Twitter Updates

    follow me on Twitter

    Friday, June 19, 2009

    Akar dari Barat yang membuahkan benih di Timur




    Chandra Muzaffar ketika membahaskan berkenaan kedudukan Islam di Malaysia menegaskan kenyataan bahawa walaupun Islam menjadi agama rasmi negara namun ia bukan bererti Malaysia adalah negara Islam. Kedudukan Islam sebagai agama rasmi hanya pengiktirafan taraf utamanya dalam ‘evolusi’ kenegaraan Malaysia, taraf yang kian lama ternyata umumnya melalui doa di majlis rasmi, pembinaan masjid, musabaqah al-Quran dan pengendalian naik haji ke Mekah. Ia sejajar dengan pandangan Prof. Dato’ Dr Mahmood Zuhdi yang mengatakan definisi Islam sebagai agama Persekutuan [Perkara 3(1)] agak kabur. Peruntukan tersebut dibentuk bukan dimaksudkan untuk menjadikan Tanah Melayu negara Islam tetapi mencontohi perlembagaan yang dirangka di negara umat Islam pada waktu tersebut seperti Afghanistan, Iran dan Iraq. Ia malah seperti mana Kristian yang menjadi agama rasmi di Ireland, Norway dan Denmark atau Buddha seperti di Thailand. Rumusannya peruntukan Islam sebagai agama rasmi dibentuk mengikut kerangka sebuah negara sekular.

    Sejarah pembentukan perlembagaan dikendali sepenuhnya oleh pihak British dengan penglibatan beberapa orang wakil penduduk untuk mencukupkan syarat. Bahkan di negara-negara umat Islam yang lain pun konsepnya lebih kurang sama iaitu berkesinambungan dengan apa yang diperkenalkan oleh peradaban Barat. Hal ini bukan suatu yang menghairankan kerana penjajah akan sedaya mungkin meninggalkan kesan legasi di jajahan mereka untuk terus ‘menjajah’ di era pasca-kolonial ini. Oleh itu jika ingin meneliti kenapa fenomena sekularisasi yang mengasingkan agama ini berlaku ia harus dilihat bermula dari apa yang berlaku dalam peradaban Barat. Islam selaku cara hidup yang syumul tidak mempunyai konsep ini dan bila mana berlakunya dikotomi dalam negara maka ia bukan berakar umbi dari Islam tetapi hasil apa yang dibawa dari Barat. Timbul persoalan bagaimana ini berlaku?

    Dalam sejarah Kristian Eropah kalimah sekular atau liberal dimaknakan sebagai pembebasan masyarakat dari cengkaman kekuasaan gereja yang sangat dominan pengaruhnya pada zaman pertengahan. Ia kemudiannya diglobalkan dan diimport ke negara dan agama yang lain termasuk Islam. ‘The Dark Ages’ atau ‘The Medieval Ages’ memaparkan bagaimana Gereja melalui posisinya sebagai agama-negara (state religion) berkuasa dalam bidang politik selepas kemerosotan empayar Romawi Barat. Ia menjadi sangat dominan dan mempengaruhi keseluruhan aspek kehidupan masyarakat. Paus Gregory I (the Great) merupakan tokoh awal yang membentuk kuasa ‘kepausan’ dan membentuknya menjadi sebuah organisasi yang berkuasa. Tahun-tahun ini juga memaparkan bagaimana institusi geraja berperanan sangat penting dalam menentukan pemerintah sesebuah negara dan perancangan melancarkan siri-siri peperangan salib ke dunia Islam. Hegemoni ini terus mencengkam dengan tertubuhnya insitusi yang dikenali sebagaiInquisition iaitu sebuah instrumen gereja untuk melakukan keganasan dan pengawalan kepada negara. Ketika Napolean menakluk Sepanyol pada tahun 1808 sebagai contoh, pihak tenteranya menemui bilik-bilik penyeksaan dalam gereja. Ia penuh denan tawanan dalam keadaan telanjang dan ada diantaranya gila. Kesemuanya dihukum kerana melawan Gereja atau dituduh terseleweng dari ajaran Kristian. Mereka menggunakan nama sebagai wakil Tuhan untuk menjustifikasikan apa yang dilakukan sehinggalah Martin Luther melakukan pemberontakan terhadap Paus kerana menjual surat-surat pengampunan dosa. Tahun 1517 beliau menampal 95 tesis (Nite-five Theses) di pintu gerejanya di Jerman.

    Oleh itu Barat sangat trauma dengan apa yang pernah berlaku di zaman pertengahan tersebut. Istilah Renaissance atau rebirth (lahir kembali) merupakan istilah yang menunjukkan bagaimana kehidupan mereka semasa pemerintahan gereja seperti mengalami kematian. Dendam mereka terhadap penguasa gereja yang mendapat kedudukan dan hak keistimewaan memberi pengaruh besar terhadap sikap mereka kepada agama. Apabila dikatakan ‘religion’ maka akan tergambar di benak mereka tentang doktrin, ritual, sejarah yang gelap, inquisition dan penolakan kepada sains dan ilmu. Akhirnya muncullah faham sekularisme yang memisahkan agama dengan politik bagi memastikan apa yang berlaku dahulu tidak berulang kembali. Inilah apa yang cuba dilakukan kepada Islam. Agama Islam cuba ditonjolkan sepertimana yang mereka gambarkan pada Kristian sedangkan konsep serta sejarah pemerintahan dalam Islam sangat berlainan. Dan nampaknya usaha-usaha ini berjaya dan diterima ramai umat Islam. Islam hanya ‘diletakkan’ di masjid atau majlis agama dan penentuan dasar tidak mengambilkira sumber dari al-Quran. Mereka yang berpegang erat kepada Islam digelar fundamentalis, konservatif, jihadist dan sebagainya yang sebenarnya istilah itu tidak pernah wujud dalam kamus Islam tetapi muncul diistilahkan Barat apabila mereka melihat Islam mengikut kaca mata mereka. Kini ia berjangkit dan membarah di Malaysia.

    Konsep pemerintahan Islam menekankan amanah di mana manusia selaku khalifah Allah perlu melaksanakan urusan pentadbiran secara adil. Islam tiada institusi seperti gereja bahkan pembesar gereja yang berkuasa tidak boleh disamakan dengan ulama’ dalam Islam. Apabila kita bezakan ulama’ dengan ruang lingkup ilmu yang dikuasainya dengan pembesar gereja yang hanya terlibat dengan ritual di gereja itu sudah cukup membuktikan keluasan dan kesyumulan Islam. Begitu juga beza tradisi Barat yang dilihat sebagai jumud dan mundur oleh mereka dengan tradisi Islam yang dilihat Muslim sebagai zaman keemasan dan warisan keintelektualan.

    Terdapat banyak lagi faktor lain yang menjadikan Barat membenci agama dan menggantikannya dengan akal mereka sendiri. Aspek ini harus difahami oleh umat Islam bagi memastikan mereka tidak tergelincir dari pegangan yang diyakini. Ingatlah sabda Rasulullah SAW: ‘Sesungguhnya aku tinggalkan kamu (agama) dalam keadaan terang-benderang, malamnya seperti siang, tidak tergelincir darinya setelah ketiadaanku kecuali yang celaka, dan barangsiapa yang hidup daripada kamu (pada akhir zaman) maka dia akan melihat banyak perselisihan pendapat, maka hendaklah kamu mengikuti apa yang kamu ketahui dari sunnahku dan sunnah Khulafa’ ar-Rasyidun yang terbimbing… [Musnad Ahmad : al-Arbad Bin Sariyah].


    No comments: