Alam kampus boleh diumpamakan seperti sebuah kotak kaca yang terisi dengan pelbagai benda dan perkara. Kenapa dikatakan kotak berkaca. Kerana benda yang berada dalam kotak tersebut mampu melihat apa-apa sahaja yang ada dan berlaku di luar kotak tersebut. Dengan melihat lebih awal apa yang terjadi dan wujud di luar maka yang berada di dalam kotak tersebut apabila dikeluarkan dapat mengadaptasikan dirinya dengan persekitaran di luar yang hakiki. Kenapa istilah alam digunakan? Bahasa kita sentiasa mengungkapkan persekitaran atau kondisi yang berbeza sebagai alam. Alam persekolahan, alam kampus, alam pekerjaan, alam ghaib, alam nyata dan sebagainya. Alam (dalam konteks persekitan ini) ibarat sebuah kosmos yang terkandung di dalamnya nilai-nilai dan budaya. [Mungkin ilmu sosiologi dapat menghuraikan lebih lanjut perihal sosialisasi dan kebudayaan ini. (boleh rujuk buku Ibnu Khaldun: al-Muqaddimah atau Malik Bennabi: Social Networks). ] Alam kampus bersifat ideal. Bagi mereka yang masih bergelar mahasiswa mereka tidak akan memahami dengan jelas bentuk ‘ideal’ tersebut sehinggalah mereka keluar. Kebanyakan mereka yang berjaya ialah mereka yang berjaya memahami dan mengadaptasi kehidupan mereka dengan persekitaran. Mahasiswa yang masih selesa dengan gaya persekolahan, mengamalkan teknik belajar seperti di sekolah sudah tentu gagal dalam pelajarannya di universiti. Disebabkan itu ada yang cemerlang di sekolah tetapi gagal di universiti. Begitu juga graduan yang kini hidup ‘bernafas’ di luar tetapi masih mengamalkan corak kehidupan kampus akan terpinggir atau terkebelakang hidupnya. Mungkin mereka cemerlang dalam bidang akademik di Universiti namun mungkin gagal di alam realiti kerana nota kuliah tidak mengajar mereka bagaimana erti dan praktik kehidupan di luar. Mereka mungkin pimpinan mahasiswa yang hebat di alam kampus, pernah bergelar YB dan sebagainya tetapi tidak dapat meneruskan kesinambungan tersebut apabila bergraduasi. Hal ini tidak terkecuali bagi ahli Gerakan Mahasiswa Islam. Kerana gagal mempraktikkan apa yang dipelajari, dididik dan dilatih di kampus (walaupun tahu) mereka boleh sahaja tumpas pada kelekaan dan kecuaian diri. Alam kampus kesemuanya boleh diumpamakan ibarat bilik kuliah. Bukan bilik kuliah di fakulti sahaja bilik kuliah tetapi aktiviti luar yang dilakukan juga adalah bilik kuliah. Bilik yang menjadi medan pentarbiyyahan, didikan, latihan dan ujian serta bekal sebelum ke luar iaitu ke medan sebenar kelak. Ramai yang menghadaminya namun bukan majoriti yang mengamalkan apa yang dihadami. Kerana itu beberapa tokoh berpandangan jika ingin mengubah manusia jangan terlalu sibuk dengan didikan di peringkat rendah semata-mata. Ini berbalik pada sistem dualisme pendidikan negara. Al-Attas memfokuskan pembinaan ISTAC sebagai sebuah institut pengajian tinggi kerana memahami bahawa mereka yang sudah habis alam pengajian formal (tadika, sekolah, IPT) tidak akan menempuhi lagi sistem korup tersebut. Jadi mudah untuk dibersihkan dan dimurnikan pandang alam mereka.
Harakah Islamiyyah adalah gerak kerja yang berkekalan dan berterusan. Ia tidak berhenti apabila seseorang itu berjaya menggenggam segulung ijazah tetapi ijazah tersebut menjadi tiket baginya untuk terus bergerak kerja. Gerak kerja dalam harakah Islamiyyah memerlukan kesukarelaan atas asas kefahaman dan kesungguhan. Namun ramai meletakkan gerak kerja tersebut sebagai kerja sampingan, di tempat kedua atau sekadar mengisi masa kosong. Mereka mungkin sudah lupa bahawa kalimah tauhid bukan sekadar dijazamkan dalam hati dan dizahirkan melalui lisan tetapi disejajarkan dengan tindakan. Tindakan bukan sekadar yang berbentuk ibadat khusus semata-mata tetapi membabitkan segala gerak laku, penetapan matlamat dan pembawaan hala tuju.
“Dan katakanlah (wahai Muhammad): Beramallah kamu (akan segala yang diperintahkan), maka Allah dan Rasul-Nya serta orang-orang yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan, dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang Maha Mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan yang nyata, kemudia Dia menerangkan kepada kamu apa yang kamu telah kerjakan.” (al-Taubah: 105).
Perjuangan di medan kampus mempunyai ciri tersendiri, tidak sama dengan di luar. Yang berada di sekeliling mereka adalah di kalangan kelompok kecil yang sama walaupun berbilang bangsa dan agama. Kesemuanya terpelajar, berusia hampir sebaya, menerima maklumat terbuka dan melalui ‘lifestyle’ yang lebih kurang sama. Ini tidak sama dengan apa yang sebenarnya di luar. Di luar ada pemandu bas, pakcik penoreh getah, makcik penjual nasi lemak, penagih dadah, imam masjid, mat rempit, workerholic, kaki clubbing, dato’ dan datin, tok guru, artis dan banyak lagi. Memang mereka tetap keluar dan berada bersama masyarakat namun kehidupan dan gaya hidup mahasiswa masih di kampus. Justeru jika keluar ia sekadar pendedahan dan pengalaman. Di sinilah ramai yang masih selesa dengan lingkungan mad’u seperti di kampus. Mudah diajar, boleh dijadikan kawan dan duduk berdekatan. Apa yang berada di luar tidak menjanjikan perjuangan manis di dalam. Menyebabkan mereka rasa tidak selesa semakin jauh dan akhirnya melupakan apa yang dipelajari.
Justeru paradigma ini perlu diubah. Paradigma sebagai kerangka yang digunakan untuk memahami dunia yang sebenarnya perlu dipadankan dengan kefahaman yang jelas. Menurut Thomas Kuhn ada dua jenis manusia yang menjadi sumber perubahan paradigma. Orang muda yang baru lulus ijazah dan pakar yang memasuki bidang baru. Menukar paradigma bukan mudah tetapi jika berjaya diubah maka ia akan menghasilkan tindakan yang cemerlang. Saya sampaikan ini kepada adik-adik seperjuangan yang baru sahaja melepasi tahap pengajian di kampus. Mengapa kita tertunggu-tunggu dengan tugas apa yang akan ditawarkan tanpa kita sendiri berusaha mencari kerja. Itu yang kita pelajari di kampus. Mengapa kita terhegeh-hegeh menyalahkan sistem tanpa kita berusaha memperbaiki sistem. Mungkin ada yang beralasan tidak diberi peluang tetapi bagaimana pula bila tiba bab cari pekerjaan untuk elak menganggur boleh pula kita berusaha mencari pekerjaan bergaji tersebut dengan sedaya mungkin. Ia hanya alasan yang mudah dipatahkan. Pentarbiyyahan bukan latihan semata-mata. Binatang yang tak punya akal boleh dilatih. Untuk bercakap, menari, melompat, berenang dan sebagainya. Tetapi tarbiyyah mendidik kita untuk lakukan apa yang wajib dilakukan. Atas dasar kefahaman, tanggungjawab dan kesungguhan. Imam Abu Hanifah ketika membicarakan perihal pendidikan berpandangan didikan yang diberikan bertujuan mendapatkan ilmu yang mana ilmu itu berkait rapat dengan amalan. Amalan adalah refleksi pada keilmuan. Ia tepat seperti yang disebut oleh Muaz sahabat Nabi SAW: “ilmu adalah ketua, manakala amalan adalah pengikutnya.” Alim dalam Islam bukan terhenti pada memiliki ilmu tetapi merujuk kepada seseorang yang bertindak atau melakukan sesuatu sesuai dengan ilmunya. Yang penting jangan mudah terpesona dengan perjuangan di alam kampus tapi gunakan ilmu yang dipelajari untuk dipraktikkan di luar. Jangan jadikan budaya kehidupan kita seperti di Barat. John Genter ada menyebut: manusia di Barat pergi menyembah ‘bank’ selama 6 hari dan hari ketujuh mereka pergi menyembah gereja.” Kapal yang dilayari oleh orang Barat hampir karam tetapi umat Islam sekarang berbondong-bondong berebut menaiki kapal karam tersebut. Tugas kita untuk menarik mereka semula ke kapal yang terjamin selamat.
No comments:
Post a Comment