Sudah beberapa tahun saya mencermati ruang dan persekitaran Akademi Pengajian Islam, UM. Bukan sekadar selok belok seni binanya serta kedudukannya yang terperosok di penjuru bukit tetapi ada yang lebih penting perlu dinilai. Nilaian kepada budaya dan tradisi ilmu yang seharusnya mewarnai pusat keilmuan Islam ini. Ramai melihat tiada apa yang kurang untuk institusi sebegini. Dari sudut tenaga pengajarnya mahupun bidang yang ditawarkan. Namun itu bukannya satu penghakiman muktamad yang boleh diutarakan di sini. Selaku sebuah akademi yang menawarkan empat bidang utama dengan sebelas jabatan ia perlu mewajahkan dirinya selaku sebuah akademi yang berteraskan ilmu. Walaubagaimanapun tradisi ilmu masih belum benar-benar terlihat di sebalik gahnya empat blok di akademi tersebut. Diakui setiap institusi pendidikan mempunyai tradisinya yang tersendiri. al-Azhar dengan adunan tradisi pengajian kitab turath yang dikekalkan zaman berzaman. Universiti di Arab Saudi menonjolkan elemen pegangan prinsip yang kuat kepada al-Quran dan Hadith. Di Syria pendidikan bersifat talaqqi dengan campuran pendidikan formal masih terpelihara begitu juga di Yaman. Namun suasana sebegini gagal dilihat di Akademi Islam.
Mahasiswa terperangkap dengan sistem persekolahan yang dilalui mereka sebelum ini. Apa yang dikejar bukannya ilmu atau kefahaman tetapi pointer yang tinggi ataupun sekadar lulus peperiksaan. Ini memberi kesan kepada budaya ilmu. Iaitu satu bentuk budaya yang menjadikan ilmu sebagai asas aspek pemikiran, tindakan, wibawa serta mewarnai setiap keputusan yang dilaksanakan. Ilmu sebagai asas bukannya pemikiran membuta tuli berdasarkan pengalaman inderawi semata. Mahasiswa yang mengikuti pengajian Islam sepenuh masa kini gagal menentukan prinsip akidah apakah yang benar-benar perlu digenggam erat olehnya berdasarkan dalil-dalil yang difahami. Gagal menyelami aspek syariah dan fiqh waqii' yang mencorakkan masyarakat berasaskan situasi dan keadaan. Juga gagal membezakan ilmu yang bersifat benar dengan ideologi pemikiran yang merasuk kian ramai masyarakat kini. Kitab-kitab turath pula ditinggalkan dan kebanyakannya bergantung kepada nota-nota pensyarah. Hasilnya lahir manusia-manusia lalang yang selesa ditiup angin ke kiri, kanan, atas dan bawah.
Jika ilmu yang dikejar ini untuk pekerjaan semata maka samalah kita ini dengan Aristippos daripada Kyrene (433-355 SM) yang berpendapat kesenangan bersifat badani dan itu adalah matlamat kerana hakikatnya tidak lain daripada gerak di dalam badan, begitu juga dengan John Locke yang menegaskan sesuatu perkara disebut baik jika ia dapat meningkatkan kesenangan dan digelar jahat jika ia mengakibatkan ketidaksenangan atau mengurangkan kesenangan kepada diri.
Institusi ilmu ini seharusnya menumbuhkan pokok-pokok yang teguh dan membumi akarnya. Meneduhi lalang-lalang di bawahnya dan tetap teguh walau dilanda badai dan taufan. Apakah bajanya? Bajanya ialah ilmu. Ilmu yang dipelajari dengan kefahaman yang utuh dan dipraktikkan sehingga melahirkan buah-buah yang ranum. Bukan ilmu yang dihafal di malam peperiksaan dan dibakulsampahkan keesokannya. Ilmu perlu disertai amal dan adab. al-Zarnuji dalam kitabnya Ta'allim al Muta'allim menceritakan Khalifah Harun ar-Rasyid menghantar anaknya kepada al-Asma’i untuk mempelajari ilmu dan adab. Pada suatu hari baginda melihat al-Asmai’ berwudu’ dan membasuh kaki, anaknya pula mencurahkan air ke kaki gurunya. Lalu Khalifah mencela al-Asmai’ dengan berkata: “Sesungguhnya aku menghantarnya (anakku) kepada kamu untuk mempelajari ilmu dan mengajarnya adab, kenapa kamu tidak menyuruhnya mencurahkan air dengan menggunakan satu tangan manakala tangan yang satu lagi membasuh kakimu?”. Sekadar satu coretan peringatan.
No comments:
Post a Comment