Twitter Updates

    follow me on Twitter

    Friday, April 10, 2009

    POLITIK NILAI


    Nilai merupakan kualiti atau fakta berkenaan kecemerlangan, kegunaaan dan sesuatu yang diinginkan. Nilai adalah ukuran umum yang diberikan kepada sesuatu yang diingini dan dihargai. Ia berperanan sebagai kayu ukur (standard) kepada apa pun juga yang dilakukan manusia, yang diingini dan dicita-citakannya dan berdasarkan apa yang dialami melalui pancaindera. Ia juga membentuk peribadi dan tingkah laku seseorang. Nilai-nilai menjadi nilai bersama apabila ia diterima oleh sebahagian besar masyarakat melalui persepakatan yang mencerminkan kemahuan masyarakat dan disusun mengikut keutamaannya. Maka dari itu wujudlah undang-undang moral yang menentukan penilaian, mengawal perlakuan dan membentuk pola pemikiran individu dalam sesebuah masyarakat dan negara. Clyde Kluckhohn seorang ahli sosiologi terpaksa mengakui kegagalannya untuk memperincikan prinsip dan elemen tetap untuk nilai. Pandangan tersebut menjurus kepada aspek sains sosial dan ia sudah tentu jauh berbeza dengan pendefinisian nilai menurut Islam yang meletakkan wahyu sebagai landasan. Nilai baik, buruh, jahat dan mulia bukan didefinisikan seratus-peratus berasaskan akal dan inderawi tetapi berasaskan hukum Tuhan.

    Diwajibkan ke atas kamu berperang, padahal berperang itu adalah sesuatu yang kamu benci. Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagi kamu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedangkan  kamu tidak mengetahui.” Al-Baqarah (2); 216

     

    Nilai berperanan penting dalam politik sejajar dengan ‘art of possible’ yang dimaknakan kepada politik. Ia berperanan penting menentukan apa yang mungkin. “Value play a significant role in the determination of what is possible”. Oleh itu apabila dibincangkan berkenaan politik ia tidak dapat tidak perlu disertakan dengan nilai. Bagaimana? Dengan meletakkan nilai mulia dan terpuji sebagai teras, membuat keputusan dan menentukan dasar. Bukannya politik berasaskan kepentingan maslahi, sentimen perkauman dan dipenuhi emosi. Kematangan politik warga Malaysia belum terjangkau untuk memenuhi apa yang digelar politik nilai. Apabila seorang wanita menyatakan “rasuah takpe asalkan jangan derhaka” kepada seorang lelaki yang menghina partinya kerana mengamalkan rasuah politik (di Bukit Gantang) maka dia meletakkan nilai di bawah dan emosi di atas. Dan apabila terdapat pemimpin Negara yang dilantik memegang pentadbiran Negara dituduh dengan perlakuan tidak bermoral tanpa beliau berusaha membersihkan diri setulusnya dengan penubuhan Suruhanjaya Bebas untuk menyiasat tetapi dipuji dan digahkan maka masyarakat tidak lagi melihat nilai sebagai aspek yang penting. Apa yang penting kuasa, duit, pembangunan fizikal, kepuasan diri dan asalkan dapat memuaskan hati dan emosinya yang terganggu. Justeru politik sebegini (sekadar mengambil beberapa contoh) memperlihatkan kemelesetan nilai yang akan menyebabkan berlakunya keruntuhan masyarakat yang akan dihadapi di Malaysia.  

     

    Politik nilai bercirikan Islam meletakkan Islam sebagai teras dengan penumpuan kepada pembangunan insan sebelum pembangunan tamadun. Lihat sahaja contoh-contoh amalan politik yang diamalkan oleh para sahabat terdahulu yang mewarisi kepimpinan Rasulullah SAW. Dengan pembinaan individu unggul yang mantap mental, rohani dan jasmaninya maka generasi yang lahir tersebut mampu mencipta kegemilangan dalam pelbagai bidang. Saidina Umar pernah berpesan kepada pegawainya:

    “Ingatlah, aku tidak melantik kalian agar kamu menjadi penguasa kuku besi ke atas rakyat. Aku mengutus kalian sebagai pemimpin agar rakyat dapat mencontohi kalian. Berikanlah kepada mereka segala hak mereka…”

     

    Ibnu Khaldun sendiri meletakkan politik dan pemerintahan berdasarkan akal semata hanya akan membawa manfaat dunia dan bersifat jangka pendek berlawanan dengan politik berteraskan Islam yang memberi kelebihan untuk dunia dan akhirat.

     

    Di sinilah para ulama’ berperanan sebagai penasihat yang baik kepada pemimpin. Jelas ulama’-ulama’ terdahulu diletakkan di posisi yang sepatutnya untuk memberikan nasihat dan pandangan yang selari dengan syariat dan nilai Islam. Al-Mawardi dalam kitabnya Nasihat al-Muluk, al-Ghazali dalam al-Tibr al-Masbuk fi Nasihat al-Muluk dan Abu Yusuf dalam kitabnya al-Kharaj memberi nasihat-nasihat berguna untuk para pemimpin yang bertanggungjawab mengawal selia pentadbiran. Hal ini tidak berlaku kini bahkan ulama’ pula dijadikan alat untuk menjustifikasikan dasar-dasar yang diperkenalkan. Apabila sesuatu dasar atau polisi tersebut siap barulah para ulama’ diminta memberi pandangan. Dan pandangan ini pula bukannya pandangan mengkritik tetapi perlu dan dipaksa memberi pandangan yang menyokong. Segala fenomena dan permasalahan yang berlaku kini sudah memenuhi ciri-ciri akhir zaman seperti yang telah disabdakan oleh Rasulullah SAW:

     

    “Apabila umatku melakukan 15 perkara maka mereka akan ditimpa bala;

    1.    Apabila harta Negara dibolot oleh satu golongan sahaja. (Kronisme, kapitalisme)

    2.    Amanah dianggap peluang mendapatkan harta. (Yang Berhormat? Menteri Kabinet? Ketua Bahagian?)

    3.    Membayar zakat dianggap rugi. (Ke mana hasil zakat yang kita bayar dan berapa ramai yang menunaikannya kini?)

    4.    Orang lelaki taat kepada isterinya dan derhakakan ibunya. (Fenomena biasa di Malaysia)

    5.    Memuliakan kawan-kawan dan menjauhkan diri daripada bapanya kerana memandang hina.

    6.    Meninggikan suara kerana bertengkar di dalam masjid. (kini masjid pun diruntuhkan)

    7.    Pemimpin dipilih dari kalangan orang yang hina dan jahat. (??)

    8.    Seseorang itu dimuliakan kerana takutkan kejahatannya. (??)

    9.    Ramai orang minum arak. (sudah tersedia maklum)

    10. Ramai orang lelaki memakai sutera. (ramai kini yang tak mengetahui halal dan haram)

    11. Penyanyi perempuan dan alat muzik diminati ramai. (Fenomena hiburan kini)

    12. Orang yang kemudian di kalangan umat ini melaknat orang yang dahulu daripada mereka.

    Apabila berlaku perkara itu maka tunggulah ketibaan angin panas ataupun gerhana, ataupun perubahan yang besar.” (Tirmizi).

     

    Nampaknya segala ciri yang dispesifikasikan oleh Rasulullah SAW ini sudah ‘berjaya’ dipenuhi oleh masyarakat Malaysia. Adakah kita ingin menunggu sahaja ketibaan ‘perubahan besar’ tersebut? Ayuh kembali semula kepada nilai politik Islam untuk mengubah apa yang terjadi kini. Benar apa yang disebut PM ke-6: berubah sebelum diubah. Apa yang digeruni bukan sekadar diubah dari sudut politik tetapi ‘ubah’ yang dilakukan oleh Allah seperti yang disabdakan oleh hadith Rasulullah berkenaan alamat kiamat di atas. Na’uzubillah.

    No comments: