Bagaimana ulama’ muda pada zaman lampau mampu lahir tanpa kecanggihan teknologi? Ketika adik-adik kita disibukkan dengan matapelajaran SPM, Ibnu Sina pada usia 16 tahun telah menguasai dan menyibukkan diri dengan mengkaji karya al-Farabi, Fusus al-Hikam yang menjadi kajian para pelajar PHD dan Profesor hari ini. Ketika bidang-bidang pengajian kini dikotak-kotak atau diasingkan Ibnu Sina tanpa internet dan komputer telah menguasai ilmu falsafah, logik, ilmu fizik, matematik dan perubatan sekaligus sehingga ramai doktor yang datang belajar dengannya. Ketika pelajar pengajian Islam kini masih hanyut tentang perbincangan bidaah beliau terlibat langsung dengan perdebatan fiqh yang kontroversi.
Apa rahsianya? Beliau pernah berkata:
”Selama masa ini aku tidak pernah tidur malam dan tidak melakukan apa-apa selain belajar sepanjang hari. Setiap kali aku berhadapan dengan sesuatu masalah ilmu, aku pergi ke masjid, bersolat dan memohon kepada Allah untuk menyingkap tabir persoalan yang aku hadapi dan agar Allah memudahkan apa yang aku rasa sulit. Kemudian barulah aku pulang ke rumah, menyalakan pelita dan mulai membaca dan menulis... Aku melakukan ini sampai aku benar-benar mendalami semua ilmu dan menguasainya sejauh yang boleh dilakukan oleh seorang manusia.. sebab itulah aku menguasai ilmu logik, fizik dan matematik.”
Dua penekanan yang harus diberikan: ketekunan dan keterikatan dengan Allah SWT. Ramai memberi perhatian kepada ketekunan tapi amat sedikit yang pentingkan hubungan dengan Allah yang menentukan berjaya-gagal dan keberkatan dari-Nya.
Penekanan kedua adalah peranan kerajaan. Yang membentuk dan menghala-tujukan dasar pendidikan negara. Kata seorang penyair:
”Pemerintah menghakimi manusia dan ulama’ menghakimi pemerintah”
Namun hal ini tidak berlaku kini. Jadi peranan kedua bertukar menjadi peranan orang muda (melalui pelbagai cara dan kaedah). Al-Hakam I atau Abu al-Asi pernah menyampaikan satu syair:
“I mended the cracks of the earth with my sword,
and I have been reconciling the nation since I was a young man”
Dan keperluan juga untuk lahirnya orang muda yang berani dan berilmu seperti lahirnya orang muda pada zaman dahulu. Di dalam suatu peristiwa, seorang anak remaja masuk ke istana mengadap salah seorang Khalifah Bani Umayyah, untuk bercakap mewakili kaum kabilahnya. Khalifah berkata, “carikan lelaki yang lebih dewasa untuk mewakili kaummu!” Budak lelaki itu berkata, “wahai Amir al-Mu’minin, seandainya kepimpinan ditentukan oleh faktor usia, maka di sana ada lebih ramai orang lain yang layak menjadi Khalifah selain engkau!” Lantas bagaimana ingin dilahirkan orang muda seperti remaja di atas tanpa ketekunan dan hubungan dengan Allah SWT!
No comments:
Post a Comment