Twitter Updates

    follow me on Twitter

    Monday, March 31, 2008

    BOIKOT BARANGAN BELANDA!!


    Umat Islam sekali lagi dicabar, dihina dan dipijak. Terbaru Islam dimomokkan dengan sebuah dokumentari 15 minit berkaitan penghinaan terhadap al-Quran, Nabi Muhammad dan umat Islam sendiri. Setakat ini tiada tindakan tegas diambil oleh negara-negara Islam khususnya OIC. Hanya bantahan di PBB yang berakhir pada perbincangan umum semata-mata. Jika inilah yang sekadar dilakukan oleh pemimpin Islam maka Islam akan terus dihina oleh mereka yang takutkan cara hidup yang syumul ini. Filem ini sudah lama diwar-warkan namun baru menjadi topik hangat apabila Wilders secara berani meng'upload'kannya ke internet.

    Siapakah yang menghasilkan dokumentari pendek ini?

    Geert Wilders ialah pemimpin Dutch Freedom Party. Partinya memenangi 9 kerusi dari 150 kerusi yang dipertandingkan dalam 'Dutch Parliament'. Berdasarkan kajian terbaru menunjukkan partinya kini meraih populariti yang semakin meningkat. Beliau juga merupakan orang yang berperanan menyebarkan Islamophobia di Belanda apabila secara jahat mengatakan al-Quran ialah kitab fasis. Beliau mengatakan al-Quran perlu dikeluarkan dari bumi Belanda dan sepatutnya tidak mendapat tempat dalam undang-undang negara yang berdaulat kerana isinya yang menyebar fitnah serta seruan untuk membunuh. Berdasarkan temubual dengan Agensi berita Dutch GDP beliau memberi judul filem tersebut sebagai 'FITNA' kerana iamenjelaskan tentang ujian keimanan dan sinonim dengan kejahatan. "I use the term in an inverse sense because for me Islam ... is fitna". Bagi beliau kitab suci al-Quran yang ditayangkan pada awal dokumentari tersebut bukan sekadar teks simbolik tetapi bermaksud "Islam akan mengambil segala kebebasan kita, jika kita tidak bertindak menentangnya. "Islam can take away our freedom unless we act against it".

    Kenyataan-kenyataan ini menunjukkan beliau secara jelas menentang al-Quran. Apakah hukuman yang perlu diberikan kepada beliau? Saya percaya bukan Wilders seorang sahaja yang bertanggungjawab menyebarkan unsur fitnah dan kebencian ini bahkan dibelakangnya berdiri dan disokong oleh pertubuhan-pertubuhan, pemimpin negara dan orang perseorangan. Usaha paling awal yang boleh dilakukan oleh umat Islam ialah memboikot segala barangan dari Belanda. Mungkin ada pemimpin di sana yang mengeluarkan kekesalan berhubung isu ini tetapi sejauh mana kekesalan itu dikeluarkan kepada tindakan. Tiada tindakan, sekatan dan halangan yang dibuat di negara yang mengamalkan kebebasan tanpa batas ini. Begitu juga dengan negara Eropah yang lain.

    Di sini disenaraikan beberapa barangan keluaran Belanda yang perlu diboikot oleh umat Islam. Ini merupakan usaha paling kecil yang mampu dilakukan oleh umat Islam yang mempunyai rasa tanggungjawab dan ingin melihat Islam dimuliakan.

    • Barangan keluaran UNILEVER: Axe, Ben and Jerry’s, Bertolli, Best Foods, Brooke Bond, Colman’s, Cif, Dove, Findus, Glidat Strauss, Heartbrand, Hellmann’s, Imperial Margarine, Knorr, Lipton, Pepsodent, PG Tips, Sunsilk, Unox, Vaseline.
    • Restoran WindMill
    • Shell
    • Dutch Lady.
    • Barangan Elektrik Philips
    • sebahagian besar penaja Christian Albers
    • Syarikat yang mempunyai nama “contoh n.v.”

    Wednesday, March 5, 2008

    Komen menarik yang dipetik dari laman blog kadirjasin.blogspot berkaitan hubungan kerajaan dan rakyat yang diibaratkan seperti perjanjian kontrak semasa PRU. Komen itu berbunyi:

    “1. PRU adalah waktu pengundi dan parti-parti politik menandatangani kontrak lima tahun. Pengundi beri undi, parti-parti beri janji;

    2. Parti yang menang tubuh kerajaan. Kerajaan itu terhutang budi (beholden) kepada pengundi/rakyat. Bukan sebaliknya;

    3. Atas (dasar) kontrak itu, rakyat bayar bermacam cukai, hasil, tarif dan tol kepada kerajaan. Rakyat jelata juga menanggung hutang yang diambil oleh kerajaan. Sekali lagi kerajaan terhutang budi dan beholden kepada rakyat. Bukan rakyat terhutang budi atau beholden kepada rakyat (sic) (kerajaan?);

    4. Kerajaan pungut cukai, hasil, tarif dan tol. Kerajaan belanja untuk dirinya -- macam belanja lebih MR16 juta untuk renovate Seri Perdana oleh Pak Lah dan Endon/Jeanne -- bayar gaji menteri dan kakitangan awam. Bayar hutang negara;

    5. Untuk pembangunan kerajaan berhutang dari dalam dan luar negeri. Rakyat yang tanggung hutang itu generasi demi generasi;

    6. Subsidi dan bantuan bukan dari duit kerajaan. Ia dari cukai, hasil, tarif dan tol yang rakyat bayar;

    7. Subsidi/bantuan tanam semula getah dan kepada sawit datang dari cukai cess getah dan minyak kelapa sawit;

    8. Subsidi padi datang dari pengguna yang beli beras. Kerajaan beri francais kepada Bernas. Bernas import beras mutu tinggi yang murah dari luar negeri dan campur dengan beras mutu rendah yang mahal dari dalam negeri.Bernas campur kedua-dua beras ini dan jual pada harga yang lebih tinggi dari harga di pasaran dunia. Bernas ambil sikit untung dan bagi bakinya kepada kerajaan untuk diagihkan kepada penanam padi. Jadi yang bagi subsidi padi bukan kerajaan tapi kita yang makan nasi;

    9. Jadi yang kita mahu adalah kerajaan yang cekap, yang amanah dan telus. Kita yang bayar untuk biayai kerajaan dan pentadbiran negara, bukan kerajaan;

    10. Subsidi petrol itu juga bukan duit kerajaan tapi duit Petronas yang kita semua miliki sebagai rakyat jelata, pengundi dan pembayar cukai.Tiada pengundi, tiada kerajaan.Kerajaan yang wajib berterima kasih kepada kita, bukan kita berterima kasih kepada kerajaan.Selamat memilih orang suruhan kita.Pegawai JUSA Pencen.”

    Nota: Komen “Pegawai Jusa Pencen” disiarkan sepenuhnya. Hanya kesilapan ejaan diperbetulkan. Mengenai kos pengubahsuaian Seri Perdana, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Mohd Nazri Abdul Aziz, memberitahu Teresa Kok (DAP-Seputeh) di Parlimen pada 21 Nov. 2005 bahawa jumlahnya adalah RM15.81 juta.

    KAMPUS DAN DISKRIMINASI POLITIK


    Menjelang PRU ini mahasiswa diugut dan dilarang keras oleh pihak KPT dan universiti untuk turut terbabit sama dalam pergulatan parti-parti politik merebut kerusi 8 Mac ini. Berkeping-keping surat pekeliling dihantar kepada para pensyarah dan juga mahasiswa bagi memastikan mereka duduk diam di kampus. Tok Pa selaku Menteri Pengajian Tinggi sebelum parlimen dibubarkan telah memberi amaran kepada seluruh kakitangan akademik dan mahasiswa untuk tidak turut terbabit dalam kempen-kempen parti politik. AUKU dijadikan senjata ugutan dan beberapa nasihat diberikan khususnya kepada para mahasiswa supaya habiskan masa dengan belajar sebaik mungkin di kampus, keperluan untuk bersyukur kepada kerajaan kerana menempatkan mereka di IPT dan kerana 'membiayai' mereka dengan pinjaman PTPTN yang membebankan.

    Tidak cukup dengan itu pemantau atau SB tak bertauliah dari universiti dihantar ke beberapa tempat bagi mengintip dan mendapatkan laporan berkenaan mana-mana mahasiswa yang terlibat dengan PRU ini. Ribuan duit universiti dihabiskan membayar gaji mereka yang kadang-kadang tidak pun melaksanakan kerja dengan baik. Menurut laporan, pihak UM menghantar sebuah bas dan sebuah van ke Negeri Sembilan bagi memantau perjalanan sukarelawan PMN dalam pertemuan mereka dengan Khairy Jamaluddin di Rembau. Pengetua Kolej Kediaman Kedua dan bekas pengetua KK-9 turut kelihatan di sana. Saya tidak mahu memberikan sebarang komen kerana sememangnya inilah kerja mereka 'sepenuh masa'. Seawal mahasiswa itu diorientasikan sehingga mendapat ijazah masing-masing.

    Namun, apa yang berlaku adalah sebaliknya. Di sebalik amaran Tok Pa kepada mahasiswa beliau telah mengarahkan hampir 1500 mahasiswa ke parlimen yang bakal ditandinginya, Jeli untuk melaksanakan Operasi Khidmat Masyarakat. Awal bulan ini pula terpampang satu kain rentang oleh pihak aspirasi UM yang memberi sokongan secara terang-terangan kepada Barisan Nasional dan digantung di hadapan DTC. Tidak cukup dengan itu mahasiswa dikerah pula untuk beramai-ramai pergi ke UiTM Shah Alam bagi meramaikan majlis bersama calon Rembau, Khairy Jamaluddin. Dan program itu secara terang-terangan merupakan kempen BN kepada mahasiswa dengan menggunakan fasiliti dan kewangan milik rakyat. Ini hanyalah sekelumit kecil contoh-contoh yang menunjukkan terdapat parti politik yang cuba secara terang-terangan namun tanpa sedar untuk mempergunakan mahasiswa bagi mencapai agenda perjuangan politik mereka. Dengan menggunakan nama kerajaan segala-galanya di’halalkan’. Itu belum dijelaskan lagi pelbagai jawatan parti yang dipegang oleh pentadbir universiti secara senyap tetapi tersuluh melalui tindakan-tindakan mereka.

    Mahasiswa harus disedarkan bahawa mereka juga mempunyai hak untuk menyuarakan pandangan apatahlagi ianya membabitkan masa depan mereka. Pihak tertentu tidak harus menggunakan kesempatan yang ada untuk mempergunakan mahasiswa sebagai alat politik mereka. Saya cukup tidak bersetuju dengan pandangan sahabat saya saudara Affandi Sutrisno Tanjung (YDP MPMUM) yang secara jelas meminta semua mahasiswa menyokong kerajaan yang memerintah sekarang atas alasan mereka perlu bersyukur kerana kerajaan telah memberikan segala yang ada. Beliau perlu faham seperti mana yang telah diulas sebelum ini ia adalah suatu tanggungjawab sebuah institusi yang bernama kerajaan selepas diberi mandat dan mendapat kesahan. Manifesto yang dibentangkan wajib dilunaskan. Adakah dengan diberikan fasiliti yang menyelesakan dan dalam masa yang sama kita melihat pelbagai masalah yang datang maka kita akan hanya duduk berdiam diri. Jika ini yang berlaku maka kemudahan yang diberikan itu boleh diumpamakan sebagai sogokan kepada mahasiswa untuk senyap dan diam tanpa membantah sedikitpun, sedangkan mereka selaku golongan yang berpelajaran mempunyai tugas selaku jurubicara masyarakat untuk menjelaskan apa yang sepatutnya dan menentang apa yang mungkar. Pinjaman dan biasiswa yang diberikan menjadi bahan ugutan agar mereka memilih dan patuh dengan siapa yang meluluskan pembiayaan tersebut, tanpa mereka melihat itu adalah hak mereka yang sebenarnya. Sikap diskriminasi dalam politik perlu dihapuskan. Kefahaman berkenaan sains politik perlu didedahkan kepada mahasiswa. Apa sebenarnya yang didefinisikan sebagai kerajaan, parti politik, kuasa pendesak dan sebagainya. Apakah juga yang dimaksudkan sebagai pengasingan kuasa dan apakah perbezaan eksekutif, institusi perundangan dan juga kehakiman. Apa maksud mandat, legitimasi dan autoriti? Dengan kefahaman berkenaan perkara-perkara ini maka mahasiswa dan masyarakat mampu untuk bukan sahaja membuat pilihan semasa mengundi bahkan dapat pula menyokong apa yang maaruf dan menentang apa yang mungkar.

    SPR: Suruhanjaya Pelikkan Rakyat

    SPR sekali lagi melakukan kejutan (kali kedua selepas apa yang berlaku semasa penamaan calon). Pembatalan penggunaan dakwat dengan nilai jutaan ringgit yang diimport dari India mendatangkan kemusykilan dan sejuta keraguan. Beberapa persoalan perlu diajukan kepada SPR:

    1. Kenapa SPR secara tiba-tiba membatalkan penggunaan dakwat dalam tempoh 3 hari sebelum pengundian? Dan kenapa pada 4 Mac baru timbul persoalan yang memerlukan peraturan digubal bagi membenarkan penggunaan dakwat ini?
    2. Apakah SPR tidak mengkaji terlebih dahulu risiko-risiko yang bakal berlaku jika menggunakan dakwat semasa mengundi? Hanya selepas tidak sampai seminggu barulah mereka baru sahaja tersedar.. Itupun selepas terjadi kes seperti yang didakwa. Saya pasti SPR sebagai sebuah suruhanjaya yang dilantik dari kalangan mereka yang berpengalaman sudah pasti memikirkan soal ini. Jika tidak mereka tidak akan mengimport khas dakwat kekal tersebut yang dikatakan berbeza dengan dakwat biasa. Jika andaian saya ini tidak benar maka samalah mereka ini dengan orang-orang yang tidak berpelajaran di kampung.
    3. Kenapa SPR dan pihak polis tidak menjelaskan secara kukuh dan nyata bukti atau kes yang menunjukkan terdapat pihak yang membeli dakwat untuk mengelirukan pengundi? Hanya kenyataan secara umum dilemparkan sehingga ia menimbulkan seribu tanda tanya kepada masyarakat. Setiap pemimpin politik pula hanya mengetahuinya melalui media tanpa diadakan satu sesi khas yang menerangkan secara terperinci berkaitan hal ini.
    4. Bagaimana dengan status dakwat tersebut? Jika ia sudah dibeli maka ia satu lagi pemborosan dan pembaziran paling tidak patut yang sudah dilakukan dengan wang rakyat. Saya boleh katakan ini satu tindakan 'biadap' yang dilakukan terhadap hak rakyat.
    5. Adakah masyarakat kita ini suka mencuba sesuatu dahulu sebelum mengetahui kesannya? Sudah berulang-kali hal ini berlaku termasuklah soal berkaitan penggunaan bahasa Inggeris dalam Sains dan Matematik dan beberapa kes lagi.
    6. Adakah tindakan ini membenarkan beberapa kenyataan bahawa terdapat campurtangan luar yang cuba mencabul kebebasan PRU ke 12 ini? Selepas beberapa kes yang berlaku dan yang terbaru isu ini maka ia hampir-hampir membenarkan kenyataan tersebut.

    Banyak lagi persoalan-persoalan yang boleh dilemparkan kepada SPR selaku badan yang bertanggungjawab mengendalikan pilihanraya di Malaysia. Kreadibiliti mereka di mata rakyat sudah tercalar. Apabila badan yang mengendalikan pelihanraya ini sendiripun sudah diragui ditambah dengan apa yang berlaku dalam tempoh dua minggu ini maka apa gunanya kita menyertai pilihanraya. Kerajaan sementara (yang sepatutnya ada sekarang) perlu bertanggungjawab kerana secara tergesa-gesa menggubal peraturan di Parlimen bagi membolehkan Pengerusi SPR sekarang melanjutkan tempoh perkhidmatannya.