Twitter Updates

    follow me on Twitter

    Thursday, April 30, 2009

    Meragukan dan Membahanakan


    Anak bagi pasangan yang menukar agama mesti kekal pada agama asalnya. Perkara ini sudah lama, minggu lepas tapi keputusannya akan berterusan selama mana kabinet yang putuskannya masih kekal. Jawatankuasa yang menentukannya empat orang Jamil Khir, Koh Tsu Koon, Syahrizat dan S. Subramaniam. Dan berdasarkan perbincangan empat individu ini keputusan dibuat Kabinet untuk memutuskan bagi pasangan yang menukar agama mereka, anak-anak di bawah umur hendaklah dibesarkan mengikut agama asal semasa pasangan tersebut mendirikan rumahtangga. Ia hanya satu isu dari empat keputusan lain yang diputuskan oleh kabinet tetapi saling berkaitan. Isu ini bukan bermula apabila K. Pathmanaban/Mohd Ridhuan mengisytiharkan tiga orang anaknya memeluk Islam, tapi ia sebahagian dari isu-isu lain membabitkan kes Shamala, Subashini lawan Saravanan dan lain-lain. Apa yang menjadi persoalan ialah keputusan ini telah diputuskan tanpa melalui mahkamah. Ini bermakna juga adakah kabinet telah memurtadkan anak-anak tersebut? Satu persoalan besar yang perlu dijawab. (persoalan dari sudut fiqh sudah banyak dijawab dan dapat didapati di web)

     

    Perkara 12 (4) Perlembagaan Persekutuan menyebut: Agama bagi seseorang yang berumur kurang dari 18 tahun adalah ditetapkan oleh ibu bapa atau penjaganya.

    Perkara 3 (1) Perlembagaan Persekutuan menyebut agama Islam ialah agama bagi Persekutuan. Implikasinya jika keputusan kabinet ini diteruskan adalah:

    1.    Orang Islam dinafikan hak untuk menentukan agama anaknya sendiri.

    2.    Ia merendahkan kedudukan agama Islam sebagai agama bagi Persekutuan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan.

     

    Keputusan kabinet ini adalah keputusan yang melangkaui bidang kuasanya sendiri dalam proses pengasingan kuasa di Malaysia. Penggubalan undang-undang adalah di bawah badan perundangan sama ada parlimen atau DUN manakala penghakiman ke atas sesuatu kes diputuskan oleh badan kehakiman. Keputusan kabinet ini juga bercanggah terus dengan keputusan penghakiman Mahkamah Persekutuan dalam kes Subashini lawan Saravanan yang memutuskan memberi hak salah seorang (bapa/ibu/penjaga) menentukan agama anak mereka.  Jelas keputusan mahkamah ini cukup menggambarkan kedua-dua mahkamah mempunyai bidang kuasa masing-masing. Perlu jelas juga di sini ialah keputusan ini dilihat keputusan yang menghina Mahkamah Syariah yang mempunyai kuasa terhadap pihak yang beragama Islam, tetapi diketepikan begitu sahaja oleh kabinet. Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984, Seksyen 82 menyatakan seseorang yang mempunyai hak mendidik seseorang kanak-kanak adalah berhak menjalankan hak terhadap hadanah jika dia adalah seorang Islam. Pihak eksekutif dengan secara sewenang-wenangnya menghina doktrin pengasingan kuasa dengan mencabuli bidang kuasa perundangan dan kehakiman.

     

    Atas asas apa pertimbangan tersebut dibuat dan rujukan apakah yang menjadi dasar kepada keputusan tersebut. Keputusan tersebut juga dilihat seakan-akan terlalu tergesa-gesa seolah-olah ada desakan tertentu. Media dilihat mendiamkan isu ini dan para pemimpin tidak banyak mengulas berhubung keputusan tersebut termasuk dari mulut menteri agama Jamil Khir. Perlu difahami bahawa tiada dasar yang mengikat berhubung persoalan ini dan pihak kabinet dilihat cuba untuk mengikatnya dengan meminta Pejabat Peguam Negara untuk mengkaji undang-undang yang berkaitan bagi dipinda. Persoalannya permasalahan berhubung isu ini tidak akan habis bahkan akan memberi implikasi yang lebih besar. Pertindanan kuasa antara Mahkamah Syariah dan Sivil masih merupakan isu yang perlu diwacanakan, begitu juga dengan hukum Islam berkenaan penjagaan anak. Ia perlu dikaji dengan mendapatkan pandangan serta pertimbangan semua pihak. Islam bukan agama yang kejam tetapi adil, syariat Islam mempunyai jawapan kepada isu-isu ini. Jadi keputusan ini bukan sekadar perlu dibincangkan oleh empat orang menteri yang sebahagiannya sudah ditolak rakyat dalam pilihanraya yang lepas tetapi membabitkan alim ulama’ dan para hakim.

     

    Benarlah hadith yang pernah disabdakan oleh Rasulullah SAW:

    Daripada Abdullah bin Amr bin ‘As r.a. berkata: Aku mendengar Rasulullah saw. bersabda, “Bahawasanya Allah swt. tidak mencabut (menghilangkan) ilmu itu dengan sekaligus dari (dada) manusia. Tetapi Allah swt. menghilangkan ilmu itu dengan mematikan ulama’. Maka apabila sudah ditiadakan para ulama’, orang ramai akan memilih orang-orang yang jahil sebagai pemimpin mereka. Maka apabila pemimpin yang jahil itu ditanya, mereka akan berfatwa tanpa ilmu pengetahuan. Mereka sesat dan menyesatkan orang lain.” Kita di ambang kiamat.”

    Thursday, April 23, 2009

    MALAYSIA YANG LIBERAL


    Pernah menonton filem Slumdog Milionaire? Filem berbajet rendah tetapi memenangi 8 anugerah Oscar ini memaparkan kehidupan sebenar masyarakat miskin India di sebalik gaya hidup kosmopolitan golongan elit dan pertengahan Mumbai. Hakikat kemiskinan dan gaya hidup tersebut diakui oleh masyarakat India, kebanyakan yang mengkritik bukan mempertikaikan kondisi dan latar filem tersebut tetapi lebih kepada soal nama dan istilah ‘Slumdog’. (Di India, dua pertiga daripada lebih 1 bilion penduduknya adalah miskin.) Dan kisah ini belum habis. Ia bersambung ke alam realiti apabila kisah pelakon-pelakon cilik yang diambil berlakon oleh Danny Boyle ini mendapat liputan luas media antarabangsa. Bermula isu pelakon cilik yang tidak selesa kembali ke pangkuan keluarga selepas dihampar permaidani merah di Hollywood sehingga yang terkini isu pelakon kanak-kanak perempuan Rubina Ali yang ingin dijual oleh ayahnya.  Kisah realiti sebegini sukar dipertontonkan di Malaysia. Drama dan filem Malaysia bersifat hipokrit. Lihat sahaja Spa Q, Sembilu, Matahari, Lestary dan banyak lagi. Kebanyakannya memaparkan gaya hidup golongan elit atau kelas atas pertengahan yang hanya menjadi angan-angan majoriti besar warga Melayu Islam. Ia dipertontonkan saban hari ke telinga, mata dan minda masyarakat sehingga akhirnya membentuk pola pemikiran mereka. Bagi mereka Melayu sudah kaya, hidup mewah, ada syarikat sendiri dan bebas bersosial. Indikatornya melalui tayangan-tayangan maya tersebut. Benar teori yang dibawa oleh ahli psikologi, salah satu sifat minda ialah jika ia terdengar sesuatu idea sebanyak tiga kali atau lebih maka hal itu akan dianggap lebih benar dari apa yang didengar sekali sahaja. Maka ramai di kalangan warga kita cepat rasa selesa dengan apa yang ada dan hanya fikirkan kepentingan diri dari kepentingan generasi.

    Apabila Perdana Menteri mengumumkan kerajaan akan membuka pasaran 27 sektor kecil perkhidmatan tanpa sebarang syarat pegangan ekuiti tempatan berkuat kuasa serta-merta maka ramai yang tidak mempedulikannya. Tetapi ramai perlu menyedari (berdasarkan pandangan cetek saya tentang ekonomi) dasar ini memberi definisi yang betul kepada sistem kapitalis. Sistem kapitalis ialah sistem ekonomi dan sosial yang cenderung ke arah pengumpulan kekayaan oleh individu/syarikat tanpa gangguan kerajaan dan berasaskan keuntungan. Sebelum ini, kerajaan seboleh mungkin mengawal dan campur tangan dalam sistem ini di sebalik dasar penswastaan besar-besaran yang diamalkan dahulu. Ia digelar sistem campuran bukannya sistem kapitalis tulen. Tetapi kini kerajaan cuba melepaskan segala-galanya dan memberikan segala-galanya kepada pelabur asing termasuklah sektor-sektor kecil yang selama ini diceburi sebahagian usahawan tempatan. Dasar pro-pelabur asing ini sebenarnya merugikan rakyat. Apatahlagi sektor strategik seperti kesihatan yang merupakan kepentingan awam bakal diserah untuk diperdagangkan oleh pemodal asing. Alasan menjana pekerjaan bertaraf tinggi hanya menjadikan warga Malaysia pekerja di bumi sendiri dan dalam masa yang sama usahawan tempatan yang seharusnya diperkasakan terpaksa bersaing dengan pemodal-pemodal yang sangat kaya ini. Ia mungkin memberi kesan positif jangka pendek kepada pasaran ekonomi Malaysia tetapi mampu memberi kesan negatif jangka panjang kepada masa depan dan sosialisasi masyarakat.

    Ketika era penjajahan dahulu penjajah Inggeris dengan modal berjumlah $1680 juta di sekitar 1920-an menguasai hampir kesemua komoditi dan hasil mahsul negara. Ladang-ladang berkeluasan 2000 hingga 5000 ekar ditanam dengan pokok-pokok getah manakala keuntungan perlombongan bijih timah diserap ke Eropah. Akhirnya selepas berlakunya ‘down raid’ (serangan fajar) iaitu pengambil alihan Guthrie dari British barulah penjajah sedar kedudukannya yang hampir terjejas. Lalu selepas berakhirnya era kolonial cara baru penjajahan diperkenalkan iaitu dengan memperkenalkan idea dan konsep pembangunan dan kemiskinan yang baru. Ia secara rasmi diisytiharkan oleh Presiden Truman pada 20 Januari 1949 melalui ucapan penerimaan jawatan presidennya yang menekankan idea pembangunan: “The old imperialism exploiting for foreign profit has no place in our plans. What we envisage is a program of development based on the concept of democratic fair-dealing. Democracy alone can supply the vitalising force to stir the people of the world into triumph action not a mere against human oppressors but also against their ancient enemeis: hunger, misery and despair.”

    Lalu atas usaha menyelamatkan ekonomi negara maka pemodal-pemodal asing dibawa masuk secara besar-besaran. Kaum pemodal yang menguasai sistem dan teknologi terus mengaut keuntungan manakala rakyat bawahan semakin menderita. Inilah yang berlaku di seluruh pelusuk dunia. Ketika mana Bilionair besi Lakshmi Mittal menghirup coppucino di kediamannya berharga $19.3 billion di London, setiap tiga setengah saat seorang miskin meninggal dunia kelaparan. Ketika mana Carlos Slim Helu seorang Bilionair Mexico dan ketiga terkaya di dunia dengan nilai aset $35 bilion menghabiskan masa meninjau syarikat telekomunikasinya sepanjang tahun, dalam sepanjang tahun tersebut juga 25 000 orang mati kelaparan. Malaysia berbangga apabila 19 firma dengan jumlah aset digabungkan AS$380.08 bilion (RM1.37 trilion) disenaraikan dalam Forbes Global 2000, yang menyenaraikan 2,000 syarikat terbesar dunia bagi tahun ini tetapi masihkah kita menyedari 1.2 juta rakyat Malaysia masih hidup di bawah garis kemiskinan seperti yang dibentangkan oleh Penyelaras Tetap Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) Dr Richard Leete. Jurang kaya miskin semakin melebar. Nazir Razak, Ketua Eksekutif Bumiputera-Commerce Holdings Bhd yang juga adik kepada PM 1Malaysia dibayar RM9.350 juta pada tahun 2007, menjadikannya individu yang memperolehi pendapatan tertinggi dalam syarikat berkaitan kerajaan. (GLC: government-linked company). (Rujuk Malaysia Bussiness). Jumlah tersebut sangat jauh mengatasi pendapatan pemandu teksi dan pekerja binaan di Pantai Dalam yang memperolehi RM1000.00 sebulan. Bank Dunia meletakkan nilai pendapatan bawah $1.45 sehari sebagai miskin dan jika diteliti majoriti besar penduduk dunia bergelar miskin. Berkenaan jurang kaya-miskin ini, adakah kemiskinan di Malaysia hanya 5.7% bukannya 30% seperti yang didedahkan bekas presiden Yayasan Strategik Sosial, Dr Denison Jayasooria? Kerajaan mengira PGK (pendapatan garis kemiskinan) sekarang hanya melibatkan keperluan asas seperti yang dilakukan oleh negara-negara miskin, tanpa mengambil kira taraf hidup isi rumah. Apatahlagi kaedah yang digunakan di Malaysia sekarang tidak lagi bersesuaian dengan kedudukan negara ini yang semakin membangun. Cara pengiraan yang diamalkan oleh negara-negara maju adalah purata pendapatan isi rumah dibahagi dua, bagi menentukan garis kemiskinan. Misalnya, kini purata pendapatan bulanan isi rumah rakyat Malaysia ialah sebanyak RM3,686. Menurut Dr Denison, ini bermakna garis kemiskinan ialah separuh daripadanya, iaitu RM1,843. Bagaimanapun, berdasarkan pengiraan 2005, garis kemiskinan untuk seluruh negara adalah RM691 bagi pendapatan bulanan, manakala bagi Semenanjung pula jumlahnya RM661, Sabah (RM888) dan Sarawak (RM765).

     

    Justeru kerajaan seharusnya mengkaji dengan penuh teliti dasar liberalisasi yang diperkenalkan. Konsep pembangunan neo-liberal Barat diakui berunsurkan material sepenuhnya. Negara-negara membangun termasuk Malaysia cuba meniru konsep yang sama agar mereka seiring dengan arus globalisasi yang mementingkan daya saing ekonomi di peringkat global. Oleh itu kerajaan-kerajaan negara membangun mengurangkan peranan mereka dan membenarkan kuasa pasaran memainkan peranan yang lebih luas dengan melaksanakan langkah liberalisasi, deregulasi dan penswastaan. Negara dianjurkan untuk menumpukan kepada usaha meningkatkan daya saing ekonomi dalam pasaran global serta mengurangkan program melindungi dan membantu golongan bawahan dalam masyarakat. Natijahnya kemiskinan semakin meningkat, jurang perbezaan pendapatan semakin ketara dan jenayah semakin berleluasa. Akhirnya Rothschild-Rothschild dari Barat ini berkeliaran di Malaysia dan merampas satu-persatu sumber ekonomi rakyat. Di kala itu juga warga belia disibukkan dengan budaya hedonisme yang dibawa masuk bersekali oleh para Rothschild tadi. Dan kita akan terus leka menunggu tiupan Israfil.

    Friday, April 17, 2009

    Pentadbiran, Politik & Internet



    Dunia maju di era globalisasi kini memihak kepada ‘siapa yang cekap’, ‘siapa yang cepat’ dan ‘siapa yang menarik’. Nilai ini subjektif sifatnya. Oleh itu ‘siapa yang lembap, konvensional dan kuno’ akan ketinggalan di belakang dan akhirnya sedikit demi sedikit semakin ‘menua’ dan ditinggalkan.  Yang lembap, konvensional dan kuno ini kerana terlalu lama wujud, merasa dirinya gah, berkuasa dan tidak tertanding dan apabila dicabar maka status quonya dirasai tergoyah. Bagi memastikan status quo itu kekal berdiri utuh maka pelbagai kaedah digunakan juga dengan cara lama dan kuno yang bersifat keras dan bercirikan ugutan. Bilamana si pemegang status quo ini melihat medium internet mencabar jati dirinya maka ugutan diberikan. Ugutan kepada sesiapa yang mengeruhkan keharmonian masyarakat di Malaysia masih boleh dipertimbangkan tetapi jika ugutan itu hanya bersifat satu pihak dan pihak yang satu lagi dengan media arus perdananya terus memutar belit fakta dan bersifat pilih kasih maka ini menonjolkan cara kuno dan lapuk yang sememangnya akan diketepikan oleh golongan muda. Tindakan berbentuk hukuman kepada sesiapa yang mengeksploitasi fakta seharusnya diperbetulkan tetapi bukan dengan cara pilih kasih. Secara langsung keputusan yang dibuat oleh pemegang ‘status quo’ ini dilihat secara sisi negatifnya hanyalah untuk menjaga survival dan kerelevanannya. Pentadbiran dan keperluan masyarakat di letakkan di tempat kedua manakala politik di angkat ke tempat yang pertama.

    Bagi mengelak berlakunya percampuran kepentingan politik kepartian dengan keperluan memenuhi kehendak masyarakat maka Woodrow Wilson (1886) pernah memperkenalkan pendekatan dikotomi dalam pentadbiran melalui artikelnya The Study of Administration. Pendekatan ini juga dipelopori oleh Frank J. Goodnow yang dikatakan sebagai pengasas doktrin dikotomi politik-pentadbiran. Bagaimana idea ini boleh timbul? Ia timbul sebagai reaksi menentang sistem yang menjadikan politik sebagai naungan, sistem yang berkuasa melantik sesiapa sahaja berdasarkan kepentingan politik dan segala dasar yang dbuat bertunjangkan kepentingan politik yang keterlaluan. Namun masalahnya ialah bagaimana ingin ditentukan garis atau titik antara politik dan pentadbiran dalam pemerintahan. Oleh itu dikotomi politik-pentadbiran ini akhirnya ditukar kepada sistem yang tidak berpihak kepada mana-mana pihak dalam membuat keputusan. (bagi memastikan penjawat awam bertanggungjawab melaksanakan program pembangunan maka mereka tidak dibenarkan bergiat dalam kegiatan politik kepartian) Walaubagaimanapun lingkungan masyarakat Malaysia yang demokratik ini masih dicemari idea-idea yang meletakkan politik sebagai nilai asas penentuan dasar menyebabkan berlakunya kecelaruan dalam pembentukan polisi dan sistem pentadbiran. Ia bukan disalah guna oleh penjawat awam yang bertindak sebagai pelaksana tetapi oleh badan eksekutif yang menentukan sesuatu dasar.

    Gaya sebegini adalah gaya lama dan kuno, tidak dinamik dan berciri kaku. Pengawalan kepada internet bukan perlu difokuskan kepada bagaimana ingin menyekat media yang mengancam status quo tetapi perlu diutamakan kepada bagaimana ingin menjaga kepentingan masyarakat. Kadar penembusan jalur lebar ke setiap isi rumah kini telah mencapai tahap 21 peratus dan sasaran utama di bawah Pelan Pembangunan Jalur Lebar Kebangsaan ialah untuk mencapai 50 peratus pada akhir tahun 2010. Namun adakah sebarang medium digariskan bagi membendung kemasukan maklumat-maklumat tidak sihat khususnya yang berunsur lucah ke setiap rumah. Atau si pemegang status quo disibukkan dengan perancangan mengawal medium yang menjejaskan statusnya? Pengguna di Malaysia melayari internet sekurang-kurangnya dua jam sehari dengan kira-kira 53.8 peratus melayarinya di rumah, manakala 24.4 peratus lagi di rumah menggunakan komputer mahupun telefon bimbit. Daripada 25 laman web paling popular, hanya dua saja yang terikat pada undang-undang. Jika sekarang penagih-penagih dadah memenuhkan pusat-pusat serenti dan penjara tetapi kini apa yang dibimbangi lahirnya penagih-penagih seks yang lahir dari bilik kediaman mereka sendiri (online dishibition effect).  Ia isu moral dan boleh memberi kesan besar kepada kehidupan masyarakat. (untuk maklumat lanjut boleh baca artikel Halina Mohd Noor, Ancaman Seks Siber, B. Harian, 17/04/2009).

    Satu kajian yang dibuat oleh Arun Karpinski seorang penyelidik pendidikan dari Universiti Ohio mendapati Facebook boleh memberikan kesan negatif kepada pembelajaran pelajar yang menggunakannya. Dari ‘survey’ yang dibuat di sebuah kolej, pengguna Facebook mendapat GPA antara 3.0 hingga 3.5 manakala yang tidak menggunakannya mendapat GPA 3.5 hingga 4.0. Pengguna Facebook menghabiskan masa belajar antara 1 hingga lima jam seminggu manakala yang tidak menggunakan Facebook memperuntukkan masa belajar selama 11 hingga 15 jam untuk belajar(LiveScince.com). Kajian yang dibentangkan di Mesyuarat Tahunan American Education Research Association membuktikan kesan internet bukan sekadar boleh mempengaruhi emosi seseorang bahkan mampu menjejaskan akademik seterusnya masa depan seseorang. Jadi ibu bapa dan pelajar perlu berhati-hati menggunakan internet. Ia boleh dimanfaatkan dan boleh juga membinasakan.

    Oleh sebab itu sebagai mengambil satu contoh sahaja iaitu internet, yang memegang ‘status quo’ ini harus benar-benar merealisasikan keperluan rakyat bukannya kepentingan parti. Dasar awam di Malaysia dibentuk berdasarkan isu (rujuk buku Dasar Awam di Malaysia: Sabitha Marican). Jika timbul sesuatu masalah, kes dan isu barulah sesuatu dasar tersebut akan dibentuk. Ini memperlihatkan kelemahan perancangan masa depan pentadbiran. Dasar berkonsepkan ‘sudah jatuh baru terngadah’ ini perlu ditukar dengan perancangan rapi, tersusun dan menyeluruh. Jika tidak pemegang ‘status quo’ ini akan terus lena, ditimpa penyakit dan akhirnya.....

    Friday, April 10, 2009

    POLITIK NILAI


    Nilai merupakan kualiti atau fakta berkenaan kecemerlangan, kegunaaan dan sesuatu yang diinginkan. Nilai adalah ukuran umum yang diberikan kepada sesuatu yang diingini dan dihargai. Ia berperanan sebagai kayu ukur (standard) kepada apa pun juga yang dilakukan manusia, yang diingini dan dicita-citakannya dan berdasarkan apa yang dialami melalui pancaindera. Ia juga membentuk peribadi dan tingkah laku seseorang. Nilai-nilai menjadi nilai bersama apabila ia diterima oleh sebahagian besar masyarakat melalui persepakatan yang mencerminkan kemahuan masyarakat dan disusun mengikut keutamaannya. Maka dari itu wujudlah undang-undang moral yang menentukan penilaian, mengawal perlakuan dan membentuk pola pemikiran individu dalam sesebuah masyarakat dan negara. Clyde Kluckhohn seorang ahli sosiologi terpaksa mengakui kegagalannya untuk memperincikan prinsip dan elemen tetap untuk nilai. Pandangan tersebut menjurus kepada aspek sains sosial dan ia sudah tentu jauh berbeza dengan pendefinisian nilai menurut Islam yang meletakkan wahyu sebagai landasan. Nilai baik, buruh, jahat dan mulia bukan didefinisikan seratus-peratus berasaskan akal dan inderawi tetapi berasaskan hukum Tuhan.

    Diwajibkan ke atas kamu berperang, padahal berperang itu adalah sesuatu yang kamu benci. Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagi kamu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedangkan  kamu tidak mengetahui.” Al-Baqarah (2); 216

     

    Nilai berperanan penting dalam politik sejajar dengan ‘art of possible’ yang dimaknakan kepada politik. Ia berperanan penting menentukan apa yang mungkin. “Value play a significant role in the determination of what is possible”. Oleh itu apabila dibincangkan berkenaan politik ia tidak dapat tidak perlu disertakan dengan nilai. Bagaimana? Dengan meletakkan nilai mulia dan terpuji sebagai teras, membuat keputusan dan menentukan dasar. Bukannya politik berasaskan kepentingan maslahi, sentimen perkauman dan dipenuhi emosi. Kematangan politik warga Malaysia belum terjangkau untuk memenuhi apa yang digelar politik nilai. Apabila seorang wanita menyatakan “rasuah takpe asalkan jangan derhaka” kepada seorang lelaki yang menghina partinya kerana mengamalkan rasuah politik (di Bukit Gantang) maka dia meletakkan nilai di bawah dan emosi di atas. Dan apabila terdapat pemimpin Negara yang dilantik memegang pentadbiran Negara dituduh dengan perlakuan tidak bermoral tanpa beliau berusaha membersihkan diri setulusnya dengan penubuhan Suruhanjaya Bebas untuk menyiasat tetapi dipuji dan digahkan maka masyarakat tidak lagi melihat nilai sebagai aspek yang penting. Apa yang penting kuasa, duit, pembangunan fizikal, kepuasan diri dan asalkan dapat memuaskan hati dan emosinya yang terganggu. Justeru politik sebegini (sekadar mengambil beberapa contoh) memperlihatkan kemelesetan nilai yang akan menyebabkan berlakunya keruntuhan masyarakat yang akan dihadapi di Malaysia.  

     

    Politik nilai bercirikan Islam meletakkan Islam sebagai teras dengan penumpuan kepada pembangunan insan sebelum pembangunan tamadun. Lihat sahaja contoh-contoh amalan politik yang diamalkan oleh para sahabat terdahulu yang mewarisi kepimpinan Rasulullah SAW. Dengan pembinaan individu unggul yang mantap mental, rohani dan jasmaninya maka generasi yang lahir tersebut mampu mencipta kegemilangan dalam pelbagai bidang. Saidina Umar pernah berpesan kepada pegawainya:

    “Ingatlah, aku tidak melantik kalian agar kamu menjadi penguasa kuku besi ke atas rakyat. Aku mengutus kalian sebagai pemimpin agar rakyat dapat mencontohi kalian. Berikanlah kepada mereka segala hak mereka…”

     

    Ibnu Khaldun sendiri meletakkan politik dan pemerintahan berdasarkan akal semata hanya akan membawa manfaat dunia dan bersifat jangka pendek berlawanan dengan politik berteraskan Islam yang memberi kelebihan untuk dunia dan akhirat.

     

    Di sinilah para ulama’ berperanan sebagai penasihat yang baik kepada pemimpin. Jelas ulama’-ulama’ terdahulu diletakkan di posisi yang sepatutnya untuk memberikan nasihat dan pandangan yang selari dengan syariat dan nilai Islam. Al-Mawardi dalam kitabnya Nasihat al-Muluk, al-Ghazali dalam al-Tibr al-Masbuk fi Nasihat al-Muluk dan Abu Yusuf dalam kitabnya al-Kharaj memberi nasihat-nasihat berguna untuk para pemimpin yang bertanggungjawab mengawal selia pentadbiran. Hal ini tidak berlaku kini bahkan ulama’ pula dijadikan alat untuk menjustifikasikan dasar-dasar yang diperkenalkan. Apabila sesuatu dasar atau polisi tersebut siap barulah para ulama’ diminta memberi pandangan. Dan pandangan ini pula bukannya pandangan mengkritik tetapi perlu dan dipaksa memberi pandangan yang menyokong. Segala fenomena dan permasalahan yang berlaku kini sudah memenuhi ciri-ciri akhir zaman seperti yang telah disabdakan oleh Rasulullah SAW:

     

    “Apabila umatku melakukan 15 perkara maka mereka akan ditimpa bala;

    1.    Apabila harta Negara dibolot oleh satu golongan sahaja. (Kronisme, kapitalisme)

    2.    Amanah dianggap peluang mendapatkan harta. (Yang Berhormat? Menteri Kabinet? Ketua Bahagian?)

    3.    Membayar zakat dianggap rugi. (Ke mana hasil zakat yang kita bayar dan berapa ramai yang menunaikannya kini?)

    4.    Orang lelaki taat kepada isterinya dan derhakakan ibunya. (Fenomena biasa di Malaysia)

    5.    Memuliakan kawan-kawan dan menjauhkan diri daripada bapanya kerana memandang hina.

    6.    Meninggikan suara kerana bertengkar di dalam masjid. (kini masjid pun diruntuhkan)

    7.    Pemimpin dipilih dari kalangan orang yang hina dan jahat. (??)

    8.    Seseorang itu dimuliakan kerana takutkan kejahatannya. (??)

    9.    Ramai orang minum arak. (sudah tersedia maklum)

    10. Ramai orang lelaki memakai sutera. (ramai kini yang tak mengetahui halal dan haram)

    11. Penyanyi perempuan dan alat muzik diminati ramai. (Fenomena hiburan kini)

    12. Orang yang kemudian di kalangan umat ini melaknat orang yang dahulu daripada mereka.

    Apabila berlaku perkara itu maka tunggulah ketibaan angin panas ataupun gerhana, ataupun perubahan yang besar.” (Tirmizi).

     

    Nampaknya segala ciri yang dispesifikasikan oleh Rasulullah SAW ini sudah ‘berjaya’ dipenuhi oleh masyarakat Malaysia. Adakah kita ingin menunggu sahaja ketibaan ‘perubahan besar’ tersebut? Ayuh kembali semula kepada nilai politik Islam untuk mengubah apa yang terjadi kini. Benar apa yang disebut PM ke-6: berubah sebelum diubah. Apa yang digeruni bukan sekadar diubah dari sudut politik tetapi ‘ubah’ yang dilakukan oleh Allah seperti yang disabdakan oleh hadith Rasulullah berkenaan alamat kiamat di atas. Na’uzubillah.

    Friday, April 3, 2009

    Neokolonialisasi, Orientalisme dan Oksidentalisme 2


    Occidentalism (Oksidentalisme) berasal daripada perkataan Perancis, occident yang  secara harfiah bermakna “barat”, secara geografis bermakna “dunia belahan barat”, dan secara etnologis bermakna “bangsa-bangsa di barat”. Perkataan occidental bermakna hal yang berkaitan dengan dunia “Barat” iaitu bangsa-bangsa dan lingkungannya.

     

    Oksidentalisme juga disebut dengan pelbagai nama iaitu westernism, orientalisme in reverse (orientalisme terbalik), dan Europhology (ilmu tentang Eropah). Berbeza daripada Orientalisme yang mempunyai makna secara discursive, oksidentalisme hampir tidak pernah disebut sebagai satu disiplin ilmu kerana tidak mempunyai ciri khusus yang menempatkannya sebagai satu istilah discursive.

     

    Edward Said sendiri tidak memperincikan oksidentalisme tetapi hanya menggolongkannya ke dalam isme-isme lain seperti Afrosentrisme, Eurosentrisme, feminisme, Marxisme, dan dekonstruksionisme. Beliau meninggalkan istilah itu tanpa penjelasan dan tidak memaksudkannya sebagai perspektif hegemoni balas (counter hegemonic perspective), terhadap Barat seperti katanya: `…the answer to Orientalism is not Occidentalism. No former “Oriental” will be comforted by the thought that having been an Oriental himself he is likely—too likely—to study new “Orientals”—or “Occidentals”—of his own making.’

     

    Tugas oksidentalisme ialah menguraikan sejarah hubungan non-Eropah dengan Eropah, menumbangkan keagungan Eropah dengan menjadikannya sebagai objek yang dikaji, dan menghapuskan perasaan rendah diri non-Eropah (Timur) dengan menjadikannya sebagai subjek pengkaji.

     

    Oksidentalisme menghilangkan rasa tidak percaya diri atau inferiority complex di hadapan Barat dalam soal kebudayaan, bahasa, ilmu pengetahuan, teori, mazhab,dan pendapat, dan selanjutnya menimbulkan rasa tinggi diri (megah pada diri sendiri)  atau superiority complex . Secara ilusif, rasa rendah diri berubah menjadi super, seperti yang berlaku di Iran tatkala rejim Shah yang disokong oleh Barat ditamatkan oleh Ayatollah Khomeini yang membawa tradisi Islam fundamental. Rasa super (kehebatan diri) yang muncul secara ilusif itu bertitik tolak daripada reaksi terhadap superioriti kebudayaan Barat yang berkecenderungan rasialisme secara eksplisit mahupun implisit.

     

    Justeru, oksidentalisme ialah wajah lain bahkan berlawanan dengan Orientalisme tetapi bukanlah bertentangan secara keseluruhannya dengan Orientalisme. Oksidentalisme bikinannya tidak bertujuan melakukan pembalikan secara total kepada Orientalisme. Orientalisme bersifat tidak neutral dan berfungsi sebagai alat imperialisme, mengekalkan kuasa hegemoni walaupun selepas berlalunya era penjajahan politik dan ketenteraan, manakala oksidentalisme hanya bertujuan membebaskan diri daripada pengaruh pihak lain supaya wujud kesetaraan antara al-ana (dunia Islam dan Timur) dengan al-akhar (dunia Eropah dan Barat).

     

    Oleh itu wajar rasanya kini lahir ramai oksidental-oksidental yang bukan sahaja mampu mempertahankan Islam tetapi membantah dan menafikan pengaruh Barat yang merosakkan dengan kaedah dan metodologi yang sistematik dan tersusun. Kita terlampau sibuk dengan dunia politik hingga menjadikan hidup kita untuk politik sedangkan ia hanyalah alat. Saya sengaja memasukkan pengertian yang bersifat ilmiah dan akademik di sini. Tujuannya bagi mereka yang tidak rajin (bukan malas) membaca buku untuk memanfaatkannya. Sampai bila kita hendak pastikan diri hanya dihidangkan dengan penulisan picisan dan politik spastik yang kadang-kadang hanya bersifat gosip atau kontroversi. Kita umat Islam dihinggapi sindrom MASPEK (malas semua aspek). Ramai mempertikaikan kenapa kita perlu sentiasa berteori walhal ramai juga yang tidak menyedari setiap fenomena, isu atau peristiwa bermula dengan asas, doktrin atau ideologi tertentu. Ketidakfahaman kepada aspek ini dengan hanya membincangkan perkara cabang dan teknikal menyebabkan kita gagal menguasai dan memahami sesuatu isu. Dalam Islam ada tunjang asasnya iaitu akidah. Kelemahan umat Islam kini kerana tidak benar-benar memahami tunjang ini, tidak menggunakannya sebagai worldview dan akhirnya digantikan dengan ajaran Barat yang lebih dilihat agung.

     

    Wednesday, April 1, 2009

    Neokolonialisasi, Orientalisme dan Oksidentalisme


    Kini kecaman kepada Islam semakin bercambah. Dan ia bukan sekadar bercambah di Barat bahkan mula membuah di Negara Islam sendiri. Jika dahulu peranan memburukkan Islam dan membandingkannya dengan superior Barat dilakukan oleh para orientalis tetapi kini kerja tersebut disambung oleh mereka yang bergelar Muslim tetapi melihat dari kaca mata Barat. Isu kebebasan, moral, tanggungjawab dan hak, pluralisme, toleransi gender dan sebagainya antara isu yang mewarnai perjuangan anak-anak orientalis ini. Timbul kesedaran di kalangan rantau Timur khususnya Islam  bagi mengkaji pula perihal Barat sebagai lawan kepada orientalisme yang popular sebelum ini. Ia digelar oksidentalisme tetapi terbit dalam keadaan yang tidak tersusun seperti mana pembawaan Barat dalam orientalisme. Sebelum perbincangan lebih lanjut berkenaan penjajahan bentuk baru ini (pascakolonial) adalah penting untuk diketahui apakah itu orientalisme dan bagaimanakah bentuk oksidentalisme.

     

    ü  Kaedah imperialisme selain menggunakan kekuatan ketenteraan ialah menggunakan wacana Orientalisme seperti yang didedahkan secara teoretikal oleh Edward Said melalui bukunya Orientalism.

     

    ü  Menurut Edward Said, Orientalisme ialah satu gaya pemikiran yang bersifat ontologikal dan epistemologikal, yakni yang sengaja dirangka untuk membezakan Timur dengan Barat [Orientalism is a style of thought based upon an ontological and epistemological distinction made between  the Orient” and (most of the time) “the Occident”].

     

    ü  Ciri Orientalisme menurut Edward Said, boleh dibincangkan dan dianalisis sebagai institusi yang berurusan dengan Timur, yakni membuat kenyataan tentang Timur, menyatakan pandangan secara autoriti, memaparkannya, dengan cara mengajar Timur, menjajahnya, dan menguasainya. Ringkasnya, Orientalisme merupakan satu cara Barat untuk mendominasi, menyusun semula dan mendapatkan kuasa terhadap Timur.

     

    ü  Dalam wacana Orientalisme, Timur dan Barat membentuk persetentangan binari (binary opposition) yang menyebelahi Barat. Pemerhatian dan tanggapan orientalis tidak objektif tetapi bersifat politikal dengan membezakan yang familiar (Eropah, Barat, “kita”) dengan yang lain atau Other (Timur, “mereka”)

     

    ü  Struktur pemikiran yang dibina dalam Orientalisme itu menjulang Barat dan merendahkan Timur. Maksudnya, masyarakat peribumi diberi imej tidak rasional, manakala orang Eropah adalah rasional; peribumi bersifat gasar, primitif, sensual, seks yang tidak terkawal, dan malas, manakala Eropah pula bertamadun, seksualnya terkawal, dan etika dominannya ialah kerja keras; Timur bersifat statik, manakala Eropah membangun dan bergerak ke hadapan; Timur bersifat kewanitaan, manakala Eropah bersifat kelelakian (Ania Loomba, 1998: 47). 

     

    ü  Menurut Elleke Boehmer (1993: 269), kolonial melihat tubuh jasmani peribumi sebagai sesuatu yang menarik, mengghairahkan dan mentah; oleh itu, peribumi dilihat sedia untuk ditawan, digunakan, diuruskan, dikelaskan, atau seterusnya dimiliki: “The other is cast as corporeal, carnal, untained, instinctual, raw, and therefore open to mastery, available for use, for husbandry, for numbering, branding, cataloguing, description or possesion.”  

     

    ü  Barat yang menganut falsafah humanisme menyifatkan Timur dan wanita sebagai Other atau pinggiran, manakala Barat dan lelaki sebagai center atau pusat. Peribumi dan alamnya seperti dinafikan daripada ruang dan sejarah. Mereka dianggap tidak mempunyai sejarah dan asal usul, tetapi hanya muncul sebagai entiti yang terasing dan tidak bertuan; oleh itu, peribumi dianggap sebagai mangsa yang tidak mempunyai hak untuk melawan sebarang serangan atau penguasaan.

     

    ü  Dengan meletakkan Timur sebagai feminin dan Barat sebagai maskulin, pandangan berstruktur patriarki ini menghalalkan tindakan Barat mendominasi Timur. Dominasi itu termasuk dalam segala hal, baik dari segi agama, ekonomi, budaya dan politik. Struktur pemikiran ini diterapkan dalam minda peribumi melalui institusi pendidikan, budaya, media, dan teks sastera supaya apabila kuasa kolonial melepaskan hak pegangannya ke atas negara-negara Timur, penguasaan itu masih terus berjalan.

     

    ü  Penguasaan itu berlanjutan disebabkan minda peribumi sudah dididik supaya menerima mitos keagungan Barat atau penjajah mereka dahulu. Oleh itu, segala-gala yang bersifat kebaratan akan dipandang mulia, bertamadun, dan perlu dijadikan teladan. Penguasaan seperti ini dikenali sebagai hegemoni yang bermaksud penguasaan secara rela hati, tanpa tekanan secara rasmi atau politik.

     

    ü  Dalam era neokolonialisme, penjajahan tidak lagi memerlukan kuasa ketenteraan atau ekspatriat kerana pengawalan ekonomi melalui sistem kapitalis dan wujudnya comprador (golongan peribumi yang terdidik dalam sistem Barat dan berfungsi mengekalkan nilai Barat di negaranya sendiri) sudah cukup untuk menjerat sesebuah negara dalam jaringan hegemoni.

     

    ü  Penguasaan yang paling berbahaya ialah penjajahan minda atau yang disebut oleh Syed Hussein al-Attas sebagai “watak tertawan”. Jika cara berfikir sudah condong ke arah ukuran Barat dalam serba-serbi kehidupan, segala-gala tindakan, baik dalam bidang politik, kebudayaan, pendidikan, kemasyarakatan, dan sebagainya akan berkiblatkan Barat. Keagungan Barat menjadi acuan dalam setiap sistem yang hendak dirangka untuk kegunaan masyarakat sendiri.

     

    ü  Penguasaan kolonial terhadap sesebuah negara akhirnya akan tamat tetapi mereka tidak terus hilang sebaliknya meninggalkan sisa yang mewakili hasrat mereka untuk terus menguasai negara dan masyarakatnya. Hegemoni yang berterusan ini dipandang sebagai satu bentuk penjajahan yang direlai (rule by consent). Namun demikian, dalam setiap sejarah, hegemoni seperti itu akan terus ditentang oleh sebilangan masyarakat yang sedar akan bahaya neokolonialisme.

     

    Golongan yang memiliki kesedaran ini akan menjalankan usaha meruntuhkan neokolonialisme atau dalam kata lain mereka melakukan usaha dekolonisasi yang bermaksud, “ …process of revealing and dismantling colonialist power in all its forms. This includes dismantling the hidden aspects of those institutional and cultural forces that had maintained the colonialist power and that remain even after political independence is achieved.” (Bill Ashcroft, Gareth Griffiths dan Helen Tiffin, 2000: 63). Dekolonisasi ialah proses mendedahkan dan merungkaikan kuasa kolonial dalam semua bentuk, termasuklah aspek yang tersembunyi dalam institusi dan budaya yang masih mengekalkan pengaruh kolonial, hatta selepas kemerdekaan... Bersambung dengan tajuk Oksidentalisme.