Kini kecaman kepada Islam semakin bercambah. Dan ia bukan sekadar bercambah di Barat bahkan mula membuah di Negara Islam sendiri. Jika dahulu peranan memburukkan Islam dan membandingkannya dengan superior Barat dilakukan oleh para orientalis tetapi kini kerja tersebut disambung oleh mereka yang bergelar Muslim tetapi melihat dari kaca mata Barat. Isu kebebasan, moral, tanggungjawab dan hak, pluralisme, toleransi gender dan sebagainya antara isu yang mewarnai perjuangan anak-anak orientalis ini. Timbul kesedaran di kalangan rantau Timur khususnya Islam bagi mengkaji pula perihal Barat sebagai lawan kepada orientalisme yang popular sebelum ini. Ia digelar oksidentalisme tetapi terbit dalam keadaan yang tidak tersusun seperti mana pembawaan Barat dalam orientalisme. Sebelum perbincangan lebih lanjut berkenaan penjajahan bentuk baru ini (pascakolonial) adalah penting untuk diketahui apakah itu orientalisme dan bagaimanakah bentuk oksidentalisme.
ü Kaedah imperialisme selain menggunakan kekuatan ketenteraan ialah menggunakan wacana Orientalisme seperti yang didedahkan secara teoretikal oleh Edward Said melalui bukunya Orientalism.
ü Menurut Edward Said, Orientalisme ialah satu gaya pemikiran yang bersifat ontologikal dan epistemologikal, yakni yang sengaja dirangka untuk membezakan Timur dengan Barat [Orientalism is a style of thought based upon an ontological and epistemological distinction made between “the Orient” and (most of the time) “the Occident”].
ü Ciri Orientalisme menurut Edward Said, boleh dibincangkan dan dianalisis sebagai institusi yang berurusan dengan Timur, yakni membuat kenyataan tentang Timur, menyatakan pandangan secara autoriti, memaparkannya, dengan cara mengajar Timur, menjajahnya, dan menguasainya. Ringkasnya, Orientalisme merupakan satu cara Barat untuk mendominasi, menyusun semula dan mendapatkan kuasa terhadap Timur.
ü Dalam wacana Orientalisme, Timur dan Barat membentuk persetentangan binari (binary opposition) yang menyebelahi Barat. Pemerhatian dan tanggapan orientalis tidak objektif tetapi bersifat politikal dengan membezakan yang familiar (Eropah, Barat, “kita”) dengan yang lain atau Other (Timur, “mereka”)
ü Struktur pemikiran yang dibina dalam Orientalisme itu menjulang Barat dan merendahkan Timur. Maksudnya, masyarakat peribumi diberi imej tidak rasional, manakala orang Eropah adalah rasional; peribumi bersifat gasar, primitif, sensual, seks yang tidak terkawal, dan malas, manakala Eropah pula bertamadun, seksualnya terkawal, dan etika dominannya ialah kerja keras; Timur bersifat statik, manakala Eropah membangun dan bergerak ke hadapan; Timur bersifat kewanitaan, manakala Eropah bersifat kelelakian (Ania Loomba, 1998: 47).
ü Menurut Elleke Boehmer (1993: 269), kolonial melihat tubuh jasmani peribumi sebagai sesuatu yang menarik, mengghairahkan dan mentah; oleh itu, peribumi dilihat sedia untuk ditawan, digunakan, diuruskan, dikelaskan, atau seterusnya dimiliki: “The other is cast as corporeal, carnal, untained, instinctual, raw, and therefore open to mastery, available for use, for husbandry, for numbering, branding, cataloguing, description or possesion.”
ü Barat yang menganut falsafah humanisme menyifatkan Timur dan wanita sebagai Other atau pinggiran, manakala Barat dan lelaki sebagai center atau pusat. Peribumi dan alamnya seperti dinafikan daripada ruang dan sejarah. Mereka dianggap tidak mempunyai sejarah dan asal usul, tetapi hanya muncul sebagai entiti yang terasing dan tidak bertuan; oleh itu, peribumi dianggap sebagai mangsa yang tidak mempunyai hak untuk melawan sebarang serangan atau penguasaan.
ü Dengan meletakkan Timur sebagai feminin dan Barat sebagai maskulin, pandangan berstruktur patriarki ini menghalalkan tindakan Barat mendominasi Timur. Dominasi itu termasuk dalam segala hal, baik dari segi agama, ekonomi, budaya dan politik. Struktur pemikiran ini diterapkan dalam minda peribumi melalui institusi pendidikan, budaya, media, dan teks sastera supaya apabila kuasa kolonial melepaskan hak pegangannya ke atas negara-negara Timur, penguasaan itu masih terus berjalan.
ü Penguasaan itu berlanjutan disebabkan minda peribumi sudah dididik supaya menerima mitos keagungan Barat atau penjajah mereka dahulu. Oleh itu, segala-gala yang bersifat kebaratan akan dipandang mulia, bertamadun, dan perlu dijadikan teladan. Penguasaan seperti ini dikenali sebagai hegemoni yang bermaksud penguasaan secara rela hati, tanpa tekanan secara rasmi atau politik.
ü Dalam era neokolonialisme, penjajahan tidak lagi memerlukan kuasa ketenteraan atau ekspatriat kerana pengawalan ekonomi melalui sistem kapitalis dan wujudnya comprador (golongan peribumi yang terdidik dalam sistem Barat dan berfungsi mengekalkan nilai Barat di negaranya sendiri) sudah cukup untuk menjerat sesebuah negara dalam jaringan hegemoni.
ü Penguasaan yang paling berbahaya ialah penjajahan minda atau yang disebut oleh Syed Hussein al-Attas sebagai “watak tertawan”. Jika cara berfikir sudah condong ke arah ukuran Barat dalam serba-serbi kehidupan, segala-gala tindakan, baik dalam bidang politik, kebudayaan, pendidikan, kemasyarakatan, dan sebagainya akan berkiblatkan Barat. Keagungan Barat menjadi acuan dalam setiap sistem yang hendak dirangka untuk kegunaan masyarakat sendiri.
ü Penguasaan kolonial terhadap sesebuah negara akhirnya akan tamat tetapi mereka tidak terus hilang sebaliknya meninggalkan sisa yang mewakili hasrat mereka untuk terus menguasai negara dan masyarakatnya. Hegemoni yang berterusan ini dipandang sebagai satu bentuk penjajahan yang direlai (rule by consent). Namun demikian, dalam setiap sejarah, hegemoni seperti itu akan terus ditentang oleh sebilangan masyarakat yang sedar akan bahaya neokolonialisme.
Golongan yang memiliki kesedaran ini akan menjalankan usaha meruntuhkan neokolonialisme atau dalam kata lain mereka melakukan usaha dekolonisasi yang bermaksud, “ …process of revealing and dismantling colonialist power in all its forms. This includes dismantling the hidden aspects of those institutional and cultural forces that had maintained the colonialist power and that remain even after political independence is achieved.” (Bill Ashcroft, Gareth Griffiths dan Helen Tiffin, 2000: 63). Dekolonisasi ialah proses mendedahkan dan merungkaikan kuasa kolonial dalam semua bentuk, termasuklah aspek yang tersembunyi dalam institusi dan budaya yang masih mengekalkan pengaruh kolonial, hatta selepas kemerdekaan... Bersambung dengan tajuk Oksidentalisme.
No comments:
Post a Comment