Twitter Updates

    follow me on Twitter

    Wednesday, September 30, 2009

    Zionisme dan Globalisme


    Semalam topik perbincangan usrah yang saya kendalikan adalah berkenaan politik dan strategi global. Saya tugaskan Fahmi Salleh (Bendahari PMIUM) membuat pembentangan bedah buku karangan Henry Ford, The International Jew bagi memastikan perbicangan kami ada landasan dan pemfokusan. Perbincangan lebih menjurus kepada strategi yang digunakan Yahudi bagi mencapai matlamat mereka terutamanya pemfokusan kepada The Protocols of the Elders of Zion. Siapa penulis buku ini? Henry Ford yang merupakan pengasas Ford Motor Company adalah seorang tokoh industri terkenal, antara manusia terkaya di zamannya dan sangat terkenal selepas kejayaan Model T dengan reka bentuk moden, mudah serta murah dan dipasarkan secara besar-besaran di Amerika. Dia membawa fenomena kepada industri automobil global dan juga membentuk fenomena antisemitisme selepas keluarnya buku ini. Pandangannya berkenaan ekomoni dan industrialisasi sangat menarik tetapi yang lebih menarik ialah pendedahannya berkenaan perancangan global Yahudi menguasai pelbagai bidang dari media, politik sehingga hiburan.

    Kami tidak melihatnya secara pesimis dan skeptik dan seharusnya pembaca yang membaca karangan ini serta ratusan lagi karya sebegini yang sudah dijual ke pelusuk dunia tidak patut hanya memberi respon marah, kecewa dan sebagainya. Pembacaan bukan hanya membabitkan satu proses, mata melihat ditafsirkan oleh minda dan makna-makna yang tertulis itu difahami. Pembacaan seharusnya membabitkan pelbagai proses dari pemahaman, perbandingan, analisa dan seterusnya kesimpulan. Buku hanya maklumat yang menghimpunkan frasa-frasa perkataan tetapi akan menjadi ilmu apabila ditafsir akal. Kerana itu buku yang sama boleh ditafsirkan dengan pandangan yang pelbagai. Kenyataan Henry Ford perlu dihitung dua-tiga lapis. Kenapa beliau keluarkan buku ini sedangkan beliau sibuk dengan perniagaan? Apa yang mendesaknya? Apa manfaat? Dan apa yang seharusnya dilakukan oleh pembaca? Banyak analisis yang boleh dibuat tetapi rumusan dari bedah buku tersebut adalah segala strategi yang telah mereka rangka pada beberapa abad lepas telah berjaya dicapai dengan sangat berjaya. Protokol lapuk ini sudah tidak diperlukan bahkan mungkin sudah diperbaharui bagi kesesuaian masa dan keadaan kini. Matlamat mungkin boleh diketahui tetapi strategi semasa perlu dirahsiakan. Bahkan strategi ini tidak perlu dirancang rapi lagi kerana yang menggerakkannya adalah seluruh umat manusia dan ia diterima secara menyeluruh kini. Timbul banyak persoalan menjerat apabila dianalisis menurut perspektif Islam dan situasi umat Islam semasa. Dengan perpecahan di antara umat Islam yang masih berlaku bahkan makin menjarak, krisis identiti kerana tidak mengenal Islam yang sebenar dan banyal lagi sebenarnya memberi cabaran sangat besar kepada umat Islam kini. Kita berada betul-betul di bawah, diinjak dan diperlakukan dengan pelbagai kaedah sama ada disedari atau tidak, dalam bentuk kesusahan yang menimbulkan kemarahan atau keselesaan yang melekakan. Bagaimana strategi untuk mengukuhkan kembali Islam dapat dicapai jika anak muda masih berbalah sama ada perlu atau tidak bacaan doa selepas solat? Kita kurang kefahaman tentang aulawiyyat dalam gerakan.

    Era kini adalah fasa setiap komuniti, bangsa, organisasi dan negara mengukuh dan memperkasakan diri sendiri. Adakah ini bercanggah dengan konsep globalisasi ? Semestinya ya. Saya sempat menelaah buku John Ralston Saul, The Collapse of Globalism yang saya beli dengan potongan 70% di Megamall Kuantan. Buku yang tak mendapat tempat dan diletakkan di rak buku lama ini seolah-olah menggambarkan ideanya diketepikan dan tidak mendapat tempat. Namun apabila Democratic dan Republikan di Amerika masing-masing cuba menonjolkan siapa lebih nasionalis, Sepanyol campur tangan menghalang pengambil alihan syarikat utiliti elektrik oleh syarikat Perancis, European Union merangka dasar yang menguntungkan negara Eropah sahaja, Presiden Chaves giat memperkasakan kekuatan tentera Venezuela dan fenomena fobia kepada kebanjiran imigran di Eropah dan Australia menjadi gelombang,. maka menurut John, ia memperlihatkan kembalinya nasionalisme dan rasisme. Dan nampaknya The British East India Company, La Compagnie de l’Orient et de la Chine dan the Hudson Bay Company telah kembali dengan pakaian dan sektor baru.

    Ini juga adalah masa untuk umat Islam kembali mengukuhkan kedudukan. Apa yang perlu diperkukuhkan dahulu. Ada yang mengatakan ekonomi, politik, ilmu dan sebagainya. Saya melihat semua itu penting tetapi yang perlu diutamakan adalah diri setiap Muslim itu. Selepas diri dapat di’dekolonialisasi’ serta di’dewesternisasi’kan dan akidah dapat dikembalikan sebagai kerangka pemikiran, maka selepas itu ekonomi dan politik yang kini berada dalam sistem kerangka bukan Islam dapat diubah. Dan wasilahnya ialah pendidikan serta tarbiyyah yang seharusnya bukan dari acuan atau pengaruh Barat.

    Wednesday, September 16, 2009

    EVOLUSI: PENIPUAN YANG TERUS DISEDARI


    Ketika di sekolah, kita didedahkan bahawa manusia pada zaman dahulu hidup secara primitif. Hanya bercawat, tinggal di dalam gua, hidup berpindah randah dan lagaknya seperti kehidupan sekelompok monyet di hutan. Kelompok-kelompok ini akan berbalahan sesama sendiri untuk menguasai sesuatu kawasan. Rupa dan bentuk fizikal mereka juga dilukis atau dilakar seperti monyet, berbulu dengan berjalan membongkok. Kemudian berlaku perkembangan demi perkembangan, sehinggalah dikatakan manusia mengalami perkembangan inteletual, membentuk ketamadunan dan akhirnya mengecapi kemodenan seperti hari ini. Kalimah-kalimah evolusi disebut berkali-kali dalam dokumentari-dokumentari, secara berulang kali dan nampaknya mereka tidak pernah berputus asa dalam hal ini. Filem-filem Hollywood membawa doktrin evolusi dan dikembangkan secara meluas ke seluruh dunia. Pernah menonton filem Planet of The Apes? Kisah seorang manusia yang terkandas di sebuah planet yang dipenuhi monyet-monyet genius dan sekembalinya ke bumi terkejut apabila Amerika dikuasai oleh binatang mamalia tersebut. Ia mempunyai beberapa versi tetapi jalan ceritanya sama. Proses pendoktrinan ini tidak habis di situ. Ia bukan sekadar diserap ke ilmu sains tetapi dikembangkan ke pelbagai disiplin ilmu yang lain : antropologi, pendidikan, sejarah dan banyak lagi. Teori Thomas Kuhn berkenaan paradigma sains yang tidak bebas nilai tetapi berdasarkan kerangka tersendiri, ditentang habis-habisan walaupun mereka sendiri cuba meletakkan penilaian menurut kaca mata evolusisme.

    Teori Charles Darwin yang mewarisi beberapa pandangan dari datuknya, Erasmus Darwin tentang evolusi ini belum pernah dibuktikan secara kukuh, bahkan ia hanya bersifat spekulatif semata-mata. Bagi menjustifikasikan kebenarannya, pentaasub monyet ini melakukan beberapa penipuan seperti penemuan tengkorak Pittdown yang dikatakan separuh mawas dan separuh manusia yang dicantumkan secara pasang siap seterusnya diletakkan dalam tasik, memalsukan data DNA ketika membuat kajian tentang asas protein dalam hidupan, lukisan-lukisan palsu Hackel dan Duxley yang memaparkan gambar binatang yang berevolusi dan banyak lagi. Hipotesis Darwin ini langsung tidak jelas dan sangat bercanggah dengan kaedah saintifik Barat. Anehnya ia terus disokong, dikaji dan disebarkan walaupun banyak kajian-kajian sahih yang menolaknya. Kesemua hal ini berlaku tidak lain bagi memastikan sains dengan ketuhanan terus terpisah. Evolusisme lahir di era pencerahan Barat, yang menolak agama secara total selepas ditindas sebegitu teruk oleh gereja (saya sudah jelaskan hal ini dalam topik yang lepas). Cuba bayangkan apakah yang terjadi di Barat sekarang sekiranya konsep metafizik ini diserap semula ke dalam disiplin ilmu sains mereka. Stephen Hawking yang mengembangkan teori Big Bang dan beberapa sumbangannya dalam bidang kosmologi tidak pernah mendapat anugerah nobel kerana unsur ketuhanan yang dikemukakan setelah menyedari terdapat kuasa yang maha besar yang menentukan pembentukan alam ini iaitu kehendak Ilahi.

    Ia juga bukan sekadar itu. Teori ini membenarkan Barat untuk terus bercita-cita menguasai dunia. Teori Darwin mengatakan yang kuat akan mengalahkan yang lemah dalam persaingan hidup dan kitaran alam di mana evolusi yang lebih lama menghasilkan baka yang lebih baik. Adolf Hitler memperakui teori ini untuk perjuangan Nazi (Nationalsozialistische Deutsche Arbeiterpartei / The National Socialist German Workers’ Party) di Jerman. Begitu juga Benito Musslino, pemimpin parti Fasis Kebangsaan di Itali yang bersekutu dengan Jerman dan Jepun menentang pihak Berikat. Puluhan juta terbunuh di Eropah bagi memenuhi kehendak perjuangan ini (Di Soviet Union sahaja hampir 30 juta terbunuh). Karl Marx sendiri dalam Das Kapital memberi penghargaan kepada Darwin kerana menepati doktrin komunismenya. Lenin dan Joseph Stalin yang menguasai empayar besar Soviet membunuh ratusan juta penduduk di seluruh dunia yang kemudiannya disambung oleh rejim Marx yang lain. Ia turut berlaku di China, Kemboja, Vietnam dan banyak negara yang lain termasuk Malaysia. Namun ia bukan hanya tertakluk kepada penganut Marx semata-mata tetapi dijadikan oleh Barat secara keseluruhannya untuk menguasai dunia di era kolonialisasi, melakukan penjajahan, perhambaan dan perdagangan seks. Dalam versi baru, penjajahan difokuskan kepada ekonomi serta pendidikan. Konsep kapitalisme yang membolehkan apa sahaja dibuat untuk mencapai keuntungan dijadikan anutan sebahagian penduduk dunia kini. Dan yang menguasai kek ekonomi terbesar ialah segolongan elit tertentu yang menggunakan pelbagai kaedah, dari perbincangan hingga peperangan demi mengaut apa yang diingini. Ia menjadi seakan peraturan yang dipersetujui, lantas tiada siapa yang sanggup menentangnya kerana akan digelar musuh dunia.

    Semua ini memaparkan kebobrokan yang berlaku kini. Teori yang mengatakan manusia adalah sebahagian dari binatang yang berasal dari hidupan yang sangat seni ini bercanggah dengan ajaran Islam yang semulajadi. Adam dicipta terus oleh Allah SWT dan diajarkan nama-nama sehingga malaikat sendiri tidak mengetahui ilmu yang diajar tersebut. Ia diteruskan oleh para Nabi dan Rasul selepas itu, membawa cahaya ketamadunan yang disulami keimanan kukuh melahirkan manusia-manusia berilmu, bukannya monyet-monyet yang bergantungan di pokok-pokok. Kejadian alam ini berlaku secara sangat-sangat tertib yang tidak memungkinkannya terjadi secara kebetulan. Konsep ini tidak terhenti kepada sains tetapi meliputi pelbagai bidang termasuk politik dan ekonomi, memastikan Barat terus gah kerana mereka mengganggap bahawa diri mereka adalah yang terbaik dari sekalian makhluk evolusi yang lain.

    Saturday, September 12, 2009

    TARBIYYAH & AMAL SOLEH


    Salam Ramadhan. Salah satu hikmah disyariatkan puasa adalah untuk memberi peluang kepada umat Islam meningkatkan amal soleh seterusnya mencapai nilai ketakwaan kepada Allah SWT. Islam sebagai sebuah agama yang syumul menawarkan sistem pendidikan bersepadu bermula dari matlamat sehinggalah kepada wasilahnya. Madrasah Ramadhan merupakan medan terbaik pentarbiyyahan insan Muslim menuju ketakwaan kepada Allah SWT. Menurut Majid ‘Irsan al-Kaylani, matlamat yang ditetapkan oleh Islam dalam pendidikan dan pentarbiyyahan adalah untuk melahirkan individu muslim dan masyarakat Muslim yang sempurna. Maksud individu Muslim ialah individu yang mengamalkan amalan soleh. Amal soleh yang dilaksanakan dengan ketekunan pula merupakan amalan yang memenuhi tujuan penciptaan dan kewujudan manusia. Apakah kaitan antara amal soleh dengan tujuan penciptaan manusia? Ia boleh difahami melalui firman Allah SWT:

    Terjemahan:“Dia-lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) - untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Dia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat).” al-Mulk: (67): 2

    Kehidupan dan kematian yang dihadapi oleh manusia yang mengamalkan amal soleh akan mencapai tingkat amal yang lebih baik (ahsan) berbanding mereka yang mensia-siakan kehidupan yang dianugerahkan, dimatikan oleh Allah tanpa membawa apa-apa amalan bermanfaat. Amal soleh disebut sebanyak 359 kali dalam al-Quran yang merujuk kepada amal baik dan amal buruk yang menunjukkan penekanan amalan yang disulami keimanan. Amalan baik dan soleh merupakan terjemahan penghayatan dan ikutan yang sempurna dari apa yang diperolehi melalui falsafah pentarbiyyahan dalam Islam. Dari satu segi ia membentuk insan yang terdidik secara bersepadu dan dari sudut yang lain pula ia membentuk hubungan erat insan dengan pencipta, alam, manusia yang lain, kehidupan dunia dan juga akhirat.

    Seseorang itu tidak akan dinamakan Mukmin atau insan soleh tanpa amalan. Zuhud, wara’ dan takwa merupakan sebahagian dari sifat-sifat amal soleh hasil usaha yang dilakukan dan penghindaran dari amal buruk. Justeru, zuhud bukan perlakuan yang mengharamkan apa yang halal atau menolak kekayaan tetapi menjadikan manusia lebih kuat dan teguh untuk berbelanja di jalan Allah SWT dan tidak teragak-agak dalam melakukan pengorbanan. Inilah kefahaman zuhud yang sebenar, bukannya bermaksud sifat yang melupakan dunia secara total dengan hanya menumpukan aspek kerohanian lantas bersalahan dengan konteks ajaran Islam itu sendiri yang bersifat syumuliyyah.

    Kefahaman sebenar berkenaan amal soleh juga perlu diperbetulkan. Amal soleh bukan sekadar cukup dengan hanya melaksanakan kebaikan semata-mata tetapi dalam masa yang sama juga perlu berusaha menentang kejahatan dan kemudaratan. Oleh itu amal soleh terbahagi kepada dua iaitu amal yang tujuannya untuk memperolehi manfaat kepada manusia dan keredhaan Allah SWT dan amal yang tujuannya untuk mencegah kemudaratan serta murka Allah SWT. Manusia yang menunaikan dua amalan ini sekaligus digelar al-Soleh wa al-Muslih yang tidak hanya cukup melakukan amal baik tetapi giat berusaha mengislah, memperbaiki dan menghindari diri dari perbuatan jahat atau mungkar. Amalan pertama memberi faedah kepada pembangunan dan kemajuan diri, manakala amalan yang kedua mencegah dari berlakunya kerosakan, kemudaratan dan penyelewengan.

    Terjemahan: “Dan Tuhanmu tidak sekali-kali hendak membinasakan mana-mana negeri dengan sebab kezaliman penduduknya, selagi mereka sentiasa memperbaiki keadaan sesama sendiri.” Hud: (11): 117

    Amal soleh dari sudut sifatnya terbahagi kepada dua iaitu amalan yang berakhlak dan amalan yang dilakukan secara betul. Dua sifat ini sangat penting untuk digabungkan dalam pentarbiyyahan Islam kerana amalan yang dilaksanakan secara berakhlak tetapi dilakukan tidak betul seperti yang difirman Allah dan disabda Nabi, maka ia tidak memberi manfaat dan tidak juga menghalang mudarat. Manakala amalan yang dilakukan secara betul tetapi tidak dilaksanakan secara berakhlak maka ia tidak akan membawa kebahagiaan dan kedamaian. Sifat yang menggabungkan amal atas asas akhlak dan dilakukan dengan betul ini dinamakan ikhlas. al-Quran menyebut istilah manfaat sebanyak 50 kali melalui pelbagai ayat sebagai menunjukkan kepentingan amalan yang memberi manfaat kepada manusia. Antaranya firman Allah SWT:

    Terjemahan: “Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi; dan (pada) pertukaran malam dan siang; dan (pada) kapal-kapal Yang belayar di laut Dengan membawa benda-benda Yang bermanfaat kepada manusia; demikian juga (pada) air hujan Yang Allah turunkan dari langit lalu Allah hidupkan dengannya tumbuh-tumbuhan di bumi sesudah matinya.” al-Baqarah: (2): 164

    Justeru, pengertian amal soleh dan konsepnya perlu difahami secara jelas oleh setiap Muslim. Kebanyakan umat Islam kini salah faham atau salah tanggap tentang amal soleh yang memahaminya hanya terskop kepada ibadat khusus seperti solat, puasa dan sebagainya. Ada yang melihat ia sebagai perlakuan mengumpul pahala semata-mata dan terdapat juga yang melihatnya sebagai amalan yang hanya dapat dicapai oleh golongan yang tertentu sahaja. Kesalahfahaman berkenaan konsep ini menyebabkan amalan yang dibuat tidak dapat dihayati, tidak memberi kesan seperti melahirkan sifat-sifat mulia kepada diri, tidak mencegah dari perlakuan mungkar dan lebih rugi lagi sekiranya ia ditolak oleh Allah SWT. Ingatlah firman Allah SWT ini:

    Terjemahan: “Dan Allah serta RasulNya akan melihat amal kamu (sama ada kamu kembali beriman atau tetap kufur); kemudian kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang mengetahui perkara-perkara Yang ghaib dan Yang nyata (untuk menerima balasan), lalu ia menyatakan kepada kamu apa Yang kamu telah kerjakan". al-Taubah: (9): 94