Twitter Updates

    follow me on Twitter

    Monday, January 14, 2008

    Kenyataan Media Pengisytiharan

    Parti Mahasiswa Negara (PMN)

    Di hadapan Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia, 7 Januari 2008

    Introduksi

    Menelusuri perjalanan lanskap politik Malaysia pada masakini dan sejak tahun 1957, kami sekarang keluar daripada dunia kami atas dasar mengubah arena politik dan mewujudkan satu gelombong kesedaran baru dalam pentas masyarakat Malaysia hari ini. Semoga apa yang kita lakukan akan mendapat pertolongan dan dipermudahkan segala urusan.

    Lawak Jenaka Dan Tipu Daya Dalam Pentas Politik

    50 tahun menelusuri kemerdekaan kita telah melihat banyak perubahan dan pembangunan malahan tidak dapat lari keruntuhan masyarakat Malaysia. Malahan keruntuhan masyarakat mendominasi seluruh perjalanan Malaysia. Selama bertahun lanskap politik malaysia tidak berubah dan masih di takuk lama. Pertandingan antara golongan aristokrat yang diwarisi dari generasi mereka yang sebelum. Walaupun terdapat mereka yang berusaha mendaki ke atas akan tetapi jatuh mengikut masa.

    Arena politik Malaysia masih menyaksikan pertembungan 2 kelompok parti dominan sejak hampir 50 tahun yang lalu yang masih tetap berpencak dan bertelingkah sesama sendiri. BN dan BA (PAS) adalah ibarat pelawak dan badut-badut yang sentiasa sinis dan akan terus bertelingkah sesama mereka walaupun rakyat semakin tercemar dan terus tertindas. Lebih banyak kata-kata kosong diucapkan berbanding yang lebih relevan dan rasional. Perbincangan dan perbahasan perkara remeh menggambarkan tiadanya keintelektulan di dalam gaya hidup mahupun tingkah laku. Kenyataan dan komen remeh. Ya, ramai di kalangan mereka yang menjadi pemerintah di atas sana.

    Faktor Yang Di ambil kira

    Menyedari hakikat untuk mewujudkan suatu gerakan yang lebih dinamik daripada rakyat untuk rakyat, bukan sekadar faktor aristokrasi (kebangsawanan) dan bukan untuk kepentingan seseorang dan bukan untuk menjadi gerakan stereotaip dan konvensional.

    Demi perubahan, kita telah melihat bukti daripada kedua-dua pihak samada kerajaan yang telah lama memegang tampuk pemerintahan mahupun pihak pembangkang yang seringkali mendakwa mereka telah berhempas pulas walaupun pada hakikatnya kita tidak melihat apa-apa kesan dari mereka. Stereotaip pergerakan yang diwarisi semenjak zaman-berzaman telah membuatkan sebahagian daripada manifesto dan agenda yang didukung tidak lagi rasional dengan keperluan semasa. Jadi, kami selaku mahasiswa tampil untuk berpadu bersama masyarakat mendepani segala risiko untuk memikul tanggungjawab dan pertimbangan untuk menghadapi cabaran untuk merubah paradigma dan stereotaip lanskap politik Malaysia kearah gerakan yang lebih dinamik. Kami bukannya pembawa gerakan kebangsawanan malah bukan juga atas dasar kepercayaan keramat. Kami selaku mahasiswa sentiasa bersama masyarakat.

    Berdasarkan rekod yang telah terbukti dan juga keadaan yang dilihat saban hari semenjak dahulu lagi telah menodai masyarakat kita samada dari aspek moral mahupun tatasusila sepertimana yang telah dipamerkan oleh ‘para politikus’ sekarang.

    - Penjawat kerajaan. Masih lagi dihantui dengan unsur kronisme dan juga nepotisma. Walaupun tidak dapat dibuktikan melalui sistem keadilan, namun rakyat tetap merasakan adanya kepincangan di sana sini di dalam pemerintahan sekarang. Pertelingkahan yang berpanjangan sesama mereka sudah di luar kawalan. Persoalan yang tidak sudah-sudah di dalam benak rakyat Malaysia dan juga NGO tentang hak rakyat dan warganegara. Sampaikan pada satu tahap saban hari berlakunya pelbagai versi perarakan raksasa rakyat menggambarkan kesedaran rakyat terhadap isu yang berlaku dan situasi sebenar sekarang di Malaysia.

    - Pembangkang yang masih belum berjaya menjadi penstabil (check and balance) kepada kerajaan yang sedia ada, malah, mereka dibanjiri dengan kepentingan sendiri dan isu. The round up of their act clicks and their internal problems yet dispute.

    Status quo keadaan semasa di Malaysia langsung tidak pernah dicabar semenjak tahun 57 lagi. Rakyat Malaysia terlalu cepat berpuas hati tanpa adanya keinginan untuk satu reformasi kearah sesuatu yang lebih baik. Keinginan itu mungkin ada, namun, kekangan dan juga dinding penghalangnya adalah terlalu tebal dan mereka yang inginkan adanya arus perubahan mahu tidak mahu terpaksa menanggung akibatnya.

    Ikrar Kami Kepada Rakyat Malaysia

    Kami menyedari ideologi rakyat Malaysia dan kami yakin dengan kesepaduan seluruh rakyat Malaysia. Kami langsung tidak terikat dengan mana-mana parti samada BA ataupun BN. Daripada mahasiswa untuk masyarakat, kami akan terus-menerus berhempas-pulas demi rakyat Malaysia. Kecenderungan untuk memilih BN dan BA pada hemat kami selaku mahasiswa adalah tidak lagi relevan dengan situasi semasa.

    Maka tidak akan adanya lagi para pelawak atau ’badut-badut’ yang akan berada di dalam kerajaan kita dengan segala kepincangan yang mereka sedar dan mereka lakukan hanya untuk kepentingan diri sendiri tanpa memikirkan nasib serta hak kebajikan rakyat, mereka akan terus lakukan malah terus diamalkan. Bersama Menggasak Perubahan!

    Sumpah kami untuk rakyat Malaysia. “Mahasiswa Bersama Rakyat”

    Deklarasi oleh:

    Parti Mahasiswa Negara

    Student National Party

    Tuesday, January 8, 2008


    MAHASISWA

    (Dari Khemah Pemogokan)

    Mahasiswa dari kota tanah air

    bangunlah!

    angkat matamu dari buku

    lampaui dinding lampaui tembok

    semua menunggu

    mengajakmu

    bersama ke tengah jalan raya kota

    Lihat betapa temanmu telah berdiri di sini

    sebaris dengan kami

    para buruh dan petani di Jalan Sungai Besi

    sederap belajar dari hidup petani

    Lepaskan tangan halus kekasih di tasik

    atau bersamanya berjalan ke Parlimen

    kerana tenagamu dengan ilmu di dada

    akan merombak erti hidup sebuah negara

    Sasterawan Negara Usman Awang, 1961.

    Wednesday, January 2, 2008

    PTPTN.. APA PERANAN MAHASISWA?


    Isu PTPTN merupakan isu yang sudah lama diperdebatkan di kalangan masyarakat khususnya mahasiswa yang terlibat secara langsung dengan skim ini. Sejak diperkenalkan pada 1 Julai 1997 di bawah Akta Tabung Pendidikan Tinggi Nasional 1997 (Akta 566) dan mula beroperasi pada 1 November 1997 perbincangan berkaitan isu riba dan perkaitannya dengan hukum syarak, caj perkhidmatan yang tinggi dan pengurusan yang tidak efisyen sering menjadi perdebatan hangat di kalangan masyarakat, institusi itu sendiri dan kerajaan.

    Tinjauan secara rambang mendapati sebahagian besar mahasiswa tidak memahami apatah lagi mempedulikan aspek-aspek penting yang ditetapkan dalam proses pinjaman mereka melalui skim ini. Mereka juga kurang memberi perhatian terhadap isu-isu dan permasalahan yang berlaku sehinggalah mereka disedarkan sendiri selepas keluar dari alam universiti dan perlu membayar kembali pinjaman tersebut. Jika diteliti kembali Skim Pinjaman Pendidikan PTPTN diwujudkan bertujuan untuk memberi pinjaman pendidikan kepada pelajar yang mengikuti pengajian di Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) tempatan. Pinjaman ini akan membolehkan pelajar membiayai sepenuh atau sebahagian yuran pengajian dan juga kos sara hidup di sepanjang tempoh pengajian mereka di IPT. Sekaligus, skim ini membuka lebih banyak peluang kepada semua golongan pelajar untuk melanjutkan pelajaran di peringkat pendidikan tinggi. Persoalan di sini, apakah mahasiswa benar-benar memahami secara syumul dan kolektifnya segala aspek berkaitan skim pinjaman ini? Penulisan ini bukan bertujuan untuk memaklumkan setiap aspek yang berkaitan dengan PTPTN tetapi ingin menyarankan kepada semua mahasiswa untuk dengan inisiatif dan usaha sendiri cuba mengetahui, memahami dan menghadami perkara-perkara yang berkaitan dengan kebajikan dan periuk nasi mereka ini.

    Peranan kedua yang perlu dilaksanakan oleh mahasiswa sama ada dari sudut individunya atau berkumpulan adalah dengan bangkit mendesak agar diadakan perjumpaan secara terbuka dengan pihak Lembaga Pengurusan bagi membincangkan beberapa isu tertangguh dan menjadi perdebatan di kalangan masyarakat. Dengan perjumpaan yang diadakan ini segala permasalahan dapat diperdebat, dibahas dan dijawab secara adil dan saksama. Jawapan atau kenyataan melalui satu pihak sahaja tidak akan mampu menyelesaikan masalah yang berlaku. Mahasiswa yang merupakan peminjam kepada skim ini mempunyai kuasa pendesak yang besar untuk menggerakkan lidah massa bagi mendesak pihak pengurusan PTPTN menjelas dan menjawab segala isu yang dibangkitkan.

    Mahasiswa juga kini sudah perlu mula bangkit secara lebih agresif dan sistematik dengan menganjurkan kongres atau forum-forum terbuka bagi membincangkan isu-isu yang berkaitan. Mahasiswa Islam secara khususnya berperanan penting memahami status pinjaman mereka samada ia benar-benar menepati syarak sepertimana yang diakui oleh pihak PTPTN sendiri dan Mufti Johor atau ia mempunyai unsur riba seperti yang didakwa oleh beberapa tokoh fiqh dan ahli ekonomi Islam. Adalah disarankan agar kongres ini juga mengadakan perbincangan meja bulat yang membabitkan pelbagai pihak bagi membincangkan secara terperinci berkenaan status caj perkhidmatan yang ditetapkan sekaligus mampu dikeluarkan satu keputusan dan resolusi berhubung perkara ini. Perbincangan dan perbahasan yang diadakan secara konsisten dan harmoni akan mengendurkan perdebatan panjang berkaitan permasalahan yang berlaku kini. Oleh itu, seharusnya perkara ini perlu diselesaikan dengan kadar segera agar masalah yang timbul pada masa kini tidak akan berulang kembali.

