Twitter Updates

    follow me on Twitter

    Tuesday, November 24, 2009

    SESAWANG EMAS


    Internet dan perkomputeran adalah lambang penyebaran maklumat dan data secara ekstrem. Bayangkan dalam masa hanya satu saat, jutaan data dikeluarkan di seluruh dunia, dilayari oleh lebih 1 bilion penduduk dunia. Ia mencipta satu dunia dan budaya yang baru. Kesannya mempengaruhi hampir keseluruhan umat manusia. Kejahilan tentang aplikasi internet pada hari ini sama seperti kejahilan mereka yang tidak tahu membaca pada abad ke-20. Ia sentiasa berkembang, melalui pelbagai transformasi. Setiap transformasi yang berlaku turut memberi pengaruh dan kesan kepada penggunanya iaitu manusia. Cuba bayangkan Facebook dan Twitter kini bukan sekadar memperkenalkan budaya baru tetapi menjadi pusat kepada pelbagai jenis inovasi demi meningkatkan ekonomi di era ‘depression’ ini. Steve Jobs, CEO Apple diiktiraf oleh majalah Fortune sebagai CEO dekad ini atas kejayaannya mengembangkan teknologi dan aplikasi Apple ke serata dunia dari iTones music, the iPod hingga kepada iPhone yang mempunyai pelbagai variasi itu. Beliau bukan sekadar berjaya mengumpul keuntungan sebanyak $150 bilion tetapi turut mengubah budaya masyarakat secara global.

    Ahli perniagaan biasanya peka dengan perkembangan yang berlaku. Golongan artis pula kebiasaannya menggunakan MySpace, laman sosial yang menempatkan klip video dan blog yang boleh dikongsi dengan para peminat. Namun ahli politik khususnya di Malaysia belum melihat media sosial sebagai lubuk emas yang perlu disentuh. Sedangkan The Webby Awards iaitu anugerah antarabangsa terulung tentang internet meletakkan 10 laman web paling berpengaruh dalam dekad ini dengan sebahagiannya diisi oleh laman sosial seperti Facebook, Twitter dan Youtube. Jaringan Twitter banyak mempengaruhi situasi politik Iran sewaktu pemilihan presidennya. Tahniah juga kepada Obama yang menggunakan internet dengan jayanya sehingga memenangi jawatan Presiden kulit hitam pertama.

    Namun ahli politik di Malaysia hanya menggunakan laman sosial sekadar untuk memaklumkan aktiviti-aktiviti yang mereka lakukan ibarat itu adalah diari digitalnya. Ada yang sekadar mendaftar kemudian senyap sunyi, hilang entah ke mana. Sedangkan The New Oxford American Dictionary mengiktiraf perkataan ‘unfriend” satu kalimah yang digunakan oleh pengguna Facebook sebagai perkataan untuk tahun ini (world of the year for 2009). Rakyat Malaysia secara puratanya pula menghabiskan 30 minit setiap hari di laman social seperti Facebook, tetapi saya percaya ia lebih lama dari itu. Lihatlah pengaruh laman social ini. Diakui para pemimpin ini sibuk apatahlagi pindaan undang-undang di Parlimen Malaysia boleh dikatakan antara yang terbanyak di dunia selepas 50 tahun lebih parti yang sama menguasai eksekutif dan legaslatif. Mungkin mereka sibuk dan asyik meminda-minda tanpa sedar mereka juga perlu mencipta dan berevolusi. Seharusnya dilantik seorang atau sekumpulan pembantu yang memfokuskan kerjanya berkenaan internet dan media sosial. Bukan sekadar melaporkan apa yang dirancang tetapi turut sama berinteraksi dengan pengguna. Ia kadang-kala menggugat kedudukan pemimpin kerana interaksi laman sosial sifatnya sama taraf, tiada tingkatan, tidak perlu ‘appointment’ dan pengguna bebas berkomunikasi mengikut kehendaknya. Ia sedikit sebanyak mempengaruhi ego si pemimpin. Namun mereka tidak akan mampu menahan tsunami perubahan ini, jika tidak digunakan peluang ini maka mereka akan ditinggalkan. Penggunaan Facebook sebagai contoh memerlukan teknik dan kaedah yang tertentu. Saya melihat sesetengah pemimpin politik mengajak muda-mudi ke program-program mereka tanpa terlebih dahulu membina imej dan persepsi mereka dalam laman sosial tersebut. Mendapatkan kepercayaan dan membina reputasi sangat penting kepada pemimpin yang menggunakan laman sosial ini. Mulai dahulu dengan pandangan-pandangan yang bernas, menarik perhatian dan konkrit. Ia menarik pengguna khususnya belia untuk menjadi ‘pemerhati dan pengomentar tetap’ kepada akaun mereka. Mohon cadangan dan komentar agar pengguna merasakan mereka turut bersama membantu dalam memperkasakan parti. Hal-hal sebegini sangat penting. Seorang pemimpin di luar dilihat dari sudut karisma dan keberkesanan kepimpinannya. Laman sosial turut memerlukan karisma ini tetapi melalui aplikasi digital yang lebih kompleks dan kreatif bentuknya. Selamat ber’FB’. (satu lagi kalimah baru yang muncul dalam perkamusan bahasa Melayu yang sangat bertoleransi ini)

    No comments: