Twitter Updates

    follow me on Twitter

    Thursday, March 26, 2009

    KRISIS ‘IKUTAN’ UMAT ISLAM KINI


    Prof. Madya Dr. Wan Suhaimi Wan Abdullah

    Jabatan Akidah dan Pemikiran Islam, APIUM (My Supervisor)

     

    Pendahuluan

     

    Sejak sekian lama kita dengar pelbagai teori dan pendekatan ‘luar’ cuba dibawa masuk ke dalam umat Islam dalam usaha menyelesaikan masalah dan bayangan kemunduran peradaban ummah; sama ada dalam bidang politik, ekonomi, kemasharakatan, bahkan dalam pendidikan dan pembangunan keilmuan. Asas sikap dan persepsi ini, antara yang utamanya, adalah kerana menganggap bahawa ‘yang lain’ itu maju dan terkedepan, manakala kita seakan sudah tidak memiliki sebarang aset yang boleh dimajukan dan diketengahkan. Akhirnya, kita dapat perhatikan bagaimana umat Islam seakan tercari-cari, sama ada ke Timur mahupun ke Barat, apakah model, standard dan kayu ukur dalam perancangan dan penilaian program pembangunan ummah dalam pelbagai bidang di atas. Kita seakan lupa, atau lebih tepat lagi jahil, tentang apa yang kita miliki dan dokongi selama ini dalam agama kita. Kita seakan tidak pernah membaca ayat dan penegasan al-Quran bahawa Islam yang diturunkan oleh Allah SWT kepada kita melalui utusan agungnya Nabi Muhammad s.a.w. adalah agama yang lengkap dan sempurna, yang jika difahami, dihayati dan diadaptasikan sebetulnya dalam kehidupan kita, mampu melonjakkan ummah ke suatu pencapaian yang tertinggi yang pernah dicapai oleh sejarah tamadun manusia, sebagaimana yang pernah dicapai suatu masa dahulu.

     

                Demikian kritikalnya situasi umat Islam kini, dan fenomena ini begitu menyeluruh menghantui pelbagai lapisan masyarakat, sama ada pada peringkat individu, keluarga dan negara, bahkan turut mempengaruhi kualiti pelbagai status atau profesion umat Islam, sama ada para pentadbir dan pemimpin, peniaga dan pengusaha, malah pelajar dan penggiat dan perancang polisi pendidikan. Perubahan polisi dan pendekatan pelaksanaan yang saban hari berlaku dalam pelbagai institusi berkaitan membuktikan bahawa sehingga kini kita masih belum menemui suatu kaedah yang baik dan sesuai untuk diteruskan dan diwariskan dalam usaha membangunkan ummah secara yang menyeluruh dan lengkap. Hal sebegini akan terus berlaku dan ummah akan terus berada dalam hal ‘mencari-cari’ rentaknya sehinggalah mereka menemui kerangka dan kaedah yang paling sesuai untuk manusia; dan tiada kerangka dan kaedah yang paling sesuai untuk manusia melainkan apa yang digariskan oleh Pencipta manusia melalui agama yang diwahyukanNya. Sejarah pencarian inilah sebenarnya yang berlaku dan dialami oleh umat terdahulu, dan ternyata mereka akhir tidak menemui sebarang penyelesaian melainkan dengan diutuskan para Rasul a.s., dan dalam kes kita umat yang terakhir ini, kita diutuskan Nabi Muhammad s.a.w. yang mewariskan kepada kita ‘agama yang lengkap dan sempurna’ ini. Jadi, memandangkan tiada lagi nabi lain yang akan diutuskan untuk kita nanti, satu-satunya penyelesaian yang ada hanyalah ajaran yang disampaikan dan contoh yang ditunjukkan oleh RasululLah s.a.w. Ini bermakna, tersasarnya atau tidak umat Islam kini perlu diukur dengan ‘standard’ tersasarnya atau tidak kita dari ajaran dan contoh RasululLah s.a.w. di atas.

     

                Berdasarkan muqaddimah di atas beberapa persoalan di bawah boleh direnungkan dan difikirkan:                

    §  Apakah umat Islam sekarang sedar tentang kualiti sebenar yang ada dalam ajaran Islam?

    §  Apakah umat Islam kini yakin bahawa semua ajaran tersebut adalah suatu yang mampu dan mungkin direalisasikan?

    §  Apakah model yang patut dijadikan contoh dalam merealisasikan semua ini?

    §  Dalam kaitan ini juga, sedarkah umat Islam tentang apa sebenarnya yang membezakan model yang Islami dengan model selainnya; sama ada dari segi praktik zahir mahupun dari segi usul atau falsafah di sebaliknya?

    §  Apa pula kesan dan implikasi dari kesilapan dalam menentu dan memilih ‘ikutan’ yang benar?

     

    Apa yang dimaksudkan dengan ‘contoh ikutan’?

     

    Umumnya perkataan ‘Ikutan’ merujuk kepada sesuatu yang diikuti. Apa yang menjadi ikutan seseorang atau sesebuah masharakat biasanya terdiri dari suatu yang berpengaruh sama ada pengaruh itu berupa pengaruh yang benar seperti pengaruh agama dan ilmu yang benar; atau yang berasaskan pengaruh keduniaan seperti pangkat dan harta; bahkan yang lebih teruk lagi adalah pengaruh yang berasaskan populariti atau reputasi yang melalaikan dan mungkin menyesatkan khususnya yang berkaitan dengan nafsu hiburan yang melampau atau aliran pemikiran yang zahirnya menampakkan sifat keterbukaan sedangkan pada hakikatnya adalah keliru dan menyesatkan.

     

    Tahap ikutan sebegini yang biasanya dikaitkan dengan satu lagi istilah yang sering kedengaran sekarang iaitu istilah ‘Idola’. Idola, atau kata asal Bahasa Inggerisnya ‘Idol’, merujuk kepada dua makna; pertama, patung sembahan bagi penganut agama penyembah berhala, dan kedua, merujuk kepada individu manusia yang biasanya terdiri dari artis dan ahli politik yang menjadi pujaan ramai. Jika diperhatikan, kedua-dua makna ini mempunyai persamaan tertentu khususnya dari aspek kualiti ketaksuban terhadap objek idola mereka. Dari aspek yang lain pula, ia juga mempunyai persamaan dari aspek asas ‘pemujaan’ mereka kerana penyembah berhala atau pemuja idola-idola artis atau ahli politik yang melampau ini seakan tidak mempunyai asas yang jelas dan benar kenapa mereka memuja idola-idola tersebut. Al-Qur`an pernah menggambarkan bagaimana fenomena sebegini pernah berlaku suatu masa dahulu. Firman Allah SWT dalam Surah al-A`raf, ayat 138:

    Maksudnya: Dan Kami bawakan Bani Israil ke sebarang laut (Merah) itu lalu mereka sampai kepada suatu kaum yang sedang menyembah berhala-berhalanya. (Melihatkan yang demikian) mereka (iaitu Bani Israil) berkata: "Wahai Musa buatlah untuk kami suatu tuhan (berhala) sebagaimana mereka mempunyai beberapa tuhan". Nabi Musa menjawab: "Sesungguhnya kamu ini adalah kaum yang jahil.

     

    Allah SWT juga berfirman dalam Surah al-Zukhruf, ayat 22-23:

    Maksudnya: (Tidak ada sebarang bukti bagi mereka) bahkan mereka (hanyalah) berkata: Sesungguhnya kami telah mendapati datuk nenek kami menurut satu jalan ugama, dan sesungguhnya kami beroleh petunjuk menurut jejak mereka sahaja". Dan demikianlah halnya (orang-orang yang taqlid buta); Kami tidak mengutus sebelummu (Wahai Muhammad) kepada (penduduk) sesebuah negeri, seseorang Rasul pemberi amaran, melainkan orang-orang yang berada dalam kemewahan di negeri itu berkata: "Sesungguhnya kami dapati datuk nenek kami menurut satu jalan ugama, dan sesungguhnya kami hanya mengikut jejak mereka sahaja".

     

    Dalam ayat-ayat di atas digambarkan bagaimana asas untuk memiliki patung sembahan sendiri itu disandarkan hanya kerana orang lain memiliki patung sembahan mereka tersendiri, atau kerana mengikuti pegangan ahli keluarga terdahulu, tanpa menyedari tentang kejahilan mereka tentang perkara yang diminta itu.

     

    Dalam ayat yang lain digambarkan pula bagaimana pengikut atau pemuja idola-idola yang tidak benar ini akhirnya akan menyesal kerana suatu ketika nanti mereka akan tahu betapa idola yang disanjunginya itu tidak mampu menyelamatkan mereka dari kesusahan dan azab, bahkan di kalangan para pemuja idola itu nanti akan saling membantah dan melaknati sesama mereka. Firman Allah SWT dalam Surah al-Ankabut, ayat 25: 

    Maksudnya: Dan Nabi Ibrahim berkata pula (kepada kaumnya): "Perbuatan kamu menyembah berbagai berhala selain dari menyembah Allah itu, hanyalah kerana menjaga hubungan kasih mesra di antara kamu masing-masing dalam kehidupan dunia ini; kemudian pada hari kiamat kelak setengah kamu akan membantah setengahnya yang lain, dan setengah kamu pula akan melaknatkan setengahnya yang lain; dan (kesudahannya) tempat kembali kamu ialah neraka, dan kamu tidak akan beroleh sesiapapun yang dapat memberikan pertolongan".

     

    RasululLah sebagai ‘Contoh ikutan’

     

    Hal atau fenomena sebegini pastinya tidak akan berlaku jika umat Islam memilih ‘ikutan’ yang benar dalam hidup mereka, ikutan yang disebut oleh Allah SWT sebagai ‘QUDWAH’ atau ‘USWAH’ yang benar iaitu para Anbiya’ a.s. dan junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.. Penegasan tentang hakikat ini dinyatakan oleh al-Qur`an secara jelas dalam beberapa firman Allah SWT sebagaimana berikut:

     

    Maksudnya: Mereka (Nabi-nabi) itulah, orang-orang yang telah diberi petunjuk oleh Allah, maka turutlah olehmu (Wahai Muhammad) akan petunjuk mereka; katakanlah: "Aku tidak meminta upah kepada kamu mengenai petunjuk (Al-Quran yang aku sampaikan) itu. Al-Quran itu tidak lain hanyalah peringatan bagi penduduk alam seluruhnya. (al-An’am: 90)

     

    Maksudnya: Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang) (al-Ahzab: 21)

    Maksudnya: Demi sesungguhnya adalah bagi kamu pada bawaan Nabi Ibrahim dan pengikut-pengikutnya itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan keredaan Allah dan (balasan baik) hari akhirat. dan sesiapa yang berpaling daripada mencontohi mereka, (maka padahnya akan menimpa dirinya sendiri), kerana sesungguhnya Allah Dia lah Yang Maha Kaya, lagi Maha Terpuji. (al-Mumtahanah: 6)

     

    Maksudnya: Sesungguhnya adalah bagi kamu pada bawaan Nabi Ibrahim (a.s) dan pengikut-pengikutnya – contoh ikutan yang baik, semasa mereka berkata kepada kaumnya (yang kufur ingkar): “Sesungguhnya kami berlepas diri daripada kamu dan daripada apa yang kamu sembah yang lain dari Allah; kami kufur ingkarkan (segala penyembahan) kamu dan (dengan ini) nyatalah perasaan permusuhan dan kebencian di antara kami dengan kamu selama-lamanya, sehingga kamu menyembah Allah semata-mata. (al-Mumtahanah: 4)

     

    Dalam ayat-ayat yang dibacakan di atas dapat diperhatikan beberapa hakikat berikut:

     

    1)    Para Anbiya’ ini adalah golongan yang telah diberikan hidayah oleh Allah SWT, dan oleh kerana itu mereka patut diikuti. Tambahan lagi usaha mereka menyebarkan dakwah bukan demi kepentingan tertentu melainkan kerana Allah SWT

     

    2)    Mengikuti Rasulullah s.a.w. atau menjadikan Rasul itu sebagai ‘ikutan’ adalah perlu dan mesti bagi mereka yang inginkan keredhaan Allah dan balasan baik di akhirat nanti, dan tidak perlu bagi mereka yang tidak mengimpikan keredhaan dan rahmat Allah SWT tersebut. Dan sekalipun manusia tidak mengendahkan hal ini ia tidak sekali-kali akan menjejaskan kedudukan Allah SWT.

     

    3)    Kita tidak perlu menyokong pemuja-pemuja idola yang tidak benar ini, sebaliknya kita hendaklah yakin bahawa QUDWAH dan USWAH yang kita dokong ini lebih bermakna, berasas, dan mampu menyelamatkan kita nanti. 

     

    Tambahan lagi, jika gesaan memilih QUDWAH yang benar ini dikaitkan dengan nilai dan penghayatan akhlak yang lengkap, yang sememangnya tidak dapat ditemui melainkan pada keperibadian Rasulullah s.a.w.. Baginda bersabda:

     

    إِنَّمَا بُعِثْتُ لأُتَمِّمَ مَكَارِمَ الأَخْلاَقِ

    Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia

    Ini di samping penjelmaan ajaran al-Qur’an secara praktikal yang ditunjukkan oleh Baginda s.a.w. sebagaimana yang disifatkan oleh Saidatina `Aisyah r.a.:

     

    كان خُلُقه القرآن

     

    Bagaimana RasululLah s.a.w. patut dijadikan sebagai ‘Contoh ikutan’

     

    Perlu ditegaskan bahawa semasa Rasul s.a.w. diutuskan, dua kuasa besar dunia ketika itu masih teguh berpengaruh iaitu kuasa Rom di Barat dan kuasa Parsi di Timur. Dan yang menariknya, walaupun RasululLah s.a.w. tidak pernah menutup pintu umat Islam terhadap tamadun selain Islam, bahkan menggalakkan interaksi dengan umat-umat tersebut, namun kita tidak pernah jumpa sebarang gesaan yang jelas dari RasululLah s.a.w. agar umat Islam ketika itu ‘memandang’ ke Timur mahupun ke Barat. Pastinya tidak dinafikan bahawa dalam tamadun besar Rom dan Parsi tersebut, terdapat nilai-nilai yang baik yang boleh dimanfaatkan umat Islam. Namun begitu, ini tidak bermakna bahawa sikap mencanangkan agar kita memandang ke Timur dan ke Barat untuk mencari nilai dan standard atau kayu ukur untuk menilai tahap kemajuan umat Islam dalam pelbagai bidang kehidupan perlu dilakukan. Ini kerana RasululLah s.a.w. dan para Sahabat r.a. yakin dan percaya bahawa apa yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w. adalah lebih baik dan lebih lengkap. Jadi usaha yang dilakukan oleh umat Islam ketika itu lebih tertumpu kepada merealisasikan ajaran Islam tersebut dan tidak sekali-kali terganggu dan terpesona dengan mana-mana kerangka atau standard yang ada di ‘luar’ sana. 

     

    Merujuk kepada apa yang diperkatakan di atas, persoalannya sekarang; bagaimanakah Rasulullah s.a.w. dan ajaran serta pengalaman para pendokong ajarannya yang ikhlas dan benar patut dan boleh dijadikan asas contoh ikutan dalam perancangan pembangunan kita kini? Persoalan ‘bagaimana’ ini, yang umumnya tidak diberi perhatian sewajarnya oleh umat Islam kini, telah menyebabkan mereka seakan tidak yakin lagi dengan peranan yang boleh dimainkan oleh Rasulullah s.a.w. dalam kehidupan umat Islam seharian. Akhirnya Rasulullah s.a.w. hanya dikenang dalam majlis keagamaan semata khususnya apabila tiba bulan kelahirannya sahaja.

     

    Kewibawaan Rasulullah s.a.w. sebagai QUDWAH tidak lagi mampu diserlahkan. Umat Islam lebih mengenali tokoh atau IDOLA lain melebihi keperibadian dan perjuangan Baginda s.a.w.. Umat Islam tidak lagi mengenali Rasulullah s.a.w. sebagai tokoh remaja, suami, sahabat, peniaga, pendakwah, penyebar dan pengamal ilmu, pemimpin masyarakat, peneraju bala tentera, perancang pembangunan, pentadbir institusi dan pelbagai status dan profesion lagi. Kualiti dan QUDWAH Baginda s.a.w. dalam pelbagai bidang ini seakan hilang sama sekali dari minda dan penghayatan umat Islam. Akhirnya para remaja, suami, sahabat, peniaga, pendakwah, penyebar dan pengamal ilmu, pemimpin masyarakat, peneraju bala tentera, perancang pembangunan, pentadbir institusi umat Islam kini tercari-cari IDOLA selain dari Rasulullah s.a.w. untuk mereka ikuti.

     

    Kesannya wujud pelbagai konflik IDOLA dalam masyarakat; seorang remaja Islam memuja suatu IDOLA ketika remajanya, kemudian memuja IDOLA lain pula apabila dewasa, seterusnya mencari IDOLA lain lagi sesudah lanjut usianya; seorang peniaga mempunyai IDOLAnya tersendiri, manakala para pemimpin masharakat, perancang pembangunan, pentadbir, pelajar dan ilmuwan pula masing-masing ada IDOLA mereka tersendiri selain dari QUDWAH Rasulullah ini. Inilah yang mentafsirkan kenapa umat Islam di pelbagai tahap dan peringkat kehidupan kini susah untuk disatukan misi dan visi hidup mereka kerana IDOLA mereka berbagai dan tidak merujuk kepada QUDWAH yang satu iaitu Rasulullah s.a.w. 

     

    Khutbah Jumaat 27 Februari 2009

     

    No comments: