Twitter Updates

    follow me on Twitter

    Tuesday, June 3, 2008

    SINAR DIMASYQ 2: PENJARAH MASYARAKAT


    'Maliziyy jayyid'. Itu pandangan orang Syria apabila memberi pandangan mengenai Malaysia. Mereka biasanya melihat Malaysia sebagai sebuah negara Islam yang maju dan harmoni. Republik Arab Syria mempunyai keluasan 185 000km2 dengan populasinya sebanyak 18 juta penduduk. Negara ini mempunyai empat musim iaitu musim panas, sejuk, luruh dan bunga. Bahasa pengantar utama adalah bahasa Arab, kedua Perancis dan ketiga Inggeris. Kota raya Dimasyq merupakan sebuah kota yang sedang membangun tetapi dalam kapasiti yang sedikit perlahan. Ia dibahagikan kepada Dimasyq Jadid dan Dimasyq Qadim. Di Dimasyq Jadid inilah didirikan pusat pentadbiran dan perumahan elit. Ibarat Putrajaya di Malaysia dari sudut model pembangunannya. Dimasyq Qadim pula merupakan kota lama yang menjadi pusat bandar dan dihuni oleh jutaan rakyatnya. Bangunan di sini berkotak-kotak dan hampir kesemuanya berwarna coklat atau kelabu. Tetapi kota ini akan kelihatan sangat indah di waktu malam khususnya di musim panas. Bangunan-bangunan akan dihiasi dengan lampu yang pelbagai warna. Dari pemerhatian yang dibuat setiap pembinaan tidak diperbaharui atau diperelokkan kembali. Oleh sebab itu maka banyaklah kelihatan bangunan atau binaan yang rosak, buruk dan terbengkalai di samping bangunan yang baru dibina. Ia sedikit mencacatkan pemandangan. Di samping perlu diakui bahawa bahagian ini sudah dibangunankan ribuan tahun dahulu lalu menghasilkan pembinaan yang padat. Oleh itu kerajaan mendapatkan lokasi baru bagi pembangunan. Namun pujian perlu diberikan kerana mereka berusaha untuk mengekalkan bangunan-bangunan lama era kegemilangan Islam. Ibarat kita memasuki sebuah bandar yang diadun antara klasik dan modennya.

    Dimasyq boleh diibaratkan Kuala Lumpur 20 tahun yang lepas sama ada dari sudut pembangunan atau perkhidmatannya. Ia masih mengamalkan beberapa dasar tutup pintu khususnya dalam kegiatan ekonomi. Birokrasi di negara Arab sangat parah. Asalkan ada Lira (mata wang Syria) maka semuanya beres. Di Sana'a Yaman, jika kita ingin melepasi bahagian transit sebelum ketibaan pesawat maka tidak boleh ada sebarang bunyi apabila kita melalui pintu scan tersebut. Selagi ada bunyi maka selagi itulah kita perlu mengeluarkannya hatta tali pinggang besi di seluar sekalipun. Melalui imegresen (jawazat) di Dimasyq juga agak sukar dan terpaksa menunggu masa yang agak lama untuk diluluskan. Bayangkan kita perlu naik turun tangga beberapa kali hanya untuk mendapatkan tandatangan dan cop. Itu belum diceritakan kemungkinan dimarahi jika kepala kakitangan di situ berserabut. Kadangkala di pejabat diletakkan katil dan mereka akan tidur sambil menghisap rokok apabila keletihan.

    Seperti yang dijelaskan Syria masih belum membuka ekonominya kepada pasaran bebas. Oleh sebab itu tidak kelihatan banyak pasaraya besar atau pusat beli belah di sini. Kebanyakannya dibina di pinggir bandar atau di kawasan pembangunan yang baru. Mereka masih mempertahankan industri kecil dan sederhana yang menjadi nadi pencarian tradisi sebahagian penduduk di sini. Souq (pasar) sangat popular di sini. Ia menjual hampir pelbagai jenis barangan. Bayangkan berapa banyak barang yang dijual di Souq Hamidi yang memanjang dua kilometer dan antara yang tertua di dunia itu. Pepsi hanya dibenarkan masuk dalam era melinium ini. Oleh itu hampir di setiap kedai pasti ada minuman bergas tersebut. Samalah keadaannya dengan Sana'a yang mana hampir di setiap kedainya pasti ada Coca-Cola. Itulah coca-colanisations namanya. Kereta nasional Malaysia jenama Proton dan Perodua seperti Wira, Waja dan Kelisa pula boleh dilihat di mana-mana. Sekarang ini syarikat dari Malaysia, Muhibbah Holdings diberi tender untuk menaik taraf lapangan terbang antarabangsa di sini. Agak sukar untuk mencari KFC, MC DONALD, PIZZA HUT dan jenama makanan segera dari Barat. Jika ada sekalipun ia tidak begitu dikunjungi. Mungkin kerana dasar anti Barat yang diamalkan oleh kerajaan. Tetapi jika dibuka maka ia akan tersebar dengan begitu cepat dan meluas sekali.

    Taraf hidup di kota raya ini boleh dikatakan agak tinggi. Tidak keterlaluan jika dikatakan ia lebih tinggi dari Kuala Lumpur. Mereka yang berkeluarga paling kurang memerlukan 20,000 Lira untuk hidup. Oleh itu mereka perlu mempunyai lebih dari satu pekerjaan. Seorang ustaz yang kami lawati mengatakan beliau sendiri mempunyai tiga pekerjaan termasuk sebagai pembantu doktor dan terlibat dengan syarikat pembinaan. Dengan pekerjaan ini barulah mereka dapat hidup lebih selesa walaupun beliau sendiri tinggal di pinggir bandar. Inflasi boleh dikesan sangat tinggi di sini. Ia dikatakan naik secara mendadak dalam awal tahun ini khususnya kesan kenaikan harga minyak dunia. Kenapa saya katakan begini? Kerana kos tinggi yang perlu dibayar tidak setimpal dengan barang yang dibeli. Bayangkan sewa rumah jenis 'Arabi (ruang tamu terbuka tanpa bumbung) sebanyak 18 500 Lira atau bersamaan lebih kurang RM1320. Rumah yang hanya mempunyai satu kipas, pintu tandas tanpa penyelak, terletak di antara lorong dan rumah yang sempit serta saling bercantum dan pelbagai lagi kekurangan. Di Malaysia harga sewa rumah sebegitu diletakkan di kawasan Petaling Jaya dan Hill Park dengan ruang yang lebih luas dan selesa. Apatahlagi apartmen atau kondominium yang lebih besar. Mereka yang benar-benar berduit sahaja dapat mendiami kawasan yang benar-benar selesa dari sudut ruang atau lokasinya. Namun kebiasaannya walaupun rumah mereka dilihat usang di luar tetapi di dalamnya ibarat kondominium. Itu adat di Syria dan melihat dari reaksi kehidupan, mereka selesa dengan cara hidup sebegini. Setiap rumah mempunyai parabola yang memungkinkan mereka melihat 3000 siaran dari pelusuk dunia. Oleh sebab itulah orang Arab Badwi yang tinggal dalam khemah kain di tengah padang gersang itupun turut memasang parabola di khemah mereka! Kadang-kala mereka memasang khemah yang dijahit itu dibawah binaan batu yang terbengkalai. Kita boleh melihat bagaimana mudahnya Barat menjajahi minda pemikiran mereka. Pakaian jenama standard dan antarabangsa pula lebih mahal dari di Malaysia. Walaupun ia adalah jenama Nike made in Vietnam atau kasut Diaodora made in Indonesia yang dijual di pusat beli belah elit di Sham Centre. Laptop dan handphone juga lebih tinggi kosnya berbanding di negara kita. Begitu juga dengan barangan keperluan yang lain.

    Air pula perlu dicatu. Ia hanya keluar antara pukul 6 pagi hingga 2 tengah hari. Pengangkutan di sini menggunakan bas (baru beroperasi), service (van yang dijadikan seperti bas), coaster (van besar yang memuatkan lebih dari 20 orang) dan teksi. Uniknya tambang bagi mereka yang menaiki bas dan service adalah sama walaupun pergi ke mana-mana sekalipun, service sebanyak 10 lira dan bas 5 lira. Tetapi teksi menggunakan meter atau mengikut kemahuan pemandu tersebut.
    .
    Secara kesimpulannya kota raya ini masih sedikit ketinggalan dari sudut ekonomi dan pembangunannya. Kos sara hidup yang tinggi kadangkala dilihat agak menekan kehidupan mereka. Walaupun mungkin ramai mengatakan ekonomi bukan sesuatu yang penting namun perlu diakui dalam konteks sebuah negara Islam, umat Islam di sini perlu digerakkan dengan lebih kehadapan dan menukar mentalitinya kepada mentaliti kelas dunia pertama yang sesuai dengan ajaran Islam. Selagi mereka masih berada di takuk ini dari sudut ekonomi dan perkhidmatannya maka selagi itulah dakwah bi al-hal agak sukar dilaksanakan.

    1 comment:

    Anonymous said...

    salam.. kabare? dr jawo sabak bernam.. balik kang bawak buah tgn ye... jgn bwk gewe syria plak.. huhuhu