Twitter Updates
Sunday, January 31, 2010
Is Productivity and Superior Technology the Panacea for Economic Ills?
Monday, January 25, 2010
PEMIMPIN MUDA DAN PEMIMPIN MASA DEPAN
Ucapan tahniah ditujukan kepada Sdr. Nazree Yunus yang akhirnya memilih PKR sebagai parti untuk beliau bergelumang dalam bidang politik. (Kenapa gelumang biasanya disandarkan kepada politik?) Saya mengenali Nazree sewaktu di UM Nilam Puri. Ketika beliau menjadi Presiden Persatuan Mahasiswa Islam UM di Kuala Lumpur, saya dipertanggungjawabkan memegang beberapa jawatan termasuk pengarah dalam beberapa program anjuran PMIUM. Begitu juga ketika beliau diundi memegang jawatan wakil fakulti di Akademi Islam merangkap exco terpinggir Majlis Perwakilan Mahasiswa UM, saya salah seorang ketua biro untuk wakil fakulti tersebut. Beliau seorang yang professional, berjiwa perunding dan diplomat. Era PMIUM di bawah kepimpinan Ust Muhd Ramadhan Fitri Elias dan Ust Hanid Baderun merupakan era konfrontasi antara PMIUM dengan pihak HEP mahupun KPT. Suasana tegang menyelubungi banyak waktu terutamanya sewaktu Pilihanraya Kampus. Zaman beliau merupakan zaman diplomasi, memperbanyakkan program-program dan dilaksanakan usaha-usaha berbaik dengan pihak yang berkonfrontasi sebelum itu. Selepas habis pengajian beliau bekerja dengan Dato’ Norza Zakaria (bekas exco pemuda UMNO yang dituduh rasuah)di INSKA. Ura-ura mengatakan beliau akan masuk UMNO namun meleset apabila menggantikan Ezam Mohd Noor selaku Pengerusi Gerak. Selaku bekas pemimpin mahasiswa, beliau mempunyai nama dan ketokohan tersendiri. Diharapkan dengan pengalaman di kampus dan di dua NGO sebelum ini mampu menjadi bekal untuk diadaptasi dalam dunia politik sebenar yang lebih mencabar. Politik apatahlagi politik PKR yang masih muda mempunyai cabaran yang bukan sedikit. Ia sangat kompleks sekompleks sejarah penubuhan parti itu sendiri. Beliau kini tidak lagi boleh menjadi sekadar seorang diplomat yang lembut tetapi perlu dilihat garang, bijaksana dan licik. Perwatakan ini penting untuk dilihat sebagai memaparkan kelahiran salah seorang pemimpin masa depan PKR.
Selamat berjuang juga kepada adik-adik kampus khususnya di UM dan beberapa kampus lain yang berhadapan dengan proses pilihanraya kampus. Ini kali pertama UM menggunakan e-voting iaitu pengundian secara berkomputer dan lokasinya masih dilaksanakan di kolej kediaman. Satu polisi yang sudah lama kami tentang sejak bertahun dahulu. Dari aduan yang diterima sistem ini sangat lemah dan tidak mampu dilihat telus. Ia mampu direka untuk memberi kemenangan automatik kepada sesiapa yang dikehendaki. Ini juga mewajarkan para aktivis mahasiswa untuk terus komited dalam memperjuangkan keadilan yang dihajati. Pengalaman di kampus merupakan pengalaman yang tidak dapat didapati di mana-mana apatahlagi bagi sesiapa yang bergelumang dengan dunia aktivisme mahasiswa. Ia mengajar kita pelbagai aspek, dari pengorganisasian, politik, dakwah, perhubungan dan peningkatan keilmuan. Bahkan sangat sayang bagi sesiapa yang sudah ada kesempatan hidup di dunia kampus yang ideal ini tidak mengambil kesempatan untuk turut bergelumung dengan aktiviti kampus. Kuliah dan buku satu hal, pengalaman satu hal yang lain. Adunan ini melahirkan seorang ilmuan yang berjiwa kental. Tokoh-tokoh politik dan pemimpin masyarakat lahir dari rahim pengalaman gerakan kampus ini. Harapnya adik-adik yang sanggup bersengkang mata hingga ke subuh, ditahan polis, diugut, bergerak kerja dengan pelbagai strategi dan sebagainya tidak luntur apabila bergraduasi kelak (walaupun data menunjukkan sebaliknya). Semangat ini bahkan perlu dinyalakan lagi apabila melangkah keluar ke alam kampus kelak.
Tuesday, January 19, 2010
PECAH & RETAK
Memikirkan aduan-aduan mahasiswa di UM tentang isu sesat-menyesat yang melanda kini menyebabkan saya mengurut dahi dua tiga kali. Masih berlaku fenomena sebegini, ia berkembang di surau-surau kolej kediaman dengan masing-masing pelajar yang muda remaja ini saling tuduh-menuduh mereka yang paling benar dan patut diikuti dan yang lain salah sehingga ke tahap sesat. Ada yang mencaci ulama’ dan mempertikaikan karya-karya berharga yang dikarang dan diguna-rujuk oleh umat Islam sejak ratusan tahun lampau. Bahkan ada pula yang menegaskan tidak akan melakukan sebarang kerja selagi akidahnya belum benar-benar utuh, tanpa dia benar-benar arif sampai tahap mana keutuhan dan indikator ilmu yang perlu dicapai itu. Jika persoalan kalam yang dia bangkitkan maka saya perlu katakan sampai mati pun hal khilaf ini tidak akan dapat diselesaikan. Ia sudah diperdebatkan ratusan tahun yang lampau dengan ribuan kitab dan ia terus disambung hingga kini dengan pandangan-pandangan yang baru pula. Mengupas persoalan ini ibarat menjadikan air laut sebagai dakwat. Ia tidak akan selesai selagi sikap dan disiplin manusia itu tidak dikawal. Saya cadangkan baca kupasan Ust Zaharuddin berkenaan ilmu sekerat-sekerat. Kupasannya sangat baik dan menyedarkan.
“Sekelompok orang dari kalangan rakyat jelata, pekerja kasar dan penganggur yang mengaku sebagai pengikut mazhab Hanbali di kota Baghdad melakukan bermacam bidaah yang sangat tercela dan perbuatan yang sangat memalukan, suatu hal yang tidak pernah diperkenankan oleh seorang ateis sekalipun, apalagi seorang ahli tauhid. Mereka sangat keterlaluan mencaci maki para imam terdahulu, mengumpat orang-orang soleh dan pembela agama. Mereka mencaci maki di tempat-tempat umum, masjid, perkumpulan, pasar dan jalan-jalan.
Saturday, January 16, 2010
FILEM
Filem adalah seni yang bergerak. Bahkan ia adunan pelbagai projek kerja seni, dari kekreatifan penulisan skrip, kelayakan pelakon dan kebijaksanaan pengarah, lantas menghasilkan sebuah hasil seni besar. Ia boleh diumpamakan ibarat artifak budaya yang sama ada sebagai refleksi dari sesuatu budaya atau memberi kesan kepada kebudayaan tersebut. Sebagai sumber hiburan yang sangat popular ia adalah metod paling berkuasa untuk dua aspek: pendidikan dan indoktrinisasi/propaganda kepada masyarakat. Walaupun ada yang cuba membezakan kedua aspek ini namun bagi saya ia dua cabang dari satu matlamat yang sama. Kadang-kala filem berunsur pendidikan, dokumentari sebagai contoh, bukan sekadar mendidik semata-mata bahkan terdapat juga yang menjadikannya sebagai bahan pendoktrinan paling berkesan. Terdapat banyak dokumentari kini yang hanya menawarkan pandangan-pandangan sebelah pihak atau ideologi yang disokong contohnya yang sarat dengan mesej evolusisme, dengan naratif yang menjurus terus kepada apa yang ingin dipersembahkan. Dokumentari sebegini banyak dipertontonkan di Malaysia, sama ada kita sedar mahupun tidak.
Filem berbentuk propaganda memenuhi pawagam di Barat semasa meletus perang dunia pertama dan kedua. Leni Riefenstahl banyak membantu pihak Nazi German mengembangkan fahaman fasis melalui filem beliau, Stalin sewaktu memimpin Soviet telah mengeluarkan filem artistik salah satunya oleh Sergei Mikhailovich Eisenstein. Di Amerika, filem-filem perang dibuat dengan begitu banyak. Dipertontonkan dari filem Combat dan Red Dawn yang memaparkan kekuatan askar Amerika pada perang dunia kedua, kisah perang di Vietnam seperti sekuel Rambo dan pertembungan kekuatan persenjataan semasa era perang dingin seperti World War III dan The Whistle Blower sehingga yang terkini berkenaan filem-filem menentang keganasan yang sangat banyak: The Kingdom, Das Netz, The Terrorist, True Lies, Fitna dan banyak lagi. Justeru ubah tanggapan bahawa filem hanya medan hiburan (kecuali mungkin kebanyakan filem komedi dan cinta Malaysia). Filem-filem seperti di atas perlu ditonton, bukan untuk hiburan semata tetapi pendidikan bagi kita memahami banyak aspek yang dibawa, khususnya mereka yang terlibat dengan perjuangan mendidik rakyat.
Saya cuba untuk mewajibkan diri menonton filem-filem berbajet besar dan mendapat sambutan tinggi. Sifirnya mudah sekali, untuk apa bajet dihabiskan ratusan juta jika hanya untuk menghiburkan jiwa yang kosong. Dari mana bajet yang diterima jika tidak dari pelbagai pihak, tokoh perniagaan, syarikat atau tokoh politik dan semua ini mempunyai kepentingannya masing-masing. Setiap filem punyai mesejnya yang tertentu dan dengan puluhan atau ratusan juta penonton di seluruh dunia, maka industri perfileman bukan sekadar industri tetapi sudah menjadi institusi. Filem 'Titanic' terbitan 1997 kekal sebagai filem yang mencatat kutipan tertinggi iaitu 1.8 bilion dolar US diikuti Avatar pada 2009, 'the Lord of the Rings: the Return of the Kings' pada 2003 dan 'Pirate of the Caribbean: Dead Man's Chest' yang ditayangkan pada 2006. Bayangkan dengan hanya dua jam pelbagai mesej boleh disebarkan kepada ratusan juta penonton seluruh dunia. Hanya dengan pendekatan satu hala!
Umat Islam (kecuali industri filem Iran) belum benar-benar dapat mengetengahkan filem yang memaparkan perspektif kita sendiri. Era kini bukan era mengawal muda-mudi dan menghalang mereka ke pawagam, bahkan sudah sampai masanya perlu ada inisiatif di kalangan umat Islam melalui kemahuan politik dan pertubuhan bukan kerajaan Islam untuk memasuki industri perfilemen ini. Adakah Islam hanya cukup sekadar menjadi penapis kepada filem-filem sebelum ditayangkan ke pawagam di seluruh negara? Adakah hanya itu kemampuan yang boleh kita tonjolkan? Kita habiskan banyak masa dan wang menganjurkan pelbagai program dan aktiviti demi mendapai matlamat memberi faham Islam kepada masyarakat. Dan kebiasaannya yang hadir mereka yang sudah memahami. Sayangnya kita belum dapat mencapai ‘untapped market’, golongan sebenar yang perlu didekati. Alangkah baik sekiranya duit dan masa yang telah dihabiskan itu digunakan pula kini untuk bergiat dalam industri perfileman. Filem sudah lama menjadi satu medium untuk masyarakat Malaysia luangkan masa. Kajian terkini menunjukkan kedatangan penonton ke pawagam semakin meningkat dan ini memerlukan pihak swasta membina lebih banyak pawagam khususnya di bandar-bandar kecil. Ia sebuah industri yang tetap kekal utuh walaupun selepas puluhan tahun dengan pelbagai transformasi tapi masih mengekalkan pendekatan yang tertentu. Naluri manusia sentiasa menginginkan hiburan dan selagi perasaan itu dipenuhi maka selagi itu ia kekal relevan. Dan tugas kita untuk membantu menghalatujukan hiburan yang sebenarnya dan yang sepatutnya mereka kecapi. Ia subjektif namun perlu dikaji dan diselidiki.
Yasmin Ahmad yang menghasilkan filem Rabun, Sepet, Gubra, Mukhsin, Muallaf dan Tallentime hanya memerlukan bajet rendah tetapi mampu menarik perhatian ramai pihak. Filem beliau sarat dengan mesej dan walaupun ada yang bersifat kontroversi namun ia menjadi tatapan umum khususnya muda-mudi. Dakwah ialah satu usaha membentuk pemikiran dan sikap manusia supaya berada dalam acuan yang ditentukan Allah. Al-Qaradhawi ketika membahaskan persoalan dakwah menyebut antara syarat kepada daie adalah mengetahui dengan baik persoalan kemanusiaan serta sains dan teknologi selain ilmu Islam itu sendiri. Adakah dakwah cukup dengan ceramah dan berforum? Adakah metod dakwah itu bersifat kekal atau sentiasa berubah dengan berubahnya perubahan semasa? Lantas dalam konteks ini di mana keutamaan yang telah kita letakkan?
Monday, January 11, 2010
Lagi Isu Penggunaan kalimah Allah
Selain berdebat mengenai justifikasi al-Qur’an mengenai kebenaran menggunakan kalimah Allah oleh orang Kristian, mungkin kita harus kembali kepada isu yang sebenar dan konteks yang melingkari isu ini. Bagi saya isunya ialah salah guna istilah bahasa dan kekeliruan yang timbul hasil dari salah guna tersebut. Konteks isu ini ialah penggunaan istilah atau kalimah Allah untuk menterjemahkan istilah Lord atau God ke dalam bahasa Melayu. Kalaulah kita dapat buktikan bahawa terjemahan mereka sendiri tidak tepat dan menyalahi peraturan dan tatacara bahasa, maka kita tidak perlu berbahas sama ada Islam membenarkan atau tidak kerana mereka memang sejak awal lagi telah salah dalam penggunaan tersebut.
Antara yang harus diperhatikan:
1. Terjemahan itu sendiri adalah salah kerana istilah God adalah kata nama umum sedangkan istilah Allah ialah nama khas. Istilah God dalam erti yang umum telahpun terjemahannya dalam kamus Melayu iaitu istilah Tuhan. Walaupun golongan Kristian mengatakan dalam Bible bahasa Melayu istilah Allah adalah terjemahan kepada istilah elohim dalam bahasa Hebrew sementara istilah Tuhan mereka gunakan untuk terjemahan istilah Yahweh dalam bahasa Hebrew dan ini telah berlaku sejak 150 tahun, kita tetap mempertikaikan bahawa mereka tidak seharusnya menggunakan kalimah Allah yang telah secara umumnya telah digunakan dengan meluas oleh orang Islam untuk menggambarkan Tuhan yang Esa sejak beratus tahun.
2. Sekiranya mereka ingin menggunakan istilah yang lebih dekat dengan tradisi asal agama Kristian mereka seharusnya menggunakan istilah asal dalam bahasa Hebrew samada Yahweh, Elohim atau Adonal dan bukannya Allah. Ini kerana istilah-istilah tersebut masih kekal sebagai istilah Kristian dan tidak membabitkan istilah yang digunakan oleh orang Islam seperti kalimah Allah. Yang menariknya hatta dalam konteks sarjana-sarjana Bible sendiri ramai yang mempertikaikan terjemahan kepada istilah Allah dan mereka mahukan istilah Allah ini ditukarkan kembali kepada istilah asal iaitu Yahweh supaya tidak mengelirukan orang-orang Kristian sendiri. Malah mereka mengganggap Indonesian Bible Society yang memulakan penterjemahan tersebut sebagai menyeleweng kerana menyebabkan masyarakat Kristian keliru dengan menggunakan istilah Allah. Mereka juga berhujah bahawa istilah Allah adalah istilah yang digunakan oleh the pagan Arabs yang merujuk kepada salah satu dari tuhan-tuhan mereka, maka orang Kristian tidak seharusnya menggunakan istilah tersebut. Maka kalau di kalangan Kristian sendiri ramai yang mempertikaikan penggunaan kalimah Allah, agak pelik kalau di kalangan orang Islam cuba untuk menjustifikasi penggunaan tersebut.
4. Jika dilihat dalam terjemahan Bible dalam bahasa Melayu, kita akan mendapati istilah seperti “para allah” (terjemahan “the gods”, Psalms, 82:1), “Kamu adalah Allah, dan anak-anak Yang maha Tinggi kamu sekelian”(psalms, 82:96), “segala allah bangsa-bangsa adalah berhala” (1 Chronicles 16:26). Persoalannya adakah kita masih ingin mengatakan Islam membenarkan penggunaan kalimah Allah digunakan oleh orang Kristian apabila ia digunakan dalam bentuk yang amat bertentangan dengan semangat al-Qur’an seperti di atas?
Friday, January 8, 2010
Di Luar Konteks
Friday, January 1, 2010
Melayu: Menyongsong Abad ke -21?
Tajuk ‘post’ saya ini seperti judul buku Ismail Husin dan Wan Hashim Wan Teh, terbitan UKM yang khusus menyentuh Tamadun Melayu. Isi huraiannya agak bagus, begitu juga dengan olahan Prof Hashim Musa dalam buku beliau Merekonstraksi Tamadun Melayu Islam. Namun idea-idea yang dibawa oleh para sarjana ini seolah utopia jika dibandingkan dengan realiti kini. Saya ke Singapura beberapa minggu lepas, bukan mencari kepala Singa Putih yang popular di Pulau Sentosa itu, tetapi cuba meninjau-ninjau sosio-budaya masyarakat Melayu Islam di sini kini. Saya dan sahabat bernasib baik dapat menginap di Hotel 81 berdekatan penempatan majoriti masyarakat Melayu di situ. Menyusuri Geylang Road, mengelilingi Arab Street, meninjau Tanjong Katong Complex yang popular di era P. Ramlee dan membaca akhbar melayu Berita Harian Singapura sambil mencicip teh tarik mamak. Pengalaman lapangan ini cuba saya campuri dengan warna pengalaman membaca dan menganalisis kisah kehidupan kotaraya Singapura yang maju ini. Singapura sebuah pulau bekas koloni British merupakan Negara dengan GDP $181.9 bilion, sifar kemiskinan dan ditadbir PAP sejak berpisah dengan Malaysia. Dengan populasi 4.6 juta penduduk, majoriti 76.8% adalah Cina, 13.9% Melayu, 7.9% India dan lain-lain 1.4%.
Perkapita masyarakat yang menyamai negara-negara di Barat Eropah ini mempunyai lenggok ceritanya yang berbeza. Membaca akhbar Singapura secara langsung memaparkan nasib mereka. Bermasalah dari sudut kemiskinan, gejala sosial yang meruncing, pendidikan yang merudum dan ketidaktekalan kepada budaya yang diamalkan menjadikan mereka seolah terpinggir di celah sudut-sudut bangunan kosmopolitan. Globalisasi sebagai agen mutasi budaya menyerap masuk ke dalam bukan sekadar budaya seharian biasa tetapi berlingkar terus kepada cara berfikir dan pegangan agama. Globalisasi ialah ‘pensejagatan set andaian dan naratif’ (universalisation of a set of assumptions and narratives) yang menggunakan saluran rasmi atau tidak rasmi dalam pendidikan dan komunikasi ke seluruh bahagian dunia. Hegemoni berbentuk neo-kolonialisme ini berlaku sehingga dalam pentafsiran keagamaan masyarakat Melayu Islam di mana ciri atau had-had berkenaan toleransi agama, kesederhanaan, kemajmukan, hak asasi manusia, dan sebagainya, semuanya ditentukan daripada perspektif Barat. Budaya yang menjadi cermin jati diri masyarakat Melayu di sini kian terhakis, dilupakan dan diadaptasi menjadi budaya kosmopolitan baru bercirikan kemodenan dan bersifat universal berpaksikan budaya Las Vegas dan Hollywood. Persoalan kebudayaan antara topik penting yang hangat dibincangkan di era pascakolonial oleh para sarjana seperti Edward Said yang mengarang Culture and Imperialism. Kenapa budaya itu penting. (tanpa menafikan agama, bahkan agama menjadi asas kepada budaya Melayu)
Kekuatan Melayu dilihat dari sudut kedinamikan budayanya. Sejarah membuktikan budaya Melayu yang selama ribuan tahun terletak di tengah persimpangan timur dan barat sentiasa terbuka, proaktif dan mampu menyerap unsur positif dari luar. Ia diserap bagi pembangunan dan pengukuhannya. Melayu juga kuat dengan Islam sebagai anutannya yang berciri teguh, benar, sempurna dan realistik. Melayu juga tidak dilihat kepada entiti etnik, ras, suku kaum atau keturunan tetapi sebagai satu entiti budaya (a cultural entity) yang merangkumi pelbagai etnik. Asalkan tercerna tiga teras budaya Melayu iaitu bahasa Melayu, Islam dan beradat resam Melayu. Tipologi tamadun Melayu bukan berbentuk materialistik, terlalu bercirikan inteletual dan mistik. Tamadun Melayu Islam berdasarkan beberapa tempat dan waktu adalah berasaskan wahyu yang mempunyai elemen nafsu badaniah, intelek, rasio dan kerohanian. Saya katakan beberapa tempat dan waktu itu dengan melihat kepada kerajaan Islam Melaka di zaman Sultan Muzaffar Shah, Samudera-Pasai, Perlak dan Acheh.
Pemerkasaan kembali masyarakat Melayu Singapura bahkan di Malaysia adalah dengan pengembalian kembali kepada kecirian budaya yang telah disebut di atas di samping keperluan memenuhi beberapa faktor yang lain seperti pemerkasaan ilmu dan kesedaran diri. Saya meninggalkan kota SInga ini dengan seribu satu andaian. Memasuki ruang udara Indonesia selepas meninggalkan Changi meminta saya untuk membuka seluasnya minda yang bercerucuk. Perluasan untuk bersedia menerima pelbagai lagi persoalan dan andaian dengan budaya dan corak hidup Melayu Islam di lokasi yang lebih luas dan lebih ramai itu.