Dalam ‘posting’ terbaru saya dalam laman sosial Facebook, saya menulis: “for me Malaysia & Malaysian must be seen realistically, as it really is, and not just as it should be. So the starting point must always be what is, with a progression from there to what should be.” Saya cuba utarakan idea ini untuk dibincangkan khususnya oleh mereka yang ahli dalam gerakan Islam namun tiada yang menyahut. Saya fokuskan kepada mereka yang terlibat dalam gerakan Islam kerana golongan ini merupakan yang terpenting bagi memahami kondisi sebenar apa yang sedang, sudah dan akan berlaku di Malaysia. Dan golongan ini juga kadang-kala terlepas pandang tentang hakikat ini, terlalu ghairah menguatkuasakan sesuatu dan mengisytiharkan apa yang dihajati. Mereka yang memahami manhaj hidup Islam pasti mengidami kewujudan Negara Islam manakala manifestasi ketaatan kepada perintah Allah SWT adalah dengan menegakkan hukum Islam. Namun, kenapa ia menimbulkan keributan sedangkan niat sebenar yang diinginkan adalah kesejahteraan. Persoalan inilah yang saya ingin bangkitkan.
Bagi saya negara dan rakyat di dalamnya perlu dilihat secara realistik. Siapa yang melihat? Sesiapa sahaja yang mahu dan mempunyai niat baik mengubah masyarakat. Ubah yang bagaimana? Sudah tentu bukan ubah yang memberi mudarat tetapi perubahan dari buruk kepada baik atau dari baik kepada lebih baik atau lebih-lebih baik. Seorang mekanik yang ingin membaiki sebuah kereta akan melihat dahulu punca kerosakan kereta. Dari situ dia akan merancang dan memastikan apa yang perlu dibuat sehingga kereta pulih ke sedia kala. Sebelum itu dia telah menjalani banyak latihan dan pengalaman, dia sudah memahami fungsi kereta, bahkan kaedah operasi kereta yang pelbagai jenis. Ada yang mewah, sedan dan klasik. Tanpa pemahaman sebegini, mekanik itu tidak akan mencapai taraf kepakaran yang sepatutnya.
Mengubah dan memperbaiki masyarakat lebih sukar dari itu. Kita makhluk berfikir, punyai ilmu yang pelbagai dan pengalaman yang berbeza bukannya objek yang keras dan kaku, tanpa akal dan nafsu. Kefahaman kepada persekitaran dan objek yang majmuk merupakan perkara terpenting bagi mana-mana individu atau institusi yang mahu membuat perubahan. Adalah sesuatu yang tidak masuk akal di sini apabila diisytiharkan kemahuan sebuah Negara Islam tanpa melihat sokongan yang diperlukan. Adalah sesuatu yang mendukacitakan apabila dikatakan hukum Islam ingin ditegakkan, tanpa menyelitkan sekali perkaedahannya untuk sampai ke situ. Bolehkah perlembagaan Malaysia yang dibentuk Reid itu dimansuhkan terus sedangkan ia sudah diamalkan selama lebih 50 tahun, dikanunkan membentuk pelbagai undang-undang, melahirkan system kehakiman dan pelbagai institusi yang sangat kompleks. Yang paling penting, bukankah satu kezaliman bagi kita untuk memaksakan masyarakat mengikut kehendak kita tanpa diberikan kefahaman terlebih dahulu. Bahkan yang paling ditakuti kita sendiri tidak memahami sebenarnya apa yang kita mahukan. Dunia kini ibarat sebuah market yang memasarkan pelbagai produk. Mahu tidak mahu kita sudah berada dalam market yang telah dibentuk ini. Tugas kita adalah menawarkan produk terbaik dari segala yang ada yang akhirnya menarik minat rakyat untuk mendapatkan produk-produk tersebut.
Vladimir Ulyanov atau Lenin merupakan tokoh besar revolusioner di Russia yang memahami kepentingan memahami realiti ini. Beliau berpegang bahawa pertubuhan perlu sentiasa berubah dari semasa ke semasa, pembebasan kelas pekerja hanya akan dicapai oleh mereka bukan orang lain dan teori serta amalan sentiasa berhubung kait. Menurutnya mengejar idea adalah tidak berguna kecuali jika ia membawa kepada tindakan, namun tindakan yang paling hebat sekalipun tidak akan berguna kecuali ianya dipandu oleh pemahaman tentang bagaimana masyarakat berubah. Idea dan usaha Lenin ini mencetuskan revolusi Bolshevik di Rusia menjahanamkan rejim Tsar, memfizikalkan idea Marx dan dieksport ke seluruh dunia membentuk seolah satu empayar baru yang walaupun terpisah-pisah tetapi bersatu dalam idea dan pengamalan. Contoh ini bukan bermakna jalan terbaik adalah dengan revolusi apatahlagi dengan situasi kini, ia tidak akan menyelesaikan masalah bahkan akan lebih menimpulkan permasalahan. Namun apa yang boleh dicedok ialah kepandaian Lenin membaca realiti sebelum terjadinya revolusi sehingga memberi impak yang sangat besar.
Bacaan kepada realiti ini telah diamalkan jauh lebih dahulu oleh Rasulullah SAW. Fasa awal dakwah beliau ialah pengukuhan kefahaman dan dari situ membawa kepada penghijrahan sehingga terbentuknya sebuah Negara. Tempat-tempat penghijrahan juga dibaca secara teliti oleh baginda. Baginda tidak memilih China atau India yang jauh atau Rom dibawah kekuasaan Kaisar sebagai tempat perlindungan umat Islam yang diancam musyrikin Mekah tetapi memilih Habsyah yang dipimpin Najasyi sebagai lokasi paling sesuai. Ia tidak terlalu jauh dan ini memungkinkan Rasulullah memaklumi segala yang berlaku di sana. Komunikasi kekal terjalin. Pemimpinnya pula merupakan raja yang adil dan menerima tetamu asing dengan hormat bukan sebaliknya. Banyak lagi bacaan dan strategi baginda yang mementingkan keutamaan dan realiti yang berlaku sebelum melakukan tindakan. Kita kabur tentang sirah baginda kerana kita lebih mengutamakan tarikh sesuatu peristiwa yang berlaku dan apakah peristiwa-peristiwa yang berlaku tanpa cuba memahami kenapa ia berlaku dan bagaimana Rasulullah menyelesaikannya.
Dalam konteks Malaysia, situasinya lebih kompleks. Komposisi kaum yang ketara, politik perkauman yang mencengkam dan perubahan sosial yang berbeza kini memerlukan idea-idea yang sangat kreatif. Kekreatifan ini memerlukan daya intelektual yang tinggi sebagai asasnya. Saya berpegang kepada pandangan Hussein Alatas bahawa tidak ada parti politik tanpa falsafah yang dinyatakan dalam perlembagaannya, meskipun boleh dikatakan bahawa falsafah tersebut tidak disusun melalui penelitian intelektual. Parti politik bukan sekadar berkerja ketika pilihanraya semata-mata dan mengulas isu-isu setempat tetapi idea-ideanya juga perlu dikembangkan secara berkala. Sebolehnya di luar perlembagaan parti, terdapat ratusan buku dan penerbitan yang menghuraikan falsafah parti tersebut secara terperinci dan meliputi sejumlah aspek kehidupan social. Ada ahli teori dan pemikir parti dan ada pula pengkritiknya. Sebelum itu perlu dikenalpasti adakah wujud golongan pemikir ini. Jika tiada ataupun sedikit maka proses pembinaan pemikir perlu digerakkan. Saya dan beberapa rakan lain memahami kelemahan ini dengan mengambil inisiatif menggerakkan proses keinteletualan dan pembuatan dasar berdasarkan kajian sebagai fokus gerak kerja kami melalui penubuhan Sekolah Pemikir Muda. Kita sudah banyak melahirkan tenaga yang ikhlas berjuang, ditarbiyyah bertahun-tahun dan menghadami kitab-kitab karangan Fathi Yakan, Hassan al-Banna, Mustafa Masyhur dan sebagainya. Namun kita masih kekurangan tenaga pemikir yang bukan sekadar punyai tapak asas epistemologi dan perjuangan tetapi kemampuan memahami dasar-dasar nasional, ilmu-ilmu asas pentadbiran, ekonomi, sosial, perundangan dan sebagainya. Dengan kata lain pembinaan inteletual-intelektual yang berfungsi menggerakkan parti sesuai mengikut kehendak zaman, mampu memberi jawapan kepada persoalan yang selama ini terbungkam dan penawaran polisi terbaik berbanding parti yang lain tanpa penggadaian sedikitpun kepada dasar-dasar Islami yang telah termaktub.
No comments:
Post a Comment