Twitter Updates

    follow me on Twitter

    Friday, October 23, 2009

    PEMIKIRAN HOLISTIK

    Ketika mana saya menatap skrin laptop ini, tergambar di benak saya bahawa di sebalik laptop yang sudah 3 tahun saya gunakan ini ia mempunyai banyak ceritanya yang tersembunyi. Ia bukan sekadar selonggok komponen elektronik dengan litarnya yang berserabut tetapi terkandung idea, inovasi dan keringat manusia. Logam yang ada hasil usaha pelombong yang habiskan hidup dengan pekerjaan sukar itu. Begitu juga dengan komponennya yang lain, semuanya bermula dari bahan mentah yang pelbagai, melalui pelbagai proses yang panjang sehingga dapat dinamakannya sebagai sebuah komputer riba. Begitu juga dengan idea penciptaannya. Ada yang mengatakan ianya dimulakan oleh seorang lelaki Inggeris bernama Charles Babbage yang digelar the Father of Computer. Ataupun oleh Alan Turing yang mencipta ‘electric computer’, dan mungkin sahaja jurutera warga Jerman bernama Konrad Zuse yang mencipta Z3 yang dikawal sepenuhnya oleh digit-digit elektromekanikal. Namun semua itu tidak akan dapat dicipta tanpa sumbangan teknologi China semasa bangsa Eropah masih hidup secara nomad antara tahun 2600BC dan 300BC dengan teknologi abaskus yang digunakan oleh peniaga. Begitu juga dengan perkara yang lain sama ada ia dalam bentuk fizikal atau abstrak. Pemikiran yang dimulakan dengan kaedah ini melatih kita untuk melihat sesuatu perkara secara holistik, menyeluruh dan bersifat realiti. Ia sudah ditunjukkan oleh Islam. Ayat-ayat Allah SWT memerintahkan manusia bukan sekadar menggunakan segala kemudahan alam yang diberikan, tetapi meneliti setiap penciptaan tersebut. Ayat al-Quran bukan sekadar untuk ditilawahkan, dibaca malam Jumaat atau dikhatamkan sewaktu Ramadhan sahaja tetapi ditadabbur, sehingga insan yang membaca ayat Allah SWT itu mampu melihat apa yang terdapat disebalik huruf-huruf arab tersebut. Melihat al-Quran secara holistik bukan bermaksud dengan membaca kesemua ayat-ayat dari 30 surah tetapi dengan mengetahui isi yang disampaikan dan memahami hikmah yang terselit. Firman Allah SWT yang menyebut sekiranya dibaca ayat-ayat Allah SWT maka iman seseorang itu akan bertambah adalah hasil penelitian yang holistik. Dan minda dapat dikembangkan sekiranya kefahaman tersebut diamalkan pula dalam kehidupan. Pemikiran holistik menemukan kita dengan paradigma Islam yang sebenar. (Sekadar meminjam istilah Thomas Kuhn: paradigma ialah kerangka yang digunakan untuk memahami dunia sebenarnya. (Konsep paradigma sains beliau sangat menarik untuk diteliti)). Apa yang kita lihat akan dipadankan dengan pola yang tersimpan dalam minda kita. Sekiranya paradigma yang kita pegang itu benar maka kefahaman kita juga akan benar. Ia mengajar kita berfikiran rasional, memahami falasi dan bersikap kritis. Seorang isteri yang rajin mengemas dari satu segi dilihat kerana peribadinya yang rajin dan bertanggungjawab, namun dari segi yang lain mungkin rajin mengemas kerana akan ada tetamu datang ke rumah. Ia bergantung kepada sejauh mana proses penilaian kita, sama ada melihatnya dari sudut yang luas atau sempit. Jadi bagaimana kita menilai orang yang berada di sekeliling kita, persahabatan yang kita jalin, pasangan yang dinikahi, pekerjaan yang diceburi dan sumbangan yang diberi? Berikan jawapan anda dengan pemikiran yang holistik.

    No comments: