Waktu ini ramai membincangkan berkenaan kebebasan dan pentingnya kebebasan. Bebas memberi hak pada individu, bebas juga mengeluarkan manusia dari kejumudan, bebas membentuk manusia yang berani dan pintar. Manusia dikatakan perlu diberikan kebebasan sama ada dalam bersuara, beragama, beraktiviti atau bergerak kerja dan memberikan pandangan. Sekatan dan halangan dilihat mengundang kekolotan, keradikalan, anti demokrasi dan menyekat hak seseorang. Dunia sekarang di era kemajuan sains dan teknologi dan sekatan kepada kebebasan akan menjadikan sesebuah negara itu mundur dan terkebelakang. Banyak hujah-hujah diutarakan menjustifikasikan makna kebebasan ini, namun dalam membincangkan soal kebebasan adakah tiada had dan sempadan kepadanya sesuai dengan istilah ‘bebas’ tersebut?
Kita biasanya lebih suka membincangkan perkara ranting apabila tercetusnya sesuatu isu tanpa melihat konsep asas yang membentuk isu-isu tersebut. Apabila timbul masalah sistem pendidikan di sekolah berbentuk ‘exam-oriented’ maka diambil keputusan untuk menghadkan subjek yang diambil pelajar SPM. Hadkanlah sehingga 4 subjek sekalipun namun ia tidak akan mampu mengubah konsep pelajar yang memfokuskan pada pelajaran jika pedagogi, persekitaran, matlamat sekolah dan kementerian pelajaran tidak diubah. Ini yang seharusnya diubah, intipati dan matlamat pendidikan perlu diperbetulkan bukan mengehadkan subjek kerana ia tetap tidak akan mengubah paradigma pelajar untuk belajar merebut ‘A’ di sekolah. Begitu juga apabila membincangkan berkenaan konsep kebebasan. Ia berakar umbi dan mempunyai konsep yang tersendiri. Dunia sekarang digelar oleh para sarjana sebagai zaman post-modernisme selepas dunia menempuhi apa yang dipanggil oleh Barat sebagai zaman klasik, pertengahan (medieval) dan moden. Pembahagian (yang seharusnya tidak boleh disamakan dengan Islam) ini bersandarkan kepada sandaran dan pendekatan yang digunakan Barat. Zaman klasik biasanya diwarnai dengan mitos dan lagenda, zaman pertengahan dikuasai oleh Gereja (bukan agama), zaman moden berpaksikan akal (reason) dan kini dikatakan berasaskan subjektivisme atau penilaian individu kepada apa sahaja perkara.
Apa yang dipanggil subjektivisme atau penilaian bebas individu ini menolak idea ketunggalan, objektiviti, realiti dan kebenaran universal yang mutlak serta berautoriti. Dengan maksud tiada yang bersifat universal, mutlak, tidak lapuk dan tiada keputusan yang telah ditentukan oleh mana-mana pihak. Tiada makna yang betul dalam sesuatu teori atau kepercayaan kerana makna sentiasa boleh ditafsirkan. Mengambil kata-kata Martin Luther: “Every believer is a priest, every reader is an author.” Ini yang berlaku sekarang di Malaysia. Manusia bebas mengeluarkan pandangan dan membuat keputusan untuk dirinya dan perkara lain termasuk agama kerana pentafsiran seseorang adalah saling berbeza. Perbezaan ini hasil pengaruh sama ada mereka lelaki, perempuan, gay, berkulit putih, berduit, penganut Buddha dan sebagainya. Tiada autoriti atau kuasa yang berhak menentu dan mengacau cara hidup dan moral manusia. Kita manusia yang bebas. Dengan itu tiada yang berhak meletakkan sesuatu keputusan untuk orang lain kerana pandangan individu itu sendiri adalah berbeza. Tulisan dan percakapan sebagai contoh dikatakan metafora kerana semuanya boleh ditafsirkan dan pemahaman individu kepada penulisan dan percakapan itu saling berbeza. Kefahaman kita tentang sesuatu penulisan adalah berbeza dengan kefahaman penulis yang menulisnya berbalik kepada tujuan, latar peribadi dan pendidikan yang diterima. Setiap teks ada makna tersirat (the truth is what is unsaid).
Oleh itu objektiviti, kuasa mutlak, keputusan tunggal tidak dimiliki oleh sesiapa pun kerana realiti hanyalah persepsi semata-mata berdasarkan pengalaman individu yang menanggapinya. Kedudukan Tuhan berada dalam akal minda manusia dan tiada lagi wahyu sebagai komunikasi. Dia tidak berbicara dalam bahasa universal tetapi dalam bahasa nasional. Disebabkan itu agama yang sifatnya mutlak serta memberi hukum dan keputusan adalah tertolak dan tidak terhad pada kritikan. Dengan kata lain 'Tuhan' tidak diperlukan lagi oleh manusia kerana manusia merasakan mereka 'mampu' menyelesaikan permasalahan dunia tanpa-Nya. Pandangan ini secara khususnya dikembangkan oleh Fredrich Nietzche yang mengatakan “the truth is a matter of perspective”. Baginya pandangan adalah hanya satu daripada banyak lagi pentafsiran yang mungkin termasuk pandangannya sendiri yang mana ia adalah satu interprestasi daripada banyak lagi pentafsiran. Beliau mengisytiharkan bahawa Tuhan telah mati (God is dead). Idea tentang Tuhan telah lenyap telah digantikan dengan idea sains dan teknologi dalam kehidupan manusia. Menurutnya pegangan kita yang sebenar adalah kemajuan dan perubahan sains dan teknologi. Tiada tempat untuk pegangan akidah di zaman moden ini kerana manusia sendiri dikatakan ‘membunuh’ Tuhan dengan perubahan dan optimisime yang dilakukan di dunia kini.
Inilah yang diserapi oleh masyarakat Malaysia kini. Konsep Barat (modernisme+post-modenisme) yang di’Malaysia’kan ini mendasari beberapa perkara yang berlaku: mempertikaikan ‘campur tangan’ agama dalam kehidupan peribadi, menuntut kebebasan untuk melakukan apa sahaja, mengkritik tanpa asas berkenaan wahyu dan hadith yang bertentangan dengan gaya hidup yang dilalui, mengkaji dan mentafsir al-Quran melalui kaedah hermenuitik seperti yang dilakukan kepada Bible, menyamaratakan setiap agama, melakukan dikotomi atau pengasingan agama dengan kehidupan dan sebagainya. Mereka merangka satu sistem lain dengan merobohkan jalan metafizik atau ghaib ini, membuang doktrin atau perintah agama dan menggantikannya dengan logik akal. Apabila realiti dianggap persepsi, kebenaran hanya perspektif, makna dimatikan (dissolution of value) dan ilmu hanya naratif maka di waktu itu juga wahyu ditolak dan agama diketepikan. Mungkin mereka masih menyembah Tuhan di rumah ibadat tetapi menolak makna dan nilai agama tersebut lantas sesuai dengan kata-kata Nietzche bahawa ‘kita telah membunuh Tuhan.’
No comments:
Post a Comment