Twitter Updates

    follow me on Twitter

    Tuesday, October 6, 2009

    Tahyul dan Mitos


    Stesen televisyen sekarang sedang berlumba-lumba menjadi yang terbanyak menayangkan drama atau filem tahyul, misteri dan mistik. Tokey-tokey syarikat penerbitan dari Indonesia menerima durian runtuh apabila drama-drama mereka diimport secara besar-besaran dan berterusan ke Malaysia. Ditayangkan bermula tengah hari hingga ke petang hampir setiap hari dan ada kalanya sehingga larut malam. Pengarah-pengarah filem tanah air pula berebut-rebut merangka cerita-cerita seram dan komedi selepas era cinta remaja pada tahun 90-an merosot. Apa yang menyebabkan televisyen sekarang berebut menayangkan drama-drama sebegini? Syarikat televisyen yang mengejar keuntungan dan berebut rating tertinggi penonton tidak akan membeli drama atau filem sebegini jika ia tidak mendapat sambutan penonton. Dari sini timbul satu lagi persoalan. Adakah penerimaan besar-besaran dan berterusan terhadap konsep drama/filem sebegini mempersembahkan tahap kesedaran intelektual masyarakat Melayu di Malaysia. Jika tayangan televisyen boleh dijadikan indikator mudah maka ringkasnya tahap kesedaran masyarakat adalah di tahap membimbangkan, tiada perkembangan bahkan mungkin makin mundur ke belakang.

    Ada yang mengatakan ini kesan globalisasi. Antara aspek-aspek globalisasi ialah ekonomi, teknologi, penggunaan bahasa, pemikiran dan pengetahuan, serta kebudayaan. Jadi, adakah kesan yang berlaku sekarang mungkin kesan teknologi serta kebudayaan global? Sebelum itu adalah penting untuk diketahui bahawa globalisasi sebenarnya bukan perkara baru tetapi baru dipromosikan oleh dunia setelah segala pasarannya telah kukuh bertunjang di serata dunia ini. Ia telahpun bermula sejak bermulanya penggunaan mata wang moden yang membolehkan manusia berinteraksi secara bebas di antara satu sama lain; bermulanya sistem perbankan sehingga pendepositan dan pengkreditan dapat dilakukan di mana sahaja; bermulanya undang-undang Hammurabi yang menjadi dasar perundangan dunia kini; bermulanya pasaran saham dan sebagainya. Oleh itu, tidak tepat untuk menyalahkan globalisasi dalam hal ini.

    Ini kerana ia hanya berlaku di sini. Limpahan drama sebegini menyebabkan timbulnya rencana atau dokumentari yang mengkaji hal ini seperti Seekers, Misteri Nusantara dan lain-lain. Apa manfaat yang didapati dari tayangan ini ? Fenomena di Malaysia ini berlaku sebaliknya di Barat. Projek drama dan filem di Barat memasuki tahap baru apabila ia kini bukan sekadar ditayangkan di seluruh pawagam dan kaca TV seluruh dunia tetapi dianggap sebagai sumber dan medium ilmu (menurut pandangan mereka). Sebagai contoh ilmu-ilmu magik dalam filem sekual Harry Potter dari novel J.K Rowling menjadi subjek pengajian di universiti, bahasa pertuturan bangsa Elf dalam tiga filem mega the Lord of the Rings dijadikan topik kajian linguistik, tema-tema tertentu drama Star Trek dijadikan kajian dalam bidang agama manakala pengajian politik dan isu semasa dirangka di sebuah fakulti berdasarkan episod-episod dalam siri kartun The Simpsons. Dalam masa yang sama program Sesame Street, Blues Clues dan banyak lagi menjadi kelas tidak rasmi untuk rujukan pelajar sekolah rendah. (Sila rujuk buku The Tipping Point karya Malcolm Gladwell, yang mengulas bagaimana dua program ini mampu mencapai kejayaan yang sangat tinggi hanya dengan sedikit sentuhan).

    Perkembangan fenomena ini atau boleh dikatakan penguncupan dalam keintelektualan masyarakat kini memerlukan satu usaha bersepadu untuk diselesaikan. Di kala masyarakat bergelumang kembali dengan ketahyulan, mereka juga secara berterusan dihasut dengan banyak lagi elemen-elemen negatif dunia hiburan. Penyelidikan-penyelidikan yang dibuat oleh para pakar psikologi dari serata dunia, umpamanya Leonard Eron dan L. Rowell Huesman dari Universiti Illinois, Amerika Syarikat membentangkan bahawa kanak-kanak yang banyak menonton adegan ganas di televisyen atau melalui VCD ketika berusia 8 tahun lebih berkecenderungan melakukan jenayah ganas atau terlibat dengan penderaan kanak-kanak atau pasangan ketika berusia 30 tahun kerana didapati golongan ini selalunya mengalami perubahan mental.

    Gejala ini berlaku tidak lain kerana kekosongan jiwa masyarakat dari aspek kerohanian dan ilmu tentang Tuhan (ma’rifatullah). Kekosongan ini diisi dengan kehendak hawa nafsu seperti hiburan yang mengasyikkan. al-Farabi mengatakan kewujudan tertinggi dan Maha Sempurna ialah Allah SWT. Lantas ilmu tentang Allah SWT itu adalah ilmu yang paling tinggi dan sempurna. Sekiranya ilmu tertinggi ini diletakkan di tempat yang paling bawah dan digantikan dengan ‘ilmu’ yang bukan bertaraf ilmu, maka secara langsung juga kedudukan mereka yang berpegang kepada ilmu tersebut kekal dalam kesesatan dan kehinaan. Sama ada ia disedari atau tidak.

    Kaum asli di Nicaragua percaya untuk mengelakkan terjadinya letusan gunung berapi di kawasan mereka, seorang perempuan cantik perlu dicampakkan ke lohong gunung berapi tersebut. Namun Muslim di Malaysia tidak mempercayai sekiranya 100 perempuan cantik lagi seksi dibiarkan berkeliaran (sebagai anologi) maka azab yang lebih kuat boleh berlaku berbanding letusan tersebut. Manakah yang lebih mulia, percaya kepada tahyul kerana kejahilan atau menyokong kemungkaran kerana mahu asyik dengan kelalaian?

    No comments: