Twitter Updates

    follow me on Twitter

    Monday, July 27, 2009

    SYUKUR KERANA KESENANGAN & SABAR KERANA KESUSAHAN


    Sewaktu mengikuti kelas di Maahad Abu Nur, Damsyik saya sempat bersahabat dengan dua orang warga asing, seorang dari Somalia bernama Abul Salam dan seorang lagi Chen, warga China Muslim. Abdul Salam dari benua Afrika datang seorang diri, nekad belajar bahasa Arab dan ilmu pengajian Islam yang lain. Katanya kefahaman masyarakat di sana masih cetek tentang Islam yang sebenar, apatahlagi dengan kondisi dan kemajuannya yang berada di bawah paras kemunduran. Beliau berbadan tinggi lampai, kulit hitam, berambut kerinting tinggal bersama seorang lagi kawan, menyewa di sebuah penempatan usang. Chen dengan rambut berceracak, kadang-kala berwarna, memakai seluar singkat hingga menampakkan sedikit lututnya yang berbulu datang bersama empat orang kawan. Berhijrah ke Damsyik menuntut ilmu, dengan niat seperti si Somaliyy tadi untuk berkongsi sedikit ilmu yang ada dengan masyarakat di tanah air. Kondisi mereka untuk menuntut ilmu di tanah air masing-masing sangat terhad. Apatah lagi dengan Chen dari China yang mana kerajaannya masih bersikap negatif kepada umat Islam, hasil pengaruh buku merah Moa Tze Tung. Dan kadang-kala terlintas di benak apakah nasibnya dan saudaranya dari Muslim Uighur selepas ‘peperangan’ berat sebelah dengan tentera China. Namun kedua-duanya mempunyai matlamat yang sama, bercita-cita apabila pulang nanti untuk mencurahkan ilmu dan memperbetulkan saudara seIslam mereka. Dengan kewangan yang terbatas saban hari mereka berjalan beberapa kilometer, mencurahkan peluh yang bukan sedikit, tanpa rasa lelah dan menurut mereka akan rasa terbayar jika mereka mampu menjadi manusia berilmu.

    Kata Abdul Salam, saya warga Malaysia sangat beruntung. Dikurniakan kemajuan dan kemakmuran, tidak perlu berhadapan kebuluran dan persengketaan puluhan tahun seperti di tempatnya. (Bahkan ramai yang jahil tentang Malaysia mengatakan Microsoft, syarikat perkomputeran terbesar dunia itu asal-usulnya dari Malaysia, termasuk memuji pemimpin negara membabi buta) Jihad dua sahabat ini dalam bidang ilmu, sebagai menjalankan tugas fardhu ‘ain di negara masing-masing turut menyentuh hati. Memberi impak kepada diri sejauh mana peranan dan niat yang menggerakkannya. Dengan kemudahan teknologi, sumber kewangan yang boleh dikatakan OK dan kehidupan yang stabil. Kemewahan lebih banyak melalaikan berbanding memenuhi keperluan. Kadang-kala dan selalunya desakan serta keperitan sangat berguna untuk ‘memaksa’ atau memotivasikan kita. Pengalaman mengajar di samping berpandukan hadis niat riwayat Ibnu Umar bahawa niat itulah yang akan menghala-tujukan ke mana kita selepas ini. Dengan sedikit keselesaan mungkin sahaja niat mudah terpesong. Menjadikan kehidupan adalah hanya untuk masa kini dan di dunia kini, termasuk menuntut ilmu untuk kehidupan kini. Tindakan sebegini sangatlah bersesuaian konsepnya dengan erti saeculum iaitu akar kata latin bagi sekular.

    Kadang-kala terfikir sejenak, adakah kehidupan kini kehidupan yang dikutuk atau sebaliknya. Syarat untuk tidak menerima kutukan adalah ingati dan taati Allah serta berusaha menjadi seorang pelajar sepanjang hayat dari buaian hingga ke liang lahad. Sabda Rasulullah yang diriwayatkan Tirmizi ini sedikit menggusarkan, bagi sesiapa yang mengejar sesuatu termasuk ilmu untuk kepentingan diri bukan ketaatan Ilahi.

    أَلَا إِنَّ الدُّنْيَا مَلْعُونَةٌ مَلْعُونٌ مَا فِيهَا إِلَّا ذِكْرُ اللَّهِ وَمَا وَالَاهُ وَعَالِمٌ أَوْ مُتَعَلِّمٌ

    “Dunia ini terkutuk, terkutuk semua apa yang ada di dalamnya kecuali mengingati Allah, dan apa yang dibuat untuk mentaati Allah, dan orang yang berilmu serta orang yang mencari ilmu.”

    Kaedah untuk kembali dirahmati bermula dengan mengenal diri. Mencari dan memahami diri sebagai hamba hina tetapi mempunyai tugas terpuji selaku khalifah. Falsafah Upanishad dari India meletakkan pencarian diri adalah dengan memahami bahawa diri adalah roh abadi (eternal soul) iaitu atman. Dengan kesedaran ini seseorang mampu dibebaskan (liberation/mokhsha). Mencari diri mengikut kaedah Barat menjadikan pusat kehidupan hanya pada diri (humanisme), jauh dari kemutlakan dan agama diturunkan ke dalam minda, menambahkan keributan kepada jiwa. Namun mengenal diri menurut Islam menjadikan diri lebih mengenal Tuhan, memenuhi fitrah yang sudah sedia diisi oleh Allah sejak dilahirkan. Perbezaan ini menjadikan saya tersedar dengan kata-kata Abdullah Bin Rawahah yang menenangkan tentera Muslim yang berhadapan 200 000 musuh: “Kita berperang bukan kerana berdasarkan bilangan ramai dan bukan dengan kekuatan. Tetapi kita berperang kerana menegakkan Islam, dengannya kita mendapat kemuliaan dari Allah SWT. Ayuh maju ke hadapan. Satu dari dua kejayaan sudah pasti akan tercapai, sama ada kemenangan atau syahid!”

    Kata-kata ini bagai terngiang-ngiang di celah telinga. Selepas meninggalkan kota Syam beberapa bulan kemudian berlaku pengeboman di Syria. Dan kebiasaannya kerajaan yang sangat tidak mesra dengan pelajar asing ini pasti mensasarkan mereka sebagai suspek. Ada yang dipenjarakan dan ramai yang dihantar balik. Saya terfikir di manakah Abdul Salam dan Chen? Mungkin mereka sudah dihantar balik (bila ‘audah/tanpa kembali) ke negara masing-masing, berusaha menyampaikan sedikit ilmu yang mampu diserap kepada masyarakat yang dahagakan kefahaman Islam. Sabda nabi di bawah sangat mengesankan bagi mereka-mereka yang teruji:

    “Sesungguhnya amat menghairankan [jikalau diperhatikan kepada] urusan orang-orang mukmin, semua urusannya baik. Tiada seorangpun mukmin melainkan apabila dia menerima sesuatu yang menggembirakannya, dia akan bersyukur, maka dia akan mendapat kebaikan [atau pahala], manakala sekiranya dia ditimpa kesusahan, dia akan bersabar, maka dia [juga] akan mendapat kebaikan”. Sahih Muslim.

    Semoga Allah merahmati kalian, dan semoga kalian tergolong dalam golongan mukmin di atas.

    Friday, July 17, 2009


    Bagaimana ulama’ muda pada zaman lampau mampu lahir tanpa kecanggihan teknologi? Ketika adik-adik kita disibukkan dengan matapelajaran SPM, Ibnu Sina pada usia 16 tahun telah menguasai dan menyibukkan diri dengan mengkaji karya al-Farabi, Fusus al-Hikam yang menjadi kajian para pelajar PHD dan Profesor hari ini. Ketika bidang-bidang pengajian kini dikotak-kotak atau diasingkan Ibnu Sina tanpa internet dan komputer telah menguasai ilmu falsafah, logik, ilmu fizik, matematik dan perubatan sekaligus sehingga ramai doktor yang datang belajar dengannya. Ketika pelajar pengajian Islam kini masih hanyut tentang perbincangan bidaah beliau terlibat langsung dengan perdebatan fiqh yang kontroversi.

    Apa rahsianya? Beliau pernah berkata:

    ”Selama masa ini aku tidak pernah tidur malam dan tidak melakukan apa-apa selain belajar sepanjang hari. Setiap kali aku berhadapan dengan sesuatu masalah ilmu, aku pergi ke masjid, bersolat dan memohon kepada Allah untuk menyingkap tabir persoalan yang aku hadapi dan agar Allah memudahkan apa yang aku rasa sulit. Kemudian barulah aku pulang ke rumah, menyalakan pelita dan mulai membaca dan menulis... Aku melakukan ini sampai aku benar-benar mendalami semua ilmu dan menguasainya sejauh yang boleh dilakukan oleh seorang manusia.. sebab itulah aku menguasai ilmu logik, fizik dan matematik.”

    Dua penekanan yang harus diberikan: ketekunan dan keterikatan dengan Allah SWT. Ramai memberi perhatian kepada ketekunan tapi amat sedikit yang pentingkan hubungan dengan Allah yang menentukan berjaya-gagal dan keberkatan dari-Nya.

    Penekanan kedua adalah peranan kerajaan. Yang membentuk dan menghala-tujukan dasar pendidikan negara. Kata seorang penyair:

    ”Pemerintah menghakimi manusia dan ulama’ menghakimi pemerintah”

    Namun hal ini tidak berlaku kini. Jadi peranan kedua bertukar menjadi peranan orang muda (melalui pelbagai cara dan kaedah). Al-Hakam I atau Abu al-Asi pernah menyampaikan satu syair:

    “I mended the cracks of the earth with my sword,

    and I have been reconciling the nation since I was a young man”

    Dan keperluan juga untuk lahirnya orang muda yang berani dan berilmu seperti lahirnya orang muda pada zaman dahulu. Di dalam suatu peristiwa, seorang anak remaja masuk ke istana mengadap salah seorang Khalifah Bani Umayyah, untuk bercakap mewakili kaum kabilahnya. Khalifah berkata, “carikan lelaki yang lebih dewasa untuk mewakili kaummu!” Budak lelaki itu berkata, “wahai Amir al-Mu’minin, seandainya kepimpinan ditentukan oleh faktor usia, maka di sana ada lebih ramai orang lain yang layak menjadi Khalifah selain engkau!” Lantas bagaimana ingin dilahirkan orang muda seperti remaja di atas tanpa ketekunan dan hubungan dengan Allah SWT!

    Wednesday, July 15, 2009

    Menguruskan Sesuatu Yang Menjanjikan ‘Kegemukan”


    Saya berhadapan dengan empat organisasi atau institusi yang perlu diurus. Organisasi pertama di mana saya mengetuainya memerlukan saya memastikan ahli-ahli yang terdiri dari rakan sekampus dan setarbiyyah , yang kini tersebar ke seluruh tanah air dari pegawai-pegawai kerajaan, pensyarah, penternak kambing dan lintah, pelajar ijazah tinggi PHD & MA, tokey konsultan, penyelidik, guru, penganggur, suri rumah dan pengurus masjid supaya mampu berperanan serta menyumbang hasil manfaat yang mereka dapati sebelum ini dengan status kesesuaian kedudukan mereka kini. Perangkaan strategis perlu dibentuk agar ikatan tidak terlerai, baiah tidak terlupa dan sumbangan tetap berterusan. Namun sangat dibimbangi oleh saya yang perancangan akan tinggal kenangan.

    Organisasi kedua yang perlu saya fokuskan datang dalam bentuk NGO yang perlu diurus sesuai dengan matlamatnya yang memfokuskan kebajikan masyarakat. Dalam masa yang sama perlu diuruskan keanggotaannya yang mencecah ribuan dan juga terdiri dari pelbagai latar kedudukan. Dari seorang Ahli Parlimen sehingga kepada suri rumah sepenuh masa. Peluang sudah tersedia namun pengurusannya masih ditahap biasa, mungkin kerana kealpaan saya.

    Organisasi ketiga pula perlu saya fokuskan kepada pengurusan sumber manusia dalam sebuah institusi yang kerjanya bermain dengan epistemologi, teori, polisi dan perangkaan dasar. Dari sesi pengambilan hingga ke penilaian. Kerjanya bukan sekadar memerhati orang tetapi meneliti perkembangan dan kemajuannya.

    Organisasi keempat yang saya terlebih fokus memerlukan gerak kerja pengurusan sepenuhnya. Dari sudut pengurusan organisasi, perancangan strategik sehinggalah kepada sumber manusia. Organisasi ini yang didalamnya terdapat 57,000 pengundi yang bersifat majmuk memerlukan bukan sekadar membuat program semata tapi program, aktiviti dan khidmat yang sesuai dengan latar penduduknya yang terdiri dari jutawan sehingga penjual burger.

    Ini semua memerlukan kepandaian mengurus. Mengurus perancangan dan juga emosi. Pengurusan yang terbaik adalah pengurusan yang sesuai dengan realiti dan tapaknya. Gunalah teknik mengurus paling canggih dan terkini sekalipun namun jika tekniknya tidak sesuai dengan tempat dan sasaran maka perancangan tinggal perancangan. Yang penting adalah kejelasan matlamat. Ke mana ingin dibawa apa yang dipimpin dan diurus. Kita gagal dalam pendidikan kerana sering tertukar apa itu tujuan, matlamat dan sebagainya. Sedangkan matlamat pendidikan dalam Islam adalah ‘ubudiyyah kepada-Nya manakala pelbagai hala tuju yang membawa kepada matlamat tersebut mungkin untuk memperbanyak ilmu, mematah hujah, mendapatkan sesuatu dan sebagainya, semuanya perlu membawa kepada matlamat tersebut. Keempat-empat organisasi di atas belum mampu saya uruskan dengan baik. Ia tidak patut dikatakan sampingan tetapi sesuai diatur mengikut keutamaan. Merancang memang mudah tapi bertindak berdasarkan perancangan adalah tugas yang sangat sukar sekali. Ia perlukan komitmen dan disiplin. Namun walau di mana anda berada dalam kedudukan apa pun satu syarat yang perlu dipasakkan.. Semua yang ditaklifkan adalah AMANAH. Dan memikirkan amanah inilah yang menyebabkan minda saya berat dan kelu untuk menghadapinya. Berat bukan kerana banyak tetapi tanggungjawab.

    Teringat satu teka-teki. Si pembeli atau penempah tak mahu menggunakannya, si pembuat pun tak mahu menggunakannya tetapi si pengguna yang tak mahu menggunakannya terpaksa pula menggunakannya. Apakah ia?.... (KERANDA!)

    Wednesday, July 8, 2009

    AKTIFKAN DIRI ANDA!


    Dalam satu uji kaji yang dilakukan di sebuah rumah orang tua di Connecticut, Amerika Syarikat menunjukkan paparan yang menarik kepada sesiapa yang aktif bergerak dan bergiat. Dalam uji kaji tersebut setiap orang diberikan pilihan untuk menjaga pokok-pokok hiasan. Hasilnya satu setengah tahun kemudian warga tua yang bertanggungjawab memelihara pokok tersebut didapati lebih ceria, cergas dan tajam berbanding sekumpulan warga tua yang tidak menyertai kajian tersebut. Selain itu lebih dari dua kali ganda dari mereka masih hidup berbanding kumpulan yang tidak menyertai.

    Pusat Pemakanan MRC Dunn satu kumpulan penyelidik dari Cambridge, England mendapati kereta, televisyen dan peranti penjimat tenaga buruh mungkin memudaratkan kesihatan manusia. Dengan teknologi tersebut aras penggunaan tenaga harian juga menurun. Kajian yang dilakukan oleh kumpulan ini mendapati lebih sepertiga orang dewasa melakukan senaman kurang dari 20 minit seminggu. Manakala kurang daripada separuh menyertai kegiatan sukan cergas. Manusia kini semakin malas berjalan dengan peningkatan penggunaan kereta yang mendadak. Menurut kumpulan ini juga televisyen merupakan antara punca yang boleh memudaratkan kesihatan. Rumusannya ramai menganggap mengambil jalan mudah, berteknologi atau memilih cara hidup senang mampu menyelesaikan permasalahan yang rumit. Walhal tanggapan yang salah ini boleh sahaja tambah merumitkan hidup kita.

    “Perjuangan memaksa kita bergerak tatkala kita cenderung berehat.