Twitter Updates

    follow me on Twitter

    Sunday, June 29, 2008

    GAMIS = NGO = ?

    Satu usaha positif. Langkah Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) untuk mendaftarkan pertubuhan itu ke Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Negara sebagai NGO (pertubuhan bukan kerajaan) merupakan satu usaha baru untuk terus melangkah ke hadapan. Walaupun ramai yang mempertikaikan usaha tersebut namun ia tidak wajar dilihat sebagai satu usaha sia-sia yang akan membantutkan perkembangan gerakan mahasiswa Islam.

    NGO sebagai antara kuasa pendesak kepada kerajaan telah lama wujud seawal pertengahan abad ke-19 lagi. Ia mempunyai peranan dan fungsi yang sangat besar jika benar-benar dimanfaatkan. Oleh sebab itu NGO bukan sekadar ditubuhkan di peringkat negara atau tempatan sahaja bahkan tersebar ke peringkat antarabangsa sesuai dengan apa yang terkandung dalam Artikel 71 PBB. Dianggarkan terdapat 400,000 NGO yang berfungsi di peringkat antarabangsa. Rusia mempunyai 277,000 NGO manakala India pula dikatakan mempunyai antara 1 atau 2 juta NGO.

    Sesebuah gerakan yang berjaya ialah gerakan yang bersifat dinamik, bijak mengambil peluang dan teliti dalam menganalisis persekitaran. GAMIS melihat sudah sampai masanya bagi gerakan ini bukan bergerak sebagai entiti mahasiswa Islam semata-mata seperti dahulu tetapi juga sebagai pertubuhan yang diakui kesahan dan 'kedaulatannya'. Dengan kaedah ini ia akan lebih mudah bergerak. Mempunyai kemampuan mempengaruhi dan membentuk suara masyarakat massa yang bukan sekadar tertumpu di peringkat kampus dan nasional bahkan boleh digerakkan sehingga ke peringkat antarabangsa.

    Harakah sudah diluluskan untuk diterbitkan dua kali seminggu, begitu juga dengan kelulusan Suara Keadilan. Terbaru Parti Sosialis Malaysia diluluskan oleh kerajaan selepas sekian lama menunggu. Oleh itu GAMIS perlu menggunakan peluang kebebasan yang diberikan oleh kerajaan sekarang.

    Namun, terdapat beberapa aspek yang perlu diberi perhatian sebelum ia benar-benar terdaftar sebagai NGO. Pimpinan GAMIS harus memastikan gerak kerja dan aktiviti yang dilaksanakan sebelum ini tidak terbantut. Dengan maksud, menjadi NGO adalah untuk memudah dan melicinkan gerak kerja bukannya membantutkannya. Jika usaha menNGOkan GAMIS ini merencatkan gerak kerja dan menghilangkan jati dirinya maka lebih baik ia kekal seperti sekarang.

    GAMIS perlu menjadi NGO luar biasa bukannya organisasi belia biasa seperti Gerakan Belia 4B. Bukan hanya terlalu menumpu kepada aspek agama seperti ABIM dan Majlis Belia Hindu Malaysia. Juga bukan hanya organisasi yang hanya memfokuskan pelajar seperti GPMS dan PKPIM. Ia perlu mengekalkan entiti yang ada sekarang tetapi dengan wajah yang baru. Sebagai sebuah gerakan mahasiswa Islam bersifat nasional yang mempunyai wadah yang dinamik. Yang pastinya jangan letakkan GAMIS di bawah Majlis Belia Malaysia (MBM) sudahlah.

    Thursday, June 26, 2008

    EURO 2008: PAKATAN VS BN 7 + 0

    Perlawanan persahabatan diantara BN dan Pakatan telah masuk ke separuh masa yang kedua. Pada pusingan pertama, team Pakatan telah merembat 6 gol melalui penyerang utama Dato Nik Abdul Aziz Nik Mat dan penyerang kedua seorang bekas banduan, Lim Guan EngPada minit kedua puluh, Azizan Razak telah merembat gol yang ketiga, diikuti minit ke 25 pertahanan kanan Khalid Ibrahim menyumbang gol yang keempat.

    Sejarah tercipta, apabila penjaga gol Pakatan Rakyat Ir Nizar Jamaludin telah membuat sepakan kencang dari gol Pakatan terus ke gol BN. Penjaga gol BN Tajul Rosli tersungkur di belakang tiang gol apabila keliru dengan sepakan yang dibuat. Di hujung separuh akhir pertama, pertahanan kiri Pakatan Rakyat, Dr Lo Lo telah membuat rembatan keenam dengan dibantu rakan sepasukan, Nurul Izzah dan Wee Kah Cheong daripada team Pakatan.
    Setelah berehat selama beberapa bulan, perlawanan diteruskan separuh masa kedua. Berlaku sedikit perubahan apabila penyerang kanan Pakatan, Anwar Ibrahim telah dibenarkan beraksi semula dipadang setelah digantung dan dikurung selama enam tahun. Beliau memulakan perlawanan dengan memberi bola tanggung kepada rakan beliau Haji Abdul Hadi Awang. Abdul Hadi telah melontar bola ke kanan dan disambut oleh pemain veteran Lim Kit Siang. Bola dipulangkan kembali kepada Anwar dan Anwar terus merembat tepat ke gol BN. Namun penjaga gol baru BN Mohamamad Mohd Taib berjaya menangkap bola.Terdengar sorakan dari kelab penyokong pasukan BN yang diketuai menantu penyerang utamanya Khairi Brooks. Pasukan penyorak mereka telah boo pemain Pakatan kerana tidak berjaya menyumbang gol ketujuh.
    Pada minit kelima separuh masa kedua, sekali lagi penyerang kanan Pakatan membuat rembatan tepat ke galang gol BN. Namun sekali lagi Khairi Brooks dan ahli kelab penyokong BN menyorak Pakatan kerana bola telah melepasi gelanggang.Namun, pada minit kelapan belas, pertahanan kanan BN Dato Yong Teck Lee telah merembat bola masuk ke gol sendiri. Pemain yang berasal dari Sabah ini telah membuat sepakan protes apabila tidak berpuas hati dengan penyerang utama mereka Wak Lah Bodowi yang melantik menantunya Khairi Brooks sebagai pengurus pasukan yang baru. Tindakan Dato Yong Teck Lee ini telah menyumbang gol ketujuh percuma buat Pakatan Rakyat.Permainan terpaksa ditangguh sementara akibat pergolakan dalam pasukan BN. Pertahanan kiri BN, Ali Rustami telah menumbuk Dato Yong Teck Lee di tengah padang. Selain itu, pemain veteran BN, G Samy Vellu telah mencubit perut Yong. Pengurus pasukan yang baru Khairi Brooks juga telah menyepak curi belakang Yong.Namun setakat ini, tiada kecederaan berat yang dialami Dato Yong.
    Maklumat terkini mendapati, beberapa pegawai BPR telah diarahkan oleh penyerang Utama pasukan BN, Wak Lah Bodowi untuk memulas telinga Yong yang dikatakan khianat pada pasukan.Menurut pengulas bola sepak dunia, Ronaldo Hadhari, kejadian ini merupakan yang pertama di Malaysia. Ia mungkin terjadi disebabkan pasukan BN tidak pernah mengalami kekalahan sejak 50 tahun yang lalu.
    Pasukan BN terkenal dengan permainan kotor mereka apabila kerap menyepak kangkang dan menyengkang kaki lawan di tengah padang. Mereka juga sering merasuah pengadil lama T Rashitendam.Menurut Ronaldo Hadhari lagi, pasukan BN pernah membunuh 15 pemain muda Pakatan yang diketui oleh Ibrahim Libya yang sedang menjalani latihan padang di Memali Baling Kedah. Malah mereka pernah bertindak mengurung penyerang kanan Pakatan, Anwar Ibrahim selama enam tahun di sebuah kurungan di Sungai Buluh.Sekian berita utama dari Radio Kerinchi FM. Nantikan berita penting selepas ini. jangan lupa siaran langsung selepas ini Euro 08 Turki akan menentang Jerman.
    MOHD NASAIE AL-DIMASYQI
    KALAMKERINCHI.BLOGSPOT

    Thursday, June 12, 2008

    SINAR DIMASYQ 3: KEMBARA PENCARI ILMU


    Gedung ilmu Islam. Itu yang dapat saya gambarkan untuk kota raya ini. Bumi Syam ini menjadi tempat persemadian ribuan orang sahabat dan tabii'n. Atas asas itu juga ia mewarisi kegemilangan keilmuan sejak zaman berzaman. Di sinilah terdapatnya ramai ulama' bertaraf dunia. Mereka begitu dihormati dan dimuliakan oleh penduduk-penduduk di sini. Institusi-institusi pendidikan Islam sangat banyak terdapat di sekitar bandar. Itu tidak diceritakan lagi mengenai pendidikan tidak formal yang boleh didapati dengan banyaknya di masjid-masjid. Bahkan suasana keilmuan ini belum tentu terdapat di negara-negara lain. Himpunan ulama'-ulama' dunia yang berkepakaran dalam bidang masing-masing sudah cukup untuk menggambarkan betapa bertuahnya bumi Syam ini. Syeikh Mohd Ramadhan al-Buti, Syeikh Mustafa Bugho, Syeikh Wahbah Zuhaili, Syeikh Kuraim Rajih, Syeikh Naim Araqsusi, Syeikh Nuruddin 'Itir, Syeikh Rejab Dib, Syeikh Waliuddin Far-Fur, Syeikh 'Usamah al-Rifa'ie dan ramai lagi ulama tersohor yang lain. Namun masih terdapat ramai lagi ulama' yang mungkin tidak tersohor dari sudut nama dan penulisannya tetapi sangat hebat dari sudut keilmuannya. Jami'-jami' di setiap malam akan dihiasi dengan kuliah-kuliah ilmu dan biasanya bagi ulama'-ulama' tersohor, ribuan akan hadir. Gambaran seperti kuliah Tuan Guru Nik Abdul Aziz pagi Jumaat di Kota Bharu atau kuliah Tuan Guru Hj Abdul Hadi di Rusila. Inilah suasana keilmuan Islam di Dimasyq. Ia masih terpelihara dan mendapat sambutan hangat walaupun dalam masa yang sama Dimasyq semakin dibaham budaya Barat yang mengganas. Tetapi pengaruh Barat belum terlalu merebak di sini seperti di Beirut. Jenayah masih kecil dan gejala sosial masih terpelihara. Seorang ustaz dalam kelas saya amat terkejut dengan gejala sosial di negara asing apabila diceritakan mengenainya. Katanya dia belum melihat seorang pondan pun lagi seumur hidupnya di sini. Ulama' dan ilmu yang tersebar inilah menjadi benteng kepada negara Syria yang mengamalkan sistem republik tetapi dengan kebebasan bersuara yang sangat terbatas.

    Oleh sebab itulah juga Syria menjadi antara destinasi utama pelajar-pelajar Malaysia ke Timur Tengah. Jumlah mereka seramai 500 orang dan bernaung di bawah Persatuan Pelajar Malaysia Syria (PPMS). Persatuan yang kepimpinannya dipilih melalui pengundian seolah-olah pemilihan Majlis Perwakilan Mahasiswa di IPTA. Bahkan ada yang sudah tinggal di sini selama 10 tahun. Ada yang membawa keluarga termasuk anak-anak dan ayah semata-mata ingin mendapatkan ilmu yang tidak akan habis ini. Abang Azmil bekas pelakon yang lebih dikenali dengan Ali Setan itupun menadah kitab di sini dengan tiga orang anaknya. Katanya ingin berhijrah ke Halab (Aleppo) kerana budaya di Dimasyq ini sudah tidak keruan. Saya cukup menghormati mereka yang datang ke sini. Belajar di Syria bukan merupakan suatu perkara mudah. Mereka perlu datang sendiri ke sini. Usaha gigih dan cekal diperlukan untuk menetap dan belajar di sini. Kerajaan Syria tidak berapa mesra dengan kehadiran pelajar asing. Pelbagai syarat dan peraturan perlu dipenuhi. Ada yang dipenjarakan, masuk mahkamah dan ada juga yang dihantar pulang ke Malaysia. Semuanya kerana dikatakan bersalah melanggar beberapa peraturan imegresen. Peraturan di sini boleh sahaja pagi lain dan petang ditukar kepada peraturan lain. Itu belum diceritakan lagi masalah yang perlu ditempuhi ketika memasuki pintu utama lapangan terbang dan menyambung pasport di imegresen (jawazat). Bunyinya agak ngeri tetapi tidaklah sengeri seperti yang dibayangkan. Namun jika kita sudah berjaya masuk, pasport pun kita boleh tinggalkan di rumah. Pihak polis tidak akan mengganggu dan meminta pasport walaupun kita rakyat asing.


    Sistem pendidikan di sini bukanlah sebaik dan semaju sistem di Malaysia. Sebab itu mereka yang ingin datang ke sini menuntut ilmu memerlukan keikhlasan, kecekalan, kegigihan dan kesabaran. Tiada tajaan biasiswa atau pinjaman dari kerajaan. Duit sendiri diperlukan untuk menampung segala perbelanjaan pengajian, makan minum dan penginapan di bandar yang kos hidupnya agak tinggi ini. Dan ramai juga yang datang ke sini melalui derma orang ramai atau bantuan keluarga. Kepada mereka yang mengejar sijil atau ijazah untuk kerjaya dan pangkat harap lupakannya. MQA tidak mengiktiraf sijil yang dikeluarkan di sini. Oleh itu mereka yang datang ini perlu hadirkan hati semata-mata untuk mendapatkan ilmu yang melimpah di sini.

    Biasanya pelajar dari Malaysia akan memasuki beberapa Ma'ahad yang terdapat di sekitar Dimasyq. Yang bernasib baik dapat memasuki Universiti Dimasyq. Bagi yang ingin meningkatkan penguasaan bahasa Arab dahulu mereka akan memasuki daurah yang mempunyai beberapa peringkat bergantung kepada penguasaan kita. Mereka akan menjalani proses pendidikan secara formal. Terdapat juga pendidikan tidak formal yang boleh didapati melalui talaqqi khusus dengan beberapa orang syeikh di sini. Bukan suatu perkara yang sukar untuk bertalaqqi, kadangkala syeikh tersebut pula yang mencari pelajar untuk diajari. Terdapat juga yang bertalaqqi secara umum di beberapa Jami' setiap hari. Kesimpulannya banyak 'option' yang boleh digunakan untuk mendapatkan ilmu di sini. Dan ia amat mudah, hanya memerlukan sedikit usaha dan kegigihan untuk mendapatkannya. Kadang-kala pula belajar di sini tidak memerlukan wang bahkan pelajar pula yang mendapat Lira. Sebagai contoh mereka yang mengikuti pengajian hadith Sahih Bukhari dengan Syeikh Sattar akan diberikan 2000Lira sebulan oleh beliau. Bagi yang berkahwin (mutazawwij) pula akan diberikan 4000Lira sebulan. Mereka yang datang tasmi' al-Quran setiap pagi di Jami' Nablusi pula akan dihidangkan dengan 'shai' atau teh dan biasanya 250Lira boleh diperolehi setiap pagi melalui derma jemaah di situ. Itu belum diceritakan lagi derma dan infaq dari penduduk di sini. Mereka amat pemurah, dermawan dan menghormati penuntut ilmu khususnya dari negara luar. Syeikh di sini biasanya berduit dan mempunyai perusahaan sendiri. Oleh itu, duit bukan merupakan satu masalah yang terlalu besar di sini. Cuma satu masalah besar yang diakui oleh pelajar di sini. Wanita Dimasyq terkenal dengan kecantikannya. Mungkin itu sedikit masalah khususnya di musim panas yang menghangatkan!

    Bagi yang fasih berbahasa 'Ammi (pasar) dan mengetahui selok belok Dimasyq mereka akan menjadi 'travel guide'. Biasanya syarikat travel Malaysia dan mereka yang datang berumrah akan menggunakan perkhidmatan mereka ini. Sekali bayaran sudah cukup bagi menampung perbelanjaan bulanan mereka. Hal ini bukan suatu kesulitan kerana Dimasyq masih mengekalkan sedikit bahasa fusohahnya berbanding di negara Arab yang lain. Masyarakatnya juga akan membantu kita untuk lebih memahami bahasa ini walaupun jika dilihat kadangkala mereka akan berbangga dengan mereka yang boleh berbahasa Inggeris. Sebab itu dikatakan tempat pengajian bahasa Arab yang terbaik adalah di Dimasyq kerana suasananya sendiri yang mengizinkan.

    Hanya mereka yang mampu memanfaatkan peluang sahaja yang beruntung. Bagi yang datang ke sini dan menghabiskan masa dengan kerja sia-sia maka mereka temasuk dalam golongan yang rugi. Tidak ramai yang berpeluang datang dan menuntut ilmu di sini. Cuma sangat diharapkan kembara pencari ilmu ini tidak terhenti di Syria sahaja. Kembara mereka masih jauh sejauh baki usia yang ada. Bekalan yang mereka perolehi di Dimasyq perlu digunakan secara sebaiknya apabila balik ke Malaysia. Merekalah antara golongan baris hadapan yang bertanggungjawab mengislah masyarakat ke arah cara hidup Islam yang murni. Ilmu untuk diamali dan diajari bukan untuk disimpan.

    Friday, June 6, 2008

    KENYATAAN AKHBAR KOMUNITI MAHASISWA KERINCHI (KMK) MENGENAI ISU KENAIKAN HARGA MINYAK
    Tarikh: 05 Jun 2008


    KENAIKAN harga minyak sebanyak 40% yang diumumkan Perdana Menteri baru-baru ini mengejutkan semua pihak. Walaupun ura-ura kenaikan itu sudah kedengaran sebelum pilihanraya, namun ia tidak dijangka setinggi itu.

    Oleh itu Komuniti Mahasiswa Kerinchi (KMK) menganggap pihak kerajaan sengaja menyimbah petrol ke atas bara kemarahan rakyat yang masih belum padam sejak tsunami 8 Mac lalu.

    Alasan kerajaan menaikkan harga minyak untuk mengurangkan kos subsidi tidak dapat diterima oleh rakyat. Ini kerana KMK merasakan kerajaan lebih gemar membiayai pampasan projek tergendala daripada mengutamakan kebajikan rakyat. Cara hidup dan polisi bermewah-mewah kerajaan dalam keadaan rakyat menanggung inflasi dan dibebankan lagi dengan kenaikan harga minyak ini dilihat sangat tidak wajar dan tidak boleh diterima akal.

    Atas asas itu juga KMK mempersoalkan kewajaran kerajaan menarik subsidi untuk rakyat. Ini kerana Perdana Menteri dan Jemaah Menteri adalah golongan yang paling banyak menerima subsidi daripada duit rakyat. Ketika kerajaan menaikkan harga minyak dalam masa yang sama mereka mengekalkan subsidi rumah, kenderaan, pengangkutan, keraian dan pelbagai lagi yang dinikmati pemimpin kerajaan atas nama elaun yang berjumlah puluhan juta setahun.

    Kenapa peruntukan untuk rakyat dinamakan subsidi, tetapi untuk pemimpin negara dinamakan elaun dan ia terus dikekalkan? Kenapa kerajaan masih berkeras untuk menaikkan harga minyak ketika jurang kaya miskin di negara ini semakin menjarak? KMK menyeru kerajaan agar segera berhenti dari terus membohongi rakyat. Subsidi adalah hak rakyat dan kerajaan bertanggungjawab untuk menjaga kebajikan mereka.

    Oleh itu KMK menyenaraikan beberapa tuntutan yang mesti dipenuhi oleh kerajaan berhubung isu ini:

    1. Menyeru Pak Lah keluar segera dari kediaman subsidi Sri Perdana dan menetap bersama rakyat di Flat Kampung Kerinchi. Ini bagi memastikan beliau turut serta menikmati hidup tanpa subsidi bersama rakyat. Begitu juga dengan Najib dan menteri kabinet yang lain.

    2. Meminta ditarik juga segala subsidi atas nama elaun yang diterima oleh Perdana Menteri dan menteri-menteri kabinet selama ini. Elaun ini perlu digunakan untuk menampung harga minyak sekarang.
    3. Sekiranya tuntutan ini dipandang remeh dan harga minyak tidak diturunkan, maka KMK menyeru agar Pak Lah bersama jemaah menterinya bersedia untuk dipecat oleh rakyat. Jangan menipu rakyat dengan istilah elaun dan subsidi.



    Mohd Nasaie Ismail
    Jurucakap Komuniti Mahasiswa Kerinchi (KMK),
    Kuala Lumpur.

    Tuesday, June 3, 2008

    SINAR DIMASYQ 2: PENJARAH MASYARAKAT


    'Maliziyy jayyid'. Itu pandangan orang Syria apabila memberi pandangan mengenai Malaysia. Mereka biasanya melihat Malaysia sebagai sebuah negara Islam yang maju dan harmoni. Republik Arab Syria mempunyai keluasan 185 000km2 dengan populasinya sebanyak 18 juta penduduk. Negara ini mempunyai empat musim iaitu musim panas, sejuk, luruh dan bunga. Bahasa pengantar utama adalah bahasa Arab, kedua Perancis dan ketiga Inggeris. Kota raya Dimasyq merupakan sebuah kota yang sedang membangun tetapi dalam kapasiti yang sedikit perlahan. Ia dibahagikan kepada Dimasyq Jadid dan Dimasyq Qadim. Di Dimasyq Jadid inilah didirikan pusat pentadbiran dan perumahan elit. Ibarat Putrajaya di Malaysia dari sudut model pembangunannya. Dimasyq Qadim pula merupakan kota lama yang menjadi pusat bandar dan dihuni oleh jutaan rakyatnya. Bangunan di sini berkotak-kotak dan hampir kesemuanya berwarna coklat atau kelabu. Tetapi kota ini akan kelihatan sangat indah di waktu malam khususnya di musim panas. Bangunan-bangunan akan dihiasi dengan lampu yang pelbagai warna. Dari pemerhatian yang dibuat setiap pembinaan tidak diperbaharui atau diperelokkan kembali. Oleh sebab itu maka banyaklah kelihatan bangunan atau binaan yang rosak, buruk dan terbengkalai di samping bangunan yang baru dibina. Ia sedikit mencacatkan pemandangan. Di samping perlu diakui bahawa bahagian ini sudah dibangunankan ribuan tahun dahulu lalu menghasilkan pembinaan yang padat. Oleh itu kerajaan mendapatkan lokasi baru bagi pembangunan. Namun pujian perlu diberikan kerana mereka berusaha untuk mengekalkan bangunan-bangunan lama era kegemilangan Islam. Ibarat kita memasuki sebuah bandar yang diadun antara klasik dan modennya.

    Dimasyq boleh diibaratkan Kuala Lumpur 20 tahun yang lepas sama ada dari sudut pembangunan atau perkhidmatannya. Ia masih mengamalkan beberapa dasar tutup pintu khususnya dalam kegiatan ekonomi. Birokrasi di negara Arab sangat parah. Asalkan ada Lira (mata wang Syria) maka semuanya beres. Di Sana'a Yaman, jika kita ingin melepasi bahagian transit sebelum ketibaan pesawat maka tidak boleh ada sebarang bunyi apabila kita melalui pintu scan tersebut. Selagi ada bunyi maka selagi itulah kita perlu mengeluarkannya hatta tali pinggang besi di seluar sekalipun. Melalui imegresen (jawazat) di Dimasyq juga agak sukar dan terpaksa menunggu masa yang agak lama untuk diluluskan. Bayangkan kita perlu naik turun tangga beberapa kali hanya untuk mendapatkan tandatangan dan cop. Itu belum diceritakan kemungkinan dimarahi jika kepala kakitangan di situ berserabut. Kadangkala di pejabat diletakkan katil dan mereka akan tidur sambil menghisap rokok apabila keletihan.

    Seperti yang dijelaskan Syria masih belum membuka ekonominya kepada pasaran bebas. Oleh sebab itu tidak kelihatan banyak pasaraya besar atau pusat beli belah di sini. Kebanyakannya dibina di pinggir bandar atau di kawasan pembangunan yang baru. Mereka masih mempertahankan industri kecil dan sederhana yang menjadi nadi pencarian tradisi sebahagian penduduk di sini. Souq (pasar) sangat popular di sini. Ia menjual hampir pelbagai jenis barangan. Bayangkan berapa banyak barang yang dijual di Souq Hamidi yang memanjang dua kilometer dan antara yang tertua di dunia itu. Pepsi hanya dibenarkan masuk dalam era melinium ini. Oleh itu hampir di setiap kedai pasti ada minuman bergas tersebut. Samalah keadaannya dengan Sana'a yang mana hampir di setiap kedainya pasti ada Coca-Cola. Itulah coca-colanisations namanya. Kereta nasional Malaysia jenama Proton dan Perodua seperti Wira, Waja dan Kelisa pula boleh dilihat di mana-mana. Sekarang ini syarikat dari Malaysia, Muhibbah Holdings diberi tender untuk menaik taraf lapangan terbang antarabangsa di sini. Agak sukar untuk mencari KFC, MC DONALD, PIZZA HUT dan jenama makanan segera dari Barat. Jika ada sekalipun ia tidak begitu dikunjungi. Mungkin kerana dasar anti Barat yang diamalkan oleh kerajaan. Tetapi jika dibuka maka ia akan tersebar dengan begitu cepat dan meluas sekali.

    Taraf hidup di kota raya ini boleh dikatakan agak tinggi. Tidak keterlaluan jika dikatakan ia lebih tinggi dari Kuala Lumpur. Mereka yang berkeluarga paling kurang memerlukan 20,000 Lira untuk hidup. Oleh itu mereka perlu mempunyai lebih dari satu pekerjaan. Seorang ustaz yang kami lawati mengatakan beliau sendiri mempunyai tiga pekerjaan termasuk sebagai pembantu doktor dan terlibat dengan syarikat pembinaan. Dengan pekerjaan ini barulah mereka dapat hidup lebih selesa walaupun beliau sendiri tinggal di pinggir bandar. Inflasi boleh dikesan sangat tinggi di sini. Ia dikatakan naik secara mendadak dalam awal tahun ini khususnya kesan kenaikan harga minyak dunia. Kenapa saya katakan begini? Kerana kos tinggi yang perlu dibayar tidak setimpal dengan barang yang dibeli. Bayangkan sewa rumah jenis 'Arabi (ruang tamu terbuka tanpa bumbung) sebanyak 18 500 Lira atau bersamaan lebih kurang RM1320. Rumah yang hanya mempunyai satu kipas, pintu tandas tanpa penyelak, terletak di antara lorong dan rumah yang sempit serta saling bercantum dan pelbagai lagi kekurangan. Di Malaysia harga sewa rumah sebegitu diletakkan di kawasan Petaling Jaya dan Hill Park dengan ruang yang lebih luas dan selesa. Apatahlagi apartmen atau kondominium yang lebih besar. Mereka yang benar-benar berduit sahaja dapat mendiami kawasan yang benar-benar selesa dari sudut ruang atau lokasinya. Namun kebiasaannya walaupun rumah mereka dilihat usang di luar tetapi di dalamnya ibarat kondominium. Itu adat di Syria dan melihat dari reaksi kehidupan, mereka selesa dengan cara hidup sebegini. Setiap rumah mempunyai parabola yang memungkinkan mereka melihat 3000 siaran dari pelusuk dunia. Oleh sebab itulah orang Arab Badwi yang tinggal dalam khemah kain di tengah padang gersang itupun turut memasang parabola di khemah mereka! Kadang-kala mereka memasang khemah yang dijahit itu dibawah binaan batu yang terbengkalai. Kita boleh melihat bagaimana mudahnya Barat menjajahi minda pemikiran mereka. Pakaian jenama standard dan antarabangsa pula lebih mahal dari di Malaysia. Walaupun ia adalah jenama Nike made in Vietnam atau kasut Diaodora made in Indonesia yang dijual di pusat beli belah elit di Sham Centre. Laptop dan handphone juga lebih tinggi kosnya berbanding di negara kita. Begitu juga dengan barangan keperluan yang lain.

    Air pula perlu dicatu. Ia hanya keluar antara pukul 6 pagi hingga 2 tengah hari. Pengangkutan di sini menggunakan bas (baru beroperasi), service (van yang dijadikan seperti bas), coaster (van besar yang memuatkan lebih dari 20 orang) dan teksi. Uniknya tambang bagi mereka yang menaiki bas dan service adalah sama walaupun pergi ke mana-mana sekalipun, service sebanyak 10 lira dan bas 5 lira. Tetapi teksi menggunakan meter atau mengikut kemahuan pemandu tersebut.
    .
    Secara kesimpulannya kota raya ini masih sedikit ketinggalan dari sudut ekonomi dan pembangunannya. Kos sara hidup yang tinggi kadangkala dilihat agak menekan kehidupan mereka. Walaupun mungkin ramai mengatakan ekonomi bukan sesuatu yang penting namun perlu diakui dalam konteks sebuah negara Islam, umat Islam di sini perlu digerakkan dengan lebih kehadapan dan menukar mentalitinya kepada mentaliti kelas dunia pertama yang sesuai dengan ajaran Islam. Selagi mereka masih berada di takuk ini dari sudut ekonomi dan perkhidmatannya maka selagi itulah dakwah bi al-hal agak sukar dilaksanakan.

    Assalamualaikum dan salam sejahtera diucapkan, saya sekarang berada di kota Dimasyq ibu negara Rebublik Arab Syria selama dua bulan sehingga Julai ini. Mengikuti beberapa kelas Bahasa Arab dan talaqqi umum setiap malam di beberapa masjid di samping melihat dan mencari pengalaman di beberapa negara Arab yang dikunjungi. Kesempatan menulis blog saya gunakan sewaktu habis daurah formal di Mujamma' Abu Nour sebagai perkongsian kepada mereka di Malaysia. Penulisan ini adalah hasil observasi dan pemerhatian selama saya di sini. Tinggalkan dahulu penulisan berkenaan pemikiran Islam yang agak membebankan. Saya di sini pun tidak mempunyai kesempatan untuk mengkaji dan mengulas berhubung tajuk-tajuk tersebut di sini. Mereka yang datang ke Timur Tengah perlu mengunjungi negara ini. Kenapa? Jawapan sebenar hanya dapat dijawab oleh mereka yang pernah menziarahinya.