Twitter Updates

    follow me on Twitter

    Wednesday, March 5, 2008

    KAMPUS DAN DISKRIMINASI POLITIK


    Menjelang PRU ini mahasiswa diugut dan dilarang keras oleh pihak KPT dan universiti untuk turut terbabit sama dalam pergulatan parti-parti politik merebut kerusi 8 Mac ini. Berkeping-keping surat pekeliling dihantar kepada para pensyarah dan juga mahasiswa bagi memastikan mereka duduk diam di kampus. Tok Pa selaku Menteri Pengajian Tinggi sebelum parlimen dibubarkan telah memberi amaran kepada seluruh kakitangan akademik dan mahasiswa untuk tidak turut terbabit dalam kempen-kempen parti politik. AUKU dijadikan senjata ugutan dan beberapa nasihat diberikan khususnya kepada para mahasiswa supaya habiskan masa dengan belajar sebaik mungkin di kampus, keperluan untuk bersyukur kepada kerajaan kerana menempatkan mereka di IPT dan kerana 'membiayai' mereka dengan pinjaman PTPTN yang membebankan.

    Tidak cukup dengan itu pemantau atau SB tak bertauliah dari universiti dihantar ke beberapa tempat bagi mengintip dan mendapatkan laporan berkenaan mana-mana mahasiswa yang terlibat dengan PRU ini. Ribuan duit universiti dihabiskan membayar gaji mereka yang kadang-kadang tidak pun melaksanakan kerja dengan baik. Menurut laporan, pihak UM menghantar sebuah bas dan sebuah van ke Negeri Sembilan bagi memantau perjalanan sukarelawan PMN dalam pertemuan mereka dengan Khairy Jamaluddin di Rembau. Pengetua Kolej Kediaman Kedua dan bekas pengetua KK-9 turut kelihatan di sana. Saya tidak mahu memberikan sebarang komen kerana sememangnya inilah kerja mereka 'sepenuh masa'. Seawal mahasiswa itu diorientasikan sehingga mendapat ijazah masing-masing.

    Namun, apa yang berlaku adalah sebaliknya. Di sebalik amaran Tok Pa kepada mahasiswa beliau telah mengarahkan hampir 1500 mahasiswa ke parlimen yang bakal ditandinginya, Jeli untuk melaksanakan Operasi Khidmat Masyarakat. Awal bulan ini pula terpampang satu kain rentang oleh pihak aspirasi UM yang memberi sokongan secara terang-terangan kepada Barisan Nasional dan digantung di hadapan DTC. Tidak cukup dengan itu mahasiswa dikerah pula untuk beramai-ramai pergi ke UiTM Shah Alam bagi meramaikan majlis bersama calon Rembau, Khairy Jamaluddin. Dan program itu secara terang-terangan merupakan kempen BN kepada mahasiswa dengan menggunakan fasiliti dan kewangan milik rakyat. Ini hanyalah sekelumit kecil contoh-contoh yang menunjukkan terdapat parti politik yang cuba secara terang-terangan namun tanpa sedar untuk mempergunakan mahasiswa bagi mencapai agenda perjuangan politik mereka. Dengan menggunakan nama kerajaan segala-galanya di’halalkan’. Itu belum dijelaskan lagi pelbagai jawatan parti yang dipegang oleh pentadbir universiti secara senyap tetapi tersuluh melalui tindakan-tindakan mereka.

    Mahasiswa harus disedarkan bahawa mereka juga mempunyai hak untuk menyuarakan pandangan apatahlagi ianya membabitkan masa depan mereka. Pihak tertentu tidak harus menggunakan kesempatan yang ada untuk mempergunakan mahasiswa sebagai alat politik mereka. Saya cukup tidak bersetuju dengan pandangan sahabat saya saudara Affandi Sutrisno Tanjung (YDP MPMUM) yang secara jelas meminta semua mahasiswa menyokong kerajaan yang memerintah sekarang atas alasan mereka perlu bersyukur kerana kerajaan telah memberikan segala yang ada. Beliau perlu faham seperti mana yang telah diulas sebelum ini ia adalah suatu tanggungjawab sebuah institusi yang bernama kerajaan selepas diberi mandat dan mendapat kesahan. Manifesto yang dibentangkan wajib dilunaskan. Adakah dengan diberikan fasiliti yang menyelesakan dan dalam masa yang sama kita melihat pelbagai masalah yang datang maka kita akan hanya duduk berdiam diri. Jika ini yang berlaku maka kemudahan yang diberikan itu boleh diumpamakan sebagai sogokan kepada mahasiswa untuk senyap dan diam tanpa membantah sedikitpun, sedangkan mereka selaku golongan yang berpelajaran mempunyai tugas selaku jurubicara masyarakat untuk menjelaskan apa yang sepatutnya dan menentang apa yang mungkar. Pinjaman dan biasiswa yang diberikan menjadi bahan ugutan agar mereka memilih dan patuh dengan siapa yang meluluskan pembiayaan tersebut, tanpa mereka melihat itu adalah hak mereka yang sebenarnya. Sikap diskriminasi dalam politik perlu dihapuskan. Kefahaman berkenaan sains politik perlu didedahkan kepada mahasiswa. Apa sebenarnya yang didefinisikan sebagai kerajaan, parti politik, kuasa pendesak dan sebagainya. Apakah juga yang dimaksudkan sebagai pengasingan kuasa dan apakah perbezaan eksekutif, institusi perundangan dan juga kehakiman. Apa maksud mandat, legitimasi dan autoriti? Dengan kefahaman berkenaan perkara-perkara ini maka mahasiswa dan masyarakat mampu untuk bukan sahaja membuat pilihan semasa mengundi bahkan dapat pula menyokong apa yang maaruf dan menentang apa yang mungkar.

    No comments: