Twitter Updates

    follow me on Twitter

    Thursday, June 12, 2008

    SINAR DIMASYQ 3: KEMBARA PENCARI ILMU


    Gedung ilmu Islam. Itu yang dapat saya gambarkan untuk kota raya ini. Bumi Syam ini menjadi tempat persemadian ribuan orang sahabat dan tabii'n. Atas asas itu juga ia mewarisi kegemilangan keilmuan sejak zaman berzaman. Di sinilah terdapatnya ramai ulama' bertaraf dunia. Mereka begitu dihormati dan dimuliakan oleh penduduk-penduduk di sini. Institusi-institusi pendidikan Islam sangat banyak terdapat di sekitar bandar. Itu tidak diceritakan lagi mengenai pendidikan tidak formal yang boleh didapati dengan banyaknya di masjid-masjid. Bahkan suasana keilmuan ini belum tentu terdapat di negara-negara lain. Himpunan ulama'-ulama' dunia yang berkepakaran dalam bidang masing-masing sudah cukup untuk menggambarkan betapa bertuahnya bumi Syam ini. Syeikh Mohd Ramadhan al-Buti, Syeikh Mustafa Bugho, Syeikh Wahbah Zuhaili, Syeikh Kuraim Rajih, Syeikh Naim Araqsusi, Syeikh Nuruddin 'Itir, Syeikh Rejab Dib, Syeikh Waliuddin Far-Fur, Syeikh 'Usamah al-Rifa'ie dan ramai lagi ulama tersohor yang lain. Namun masih terdapat ramai lagi ulama' yang mungkin tidak tersohor dari sudut nama dan penulisannya tetapi sangat hebat dari sudut keilmuannya. Jami'-jami' di setiap malam akan dihiasi dengan kuliah-kuliah ilmu dan biasanya bagi ulama'-ulama' tersohor, ribuan akan hadir. Gambaran seperti kuliah Tuan Guru Nik Abdul Aziz pagi Jumaat di Kota Bharu atau kuliah Tuan Guru Hj Abdul Hadi di Rusila. Inilah suasana keilmuan Islam di Dimasyq. Ia masih terpelihara dan mendapat sambutan hangat walaupun dalam masa yang sama Dimasyq semakin dibaham budaya Barat yang mengganas. Tetapi pengaruh Barat belum terlalu merebak di sini seperti di Beirut. Jenayah masih kecil dan gejala sosial masih terpelihara. Seorang ustaz dalam kelas saya amat terkejut dengan gejala sosial di negara asing apabila diceritakan mengenainya. Katanya dia belum melihat seorang pondan pun lagi seumur hidupnya di sini. Ulama' dan ilmu yang tersebar inilah menjadi benteng kepada negara Syria yang mengamalkan sistem republik tetapi dengan kebebasan bersuara yang sangat terbatas.

    Oleh sebab itulah juga Syria menjadi antara destinasi utama pelajar-pelajar Malaysia ke Timur Tengah. Jumlah mereka seramai 500 orang dan bernaung di bawah Persatuan Pelajar Malaysia Syria (PPMS). Persatuan yang kepimpinannya dipilih melalui pengundian seolah-olah pemilihan Majlis Perwakilan Mahasiswa di IPTA. Bahkan ada yang sudah tinggal di sini selama 10 tahun. Ada yang membawa keluarga termasuk anak-anak dan ayah semata-mata ingin mendapatkan ilmu yang tidak akan habis ini. Abang Azmil bekas pelakon yang lebih dikenali dengan Ali Setan itupun menadah kitab di sini dengan tiga orang anaknya. Katanya ingin berhijrah ke Halab (Aleppo) kerana budaya di Dimasyq ini sudah tidak keruan. Saya cukup menghormati mereka yang datang ke sini. Belajar di Syria bukan merupakan suatu perkara mudah. Mereka perlu datang sendiri ke sini. Usaha gigih dan cekal diperlukan untuk menetap dan belajar di sini. Kerajaan Syria tidak berapa mesra dengan kehadiran pelajar asing. Pelbagai syarat dan peraturan perlu dipenuhi. Ada yang dipenjarakan, masuk mahkamah dan ada juga yang dihantar pulang ke Malaysia. Semuanya kerana dikatakan bersalah melanggar beberapa peraturan imegresen. Peraturan di sini boleh sahaja pagi lain dan petang ditukar kepada peraturan lain. Itu belum diceritakan lagi masalah yang perlu ditempuhi ketika memasuki pintu utama lapangan terbang dan menyambung pasport di imegresen (jawazat). Bunyinya agak ngeri tetapi tidaklah sengeri seperti yang dibayangkan. Namun jika kita sudah berjaya masuk, pasport pun kita boleh tinggalkan di rumah. Pihak polis tidak akan mengganggu dan meminta pasport walaupun kita rakyat asing.


    Sistem pendidikan di sini bukanlah sebaik dan semaju sistem di Malaysia. Sebab itu mereka yang ingin datang ke sini menuntut ilmu memerlukan keikhlasan, kecekalan, kegigihan dan kesabaran. Tiada tajaan biasiswa atau pinjaman dari kerajaan. Duit sendiri diperlukan untuk menampung segala perbelanjaan pengajian, makan minum dan penginapan di bandar yang kos hidupnya agak tinggi ini. Dan ramai juga yang datang ke sini melalui derma orang ramai atau bantuan keluarga. Kepada mereka yang mengejar sijil atau ijazah untuk kerjaya dan pangkat harap lupakannya. MQA tidak mengiktiraf sijil yang dikeluarkan di sini. Oleh itu mereka yang datang ini perlu hadirkan hati semata-mata untuk mendapatkan ilmu yang melimpah di sini.

    Biasanya pelajar dari Malaysia akan memasuki beberapa Ma'ahad yang terdapat di sekitar Dimasyq. Yang bernasib baik dapat memasuki Universiti Dimasyq. Bagi yang ingin meningkatkan penguasaan bahasa Arab dahulu mereka akan memasuki daurah yang mempunyai beberapa peringkat bergantung kepada penguasaan kita. Mereka akan menjalani proses pendidikan secara formal. Terdapat juga pendidikan tidak formal yang boleh didapati melalui talaqqi khusus dengan beberapa orang syeikh di sini. Bukan suatu perkara yang sukar untuk bertalaqqi, kadangkala syeikh tersebut pula yang mencari pelajar untuk diajari. Terdapat juga yang bertalaqqi secara umum di beberapa Jami' setiap hari. Kesimpulannya banyak 'option' yang boleh digunakan untuk mendapatkan ilmu di sini. Dan ia amat mudah, hanya memerlukan sedikit usaha dan kegigihan untuk mendapatkannya. Kadang-kala pula belajar di sini tidak memerlukan wang bahkan pelajar pula yang mendapat Lira. Sebagai contoh mereka yang mengikuti pengajian hadith Sahih Bukhari dengan Syeikh Sattar akan diberikan 2000Lira sebulan oleh beliau. Bagi yang berkahwin (mutazawwij) pula akan diberikan 4000Lira sebulan. Mereka yang datang tasmi' al-Quran setiap pagi di Jami' Nablusi pula akan dihidangkan dengan 'shai' atau teh dan biasanya 250Lira boleh diperolehi setiap pagi melalui derma jemaah di situ. Itu belum diceritakan lagi derma dan infaq dari penduduk di sini. Mereka amat pemurah, dermawan dan menghormati penuntut ilmu khususnya dari negara luar. Syeikh di sini biasanya berduit dan mempunyai perusahaan sendiri. Oleh itu, duit bukan merupakan satu masalah yang terlalu besar di sini. Cuma satu masalah besar yang diakui oleh pelajar di sini. Wanita Dimasyq terkenal dengan kecantikannya. Mungkin itu sedikit masalah khususnya di musim panas yang menghangatkan!

    Bagi yang fasih berbahasa 'Ammi (pasar) dan mengetahui selok belok Dimasyq mereka akan menjadi 'travel guide'. Biasanya syarikat travel Malaysia dan mereka yang datang berumrah akan menggunakan perkhidmatan mereka ini. Sekali bayaran sudah cukup bagi menampung perbelanjaan bulanan mereka. Hal ini bukan suatu kesulitan kerana Dimasyq masih mengekalkan sedikit bahasa fusohahnya berbanding di negara Arab yang lain. Masyarakatnya juga akan membantu kita untuk lebih memahami bahasa ini walaupun jika dilihat kadangkala mereka akan berbangga dengan mereka yang boleh berbahasa Inggeris. Sebab itu dikatakan tempat pengajian bahasa Arab yang terbaik adalah di Dimasyq kerana suasananya sendiri yang mengizinkan.

    Hanya mereka yang mampu memanfaatkan peluang sahaja yang beruntung. Bagi yang datang ke sini dan menghabiskan masa dengan kerja sia-sia maka mereka temasuk dalam golongan yang rugi. Tidak ramai yang berpeluang datang dan menuntut ilmu di sini. Cuma sangat diharapkan kembara pencari ilmu ini tidak terhenti di Syria sahaja. Kembara mereka masih jauh sejauh baki usia yang ada. Bekalan yang mereka perolehi di Dimasyq perlu digunakan secara sebaiknya apabila balik ke Malaysia. Merekalah antara golongan baris hadapan yang bertanggungjawab mengislah masyarakat ke arah cara hidup Islam yang murni. Ilmu untuk diamali dan diajari bukan untuk disimpan.

    4 comments:

    Anonymous said...

    Salam..apa kabo?Erm..nak maklumkan dkat nta result dah kuar,cuma ana xpasti dah ada salinan hardcopy@tak?setakat ni kluarga nta xda sms ana lagi..k,sampaikan salam dkat shbt2....

    Mohd Ridzuan Mohammad said...

    slm..apa khabar skrg..bila nak balik? rindu kt abg naim :) em tak letak ke blog ana dlm link nta?

    Anonymous said...

    Assalamualaikum

    Chik...ni che de na dan ayahde...buat apa kat syria, kalu free singgah lah kat Jordan kami baru balik dari umrah. wslm

    Nur Mohamed said...

    salam.....bgusnye blog nie...lawat la blog sy...masih baru,ketandusan idea..