Twitter Updates

    follow me on Twitter

    Monday, July 27, 2009

    SYUKUR KERANA KESENANGAN & SABAR KERANA KESUSAHAN


    Sewaktu mengikuti kelas di Maahad Abu Nur, Damsyik saya sempat bersahabat dengan dua orang warga asing, seorang dari Somalia bernama Abul Salam dan seorang lagi Chen, warga China Muslim. Abdul Salam dari benua Afrika datang seorang diri, nekad belajar bahasa Arab dan ilmu pengajian Islam yang lain. Katanya kefahaman masyarakat di sana masih cetek tentang Islam yang sebenar, apatahlagi dengan kondisi dan kemajuannya yang berada di bawah paras kemunduran. Beliau berbadan tinggi lampai, kulit hitam, berambut kerinting tinggal bersama seorang lagi kawan, menyewa di sebuah penempatan usang. Chen dengan rambut berceracak, kadang-kala berwarna, memakai seluar singkat hingga menampakkan sedikit lututnya yang berbulu datang bersama empat orang kawan. Berhijrah ke Damsyik menuntut ilmu, dengan niat seperti si Somaliyy tadi untuk berkongsi sedikit ilmu yang ada dengan masyarakat di tanah air. Kondisi mereka untuk menuntut ilmu di tanah air masing-masing sangat terhad. Apatah lagi dengan Chen dari China yang mana kerajaannya masih bersikap negatif kepada umat Islam, hasil pengaruh buku merah Moa Tze Tung. Dan kadang-kala terlintas di benak apakah nasibnya dan saudaranya dari Muslim Uighur selepas ‘peperangan’ berat sebelah dengan tentera China. Namun kedua-duanya mempunyai matlamat yang sama, bercita-cita apabila pulang nanti untuk mencurahkan ilmu dan memperbetulkan saudara seIslam mereka. Dengan kewangan yang terbatas saban hari mereka berjalan beberapa kilometer, mencurahkan peluh yang bukan sedikit, tanpa rasa lelah dan menurut mereka akan rasa terbayar jika mereka mampu menjadi manusia berilmu.

    Kata Abdul Salam, saya warga Malaysia sangat beruntung. Dikurniakan kemajuan dan kemakmuran, tidak perlu berhadapan kebuluran dan persengketaan puluhan tahun seperti di tempatnya. (Bahkan ramai yang jahil tentang Malaysia mengatakan Microsoft, syarikat perkomputeran terbesar dunia itu asal-usulnya dari Malaysia, termasuk memuji pemimpin negara membabi buta) Jihad dua sahabat ini dalam bidang ilmu, sebagai menjalankan tugas fardhu ‘ain di negara masing-masing turut menyentuh hati. Memberi impak kepada diri sejauh mana peranan dan niat yang menggerakkannya. Dengan kemudahan teknologi, sumber kewangan yang boleh dikatakan OK dan kehidupan yang stabil. Kemewahan lebih banyak melalaikan berbanding memenuhi keperluan. Kadang-kala dan selalunya desakan serta keperitan sangat berguna untuk ‘memaksa’ atau memotivasikan kita. Pengalaman mengajar di samping berpandukan hadis niat riwayat Ibnu Umar bahawa niat itulah yang akan menghala-tujukan ke mana kita selepas ini. Dengan sedikit keselesaan mungkin sahaja niat mudah terpesong. Menjadikan kehidupan adalah hanya untuk masa kini dan di dunia kini, termasuk menuntut ilmu untuk kehidupan kini. Tindakan sebegini sangatlah bersesuaian konsepnya dengan erti saeculum iaitu akar kata latin bagi sekular.

    Kadang-kala terfikir sejenak, adakah kehidupan kini kehidupan yang dikutuk atau sebaliknya. Syarat untuk tidak menerima kutukan adalah ingati dan taati Allah serta berusaha menjadi seorang pelajar sepanjang hayat dari buaian hingga ke liang lahad. Sabda Rasulullah yang diriwayatkan Tirmizi ini sedikit menggusarkan, bagi sesiapa yang mengejar sesuatu termasuk ilmu untuk kepentingan diri bukan ketaatan Ilahi.

    أَلَا إِنَّ الدُّنْيَا مَلْعُونَةٌ مَلْعُونٌ مَا فِيهَا إِلَّا ذِكْرُ اللَّهِ وَمَا وَالَاهُ وَعَالِمٌ أَوْ مُتَعَلِّمٌ

    “Dunia ini terkutuk, terkutuk semua apa yang ada di dalamnya kecuali mengingati Allah, dan apa yang dibuat untuk mentaati Allah, dan orang yang berilmu serta orang yang mencari ilmu.”

    Kaedah untuk kembali dirahmati bermula dengan mengenal diri. Mencari dan memahami diri sebagai hamba hina tetapi mempunyai tugas terpuji selaku khalifah. Falsafah Upanishad dari India meletakkan pencarian diri adalah dengan memahami bahawa diri adalah roh abadi (eternal soul) iaitu atman. Dengan kesedaran ini seseorang mampu dibebaskan (liberation/mokhsha). Mencari diri mengikut kaedah Barat menjadikan pusat kehidupan hanya pada diri (humanisme), jauh dari kemutlakan dan agama diturunkan ke dalam minda, menambahkan keributan kepada jiwa. Namun mengenal diri menurut Islam menjadikan diri lebih mengenal Tuhan, memenuhi fitrah yang sudah sedia diisi oleh Allah sejak dilahirkan. Perbezaan ini menjadikan saya tersedar dengan kata-kata Abdullah Bin Rawahah yang menenangkan tentera Muslim yang berhadapan 200 000 musuh: “Kita berperang bukan kerana berdasarkan bilangan ramai dan bukan dengan kekuatan. Tetapi kita berperang kerana menegakkan Islam, dengannya kita mendapat kemuliaan dari Allah SWT. Ayuh maju ke hadapan. Satu dari dua kejayaan sudah pasti akan tercapai, sama ada kemenangan atau syahid!”

    Kata-kata ini bagai terngiang-ngiang di celah telinga. Selepas meninggalkan kota Syam beberapa bulan kemudian berlaku pengeboman di Syria. Dan kebiasaannya kerajaan yang sangat tidak mesra dengan pelajar asing ini pasti mensasarkan mereka sebagai suspek. Ada yang dipenjarakan dan ramai yang dihantar balik. Saya terfikir di manakah Abdul Salam dan Chen? Mungkin mereka sudah dihantar balik (bila ‘audah/tanpa kembali) ke negara masing-masing, berusaha menyampaikan sedikit ilmu yang mampu diserap kepada masyarakat yang dahagakan kefahaman Islam. Sabda nabi di bawah sangat mengesankan bagi mereka-mereka yang teruji:

    “Sesungguhnya amat menghairankan [jikalau diperhatikan kepada] urusan orang-orang mukmin, semua urusannya baik. Tiada seorangpun mukmin melainkan apabila dia menerima sesuatu yang menggembirakannya, dia akan bersyukur, maka dia akan mendapat kebaikan [atau pahala], manakala sekiranya dia ditimpa kesusahan, dia akan bersabar, maka dia [juga] akan mendapat kebaikan”. Sahih Muslim.

    Semoga Allah merahmati kalian, dan semoga kalian tergolong dalam golongan mukmin di atas.

    No comments: