Twitter Updates

    follow me on Twitter

    Tuesday, February 19, 2008

    Di sini saya paparkan tawaran PAS untuk PRU-12 untuk sama-sama kita teliti dan fikirkan.



    TAWARAN PAS UNTUK PRU12

    Oleh: Pusat Penyelidikan PAS

    Negara sekali lagi di ambang pilihan raya umum ke-12. Pilihan raya adalah antara ciri dan amalan penting dalam sebuah demokrasi, namun demokrasi bukahlah hanya pilihan raya. Sebuah kerajaan demokrasi ialah sebuah ’Kerajaan Rakyat’. Sebuah kerajaan demokratik yang berperlembagaan dan berdaulat, mendukungi keluhuran undang-undang. Ia mengurus tadbir pemerintahan dengan mengadakan sistem pilihan raya yang berkala, sebagai kaedah utama yang memberikan mandat dan kuasa kepada kerajaan yang dipilih rakyat.

    Sesungguhnya pengundi dan rakyatlah sebenarnya majikan dan tuan yang menentukan kerajaan. Maka dalam amalan demokrasi yang sihat dan matang, apabila sebuah kerajaan yang dipilih gagal memenuhi kehendak rakyat yang mahukan kesejahteraan, pembangunan, keadilan serta kualiti hidup yang baik, pengundi boleh bertindak menukar dan merubah kerajaan.

    Sementara itu parti pembangkang sama ada di Parlimen mahupun di Dun, dikehendaki rakyat untuk memainkan peranan ’menyemak-imbang’ segala polisi dan perlaksanaan parti pemerintah. Unsur ’semak-imbang’ ini begitu penting dalam pentadbiran sesebuah kerajaan sehinggakan Allah s.w.t. menjadikan ia satu amalan penting bagi mengelakkan kehancuran seluruh alam ini dan institusi-institusi penting agama.

    ”Kalaulah Allah tidak mendorong setengah manusia menentang kezaliman setengah yang lain, nescaya runtuhlah tempat-tempat ibadat serta gereja, biara dan masjid-masjid, yang dalamnya sentiasa disebut nama Allah sebanyak-sebanyaknya.” (maksud al-Hajj: 40)
    ”Kalaulah Allah tidak mendorong setengah manusia menentang kezaliman setengah yang lain, maka hancurlah seluruh muka alam ini ....” (maksud al-Ayat)


    Dalam amalan demokrasi yang sihat dan berfungsi, pengundi berkuasa, selaku 'tuan dan majikan’, boleh menurun atau menaikkan mana-mana parti pemerintah. Di sisi Islam pula kekuasaan yang ada di tangan orang-orang beriman itu perlu diingatkan adalah sebagai amanah yang akan dipertanggungjawabkan Allah s.w.t. Pengundi juga berkuasa memenangkan atau menolak mana-mana calon yang bertanding dalam pilihan raya umum atau kecil. Bagi memenuhi cita-cita demokrasi ini, pengundi memerlukan sebuah sistem dan proses pilihan raya yang bebas, adil dan bersih.


    Malangnya demokrasi di negara ini tidak dapat dianggap demokrasi sebenar. Ini bukan sahaja pendirian golongan parti pembangkang. Para sarjana sains politik menamakan jenis demokrasi seperti di Malaysia sebagai "Quasi-Democracy” or "Pseudo-Democracy” atau "Separa Demokrasi" atau "Demokrasi Palsu” (William Case 2004, Zakaria Ahmad 1989) atas sebab pelbagai amalan undang-undang zalim yang terus berkuatkuasa sementara mengadakan pilihan raya berkala dan meraikan institusi-institusi demokrasi yang tidak berfungsi sepenuhnya.


    Bagi membolehkan pengundi memainkan peranan sebagai majikan dan tuan, maka capaian mereka kepada maklumat adalah penentu dan kayu ukur utama sama ada demokrasi itu tulen atau palsu. Menyuruh rakyat menjadi pengundi sementara mereka dinafikan mendapat maklumat lantas tidak mampu membuat pemilihan berdasarkan pengetahuan, adalah kecurangan dan kepincangan paling besar dalam amalan demokrasi di negara ini. Sebaliknya apabila rakyat keluar mengundi dan memilih sebuah kerajaan yang mereka kehendaki berdasarkan maklumat dan pengetahuan yang terdedah kepada mereka, maka itulah maksud sebenar "Kerajaan Rakyat” yang dipilih dan disokong rakyat berdasarkan maklumat dan pengetahuan.


    Menjelang pilihan raya ke-12 ini, negara terus berada dalam suasana yang mengkhuatirkan, mencemaskan bahkan menakutkan. Negara terus dicengkam krisis yang tidak berkesudahan dan diancam kemelut yang berpanjangan. Mengapakah keadaan ini berterusan berlaku? Apakah yang dikhuatirkan? Mengapa suasana kini mencemaskan? Dan apa pula yang menakutkan rakyat?

    Disebabkan sukar untuk mendapat capaian media arus perdana bagi menyampaikan dan menerangkan kepada rakyat tentang hasrat parti Islam ini, maka PAS akan menggunakan segala media perhubungan termasuk cetak elektronik serta blog-maya, di samping komunikasi tradisi secara langsung sama ada inter-personal mahupun ceramah.


    Penulisan ini cuba mengungkapkan tawaran politik PAS sebelum pembentangan Manifesto PAS dibuat secara rasminya menjelang pilihan raya ke-12 akan datang. Tentunya penyelesaian dan polisi yang dicadangkan oleh parti ini akan bermula dengan pembentangan analisis serta pengenalpastian masalah secara ringkas dan punca-punca utama yang mencetuskannya. Tahap masalah dalam beberapa isu yang menggugat rakyat telah sampai ke peringkat krisis yang parah dan membarah.


    Menyedari serta menginsafi kependudukan (demografi) negara ini yang unik dan bersifat majmuk atau plural, sama ada pelbagai bangsa, bahasa dan budaya, adalah mustahak untuk sebuah gerakan Islam yang komited dengan pendekatan demokrasi sebagai jalan sah untuk memperjuangkan cita-cita politiknya, maka PAS wajar meletakkan semua ini dalam kerangka dan tuntutan demokrasi, meskipun sistem dan demokrasi itu tempang.

    PAS tegaskan bahawa penulisan ini akan mengambil pendekatan yang menekankan aspek prinsip penghayatan Islam (pendekatan substantif) lebih daripada menekankan istilah atau slogan atau rupa bentuk sahaja (pendekatan formatif). Ini sesuai dengan penegasan satu kaedah Usul Fiqh: Al-Ibrah bil Musamma wa Laisa bil Isim (Pengajaran itu dinilai dari intipati serta hakikatnya bukan dari nama serta rupanya).


    Kebijaksanaan ini semakin lebih menekan ke atas gerakan Islam dan parti Islam yang terpaksa mendepani realiti politik serta bertarung dalam gelanggang persaingan yang bukan sahaja untuk memenangi hati budi orang Islam bahkan pengundi dan rakyat bukan Islam. Analisis serta kupasan masalah adalah berpandukan kajian serta pengamatan dan dapatan penyelidikan yang dijalankan sepanjang tahun. Letak kedudukan kepentingan setiap isu di sisi tanggapan atau persepsi pelbagai segmen rakyat dan kelompok pengundi juga telah dikenal pasti hasil dari kajian.


    Penyelesaian dan tawaran dibuat dalam beberapa ‘teras penting’ dalam rangka penyelesaian menyeluruh bagi mengeluarkan negara dari kemelut dan krisis ini. Ia bersabitan antara lainnya, aspek kepimpinan dan pemerintahan, dasar perpaduan negara, reformasi institusi serta sistem demokrasi, pengurusan ekonomi dan kekayaan negara, pembenterasan jenayah serta keselamatan nyawa, kehormatan dan harta, pemerkasaan pendidikan serta penyelididkan dan pembangunan, kebajikan pekerja awam dan swasta, penjaminan perkhidmatan kesihatan, pembelaan kebajikan menyeluruh rakyat, pembelaan dan pemerkasaan wanita, pembangunan pertanian sebagai industri pemelihara keselamatan negara, dan lain-lain.

    Penulisan ini secara ringkas akan mengupas permasalahan pertama dan utama, dan seterusnya mengutarakan dasar dan polisi dalam rangka membaikpulih dan mengatasi permasalahan tersebut.


    Tegasnya, keseluruhan permasalahan yang mendepani negara menggugat keutuhan dan kesejahteraan rakyat serta daya saing negara ini, berpunca dari ibu segala sumber masalah, yakni kegagalan kepimpinan tertinggi politik pemerintah, yang setelah membuat dan menabur janji, bahkan menang besar atas harapan janji memerangi rasuah, lalu memungkiri dan membelakangi janji tersebut, lalu sehingga kini, terbala bukan sahaja atas diri mereka bahkan ke atas seluruh rakyat di negara ini.

    Maka menyedari segala kepincangan pemerintahan yang ada kini, khususnya amalan rasuah yang semakin parah, kronisme dan penyalahgunaan kuasa yang menjejaskan integriti dan kewibawaan institusi-institusi penting dalam kerajaan, maka PAS bakal menawarkan sebuah Kerajaan Bersih dan Berkebajikan serta Pemimpin Beramanah, yang antara lainnya akan:

    • Menginstitusikan dan memperkasakan amalan pemisahan kuasa Legislatif, Kehakiman dan Eksekutif, supaya amalan demokrasi berfungsi dan berkesan serta tidak dicerobohi serta dipintas oleh pihak Eksekutif. Ini dapat disaksikan secara jelas dalam amalan pemerintahan yang ada apabila institusi seperti Kehakiman dan badan-badan yang ditubuhkan di bawah Akta Parlimen untuk menjalankan tugas-tugas penting dalam amalan demokrasi seperti SPR, Suhakam, Badan Pencegah Rasuah, Ketua Audit Negara kerap dihalang daripada menjalankan tugasan mereka.


    • Menegaskan penghayatan Islam sebagai ad-Deen bagi umat Islam di negara ini. Menjamin perlaksanaan peruntukan-peruntukan Islam sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.


    • Memperkasa dan memperkukuh agensi-agensi ‘watchdog’ atau ’pemantau’ seperti BPR, Ketua Audit Negara, Suhakam, SPR dan lain-lain, dengan sumber dan mandat supaya tidak terbelenggu kepada mana-mana pihak dan terus bertanggungjawab kepada Parlimen.


    • Melindungi kedudukan pelapor atau 'whistleblowers' dengan jaminan kerahsian demi mempertahankan kepentingan negara dan kesejahteraan rakyat.


    • Meminda dan/atau menghapuskan akta-akta zalim yang menyekat hak dan kebebasan rakyat seperti ISA, Akta Rahsia Rasmi (OSA), Akta Hasutan, Akta Polis, Akta Percetakan dan Penerbitan, Akta Universiti dan Kolej Universiti.


    • Menjamin sistem pilihan raya yang bebas, adil dan bersih dengan reformasi sistem pilihan raya secara menyeluruh seperti yang dituntut Bersih.


    • Meningkat amalan dan urus-tadbir kerajaan dengan berpandukan amalan terbaik (best practice) dalam jabatan awam, agensi serta syarikat yang berkaitan kerajaan supaya menjauhi rasuah dan ketirisan dalam sistem penghantaraan awam khususnya dalam pembekalan awam (public procurement) projek mega-mewah melalui tender terbuka dengan penubuhan Badan Tender Bebas di bawah kuasa Parlimen.


    • Menubuhkan Suruhanjaya Kehakiman di bawah Parlimen yang bertanggungjawab melantik hakim-hakim berdasarkan merit dan integriti serta menambah baik pengurusan bagi meningkatkan kewibawaan institusi Kehakiman dengan menguatkuasakan etika kehakiman yang saksama.

    Untuk sektor ekonomi:

    Meletakkan Petronas di bawah seliaan Parlimen dan bukan lagi di bawah Perdana Menteri. Umum perlu tahu bahawa ketelusan seperti ini dijalankan di negara Eropah seperti di Norway, terhadap syarikat minyak nasionalnya Statoil.


    Menumpukan kekayaan hasil minyak akan diutamakan untuk pembangunan pendidikan serta pembangunan R & D termasuk sumber tenaga alternatif untuk menggantikan sumber kekayaan ini apabila minyak sudah habis suatu masa nanti.


    Merapatkan jurang agihan kekayaan antara kaya-miskin dalam kaum dan antara kaum dengan menekankan aspek pendidikan dan peningkatn sember pendapatan bagi meningkatkan jumlah pendapatan dan keupayaan keluar dari garis kemiskinan serta meningkat mobiliti sosial mereka.

    Menekankan program pembasmian kemiskinan mengikut "keperluan" dikalangan golongan miskin dan berpendapatan rendah tanpa mengira ras atau kaum.


    Melebarkan golongan kelas menengah dalam semua kaum bagimemperkukuhkan ekonomidengan meningkatkan kuasa beli serta perbelanjaan (juga pelaburan) domestik dan kestabilan perhubungan kaum.


    Pertumbuhan munasabah dalam sektor yang menjana pekerjaan samada disektor awam mahupun swasta serta mengelakkan pelaburan ratusan billion ringgit dalam projek infrastruktur, pembinaan dan mega-mewah yang banyak menggunakan tenaga asing tanpa faedah yang menjana kesan berganda bagi memangkin pertumbuhan yang lestari atau berterusan.


    Untuk sektor pertanian:

    Mewujudkan dasar pertanian sebagai industri yang menjamin Dasar Makanan yang memelihara "kemerdekaan dan keselamatan negara" supaya tidak terdedah dan terjejas kepada manipulasi kuasa dunia dan konglomerat besar antarabangsa


    Menolak sebarang bentuk Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) yang mengancam pelbagai industri khususnya pertanian dan pelbagai urus-tadbir pemerintahan dalam negara

    Menamatkan pemberian Permit Import(AP) bagi barangan makanan utama seperti gandum, gula dan beras supaya tidak berlaku Monopoli dan Pakatan (Cartels) yang mencekik pengguna dengan pelbagai kaedah manipulasi seperti penyorokan, pengedaran, pengangkutan kepada peruncit bagi mengawal inflasi.


    Meningkatkan kualiti hidup nelayan pantai dengan menyediakan perumahan tersusun serta mewujudkan peluang-peluang baru pekerjaan di dalam kegiatan ekonomi berasaskan perikanan tajaan kerajaan atau Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) agar setiap keluarga nelayan mempunyai pendapatan bulanan melebihi RM1200 sebulan.


    Menawarkan peluang menjadi peserta Felda bagi generasi kedua felda dan mana-mana rakyat yang memerlukan ladang-ladang yang diusahakan oleh Felda Plantations atau dengan membuka tanah-tanah baru.


    Membenarkan peserta Felda untuk berdikari dalam pengurusan ladang milik mereka kearah menjana pulangan pendapatan maksima kepada mereka.

    Untuk sektor pendidikan:

    Pendidikan menyeluruh pemacu perubahan yang antara lainnya akan:

    Penegasan tonggak akhlak dan moral para pelajar sebagai teras pembinaan sahsiah pelajar

    Melindungi "Pendemokrasian Pendidikan" dengan kewujudan pilihan sekolah--sekolah termasuk Pendidikan Islam (SAR), serta bahasa ibunda (cina dan Tamil). Mengembalikan pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa ibunda masing-masing. Memberi sejumlah peruntukan kepada SAR dan sekolah swasta jenis Cina berdasarkan jumlah pelajar

    Peluang kepada pelajar-pelajar dari sekolah agama rakyat untuk memasuki sekolah-sekolah berasrama penuh

    Memberi peruntukan khas bagi PIBG kepasa sekolah-sekolah luar bandar bagi membantu kegiatan meningkatkan pencapaian akademik

    Memberi autonomi kepada sekolah untuk mengawal dan mengurus disiplin para pelajar

    Meningkatkan bantuan perbelanjaan per kapita mengikut penilaian Indeks Harga Pengguna (CPI) kepada sektor pendidikan termasuk kos-kos buku kerja


    Menghapuskan semua yuran sampingan persekolahan seperti yuran PIBG dan kokurikulum

    Penekanan kepada sistem pendidikan berteraskan "berfikir" - "thinking-based education" dan bukan "berteraskan-peperiksaan" (exam-based education)

    Memperkasakan pendemokrasian pendidikan dengan penetapan subjek "teras" seperti sejarah, budaya, agama dan moral, bagi menjayakan misi perpaduan nasional melalui pendidikan

    Menekankan tumpuan selain akademik bagi lepasan sekolah bagi meningkatkan aspek latihan berteraskan ketrampilan atau bagi melebarkan peluang pekerjaan dan guna tenaga secara penuh dan meyeluruh


    Memperkasa IPT dan memacu penjelmaan institusi pendidikan berprestasi tinggi:

    Menjana iklim akademik di menara gading bagi menghasilkan ciri-ciri graduan: berdaya saing dan berdikari (competitively enterprising), bermoral-bersahsiah mulia (morally-spiritual vibrant) dan berintelek tinggi (intelectually superior)

    Memansuhkan beberapa Peruntukan Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) yang mengongkong hak dan kebebasan mahasiswa dan tenaga akademik

    Menjana institusi pendidikan berprestasi tinggi dengan penambahan peruntukan R&D yang setara dengan dunia maju (yakni 2-3 peratus dari belanjawan)


    Menghapuskira semua pinjaman tertunggak PTPTN

    Mengembalikan peluang mendapat tempat pendidikan tinggi secara pembiayaan penuh kerajaan

    Mengembalikan semula pemberian biasiswa sebagaimana uang dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan

    No comments: