Twitter Updates

    follow me on Twitter

    Friday, November 20, 2009

    1Malaysia

    Ikon 1Malaysia seharusnya diberikan kepada lokasi atau persekitaran. Ia tidak boleh diberikan kepada invidu. Apa indikator pemberian anugerah itu pada individu? Jika tentang hubungan, boleh dikatakan setiap masyarakat itu sentiasa berhubung satu sama lain. Jika kepada persatuan, maka sudah pasti persatuan atau NGO yang berasaskan kemajmukan kaum yang akan mendapatnya, tiada yang pelik kerana memang objektif penubuhannya sebegitu. Yang paling sesuai ialah kedai mamak yang makin melimpah-limpah khususnya di ibu kota ini. Mereka tidak pernah meletakkan objektif pembukaan kedai untuk menyatupadukan kaum atau tak pernah diketahui lagi dana-dana kerajaan pernah sampai kepada mereka untuk menjalankan aktiviti perpaduan. Apa yang mereka pentingkan roti canai, nasi kandar dan nan mereka habis terjual. Taukenya tak pernah terfikir pun untuk menyahut seruan kerajaan dalam soal perpaduan. Namun kedai-kedai mereka menjadi tumpuan pelbagai kaum, tempat berkumpul rakan taulan dan lokasi menonton bola sepak pelbagai lapisan masyarakat. Apa istimewanya kedai-kedai makan ini. Semua pelayannya lelaki, bermisai dan berjambang. Sebahagian besarnya berwajah lagak pelakon tamil, Padayappa sebilangan sahaja seperti Kamal Hassan dan lebih mustahil lagi Salman Khan. Tiada perempuan cantik dan seksi untuk menarik pelanggan lelaki datang. Cuma istimewanya pekerja mereka ini tidak pernah duduk dan sangat berdisiplin. Menunya sama setiap hari, tidak seperti KFC, McD dan Pizzahut yang terpaksa menukar-nukar menu setiap bulan bagi memastikan pelanggan datang berkunjung. Konsep pemasaran (marketing) mereka hampir sama, tiada yang luar biasa tetapi sekali tengok dapat diketahui itu adalah kedai mamak.


    Cina, India, Melayu, Pak Arab, Mat Indon, abang Negro dan kakak Filippina yang bekerja di ibu kota, semuanya menjadikan kedai mamak lokasi makan mereka. Dari pagi di bawa kepada pagi esoknya, sentiasa di buka setiap jam tanpa cuti. Pekerja-pekerja mereka menyebarluaskan bahasa kebangsaan, bahasa Melayu ketika berinteraksi dengan pelanggan. Cina yang tergagap-pelat bercakap Melayu walaupun BM A1 dalam SPM terpaksa menggunakan semula bahasa Melayu dengan mereka. Pak syeikh Arab sudah mengenal erti air kosong, roti canai dan nasi goreng. Kebanyakan menu lebih kepada masakan Melayu atau diasimilisasikan ke makanan Melayu dan selebihnya makanan India. Ia menjadi isi perut semua kaum tanpa perlu dipaksa, dipublisitikan dalam TV atau ditetapkan sebagai pekeliling oleh kerajaan.


    Apa rumusan yang boleh kita buat? Hendak mencapai perpaduan tidak semestinya dengan belanjawan jutaan ringgit, tidak perlu terlalu banyak berslogan-slogan (sloganisme), terlalu banyak aktiviti dan sebagainya. Apa yang penting adalah kemampuan mencari titik persamaan antara setiap bangsa dan disatukan sehingga ia dapat dikongsi tanpa saling rasa wasangka. Ini digunakan dengan bijak oleh pengusaha kedai mamak. Mereka gunakan keistimewaan ini menarik masyarakat pelbagai kaum. Mereka kekalkan identiti yang ada dan diterjemahkan kepada persekitaran dan budaya kedai. Malaysia sentiasa satu, tidak pernah dua atau tiga. Jika satu hari nanti berlaku perpecahanpun, negeri yang terpisah itu tidak akan gunakan nama Malaysia juga kerana nama itu sudah sedia tertulis dalam buku daftar PBB. Retorikkan perkataan satu walau sejuta kali sekalipun, tetapi jika perlaksanaannya tiada atau pendekatannya bercanggah maka ia hanya akan dilihat satu usaha mendapatkan undi semata. Seorang Muslim tidak akan mencapai taraf mukmin jika cukup dengan mengucap, apa yang dipentingkan adalah pengamalan manifestasi dari ucapan yang ditimbulkan dari keyakinan. Begitu juga tentang hal perpaduan. Sekadar mengatakan kita perlu bersatu tetapi persekitaran dan budaya tidak dibentuk ke arah apa yang dikehendaki maka itu dipanggil usaha menjual air liur. Kepada kerajaan, jangan bazirkan RM191.5 bilion duit rakyat ke tempat yang tidak sewajarnya. Pendekatan berkesan tidak semestinya memerlukan belanjawan yang tinggi. Apa yang diperlukan adalah sedikit akal yang tinggi.


    (*mungkin penulisan ini sedikit bias kerana penulis menjadi pelanggan tetap kedai mamak di tepi rumah, makan hasil air tangan mamak saban hari. Apa boleh dibuat kedai Melayu jauh, yang paling dekat pun yang menggaji pembasuh pinggannya untuk membasuh beras tanpa dia basuh dahulu tangan bekas kotoran makanan)

    No comments: