Saya terpaksa terus menjadi skeptik apabila membahaskan polemik nama Allah yang bergegar di Malaysia sekarang. Polemik ini mendatangkan pelbagai pandangan dan menerbitkan lebih banyak kekaburan. Semua ingin bersuara, minoriti yang melontarkan sokongan dan ramai yang melaungkan bantahan. Malaysia dengan latar sosio-budaya dan sejarah yang melatarinya memiliki isu-isu sensitif yang bersifat formal bentuknya, dimaklumi sebahagian besar masyarakat. Ia terbuka kepada sebarang bentuk eksploitasi dan apabila ia berjaya dimarakkan maka maraknya itu sukar dipadam. Memadam api emosi tidak semudah memadam kebakaran dengan air. Ia memerlukan proses yang panjang, melalui didikan dan pembentukan pola pemikiran yang rasional. Perasaan syak tentang polemik ini terus bermain di benak minda saya dan mungkin dikongsi dengan rakan-rakan yang lain.
Kenapa isu sesensitif ini yang mana kesnya membabitkan persoalan agama Islam dihakimi oleh seorang hakim bukan Islam? Persoalan ini membuka pula polemik dan tanggapan bahawa biasanya hakim Islam akan memihak kepada kes yang memenangkan Islam manakala yang bukan Islam akan memberi keputusan yang sebaliknya seperti dalam kes-kes sivil sebelum ini. Timbul satu lagi permasalahan sensitiviti dan kini ia mengalir ke peringkat kehakiman. Kenapa KDN lambat membuat rayuan sekiranya dimaklumi bahawa isu ini sangat sensitif. Seolah menunggu sesuatu sehingga baru meminta penangguhan keputusan itu oleh Mahkamah Tinggi. Alangkah bagus tindakan itu dibuat dan diputuskan sepertimana pantasnya mahkamah menentukan kedudukan DS Zambry di Perak. Tambah aneh PM sendiri seolah memberi lampu hijau membenarkan sebarang bentuk himpunan, bercanggah dengan perintah pihak polis yang melarang himpunan bantahan ini. Isu yang sangat sensitif ini dibiarkan berlarutan seolah meletakkan penyelesaiannya hanya kepada dua jalan, perundangan dan jalan raya.
Persoalan hukum menentukan penggunaannya telah jelas dihuraikan para ulama’. Al-Quran menggambarkan bagaimana masyarakat bukan Islam menggunakan nama Allah walaupun ajaran mereka bercanggah dengan Islam seperti dalam surah Luqman ayat ke-35. Namun perlu diingat juga ucapan pihak musyrikin tentang Allah itu datang dalam dua wajah (atau mungkin lebih). Pertama dalam bentuk memuliakan apabila mereka mengakui Allah yang menciptakan langit dan bumi. Yang kedua pula dalam bentuk penghinaan apabila disebut dalam al-Quran bahawa mereka mengatakan al-Masih dan ‘Uzair itu anak Allah, tangan Allah terbelenggu dan sebagainya. Apa yang membimbangkan (nampaknya kita terpaksa bermain dengan kebimbangan) yang kedua itu mendominasi lantas memberi kekeliruan kepada umat Islam sendiri. Saya tidak mahu mengulas panjang berkenaan persoalan ini kerana bagi saya perbincangan ini di luar konteks yang sepatutnya kita bincangkan.
Persoalan asas yang perlu diutarakan ialah konteks kenapa gereja sebagai sebuah institusi “daie” yang perlu memohon penggunaan nama Allah ini, bukannya orang awam penganut Kristian berbahasa Melayu sendiri. Dan persoalannya atas justifikasi apa permohonan itu dibuat. Keputusan perundangan dalam kepala seorang hakim tidak akan membabitkan persoalan emosi dan nak menjaga hati. Seorang hakim yang akan menjatuhkan hukum tidak akan mengambil kira rasa kasihan seorang ibu kepada pesalah atau kemungkinan si isteri akan menjanda atau kerana simpati kepada anak pesalah yang ramai maka dia dibebaskan. Mereka berpegang kepada keterangan saksi dan bukti. Jika terbukti salah maka mereka akan dijatuhkan hukuman salah. Sekiranya persoalan ketidakstabilan seperti dalam artikel 11 (5) tidak dapat dibuktikan maka ia tidak akan mempengaruhi keputusan yang dibuat hakim. Namun demikian, persoalan paling besar berhubung isu ini bukan persoalan ia perlu dibawa ke mahkamah dan diputuskan hakim tapi ia persoalan penerimaan masyarakat Islam berhubung penggunaan nama Allah ini. Adakah umat Islam di Malaysia mengizinkan? Perkamusan Melayu Malaysia yang terbentuk secara tidak bertulis yang berdasarkan kefahaman masyarakat ini telah jelas menerima bahawa God itu perlu diterjemahkan kepada Tuhan. Allah adalah kata nama khas yang tidak boleh diterjemahkan, ia bukan bahasa kebangsaan tetapi kalimah milik semua umat Islam di dunia ini. Apabila seorang muslim menulis kalimah tuhan maka tuhan yang dimaksudkannya itu ialah Allah. Itu pemahaman tauhid yang meresap kukuh dalam keyakinan setiap muslim. Ia akan ditanggapi sebaliknya kepada penganut agama yang lain.
Seharusnya kita melihat penggunaan nama Allah ini merupakan satu peluang untuk memberi ruang penganut lain memahami tauhid dengan lebih jelas. Bahkan mereka mungkin akan terkeliru dengan lafaz trinity yang diyakini dengan percanggahan jalla jalalah yang terzahir. Zahirnya begitu. Namun kadang-kala kebimbangan perlu diberi keutamaan berbanding peluang, khususnya dalam konteks Malaysia sekarang. Saya teringat kisah sebab turunnya ayat dalam surah ‘abasa. Rasulullah SAW yang ketika itu sedang mendakwahkan ajaran Islam kepada pembesar musyrikin Mekah telah didatangi seorang sahabat, si buta bernama ‘Abdullah Bin Maktum yang ingin bertanyakan sesuatu tentang Islam. Baginda menangguhkan sebentar pertanyaan beliau dan lebih memberi perhatian kepada pembesar tersebut yang mungkin beredar dan menutup ruang dakwah yang dilihat sangat besar sekiranya mereka memeluk Islam. Namun Allah SWT menegur baginda kerana tidak melayani permintaan sahabat tadi. Walaupun secara zahirnya apa yang perlu diutamakan adalah memfokuskan untuk mengIslamkan pembesar tadi namun secara hakikatnya dari konteks ayat tersebut, menjaga akidah umat Islam yang sudah mengi’tikadkan diri dengan Islam adalah lebih perlu untuk utamakan. Dalam masa yang sama demi mengekalkan maslahah ‘ammah dan mengelakkan mafsadah maka kestabilan yang sedia ada ini perlu dikekalkan.
No comments:
Post a Comment