat.

    “Katakanlah (wahai Muhammad): Aku tidak berhak menukarkannya dengan kemahuanku sendiri, aku hanya tetap menurut apa yang diwahyukan kepadaku sahaja” (Yunus:10:15)

    Risalah Universal

    Mengenai risalah yang dibawa oleh Nabi dan Rasul pula, Al-Quran telah menerangkan bahawa risalah yang diutus kepada mereka adalah untuk semua manusia dan bersifat universal. Keterangan ini dapat dilihat dalam ayat dibawah yang membuktikan Islam ialah agama yang sebenar dan untuk semua manusia tanpa ada yang terkecuali sekalipun.

    “Dan sesungguhnya kami telah mengutus dalam kalangan tiap-tiap umat seorang Rasul (dengan memerintahkannya menyeru mereka): hendakalah kamu menyembah Allah dan jauhilah taghut. Maka di antara mereka (yang menerima seruan Rasul itu) ada yang diberi hidayat petunjuk oleh Allah dan ada pula yang berhak ditimpa kesesatan. Oleh itu mengembaralah kamu di bumi kemudian lihatlah bagaimana buruknya kesudahan umat-umat yang mendustakan Rasul-Rasulnya.” (Al-Nahl:16:36)

    Tugas Nabi Dan Rasul

    “Rasul-rasul (yang Kami telah utuskan itu semuanya) pembawa khabar gembira (kepada orang yang beriman) dan pembawa amaran (kepada orang kafir dan yang berbuat maksiat) supaya tidak ada bagi manusia sesuatu hujah (atau sebarang alasan untuk berdalih pada hari kiamat kelak) terhadap Allah sesudah mengutuskan Rasul-Rasul itu. Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa lagi Maha Bijaksana” (Al-Nisa’:4:165)

    “Dan tiadalah Kami mengazabkan sesiapapun sebelum Kami mengutuskan seorang rasul (untuk menerangkan yang benar dan yang salah) (Al-Israa’:17:15)

    Berdasarkan ayat-ayat di atas dapat dirumuskan bahawa tugas dan peranan Nabi dan Rasul pertamanya adalah menyeru manusia beriman kepada Allah dan mengesakanNya, kedua menyeru manusia beriman kepada hari akhirat dan hari pembalasan segala amalan dan yang ketiga serta terakhir adalah untuk menerangkan syariat yang bertujuan untuk mencapai kemaslahatan dan kebahagiaan manusia di dunia dan di akhirat.

    Jumlah Para Nabi Dan Rasul

    “Dan (Kami telah mengutuskan) beberapa orang Rasul yang telah Kami ceritakan kepadamu dahulu sebelum ini, dan Rasul-Rasul yang tidak Kami ceritakan hal mereka kepadamu” (An-Nisa’:4:164)

    Para Nabi itu tidak mempunyai darjat yang sama dari segi keutamaan dan kedudukannya. Allah telah memberi kelebihan kepada beberapa Nabi atas yang lainnya.

    “Dan sesungguhnya Kami telah melebihkan setengah Nabi-Nabi atas setengah yang lainnya” (Al-Israa’:17”55)

    Para Nabi Sebagai Contoh Tauladan Bagi Umat Manusia

    Para Nabi adalah manusia yang sangat taat, rajin beribadat dan berbuat kebajikan.

    “Dan Kami jadikan mereka ketua-ketua ikutan yang memimpin (manusia ke jalan yang benar) denga perintah Kami, dan Kami wahikan kepada mereka mengerjakan kebaikan dan mendirikan sembahyang serta memberi zakat dan mereka pula sentiasa beribadat kepada Kami” (Al-Anbiyaa’:21:73)

    Jika ditekuni ayat-ayat suci Al-Quran maka kita akan dapati bahawa setiap Nabi memiliki sifat-sifat yang sempurna. Jika para Nabi itu tidak memiliki kesempurnaan bererti mereka akan menjadi hina pada pandangan manusia dan tidak akan diendahkan ajarannya.

    Al-Quran dan Kitab Perjanjian Lama berbeza pendapat mengenai Nabi-Nabi. Perjanjian Lama berpandangan bahawa para Nabi itu pembohong, penipu dan pembuat huru-harakerana selalu melakukan dosa-dosa besar. Sifat-sifat yang demikian itu dilemparkan kepada para Nabi. Misalnya Nabi Yaakub dianggap sebagai penipu, Nabi Lut dikatakan pernah berzina dengan anak-anak perempuannya sendiri, Nabi Harun dianggap sebagai pengajak kepada penyembahan anak sapi jantan, Nabi Daud dikatakan pernah berzina dengan isteri panglimanya yang bernama Uria dan Nabi Sulaiman dianggap pernah menyembah berhala kerana mencari kerelaan isterinya. Dalam perkara ini Al-Quran menceritakan riwayat para Nabi. Sesungguhnya tidak ada sepotong ayat pun yang menerangkan sifat-sifat negatif para Nabi sebagaimana yang dilemparkan dalam Perjanjian Lama itu. Di sinilah letak perbezaan prinsip antara Al-Quran dan Perjanjian Lama yang telah diselewengkan.

    Sebagai kesimpulannya umat Islam perlu difahamkan berkaitan dengan hal-hal asas ini. Kelalaian kita dari menyebarkan ajaran Islam yang sebenar akan menyebabkan masyarakat terus terbuai dengan kesesatan yang berpanjangan tanpa mereka sedar tentang kesesatan tersebut. Metodologi yang digunakan oleh al-Quran jelas menunjukkan betapa konsep kenabian khususnya dan akidah umumnya sangat penting dalam kehidupan seorang Muslim. Pemantauan secara berterusan perlu dilakukan oleh pihak Jabatan Agama setiap negeri dan dalam masa yang sama penerapan nilai Islam yang sebenar perlu diterapkan secara konsisten. Apa yang menghairankan saya ajaran Tok Hassan yang disiarkan oleh Harian Metro dikatakan sudah bertapak selama 20 tahun dan berkembang sehingga ke Johor. Ramai juga dikalangan pembawa ajaran sesat ini terlepas dari hukuman yang sepatutnya mereka terima. Pihak kerajaan perlu melihat kembali secara serius berhubung perkara ini. Jangan perancangan ekonomi sahaja diutamakan tetapi hal ini diabaikan.

    No comments: