Isu PTPTN merupakan isu yang sudah lama diperdebatkan di kalangan masyarakat khususnya mahasiswa yang terlibat secara langsung dengan skim ini. Sejak diperkenalkan pada 1 Julai 1997 di bawah Akta Tabung Pendidikan Tinggi Nasional 1997 (Akta 566) dan mula beroperasi pada 1 November 1997 perbincangan berkaitan isu riba dan perkaitannya dengan hukum syarak, caj perkhidmatan yang tinggi dan pengurusan yang tidak efisyen sering menjadi perdebatan hangat di kalangan masyarakat, institusi itu sendiri dan kerajaan.
Tinjauan secara rambang mendapati sebahagian besar mahasiswa tidak memahami apatah lagi mempedulikan aspek-aspek penting yang ditetapkan dalam proses pinjaman mereka melalui skim ini. Mereka juga kurang memberi perhatian terhadap isu-isu dan permasalahan yang berlaku sehinggalah mereka disedarkan sendiri selepas keluar dari alam universiti dan perlu membayar kembali pinjaman tersebut. Jika diteliti kembali Skim Pinjaman Pendidikan PTPTN diwujudkan bertujuan untuk memberi pinjaman pendidikan kepada pelajar yang mengikuti pengajian di Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) tempatan. Pinjaman ini akan membolehkan pelajar membiayai sepenuh atau sebahagian yuran pengajian dan juga kos sara hidup di sepanjang tempoh pengajian mereka di IPT. Sekaligus, skim ini membuka lebih banyak peluang kepada semua golongan pelajar untuk melanjutkan pelajaran di peringkat pendidikan tinggi. Persoalan di sini, apakah mahasiswa benar-benar memahami secara syumul dan kolektifnya segala aspek berkaitan skim pinjaman ini? Penulisan ini bukan bertujuan untuk memaklumkan setiap aspek yang berkaitan dengan PTPTN tetapi ingin menyarankan kepada semua mahasiswa untuk dengan inisiatif dan usaha sendiri cuba mengetahui, memahami dan menghadami perkara-perkara yang berkaitan dengan kebajikan dan periuk nasi mereka ini.
Peranan kedua yang perlu dilaksanakan oleh mahasiswa sama ada dari sudut individunya atau berkumpulan adalah dengan bangkit mendesak agar diadakan perjumpaan secara terbuka dengan pihak Lembaga Pengurusan bagi membincangkan beberapa isu tertangguh dan menjadi perdebatan di kalangan masyarakat. Dengan perjumpaan yang diadakan ini segala permasalahan dapat diperdebat, dibahas dan dijawab secara adil dan saksama. Jawapan atau kenyataan melalui satu pihak sahaja tidak akan mampu menyelesaikan masalah yang berlaku. Mahasiswa yang merupakan peminjam kepada skim ini mempunyai kuasa pendesak yang besar untuk menggerakkan lidah massa bagi mendesak pihak pengurusan PTPTN menjelas dan menjawab segala isu yang dibangkitkan.
Mahasiswa juga kini sudah perlu mula bangkit secara lebih agresif dan sistematik dengan menganjurkan kongres atau forum-forum terbuka bagi membincangkan isu-isu yang berkaitan. Mahasiswa Islam secara khususnya berperanan penting memahami status pinjaman mereka samada ia benar-benar menepati syarak sepertimana yang diakui oleh pihak PTPTN sendiri dan Mufti Johor atau ia mempunyai unsur riba seperti yang didakwa oleh beberapa tokoh fiqh dan ahli ekonomi Islam. Adalah disarankan agar kongres ini juga mengadakan perbincangan meja bulat yang membabitkan pelbagai pihak bagi membincangkan secara terperinci berkenaan status caj perkhidmatan yang ditetapkan sekaligus mampu dikeluarkan satu keputusan dan resolusi berhubung perkara ini. Perbincangan dan perbahasan yang diadakan secara konsisten dan harmoni akan mengendurkan perdebatan panjang berkaitan permasalahan yang berlaku kini. Oleh itu, seharusnya perkara ini perlu diselesaikan dengan kadar segera agar masalah yang timbul pada masa kini tidak akan berulang kembali.
Mahasiswa mempunyai hak untuk menuntut beberapa permintaan dan desakan bagi kemudahan mereka sendiri. Tidak perlu digariskan di sini strategi yang perlu dimainkan tetapi cukup terlebih dahulu untuk setiap mahasiswa memahami kepentingan untuk mereka memperjuangkan isu PTPTN ini. Sudah sampai masanya setiap barisan mahasiswa berganding bahu dan bekerjasama dalam memperjuangkan isu yang dilihat kian berpanjangan ini. Selagi mana tiada siapa yang benar-benar berperanan penting memperjuangkan isu ini maka selagi itulah mahasiswa akan terus dan terus leka seterusnya secara langsung menyebabkan hak mereka sendiri tidak terbela.
No comments:
Post a Comment