Twitter Updates

    follow me on Twitter

    Saturday, September 12, 2009

    TARBIYYAH & AMAL SOLEH


    Salam Ramadhan. Salah satu hikmah disyariatkan puasa adalah untuk memberi peluang kepada umat Islam meningkatkan amal soleh seterusnya mencapai nilai ketakwaan kepada Allah SWT. Islam sebagai sebuah agama yang syumul menawarkan sistem pendidikan bersepadu bermula dari matlamat sehinggalah kepada wasilahnya. Madrasah Ramadhan merupakan medan terbaik pentarbiyyahan insan Muslim menuju ketakwaan kepada Allah SWT. Menurut Majid ‘Irsan al-Kaylani, matlamat yang ditetapkan oleh Islam dalam pendidikan dan pentarbiyyahan adalah untuk melahirkan individu muslim dan masyarakat Muslim yang sempurna. Maksud individu Muslim ialah individu yang mengamalkan amalan soleh. Amal soleh yang dilaksanakan dengan ketekunan pula merupakan amalan yang memenuhi tujuan penciptaan dan kewujudan manusia. Apakah kaitan antara amal soleh dengan tujuan penciptaan manusia? Ia boleh difahami melalui firman Allah SWT:

    Terjemahan:“Dia-lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) - untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Dia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat).” al-Mulk: (67): 2

    Kehidupan dan kematian yang dihadapi oleh manusia yang mengamalkan amal soleh akan mencapai tingkat amal yang lebih baik (ahsan) berbanding mereka yang mensia-siakan kehidupan yang dianugerahkan, dimatikan oleh Allah tanpa membawa apa-apa amalan bermanfaat. Amal soleh disebut sebanyak 359 kali dalam al-Quran yang merujuk kepada amal baik dan amal buruk yang menunjukkan penekanan amalan yang disulami keimanan. Amalan baik dan soleh merupakan terjemahan penghayatan dan ikutan yang sempurna dari apa yang diperolehi melalui falsafah pentarbiyyahan dalam Islam. Dari satu segi ia membentuk insan yang terdidik secara bersepadu dan dari sudut yang lain pula ia membentuk hubungan erat insan dengan pencipta, alam, manusia yang lain, kehidupan dunia dan juga akhirat.

    Seseorang itu tidak akan dinamakan Mukmin atau insan soleh tanpa amalan. Zuhud, wara’ dan takwa merupakan sebahagian dari sifat-sifat amal soleh hasil usaha yang dilakukan dan penghindaran dari amal buruk. Justeru, zuhud bukan perlakuan yang mengharamkan apa yang halal atau menolak kekayaan tetapi menjadikan manusia lebih kuat dan teguh untuk berbelanja di jalan Allah SWT dan tidak teragak-agak dalam melakukan pengorbanan. Inilah kefahaman zuhud yang sebenar, bukannya bermaksud sifat yang melupakan dunia secara total dengan hanya menumpukan aspek kerohanian lantas bersalahan dengan konteks ajaran Islam itu sendiri yang bersifat syumuliyyah.

    Kefahaman sebenar berkenaan amal soleh juga perlu diperbetulkan. Amal soleh bukan sekadar cukup dengan hanya melaksanakan kebaikan semata-mata tetapi dalam masa yang sama juga perlu berusaha menentang kejahatan dan kemudaratan. Oleh itu amal soleh terbahagi kepada dua iaitu amal yang tujuannya untuk memperolehi manfaat kepada manusia dan keredhaan Allah SWT dan amal yang tujuannya untuk mencegah kemudaratan serta murka Allah SWT. Manusia yang menunaikan dua amalan ini sekaligus digelar al-Soleh wa al-Muslih yang tidak hanya cukup melakukan amal baik tetapi giat berusaha mengislah, memperbaiki dan menghindari diri dari perbuatan jahat atau mungkar. Amalan pertama memberi faedah kepada pembangunan dan kemajuan diri, manakala amalan yang kedua mencegah dari berlakunya kerosakan, kemudaratan dan penyelewengan.

    Terjemahan: “Dan Tuhanmu tidak sekali-kali hendak membinasakan mana-mana negeri dengan sebab kezaliman penduduknya, selagi mereka sentiasa memperbaiki keadaan sesama sendiri.” Hud: (11): 117

    Amal soleh dari sudut sifatnya terbahagi kepada dua iaitu amalan yang berakhlak dan amalan yang dilakukan secara betul. Dua sifat ini sangat penting untuk digabungkan dalam pentarbiyyahan Islam kerana amalan yang dilaksanakan secara berakhlak tetapi dilakukan tidak betul seperti yang difirman Allah dan disabda Nabi, maka ia tidak memberi manfaat dan tidak juga menghalang mudarat. Manakala amalan yang dilakukan secara betul tetapi tidak dilaksanakan secara berakhlak maka ia tidak akan membawa kebahagiaan dan kedamaian. Sifat yang menggabungkan amal atas asas akhlak dan dilakukan dengan betul ini dinamakan ikhlas. al-Quran menyebut istilah manfaat sebanyak 50 kali melalui pelbagai ayat sebagai menunjukkan kepentingan amalan yang memberi manfaat kepada manusia. Antaranya firman Allah SWT:

    Terjemahan: “Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi; dan (pada) pertukaran malam dan siang; dan (pada) kapal-kapal Yang belayar di laut Dengan membawa benda-benda Yang bermanfaat kepada manusia; demikian juga (pada) air hujan Yang Allah turunkan dari langit lalu Allah hidupkan dengannya tumbuh-tumbuhan di bumi sesudah matinya.” al-Baqarah: (2): 164

    Justeru, pengertian amal soleh dan konsepnya perlu difahami secara jelas oleh setiap Muslim. Kebanyakan umat Islam kini salah faham atau salah tanggap tentang amal soleh yang memahaminya hanya terskop kepada ibadat khusus seperti solat, puasa dan sebagainya. Ada yang melihat ia sebagai perlakuan mengumpul pahala semata-mata dan terdapat juga yang melihatnya sebagai amalan yang hanya dapat dicapai oleh golongan yang tertentu sahaja. Kesalahfahaman berkenaan konsep ini menyebabkan amalan yang dibuat tidak dapat dihayati, tidak memberi kesan seperti melahirkan sifat-sifat mulia kepada diri, tidak mencegah dari perlakuan mungkar dan lebih rugi lagi sekiranya ia ditolak oleh Allah SWT. Ingatlah firman Allah SWT ini:

    Terjemahan: “Dan Allah serta RasulNya akan melihat amal kamu (sama ada kamu kembali beriman atau tetap kufur); kemudian kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang mengetahui perkara-perkara Yang ghaib dan Yang nyata (untuk menerima balasan), lalu ia menyatakan kepada kamu apa Yang kamu telah kerjakan". al-Taubah: (9): 94

    No comments: