Anak bagi pasangan yang menukar agama mesti kekal pada agama asalnya. Perkara ini sudah lama, minggu lepas tapi keputusannya akan berterusan selama mana kabinet yang putuskannya masih kekal. Jawatankuasa yang menentukannya empat orang Jamil Khir, Koh Tsu Koon, Syahrizat dan S. Subramaniam. Dan berdasarkan perbincangan empat individu ini keputusan dibuat Kabinet untuk memutuskan bagi pasangan yang menukar agama mereka, anak-anak di bawah umur hendaklah dibesarkan mengikut agama asal semasa pasangan tersebut mendirikan rumahtangga. Ia hanya satu isu dari empat keputusan lain yang diputuskan oleh kabinet tetapi saling berkaitan. Isu ini bukan bermula apabila K. Pathmanaban/Mohd Ridhuan mengisytiharkan tiga orang anaknya memeluk Islam, tapi ia sebahagian dari isu-isu lain membabitkan kes Shamala, Subashini lawan Saravanan dan lain-lain. Apa yang menjadi persoalan ialah keputusan ini telah diputuskan tanpa melalui mahkamah. Ini bermakna juga adakah kabinet telah memurtadkan anak-anak tersebut? Satu persoalan besar yang perlu dijawab. (persoalan dari sudut fiqh sudah banyak dijawab dan dapat didapati di web)
Perkara 12 (4) Perlembagaan Persekutuan menyebut: Agama bagi seseorang yang berumur kurang dari 18 tahun adalah ditetapkan oleh ibu bapa atau penjaganya.
Perkara 3 (1) Perlembagaan Persekutuan menyebut agama Islam ialah agama bagi Persekutuan. Implikasinya jika keputusan kabinet ini diteruskan adalah:
1. Orang Islam dinafikan hak untuk menentukan agama anaknya sendiri.
2. Ia merendahkan kedudukan agama Islam sebagai agama bagi Persekutuan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan.
Keputusan kabinet ini adalah keputusan yang melangkaui bidang kuasanya sendiri dalam proses pengasingan kuasa di Malaysia. Penggubalan undang-undang adalah di bawah badan perundangan sama ada parlimen atau DUN manakala penghakiman ke atas sesuatu kes diputuskan oleh badan kehakiman. Keputusan kabinet ini juga bercanggah terus dengan keputusan penghakiman Mahkamah Persekutuan dalam kes Subashini lawan Saravanan yang memutuskan memberi hak salah seorang (bapa/ibu/penjaga) menentukan agama anak mereka. Jelas keputusan mahkamah ini cukup menggambarkan kedua-dua mahkamah mempunyai bidang kuasa masing-masing. Perlu jelas juga di sini ialah keputusan ini dilihat keputusan yang menghina Mahkamah Syariah yang mempunyai kuasa terhadap pihak yang beragama Islam, tetapi diketepikan begitu sahaja oleh kabinet. Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984, Seksyen 82 menyatakan seseorang yang mempunyai hak mendidik seseorang kanak-kanak adalah berhak menjalankan hak terhadap hadanah jika dia adalah seorang Islam. Pihak eksekutif dengan secara sewenang-wenangnya menghina doktrin pengasingan kuasa dengan mencabuli bidang kuasa perundangan dan kehakiman.
Atas asas apa pertimbangan tersebut dibuat dan rujukan apakah yang menjadi dasar kepada keputusan tersebut. Keputusan tersebut juga dilihat seakan-akan terlalu tergesa-gesa seolah-olah ada desakan tertentu. Media dilihat mendiamkan isu ini dan para pemimpin tidak banyak mengulas berhubung keputusan tersebut termasuk dari mulut menteri agama Jamil Khir. Perlu difahami bahawa tiada dasar yang mengikat berhubung persoalan ini dan pihak kabinet dilihat cuba untuk mengikatnya dengan meminta Pejabat Peguam Negara untuk mengkaji undang-undang yang berkaitan bagi dipinda. Persoalannya permasalahan berhubung isu ini tidak akan habis bahkan akan memberi implikasi yang lebih besar. Pertindanan kuasa antara Mahkamah Syariah dan Sivil masih merupakan isu yang perlu diwacanakan, begitu juga dengan hukum Islam berkenaan penjagaan anak. Ia perlu dikaji dengan mendapatkan pandangan serta pertimbangan semua pihak. Islam bukan agama yang kejam tetapi adil, syariat Islam mempunyai jawapan kepada isu-isu ini. Jadi keputusan ini bukan sekadar perlu dibincangkan oleh empat orang menteri yang sebahagiannya sudah ditolak rakyat dalam pilihanraya yang lepas tetapi membabitkan alim ulama’ dan para hakim.
Benarlah hadith yang pernah disabdakan oleh Rasulullah SAW:
Daripada Abdullah bin Amr bin ‘As r.a. berkata: Aku mendengar Rasulullah saw. bersabda, “Bahawasanya Allah swt. tidak mencabut (menghilangkan) ilmu itu dengan sekaligus dari (dada) manusia. Tetapi Allah swt. menghilangkan ilmu itu dengan mematikan ulama’. Maka apabila sudah ditiadakan para ulama’, orang ramai akan memilih orang-orang yang jahil sebagai pemimpin mereka. Maka apabila pemimpin yang jahil itu ditanya, mereka akan berfatwa tanpa ilmu pengetahuan. Mereka sesat dan menyesatkan orang lain.” Kita di ambang kiamat.”
1 comment:
susah jugak kawan...macam mane boleh kita pakse org bukan islam untuk terima sistem mahkamah syariah kita, mereka tidak beriman..kalu hang datang kuliah tokoh gerakan di RO malam tadi, ko dengar kupasan Dr. Zulkifli Ahmad, sangat menarik....mereka tak beriman, macam ane nak menarik mereka menerima, kalau menggunakan cara paksaan, menyebabkan makin jauh die dengan kesejagatan islam...
so ape penyelesaian patmanathan ni???hanya melalui jalan perundangan sahaja ke??mengapa gerakan islam terperangkap dengan jalan legalistik sahaja??adakah islam hanya dalam ruang perundangan dan kehakiman sahaja???mana nilai keadilan islam dalam mentadbir alam ini, yang tentunya bukan hanya dalam hukuman jenayah sahaja....
Post a Comment