Filem adalah seni yang bergerak. Bahkan ia adunan pelbagai projek kerja seni, dari kekreatifan penulisan skrip, kelayakan pelakon dan kebijaksanaan pengarah, lantas menghasilkan sebuah hasil seni besar. Ia boleh diumpamakan ibarat artifak budaya yang sama ada sebagai refleksi dari sesuatu budaya atau memberi kesan kepada kebudayaan tersebut. Sebagai sumber hiburan yang sangat popular ia adalah metod paling berkuasa untuk dua aspek: pendidikan dan indoktrinisasi/propaganda kepada masyarakat. Walaupun ada yang cuba membezakan kedua aspek ini namun bagi saya ia dua cabang dari satu matlamat yang sama. Kadang-kala filem berunsur pendidikan, dokumentari sebagai contoh, bukan sekadar mendidik semata-mata bahkan terdapat juga yang menjadikannya sebagai bahan pendoktrinan paling berkesan. Terdapat banyak dokumentari kini yang hanya menawarkan pandangan-pandangan sebelah pihak atau ideologi yang disokong contohnya yang sarat dengan mesej evolusisme, dengan naratif yang menjurus terus kepada apa yang ingin dipersembahkan. Dokumentari sebegini banyak dipertontonkan di Malaysia, sama ada kita sedar mahupun tidak.
Filem berbentuk propaganda memenuhi pawagam di Barat semasa meletus perang dunia pertama dan kedua. Leni Riefenstahl banyak membantu pihak Nazi German mengembangkan fahaman fasis melalui filem beliau, Stalin sewaktu memimpin Soviet telah mengeluarkan filem artistik salah satunya oleh Sergei Mikhailovich Eisenstein. Di Amerika, filem-filem perang dibuat dengan begitu banyak. Dipertontonkan dari filem Combat dan Red Dawn yang memaparkan kekuatan askar Amerika pada perang dunia kedua, kisah perang di Vietnam seperti sekuel Rambo dan pertembungan kekuatan persenjataan semasa era perang dingin seperti World War III dan The Whistle Blower sehingga yang terkini berkenaan filem-filem menentang keganasan yang sangat banyak: The Kingdom, Das Netz, The Terrorist, True Lies, Fitna dan banyak lagi. Justeru ubah tanggapan bahawa filem hanya medan hiburan (kecuali mungkin kebanyakan filem komedi dan cinta Malaysia). Filem-filem seperti di atas perlu ditonton, bukan untuk hiburan semata tetapi pendidikan bagi kita memahami banyak aspek yang dibawa, khususnya mereka yang terlibat dengan perjuangan mendidik rakyat.
Saya cuba untuk mewajibkan diri menonton filem-filem berbajet besar dan mendapat sambutan tinggi. Sifirnya mudah sekali, untuk apa bajet dihabiskan ratusan juta jika hanya untuk menghiburkan jiwa yang kosong. Dari mana bajet yang diterima jika tidak dari pelbagai pihak, tokoh perniagaan, syarikat atau tokoh politik dan semua ini mempunyai kepentingannya masing-masing. Setiap filem punyai mesejnya yang tertentu dan dengan puluhan atau ratusan juta penonton di seluruh dunia, maka industri perfileman bukan sekadar industri tetapi sudah menjadi institusi. Filem 'Titanic' terbitan 1997 kekal sebagai filem yang mencatat kutipan tertinggi iaitu 1.8 bilion dolar US diikuti Avatar pada 2009, 'the Lord of the Rings: the Return of the Kings' pada 2003 dan 'Pirate of the Caribbean: Dead Man's Chest' yang ditayangkan pada 2006. Bayangkan dengan hanya dua jam pelbagai mesej boleh disebarkan kepada ratusan juta penonton seluruh dunia. Hanya dengan pendekatan satu hala!
Umat Islam (kecuali industri filem Iran) belum benar-benar dapat mengetengahkan filem yang memaparkan perspektif kita sendiri. Era kini bukan era mengawal muda-mudi dan menghalang mereka ke pawagam, bahkan sudah sampai masanya perlu ada inisiatif di kalangan umat Islam melalui kemahuan politik dan pertubuhan bukan kerajaan Islam untuk memasuki industri perfilemen ini. Adakah Islam hanya cukup sekadar menjadi penapis kepada filem-filem sebelum ditayangkan ke pawagam di seluruh negara? Adakah hanya itu kemampuan yang boleh kita tonjolkan? Kita habiskan banyak masa dan wang menganjurkan pelbagai program dan aktiviti demi mendapai matlamat memberi faham Islam kepada masyarakat. Dan kebiasaannya yang hadir mereka yang sudah memahami. Sayangnya kita belum dapat mencapai ‘untapped market’, golongan sebenar yang perlu didekati. Alangkah baik sekiranya duit dan masa yang telah dihabiskan itu digunakan pula kini untuk bergiat dalam industri perfileman. Filem sudah lama menjadi satu medium untuk masyarakat Malaysia luangkan masa. Kajian terkini menunjukkan kedatangan penonton ke pawagam semakin meningkat dan ini memerlukan pihak swasta membina lebih banyak pawagam khususnya di bandar-bandar kecil. Ia sebuah industri yang tetap kekal utuh walaupun selepas puluhan tahun dengan pelbagai transformasi tapi masih mengekalkan pendekatan yang tertentu. Naluri manusia sentiasa menginginkan hiburan dan selagi perasaan itu dipenuhi maka selagi itu ia kekal relevan. Dan tugas kita untuk membantu menghalatujukan hiburan yang sebenarnya dan yang sepatutnya mereka kecapi. Ia subjektif namun perlu dikaji dan diselidiki.
Yasmin Ahmad yang menghasilkan filem Rabun, Sepet, Gubra, Mukhsin, Muallaf dan Tallentime hanya memerlukan bajet rendah tetapi mampu menarik perhatian ramai pihak. Filem beliau sarat dengan mesej dan walaupun ada yang bersifat kontroversi namun ia menjadi tatapan umum khususnya muda-mudi. Dakwah ialah satu usaha membentuk pemikiran dan sikap manusia supaya berada dalam acuan yang ditentukan Allah. Al-Qaradhawi ketika membahaskan persoalan dakwah menyebut antara syarat kepada daie adalah mengetahui dengan baik persoalan kemanusiaan serta sains dan teknologi selain ilmu Islam itu sendiri. Adakah dakwah cukup dengan ceramah dan berforum? Adakah metod dakwah itu bersifat kekal atau sentiasa berubah dengan berubahnya perubahan semasa? Lantas dalam konteks ini di mana keutamaan yang telah kita letakkan?
No comments:
Post a Comment