Twitter Updates

    follow me on Twitter

    Tuesday, February 12, 2008

    ANTARA TANGGUNGJAWAB & JASA, ANTARA KEUPAYAAN DAN ANGAN-ANGAN


    Suasana pilihanraya umum semakin hangat diperkatakan dan debaran kian dirasai oleh seluruh rakyat Malaysia. Pak Lah dalam sidang akhbar telah mengisytiharkan pembubaran Parlimen pada 13 Februari (tarikh yang sudah diramal) selepas diperkenankan oleh Yang Dipertuan Agong. Teka-teki kini telah terjawab dan kita masih menunggu keputusan SPR yang akan menentukan bilakah penamaan calon dan bila pula tarikh pengundiaan. Saya terfikir mungkin tauke atau bookie judi boleh untung besar jika mereka bertaruh bilakah tarikh PRU. Tidak perlu tunggu taruhan parti apa yang bakal memerintah Malaysia kelak atau pasukan mana yang akan merangkul piala Liga Inggeris atau kuda mana yang bakal johan dalam sesuatu perlumbaan lumba kuda tetapi cukup sekadar bertaruh pada tarikh-tarikh yang menjadi ramalan akan diisytiharkan PRU. Inilah demokrasi di Malaysia. Demokrasi yang sangat pelik di dunia. Ibarat seorang kanak-kanak yang berteka-teka dalam sebuah pertandingan kuiz, begitulah juga rakyat Malaysia sekarang. Sayangnya kuiz yang disertai oleh rakyat Malaysia sekarang tidak mempunyai jawapannya kecuali di tangan Perdana Menteri.

    Apabila PRU menjelang tiba maka semua parti dari pihak kerajaan atau pembangkang berlumba-lumba memperlihatkan siapa yang lebih hebat dan bagus. Di pihak kerajaan mempertontonkan melalui media massa yang dikuasai secara meluas berkenaan pelbagai pembangunan yang telah dibawa selama ini. Pembangkang pula memperlihatkan kepada rakyat bahawa merekalah pilihan alternatif jika rakyat mahukan perubahan. Persoalan yang ingin diutarakan kepada rakyat adalah adakah mereka mampu dan mahir dalam membezakan kedua-dua gagasan yang dibawa oleh dua buah entiti yang berlainan ini.

    Parti BN memperlihatkan kepada rakyat bahawa merekalah yang telah memerdekakan Tanah Melayu, membangunkan Malaysia ke arah sebuah negara yang sedang pesat maju dan membantu setiap dari mereka yang bergelar warganegara ke arah yang lebih baik. Segala kewajiban yang dilakukan oleh kerajaan selama ini dipertontonkan menunjukkan bahawa mereka begitu banyak berjasa kepada rakyat. Jika rakyat cuba untuk menukar kerajaan maka mereka tidak akan dapat lagi mengecapi nikmat kemajuan dan kemerdekaan seperti sekarang. Maka oleh itu rakyat perlu dan tidak dapat tidak harus mengundi dan memilih parti yang sedang memerintah kerajaan sekarang. Rakyat sudah didoktrinkan bahawa BN adalah kerajaan dan kerajaan ialah BN. Mungkin kerana BN sekarang sudah memerintah Malaysia selama lebih dari 50 tahun, satu pencapaian yang sukar ditandingi oleh mana-mana parti lain di dunia. Atau mungkin juga kerana propaganda melalui media yang digunakan secara berleluasa. Tambahan pula rakyat Malaysia (bukan kesemuanya) terkenal dengan pemikiran streotaip.

    Tetapi rakyat seharusnya memahami bahawa segala pembangunan yang diberikan itu adalah satu tanggungjawab yang amat besar yang sememangnya wajib dipikul dan dilaksanakan oleh parti yang dipilih oleh kerajaan. Tidak timbul isu siapa yang paling banyak berjasa dan berbudi dan juga tidak timbul persoalan rakyat wajib untuk memilih sesuatu parti kerana merekalah yang membangunkan negara sekarang. Semua itu adalah tanggungjawab dan kewajiban yang perlu dilaksanakan sesuai dengan janji dalam manifesto yang telah dibentangkan di hadapan rakyat. Memang diakui bahawa kerajaan di bawah parti yang memerintah sekarang telah banyak membawa perubahan tetapi laungan secara berterusan bahawa itu adalah satu jasa dan budi dengan meninggalkan istilah tanggungjawab di situ adalah dilihat satu propaganda dan mainan politik bagi meraih undi secara mudah. Wakil rakyat atau YB yang dipilih ialah petugas dan pekerja kepada rakyat. Sebab itu istilah Yang Berhormat sekarang perlu ditukar kepada Yang Berkhidmat. Pemilihan mereka adalah untuk berkhidmat kepada rakyat atas dasar apa yang mereka janjikan. Slogan-slogan bahawa kerajaan telah menabur bakti kepada rakyat, parti sekarang menjamin masa depan dan sebagainya perlu diteliti oleh rakyat. Malahan tidak keterlalun diutarakan di sini bahawa kita mungkin boleh jatuh ke tahap syirik apabila mempercayai bahawa hanya kerajaan yang ada pada masa sekaranglah yang hanya boleh menentukan masa depan negara. Persoalan takdir yang terletak dalam pengetahuan Allah diketepikan demi meraih kejayaan dunia yang singkat.

    Berkaitan parti pembangkang pula mereka seharusnya membuktikan bahawa mereka mampu untuk memerintah negara ke tahap yang lebih baik dari sekarang, itupun jika mereka benar-benar ingin menjadi pemerintah. Pembangkang sekarang dilihat terus-terusan membangkang dan ini menyebabkan rakyat tidak memberikan kepercayaan sepenuhnya kepada mereka sebagai sebuah pilihan alternatif bagi memerintah negara. Seandainya mereka memenangi PRU untuk kali ini sejauh mana mereka mampu mengisi kemenangan tersebut. Jika diadakan survey sekalipun masih ramai yang mahukan pembangkang sekarang hanya menjadi pembangkang yang kuat dengan seboleh-bolehnya memecahkan penguasaan dua pertiga BN. Tetapi jika dipilih sebagai kerajaan, mungkin ramai akan fikirkan terlebih dahulu. Ini adalah perkiraan dan pemikiran seorang pengundi atas pagar atau mereka yang sekadar menjadi penyokong biasa bukannya seorang ahli atau penyokong tegar yang sudah tentu memilih parti yang didokongnya.

    Sebab itu pembangkang perlu memperlihatkan kekuatan dan kemampuan mereka. Jika mereka menafikan aspek pembangunan yang dibawa, sebagai contoh gugusan koridor yang dibawa, apakah alternatif lain kepada pembangunan tersebut? Adakah ada jalan yang lebih baik dalam membangunkan negara. Sistem pendidikan dipertikaikan. Apakah gagasan yang ingin dibawa oleh pembangkang bagi menaikkan mutu sistem pendidikan yang sudah berjalan puluhan tahun dan didraf oleh tokoh-tokoh pendidik melalui kajian yang dijalankan. Mereka harus sedar bahawa pandangan hidup rakyat sekarang telah berubah menjurus kepada kemajuan dan kesenangan semata-mata. Pandangan ekonomi dilihat penting dan pembangunan material menjadi fokus majoriti rakyat. Jika mereka mampu memperlihatkan keupayaan untuk memerintah dalam ruang demokrasi dan informasi yang sempit ini maka mungkin mereka mampu jika tidak memimpin Malaysia sekalipun tetapi mampu menguasai separuh dari Parlimen Malaysia.

    Namun segalanya terletak di atas keputusan pengundi. Rakyat selaku pengundi perlu bijak dalam membuat pemilihan. Atas dasar apa mereka memangkah dan untuk apakah mereka memilih sesuatu parti.

    No comments: