KENYATAAN SIDANG AKHBAR
PARTI MAHASISWA NEGARA (PMN) BERHUBUNG BEBERAPA ISU DAN TUNTUTAN UMUM
SEMPENA PILIHANRAYA UMUM KE-12
TARIKH / HARI :
19 FEBRUARI 2008
TEMPAT :
KAMPUNG BEREMBANG
INTRODUKSI
Pilihanraya Umum Ke-12 yang bakal diadakan pada 8hb Mac 2008 akan menjadi satu tarikh penting bagi memilih pemimpin negara. Pilihanraya melambangkan demokrasi. Rakyat mempunyai kebebasan untuk memilih pemimpin negara yang bertanggungjawab tinggi terhadap rakyat, bermoral dan berkredibiliti.
Parti Mahasiswa Negara (PMN) telah memulakan langkah awal dengan mengisytiharkan penubuhannya dan seterusnya akan menghantar calon dalam Pilihanraya Umum ke-12 ini. Tindakan ini menunjukkan komitmen yang tinggi dikalangan mahasiswa yang juga mewakili generasi muda hari ini dalam menzahirkan partisipasi aktif dalam pilihanraya ini. Bahkan ini merupakan hak dan tanggungjawab sosial rakyat yang tidak boleh dinafikan walau seinci dalam perlaksanaan sistem demokrasi di Malaysia.
Justeru, Parti Mahasiswa Negara (PMN) ingin menegaskan beberapa isu yang menjadi dasar tuntutan dan manifesto menjelang pilihanraya ini.
PARTI MAHASISWA NEGARA DAN GOLONGAN MUDA
Parti Mahasiswa Negara (PMN) menyifatkan Barisan Nasional kurang menyayangi golongan muda meskipun sudah lima puluh tahun memerintah negara. Sepanjang tempoh tersebut, Barisan Nasional gagal memperbaiki syakhsiyyah ataupun keperibadian golongan muda ini. Sebaliknya, ramai golongan muda yang terlibat dengan krisis identiti dan moral sehingga menghakis nilai agama, budaya dan adab ketimuran. Parti Mahasiswa Negara (PMN) juga melihat parti-parti pembangkang seperti PAS, PKR dan DAP tidak serius dalam mendekati golongan muda dengan pendekatan-pendekatan yang mampu menarik minat mereka. Tambahan pula, sehingga ke hari ini, tidak ada satu pun segmentasi manifesto pihak parti kerajaan dan parti pembangkang yang menggamit golongan muda. Semua parti politik yang ada di negara ini harus sedar bahawa golongan muda hari inilah yang memainkan peranan besar dalam mencorak perjalanan Malaysia untuk lima puluh tahun akan datang.
KOS SARA HIDUP YANG MENEKAN
Isu yang gagal menenangkan hati rakyat adalah isu tekanan kos sara diri rentetan daripada kenaikan harga barang, kenaikan petrol, kenaikan tarif air dan letrik serta isu kegundahan rakyat terhadap keselamatan. Rakyat hidup dalam keadaan yang tertekan kerana Barisan Nasional terus menaikkan harga barang kawalan dan masih lagi mengekalkan harga minyak atau petrol yang tinggi meskipun Petronas mendapat keuntungan yang berbilion-bilion ringgit. Cukai petroleum yang diambil oleh kerajaan bukannya disalurkan untuk menjaga kepentingan rakyat tetapi digunakan untuk melancarkan koridor-koridor ekonomi sehingga menjangkau lebih kurang RM 850 bilion ringgit. Rakyat juga merasa tertipu apabila dikatakan yuran sekolah di peringkat rendah dan menengah dihapuskan tetapi mereka masih lagi terpaksa membayar ratusan ringgit sewaktu pendaftaran sekolah. Berdasarkan Bajet 2008, Kerajaan Barisan Nasional telah memperuntukkan sebanyak RM 12 bilion ringgit untuk melaksanakan pebagai projek dan program Kementerian Pengajian Tinggi. Duit itu hanya digunakan untuk pembangunan material semata-mata seperti Universiti Malaysia Kelantan, Universiti Darul Iman dan Universiti Pertahanan. Walaubagaimanapun, mahasiswa masih lagi ditekan dengan pinjaman hutang berpuluh ribu ringgit selepas graduan daripada universiti. Ini ditambah dengan caj 3 peratus yang dikenakan oleh PTPTN.
KADAR JENAYAH
Perdana Menteri YAB Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi dan pasukan polis telah berjanji sejak 44 bulan yang lalu untuk mengurangkan kadar jenayah sebanyak 5 peratus setahun. Malangnya, sehingga tahun 2007 kadar jenayah telah meningkat sebanyak 12 peratus setahun. Mengikut laporan, perbandingan kadar indeks jenayah pada tahun 2006 dan 2007 semakin menunjukkan peningkatan yang menggerunkan. Pada tahun 2006, jumlah kes jenayah mencatatkan 209, 388 kes manakala tahun 2007 melonjak pada kadar 224, 298 kes. Keseluruhan kadar jenayah yang berat dan ganas semakin ‘kukuh’ iaitu mencatatkan peningkatan sebanyak 13.36 peratus. Rakyat bertambah takut dengan kes-kes pembunuhan di luar tabi’ie manusia seperti pembunuhan rakyat Mongolia, Atlantuya Shariibu, kes pembunuhan kejam kanak-kanak seperti Nurin Jazlin dan sebelumnya. Bukan sahaja rakyat, tetapi ahli politik juga diancam jenayah seperti yang berlaku terhadap mendiang ADUN MIC di Johor pada 11 Januari yang lalu. Apa yang menyedihkan, kerajaan Barisan Nasional dan pasukan polis masih lagi belum menjumpai suspek pembunuhan kes itu. Kaum wanita juga diambang ketakutan setiap hari kerana kes rogol telah mencecah secara purata sebanyak 8 orang setiap hari berbanding 4 orang setiap hari pada tahun 2003. Parti Mahasiswa Negara (PMN) juga bimbang sekiranya ia juga disebabkan oleh sikap kurang peduli dan kesedaran rakyat akibat daripada pembangunan material atau kebendaan semata-mata. Kami juga tidak menafikan sekiranya pasukan polis sendiri melakukan kerja dengan tidak efisien dan efektif ditambah pula dengan kenyataan Tan Sri Hanif Omar (mantan Ketua Polis Negara) bahawa sikap rasuah dikalangan anggota polis termasuk yang berpangkat tinggi adalah berleluasa. Pihak kerajaan juga seharusnya menyiasat dan mendedahkan kegiatan-kegiatan kongsi gelap di Malaysia yang juga dikatakan mendapat perlindungan daripada pihak-pihak yang berkuasa.
PENEGASAN TUNTUTAN SECARA UMUM
Parti Mahasiswa Negara (PMN) berpendapat ini hanyalah segelintir isu yang dijangka menjadi keutamaan rakyat dan ini tidak termasuk isu rasuah, krisis moral dan akhlak dikalangan pemimpin, krisis pendidikan, ketempangan demokrasi dan hak asasi rakyat yang masih lagi dikekang oleh akta-akta drakonian dan sebagainya.
Justeru, Parti Mahasiswa Negara (PMN) menyeru seluruh rakyat Malaysia terutamanya golongan muda dan mahasiswa supaya berfikir secara waras dan bertindak dengan bijak supaya kita dapat menyahkan keburukan dan kebobrokan yang menimpa rakyat selama ini. PMN juga menggesa rakyat memainkan peranan yang penting untuk menyingkirkan mana-mana calon yang diragui kredibiliti dan keupayaan mereka memerintah negara.
Sudah genap lima puluh tahun Malaysia, namun rakyat masih lagi ditekan dengan kos sara hidup yang tinggi, kebimbangan terhadap keselamatan diri dan keluarga serta kerisauan terhadap masa depan dan hala tuju golongan muda untuk memimpin negara bagi lima puluh tahun akan datang.
P041 SEBAGAI SASARAN UTAMA
Parti mahasiswa negara berpendirian tegas untuk menghantar calon di kawasan P041 parlimen kepala batas, bersemuka dengan ayahanda Abdullah Ahmad Badawi, satu lawan satu. PMN sekali lagi meminta parti-parti pembangkang agar memberi laluan seluas-luasnya untuk menjayakan hasrat yang murni ini.
Bertanding melawan ayahanda Abdullah Ahmad Badawi tidak bermaksud berdendam atau membenci tetapi bertanding di kepala batas menunjukkan kematangan, keberanian dan kesedaran yang tinggi dikalangan mahasiswa dalam memikul panji-panji demokrasi dalam negara Malaysia tercinta ini.
Mahasiswa pada pilihanraya kali ini ingin bersemuka secara terus dan telus bersama ayahanda Abdullah Ahmad badawi di atas pentas perlawanan P041 setelah suara mahasiswa seringkali dipinggirkan dan dilihat kecil dan tidak penting sebelum daripada ini. Pada masa yang lepas, apa yang berlaku ialah mahasiswa seolah-olah diperlekeh dan suara mereka tidak didengari oleh bapak-bapak pemerintah. Buktinya, apabila mahasiswa berhajat untuk bertemu bagi membincangkan permasalahan-permasalahan kritikal melibatkan kebajikan dan hak asasi mahasiswa seperti AUKU, cas 3% PTPTN, kebobrokan demokrasi kampus dan pengkopratan serta monopoli politik para politikus yang merobek nilai-nilai akademik dalam universiti, bapak-bapak menteri seringkali gagal ditemui atas alasan-alasan yang sama sekali tidak releven.
Justeru, pertandingan satu lawan satu mahasiswa dan individu nombor satu dalam negara ini adalah suatu bentuk desakan dan isyarat yang jelas bahawa mahasiswa bukanlah boneka-boneka kaku yang boleh dibeli dengan wang, janji-janji manis dan dimandomkan dengan akta-akta yang tidak berperikemanusiaan. Mahasiswa merupakan aset, suara, jasad, ruh dan nyawa dalam menyumbang dan mengimbangi pembangunan negara Malaysia.
SUMPAH SETIA PARTI MAHASISWA NEGARA
Parti Mahasiswa Negara (PMN) berjanji akan mengemukakan manifesto yang bertemakan “Generasi Baru untuk Malaysia Baru” yang membawa suara rakyat untuk melihat kestabilan negara disamping menjaga perpaduan kaum. Kami yakin bahawa Malaysia memerlukan nafas pentadbiran dan kepimpinan yang baru.
Disediakan oleh,
Parti Mahasiswa Negara
1 comment:
http://mawarmunawwarah.blogspot.com/2008/03/bn-sudah-menang-di-kelantan.html
Post a Comment