    Mahasiswa mempunyai hak untuk menuntut beberapa permintaan dan desakan bagi kemudahan mereka sendiri. Tidak perlu digariskan di sini strategi yang perlu dimainkan tetapi cukup terlebih dahulu untuk setiap mahasiswa memahami kepentingan untuk mereka memperjuangkan isu PTPTN ini. Sudah sampai masanya setiap barisan mahasiswa berganding bahu dan bekerjasama dalam memperjuangkan isu yang dilihat kian berpanjangan ini. Selagi mana tiada siapa yang benar-benar berperanan penting memperjuangkan isu ini maka selagi itulah mahasiswa akan terus dan terus leka seterusnya secara langsung menyebabkan hak mereka sendiri tidak terbela.

    Masalah PTPTN & Cadangan Kaedah Islam


    ( Artikel ini telah diterbitkan di METRO AHAD, 30 Dis 07 )

    Oleh: Zaharuddin Abd Rahman

    Laporan sebuah akhbar Melayu minggu lalu berkenaan PTPTN dan caj perkhidmatannya menarik perhatian saya sekali lagi. Laporan itu menyatakan Pengerusi PTPTN akan membawa isu caj ini ke Majlis fatwa Kebangsaan bagi ‘membersihkan' salah faham dan kekeliruan berkenaannya.

    Saya amat menghargai hasrat Pengerusi PTPTN ini. Ia adalah tindakan yang amat wajar sekali, namun harapan, ‘hint' dan pendapat awal beliau mungkin boleh menyebabkan silap tafsirkan, beliau dilaporkan oleh akhbar ( Rujuk ) sebagai berkata :

    ‘‘Walaupun kami tahu caj itu caj perkhidmatan, tidak bertentangan dengan syarak, namun nama baik PTPTN mesti dipertahankan. Caj itu bukan riba tetapi adalah caj yang dikenakan selepas perkhidmatan diberikan,"

    Kos Pentadbiran Yang Bermasalah

    Kita semua mengetahui dengan jelas bahawa PTPTN menggunakan aqad pinjaman kepada para pelajar. Ia sangat jelas termaktub di dalam laman web PTPTN. ( Rujuk http://www.ptptn.gov.my/web/guest/anjung)

    Keputusan Persidangan ulama antarabangsa di bawah Badan Kewangan & Perakauan Islam Antarabangsa (AAOIFI) (rujuk www.aaoifi.com) menyatakan bahawa semua faedah atau lebihan (dari jumlah yang diberi pinjam) yang telah dipersetujui atau disyaratkan di dalam kontrak atau ‘aqad' pinjaman dibuat di awal kontrak atau dikenakan ketika kelewatan pembayaran balik pinjaman sama ada dalam bentuk wang, barangan dan apa-apa manfaat adalah di larang sama sekali dan ia adalah Riba. (Shariah Standard, AAOIFI, hlm 336)

    Adapun dalam hal kos perkhidmatan, Majlis Shariah AAOIFI dan hasil Keputusan Kesatuan Fiqh Islam Sedunia (dalam sidangnya yang ketiga pada 1986 M) berpendapat DIBENARKAN untuk mengenakan kos perkhidmatan dengan syarat ianya ADALAH KOS SEBENAR.

    Majlis Penasihat Shariah Dunia di AAOIFI menyebut " It is not permitted to link the charge to the amount withdrawn (given)" ( Shariah Standard, no 10/3/2, hlm 338). Ini adalah kerana peratusan yang dikaitkan dengan jumlah pinjaman ini menyebabkan jumlah kos pengurusan yang pada asalnya adalah sama (kerana menggunakan alatan dan system yang sama), menjadi berubah mengikut jumlah pinjaman yang diberi

    Resolusi mereka juga menyebut, adalah HARAM untuk mengenakan kos yang lebih dari kos sebenar, justeru para ulama dari persidangan tadi mewasiatkan agar cara untuk mengira dibuat setepat dan sebaiknya. Selain itu, keputusan mereka juga menyebut bahawa kos-kos tidak lansung seperti gaji pekerja, sewaan tempat dan tanggungan lain-lain sesebuah institusi itu tidak boleh dimasukkan di dalam kos pengurusan sebenar bagi sesebuah pinjaman. (Shariah Standard, AAOIFI, no 9/1, hlm 337)

    Malangnya, cara caj perkhidmatan yang dapat dilihat di PTPTN tidak menepati cara yang digariskan oleh majlis ulama dunia ini. Selain itu, fakta terpenting untuk difahami juga adalah, Riba tidak mengira samada dicaj di awal perkhidmatan atau selepas perkhidmtan diberikan. Ia adalah sama sahaja selagi mana caj dan kiraansedemikian diletakkan di dalam aqad atau kontrak pinjaman.

    Cara Kiraan

    Hasilnya, perlu kita fahami bahawa sebarang kos perkhidmatan dan pengurusan yang diletakkan seperti 3 % dari jumlah pinjaman berbaki setiap bulan dengan hujjah bahawa ianya adalah kos pengurusan yang halal dan sebenar sukar untuk diiktiraf oleh mereka yang benar-benar faham isu kewangan dan Shariah.

    Malah formula kiraan caj perkhidmatan ini juga bersifat ‘reducing balance' dan ‘monthly rest'. Formulanya kiraan caj perkhidmatan seperti berikut (rujuk http://www.ptptn.gov.my/c/portal/layout?p_l_id=PUB.1.150 )

    Kos Pentadbiran Bulanan = 3 % x baki jumlah semasa x 1/12

    Cara kiraan ini adalah hampir serupa dengan kiraan pinjaman Riba dalam pinjaman perumahan di bank-bank konvensional, bezanya ia lebih murah dari kadar riba bank konvensional yang bersifat komersial itu. Sebutan mudahnya, setiap bulan sejumlah riba akan diambil dari peminjam berdasarkan baki ‘outstanding balance' dalam bulan tersebut.

    Bagi memberikan kejelasan dalam cara kriaan, katalah pinjaman saya seperti berikut :

    Jumlah Pinjaman Pelajaran : RM 19,500 ( pinjaman penuh aliran sastera di IPTA untuk 3 tahun)

    Tempoh bayaran semula : 120 bulan ( sebagaimana ditetapkan )

    Caj Perkhidmatan : 3 % = Jumlah keseluruhan untuk 120 bulan = RM 3821.38

    Cara kiraan penuhnya, anda boleh masukkan info di capaian halaman berikut :

    http://www.ptptn.gov.my/web/guest/loan_calc

    Alternatif Cara Islamnya Bagaimana?

    Mesti ramai yang meminta cara alternatif sejurus saya mengutarakan kritikan ini. Sebenarnyam adalah rumit untuk saya mengutarakannya di sini kerana ruang yang terhad dan kesuakaran menerangkan melalui tulisan.

    Namun saya cuba menuliskan semudah dan seringkas mungkin, yang pasti tiada dharurat untuk menggunakan sistem kiraan dan aqad pinjaman dengan caj perkhidmatan begini, ini kerana terdapat cara lain yang disepakati menepati cara Shariah dan diiktiraf oleh Ulama seluruh dunia. Ia adalah seperti berikut :-

    a- PTPTN perlu mendapatkan hak milik ke atas beberapa tempat atau ‘seat' di IPTA dan IPTS. Sebagai contoh pihak PTPTN mengadakan MOU dengan Universiti tempatan untuk menempah dan menyewa 1000 kelayakan untuk belajar bagi setiap universiti. Aqad Ijarah akan ditandatangani oleh PTPTN dan Universiti terbabit. Ia dinamakan sewa ‘intangible asset' dan telah disahkan menepati hukum Shariah oleh ulama sedunia.

    b- Dengan termeterainya aqad ini, PTPTN sudah dianggap sebagai pemilik 1000 tempat belajar di UIA, UM USIM dan lain (contoh).

    c- Setelah itu, apabila ada pelajar mendapat surat tawaran dari mana-mana universiti yang disebutkan tadi. Setiap pelajar yang mendapat surat tawaran ini boleh dan berpeluang untuk menyewa dari PTPTN salah satu dari 1000 tempat yang telah ditempah oleh PTPTN dari Universiti tadi. Melalui cara ini, bermakna proses ‘sub-lease' telah berlaku.

    Iaitu Universiti menyewakan tempat kepada PTPTN, dan kemduian PTPTN menyewakan kepada Pelajar dengan harga sewaan yang fleksible menurut formula tertentu. Jumlah sewaan pula boleh di selesaikan oleh pelajar selepas tamat belajar. Ia tiada sebarang masalah dari sudut Shariah. Banyak lagi perkara teknikal di sini dan sukar untuk saya jelaskan semuanya. Namun, perlu difahami, ia boleh diuruskan menurut Shariah menlalui aqad Ijarah.

    d- Hasilnya, PTPTN akan perlu membayar sewa kepada Universiti atas aqad Ijarah. Jumlah ini termasuklah jumlah yuran pelajar terbabit.

    Itulah secara ringkas proses yang boleh dilaksanakan untuk memperkenalkan sistem pembiayaan pendidikan secara Islam, malah produk seperti ini telah pun dilaksanakan di beberapa buah Institusi Kewangan Islam di timur Tengah. Maka bertepatan dengan hasrat Malaysia untuk menjadi Pusat Kewangan dan Perbanakn Islam Sedunia. Langkah kreatif ini wajib diambil.

    Malah jika, ada pihak merasakan sukar untuk dilaksanakan proses ini. Cara aqad Bai Tawarruq yang digunakan secara meluas di Timur Tengah juga boleh difikirkan. (Rujuk www.zaharuddin.net )

    Kesimpulan

    Ilmu yang tersedia ada di dalam khazanah Fiqh Islam mampu dihidupkan kembali dengan pendekatan baru jika ada yang benar-benar serius menggali dan mengusahakannya. Saya yakin, rakan-rakan tenaga pakar Kewangan Islam dan Shariah di UIAM dan lain-lain IPT berbesar hati untuk membantu PTPTN menstrukturkan kaedah pembiayaan pendidikan baru yang diiktiraf oleh para ulama seluruh dunia. InshaAllah.

    Apapun, kerjasama dari pelbagai pihak amat diperlukan, terutamanya pihak Universiti itu sendiri. Tanpa persetujuan Universiti untuk bekerjsaam melaksanakan struktur ijarah ini. Kaedah baru ini akan terbengkalai dan masalah riba pasti akan berterusan. Moga Allah menyelamatkan dan menyedarkan kita dari dosa Riba yang tidak berbau itu.

    Saya juga amat berharap para mufti dapat menilai sebaiknya semua isu Shariah dan fatwa-fatwa antarabangsa yang telah dibuat tentang caj sebegini sebelum mereka membuat sebarang ijtihad kelak.

    Sekian

    Zaharuddin Abd Rahman

    http://www.zaharuddin.net/

    27 Disember 2007

    Sunday, December 30, 2007

    ISU RIBA DALAM PTPTN


    Pendahuluan

    Sejak kebelakangan ini terdengar rungutan daripada golongan mahasiswa yang mempertikaikan bantuan pinjaman pendidikan yang dikenakan ke atas mereka oleh Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN). Mereka mendakwa sistem pinjaman PTPTN yang disediakan oleh kerajaan kepada pelajar institusi pengajian tinggi diragui hukumnya memandangkan wujud lebihan tiga peratus pembayaran balik yang dikenakan ke atas pelajar.

    Latar Belakang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional

    PTPTN ialah sebuah badan berkanun yang bertanggungjawab menguruskan pembiayaan pendidikan para pelajar institusi pengajian tinggi awam dan swasta di Malaysia. Ia ditubuhkan di bawah Akta Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional 1997 (Akta 566) yang mula berkuatkuasa pada 1 Julai 1997 bagi menggantikan peranan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang sebelum ini menyalurkan bantuan pembiayaan pendidikan untuk para pelajar.

    Kelayakan pelajar untuk diberikan pinjaman adalah bergantung kepada tahap kemampuan kewangan keluarga dan mereka mestilah mengikuti program pengajian sepenuh masa pada peringkat ijazah pertama dan diploma (pra ijazah) di mana-mana institusi pengajian tinggi.[1]

    Konsep Pinjaman PTPTN

    Pelajar di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) yang mengambil kontrak pinjaman PTPTN bernilai RM19000 diwajibkan membayar balik sebanyak RM 23,083.89 setelah ditambah lebihan 3% bagi tempoh pembayaran 10 tahun. Manakala bagi pelajar institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) yang mengambil pinjaman sebanyak RM 60000 selama tiga tahun dikenakan bayaran balik sebanyak RM 87, 261.17.[2]

    Bayaran balik pinjaman pendidikan boleh dibuat secara ansuran bulanan untuk selama 10 hingga 20 tahun. Ia hendaklah mula dibuat selepas enam bulan tamat pengajian atau apabila mendapat pekerjaan, mana yang terdahulu. Bayaran balik hendaklah dibuat melalui Lembaga Hasil Dalam Negeri yang dilantik oleh kerajaan sebagai agen pemungut bagi pihak PTPTN. Bayaran balik juga boleh dibuat melalui lain-lain cara asalkan ianya dipersetujui oleh PTPTN. Pihak PTPTN sedia menerima bayaran yang dibuat secara sekaligus atau dalam apa jua amaun asalkan ianya tidak kurang dari amaun yang telah dipersetujui melalui surat perjanjian. Bayaran balik pinjaman mengandungi amaun pinjaman pokok serta kos pentadbiran yang dikenakan sebanyak 3% setahun berdasarkan baki setiap bulan.[3]

    Pandangan Islam Mengenai Pinjaman PTPTN

    Para fuqaha berpendapat bahawa dalam hukum Islam adalah dilarang keras meminjamkan wang dengan menggunakan sebarang tambahan. Apabila kita meminjam samada untuk kepentingan peribadi atau tujuan komersil, kita wajib mengembalikan wang itu sahaja dan tidak sesen pun lebih daripada itu.

    Pinjaman PTPTN merupakan satu kontrak di antara pelajar dan pihak PTPTN yang bertanggungjawab menyediakan bantuan kewangan atau pinjaman bagi para pelajar yang layak. Maka disini jelaslah bahawa kontrak yang berlaku di antara pelajar dan pihak PTPTN adalah kontrak hutang.

    Islam amat menitikberatkan umatnya agar berhati-hati ketika terlibat dalam urusniaga yang melibatkan hutang. Ini adalah kerana semua pinjaman bersyarat terlebih dahulu dalam menetapkan keuntungan adalah riba dan sebarang penambahan pada jumlah pokok hutang adalah dilarang sama sekali oleh Islam. Ini adalah bersesuaian dengan ayat Al Quran :

    وان تبتم فلكم رءوس أموالكم لا تظلمون ولا تظلمون

    “ Dan jika kamu bertaubat, maka hak kamu (yang sebenarnya) ialah pokok asal harta kamu. (Dengan demikian) kamu tidak melakukan zalim kepada sesiapa, dan kamu juga tidak dizalimi oleh sesiapa.”

    (Al Baqarah : 279)

    Ayat di atas dengan jelas menyatakan bahawa selebihnya daripada pokok pinjaman adalah riba, baik sedikit ataupun banyak. Bersepakat para fuqaha bahawa Islam Mengharamkan riba tanpa sebarang syarat.[4] Perintah larangan ini mencakupi semua lebihan atau tambahan ke atas wang pinjaman.

    Di sana wujud segolongan masyarakat yang mengatakan bahawa riba yang diharamkan adalah jumlah faedah yang mempunyai sifat berganda-ganda sahaja, manakala faedah yang sedikit misalnya tiga peratus seperti yang dikenakan PTPTN ini tidak termasuk dalam riba yang dilarang kerana ia tidak membebankan dan tidak menindas. Mereka berhujah dengan mengatakan bahawa Islam hanya mengharamkan riba yang berganda-ganda sahaja berdasarkan ayat :

    يأيها الذي ءامنوا لا تأكلوا الربواأضعفا مضعفة واتقوا الله لعلكم تفلحون

    “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan atau mengambil riba berlipat ganda, dan hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah supaya kamu berjaya. Dan peliharalah diri kamu dari api neraka yang disediakan bagi orang-orang kafir.”

    (ali Imran : 130)

    Oleh itu, pendapat yang mengatakan riba diharamkan bagi yang bersifat ad’af mudho’afah adalah juga tidak berasas. Sebenarnya pengharaman riba ad’af mudho’afah melalui ayat 130 surah ali Imran (wahyu ketiga dalam siri ayat-ayat yang diturunkan mengenai riba ) bukanlah bersifat mutlak. Ayat ini bukanlah bertujuan mengkhususkan jenis riba yang diharamkan kerana ia diwahyukan lebih awal dari ayat terakhir mengenai riba iaitu ayat 275-281 surah Al Baqarah.[5]

    Ayat riba terakhir ini secara terang mengharamkan apa jua bentuk riba tidak kira samada ianya berlipat kali ganda atau tidak. Tambahan pula ramai pentafsir berpendapat bahawa perkataan ad’af mudho’afah tidaklah menunjukkan sifat kadar bunga itu, sebaliknya ia menunjukkan arah aliran bunga yang bersifat mengikut tempoh masa pinjaman yang dibuat.

    Pengertian ad’af mudho’afah adalah satu keterangan dari suatu kejadian, bukan suatu syarat yang berkaitan dengan hukum. Bagi mereka yang memiliki rasa indah terhadap bahasa arab tentu sudah maklum apalagi bagi mereka yang memahami sistemnya. Sesungguhnya huraian seperti ini adalah untuk menghuraikan suatu fakta yang sekaligus mengungkapkan kekejiannya.

    Adalah merupakan prinsip yang dipersetujui dan diikuti oleh ahli-ahli fiqh bahawa dalam mengambil interpretasi satu ayat Al Quran mesti diperhatikan juga pada konteks yang menyeluruh dan tidak memencilkan atau mengabaikan ayat-ayat lain.

    Seandainya kita bersetuju dengan pendangan oleh pihak ini yang menyatakan bahawa riba yang tinggi sahaja diharamkan maka riba yang rendah dibolehkan. Kini wujud persoalan bagaimana kita dapat membezakan kadar riba yang tinggi dengan kadar riba yang rendah? Di samping itu, pengertian besar atau kecilnya riba itu adalah sangat relatif untuk dibincangkan.[6] Berapa ukuran yang biasanya dijadikan sebagai standard besar atau kecilnya riba itu.?

    Menurut Dr Muhammad Abd Allah Darraz Rahimahullah, lafaz ad’af mudho’afah dalam ayat tadi mungkin boleh diertikan mencapai enam puluh peratus.[7] Ini adalah kerana lafaz ad’af mudho’afah itu sendiri berbentuk jamak (menunjukan bilangan yang lebih dari tiga). Memang amat sukar untuk menentukan antara keduanya. Ini adalah kerana kemungkinan wujud keadaan apa yang dianggap sebagai kadar bunga biasa yang adil oleh satu pihak pada satu masa, tetapi dianggap sebagai kadar bunga yang terlalu tinggi oleh pihak yang sama pada masa yang lain atau pihak yang lain pada masa yang sama..

    Jelaslah bahawa perbezaan di antara dua istilah (riba yang tinggi dan riba yang rendah )ini bukanlah perbezaan dari segi jenis tetapi ia merupakan perbezaan dari segi tingkat kadar bunga yang berubah dengan mudah melalui peredaran masa (tempat) kerana apa yang dianggap kadar bunga yang terlalu tinggi pada hari ini mungkin kan dianggap sebagai kadar yang berpatutan pada hari esok.[8] Oleh yang demikian Islam tetap mengharamkan serta tidak membezakan di antara riba yang rendah kadarnya dan yang tinggi kadarnya.

    Sementara pihak PTPTN ada mengeluarkan kenyataannya yang menyebut bahawa kadar tiga peratus dalam pinjaman itu adalah bertujuan untuk menampung kos perkhidmatan dan wang untuk pusingan modal bagi memenuhi tuntutan pelajar akan datang[9]

    Jika pihak PTPTN mengenakan kadar 3 peratus itu sebagai untuk menampung kos perkhidmatan maka para ulama mempunyai pendapat mereka bagi masalah ini.

    Memang kita sedia maklum bahawa PTPTN adalah merupakan salah sebuah institusi yang ditubuhkan oleh kerajaan. Sesebuah institusi tidak dikendalikan oleh seorang individu tetapi ianya melibatkan ramai individu yang bekerja dibawahnya. Bukan itu sahaja, sesebuah institusi juga memerlukan banyak kos bagi menguruskan gaji pekerjanya, sewa bangunan, kos pengurusan dan bermacam-macam lagi. Oleh itu sekiranya PTPTN hendak mengenakan kos pengurusan, ia dibolehkan sebab ia bukannya pertambahan yang diambil kerana penangguhan masa tetapi untuk menampung kos pengurusan itu sendiri.

    Realitinya ulama zaman dahulu membincangkan aspek pinjaman tanpa ada perbincangan khusus tentang kos dan sebagainya kerana kebiasaannya pada zaman dahulu urusan hutang itu melibatkan antara individu dengan individu sahaja dengan tidak melibatkan kos. Tetapi sekiranya melibatkan antara satu institusi dengan institusi yang lain atau ianya dikendalikan oleh sebuah institusi maka ia melibatkan kos. Dalam keadaan ini kos pengurusan boleh dikenakan dan ia ditanggung oleh peminjam. Selagimana kos itu munasabah atau sebesar mana angkanya pun (jika ia merupakan kos sebenar) maka ianya halal[10]

    Ikhtilaf ulama berkenaan isu riba dalam PTPTN

    Penambahan tiga peratus ke atas jumlah modal menurut sesetengah ulama adalah riba (faedah) yang dikenakan oleh pemiutang terhadap penghutang.

    Hutang PTPTN boleh dikelaskan sebagai pinjaman penggunaan (consumption loan) dan bukannya pinjaman produktif (productive loan). Pinjaman penggunaan bertujuan kegunaan harian seperti kos-kos penginapan, makanan, alat bantuan belajar dan sebagainya. Manakala pinjaman produktif bertujuan pelaburan atau modal untuk memulakan perniagaan seperti yang diberikan oleh bank kepada pelabur-pelabur dan ahli perniagaan.

    Dengan ini penghutang mendapat faedah yang besar daripada pelaburan hasil wang pinjaman tersebut. Sesetengah ulama menyatakan pinjaman produktif yang wujud pada masa ini terkeluar daripada maksud riba yang diharamkan kerana pemiutang wajar meminta sedikit pulangan atau lebihan bayaran atas keuntungan yang diperolehi oleh penghutang.

    Namun begitu, lebihan yang dikenakan ke atas pinjaman penggunaan seperti PTPTN tertakluk dalam hukum riba - kerana pinjaman penggunaan bertujuan sebagai perbelanjaan hangus dan bukannya untuk pelaburan yang boleh mendatangkan keuntungan jangka panjang.

    Kos perkhidmatan juga lebihan yang dikenakan ke atas pinjaman yang berbentuk penggunaan harian bagi tujuan pendidikan dan pembelajaran dikira riba dan satu bentuk penindasan. Penindasan itu ternyata berlaku dalam pinjaman penggunaan sahaja kerana orang yang berhutang (pelajar) terdesak untuk memenuhi keperluan hariannya, sementara si pemiutang (PTPTN) pula mengambil kesempatan mengenakan kadar bunga yang tinggi yang berbentuk menindas.

    Bagaimanapun, Profesor Datuk Dr Mahmood Zuhdi mempunyai pandangan yang berbeza. Menurutnya, lebihan tiga peratus ini adalah jumlah untuk menyamakan nilai matawang bagi sepuluh tahun akan datang. Nilai RM10 tahun ini tidak sama nilainya dengan RM10 untuk sepuluh tahun akan datang. Maka lebihan tiga peratus ini adalah jumlah untuk menyamakan nilai tersebut pada masa akan datang. Beliau menggunakan teori “nilai barangan yang lebih rendah pada masa depan berbanding nilai sekarang.”

    Lebihan yang disebut agio ini merupakan nilai yang ditambah kepada pinjaman modal pada masa pembayarannya sebagai usaha untuk menyamakannya dengan nilai asal pinjaman modal. Dengan kata lain, bunga adalah sama dengan perbezaan (dari segi psikologi dan bukannya ekonomi) antara barangan masa kini dengan barangan masa depan. Sementara PTPTN pula mendakwa kadar itu sebagai kos perkhidmatan dan wang untuk pusingan modal bagi memenuhi tuntutan pelajar akan datang.

    Bagaimanapun Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Mohd Hashim Yahya secara lisan mengakui kadar itu adalah riba berdasarkan illah yang terdapat dalam pinjaman berkenaan. Ringkasnya, bolehlah dikatakan sebarang jumlah terakru (accrued) yang ditambahkan kepada jumlah pokok merupakan riba yang diharamkan walau apa alasan sekalipun (sama ada disebut kos perkhidmatan atau pusingan modal) selagi ia melibatkan urus niaga pinjaman. Namun ada ulama berpendapat, lebihan tersebut dibenarkan sebagai upah penulis hutang dan kos penyelenggaraan.

    Tetapi ia berbeza dengan PTPTN yang sewajarnya menjadi tanggungjawab kerajaan, bukannya tanggungjawab pelajar. Ia dikenali juga dengan riba al-Qur’an atau riba nyata. Utamakan rakyat atau perniagaan? Ibnu ‘Arabi menyatakan bahawa riba jenis ini terdapat dalam urusan masyarakat jahiliah (sebelum kebangkitan Nabi Muhammad) dan amalan ini terkenal pada masa itu. Oleh sebab itu, riba jenis ini juga dikenali dengan riba al-jahiliyyah. Sesetengah ulama di kalangan sahabat Rasulullah menganggap riba jenis ini sahaja yang diharamkan dalam Islam. Mereka bersandarkan pendapat Ibnu ‘Abbas yang menyatakan, “sesungguhnya riba itu ialah pada riba al-nasi’ah kerana berdasarkan hadis Rasulullah yang bermaksud: ‘Tiada riba kecuali pada riba al-nasi’ah’.

    Ada juga ulama, misalnya Ibn Hazm daripada mazhab al-Zahiri, berpendapat bahawa riba yang wujud pada hari ini tidak sama dengan yang wujud pada zaman Rasulullah kerana berlainan komoditi seperti yang dinyatakan dalam hadis Rasulullah. Antara komoditi yang terlibat dalam hukum riba ialah emas, perak, gandum, barli, tamar dan garam.

    Oleh kerana wang ringgit hanya wujud pada zaman sekarang, maka lebihan yang berlaku tidak dikira riba dan mereka meragui kesahihan illah yang digunakan dalam pembinaan hukum Islam melalui proses qiyas.

    Pemikir-pemikir Islam masa kini seperti Al-Maududi, Mufti Shafi, Fazlur Rahman dan lain-lain lagi menolak pandangan ini. Mereka berpendapat jika prinsip ini diterima pakai, maka masalah yang sama akan timbul, misalnya tentang jenis-jenis judi dan arak yang menggunakan pelbagai jenama sekarang - ia mestilah diisytiharkan halal kerana jenama-jenama ini tidak terdapat pada zaman Rasulullah.

    Cuma harus diingatkan bahawa asalnya pinjaman yang dibenarkan oleh Islam berdasarkan konsep at-ta’awun (kerjasama atau bantu-membantu) - golongan kaya menolong orang miskin dan begitu juga peranannya kerajaan terhadap pelajar.

    PTPTN adalah tanggungjawab sosial kerajaan yang berterusan, bukannya sebagai badan perniagaan bagi mendapatkan keuntungan. Tanggungjawab sosial itu boleh dikatakan pengorbanan kerajaan selagi ia tidak dianggap sebagai perniagaan. Tetapi amalan sekarang nampaknya bukan pengorbanan dan bukan pula perniagaaan. Jika kerajaan membuat pengorbanan moral, mereka harus berpuas hati mendapat keuntungan dari segi moral dan jika mereka bercakap tentang ganjaran wang ringgit, mereka tidak boleh mendakwa mereka telah melaksanakan tanggungjawab sosial.

    Mereka seharusnya bercakap secara langsung tentang perniagaan dan mengakui kerajaan kini adalah berorientasikan perniagaan (business government) dan bukannya berorientasikan rakyat (social government)

    Hal yang berbangkit

    PTPTN tidak akan melupuskan caj perkhidmatan yang dikenakan terhadap peminjamnya kerana kos itu digunakan untuk menampung faedah yang dikenakan terhadap pemberi pinjaman terutama KWSP. Ketua eksekutif PTPTN, Yunos Abd Ghani berkata caj itu akan diteruskan walaupun mendapat kritikan banyak pihak terutamanya peminjam. Beliau berkata pengenaan caj berkenaan sudah dimaklumkan kepada peminjam dan ia wajar bagi mengurangkan beban pengurusan kerana PTPTN terikat dengan syarat pemberi pinjaman.

    Sesungguhnya KWSP adalah antara agensi yang menyediakan pinjaman kepada PTPTN. Pemberian kemudahan itu dikenakan kadar faedah sebanyak 5%. Berdasarkan kadar itu, PTPTN mengenakan caj 3% kepada peminjam. Bagi mengurangkan beban peminjam, mereka hanya dikenakan caj 3% berbanding 4% sebelum ini. Baki 2% lagi daripada kadar faedah pinjaman KWSP ditanggung kerajaan. Tambahan pula caj berkenaan dikenakan berkuatkuasa 6 bulan daripada tarikh peminjam menamatkan pengajian.[11]

    Sejak PTPTN beroperasi 10 tahun lalu, kerajaan sudah membayar sejumlah RM788 juta kepada agensi yang menyediakan kemudahan pinjaman. Bagi mengurangkan bebanan kerajaan, wajar bagi PTPTN mengenakan caj perkhidmatan kepada peminjam. Jumlah caj 3 % itu katanya dikira berdasarkan baki akhir bagi jumlah pinjaman. Sebagai contoh jika peminjam dapat menjelaskan bayaran dengan cepat pada jumlah yang tinggi, kadar caj yang dikenakan berkurangan.

    Pengenaan kadar caj itu kata beliau berbeza dengan kadar faedah pinjaman yang dikenakan institusi kewangan. Ia sejajar dengan fungsi penubuhan PTPTN yang menyediakan kemudahan pinjaman kepada pelajar IPT dan bukan berorientasikan keuntungan.

    Cadangan kepada pihak PTPTN

    Pertama, kadar yang diwajibkan oleh PTPTN boleh dikatakan bukan riba dengan syarat ia dibuktikan dengan sejelas-jelasnya sebagai kos perkhidmatan dan bukan untuk menambah modal atau untung.Dalam kes PTPTN ini, jika pihak pengurusannya ingin mengenakan kos pengurusan ke atas pinjaman yang diberikan, ia adalah dibolehkan. Ini adalah kerana pertambahan ini bukan diambil berasaskan kepada penangguhan masa akan tetapi ia adalah untuk menampung kos pengurusan itu sendiri.[12]

    Bagaimanapun penting dalam kontrak antara kedua belah pihak dinyatakan dengan jelas bukan hanya menyebut pinjaman dibuat di antara PTPTN dengan si A sebanyak jumlah tertentu dan diminta membayar sebanyak jumlah tertentu dan tambahan sebanyak 3%. Adalah lebih baik sekiranya pihak pengurusan PTPTN menggunakan konsep syariah dalam menguruskan pinjaman pelajar bagi merealisasikan komitmen kerajaan dalam membantu pelajar terutama dari aspek kebajikan mereka.[13]

    Kedua, kerajaan mesti bertindak untuk menukar kontrak (akad) hutang yang sedia ada dalam PTPTN kepada akad jual beli. Dalam erti kata lain, kerajaan menjual perkhidmatan. Seperti yang kita ketahui transaksi bai’ boleh diambil keuntungan. Oleh itu mengapa perlu mengguna akad qard sedangkan hutang perlu bayar jumlah pokok sahaja. Jika tidak, ia akan dianggap sebagai riba. .

    Kesimpulan

    Kerapkali kita mendengar keluhan mahupun aduan berkaitan masalah peminjam PTPTN. Acapkali juga kita mendengar dan melihat di akhbar senarai panjang nama peminjam yang belum melunaskan hutang sejak sekian lama. Kebelakangan ini juga timbul isu di kalangan peminjam PTPTN mengenai kadar caj 3 peratus yang dikenakan terhadap peminjam setiap bulan yang dikatakan sebagai caj perkhidmatan.

    Walaupun pihak PTPTN sudah memberikan penjelasan, kekeliruan dan ketidakpuashatian hati peminjam masih timbul. Oleh itu, seharusnya perkara ini perlu diselesaikan dengan kadar segera agar masalah yang timbul pada masa kini tidak akan berulang lagi.

    [LAJNAH PENYELIDIKAN, PMIUM]



    [2] Berdasarkan 3% dari baki pinjaman

    [4] Muhammad Kamal Azhari (1993) Bank Islam Teori Dan Praktik. Kuala Lumpur : Dewan Pustaka Pelajar

    [5] Ab. Mu’min Ab Ghani (1993) ‘Bunga Dan Kaitannya Dengan Riba Yang Diharamkan’ Jurnal Syariah, Jilid 1 Bil 2, Julai 1993. hal 269-287

    [6] Afzal ur Rahman (1994) Doktrin Ekonomi Islam, Zaharah Salleh (ter) Kuala Lumpur : Dewan Bahasa Dan Pustaka Universiti Pertanian Malaysia.

    [7] Afzal ur Rahman (1994). Op.cit. hal 75

    [8] Azlan Khalili Shamsudin (1988)Banking And Public Finance In Islam, Kuala Lumpur : Pustaka Fajar. Hal 12

    [9] PTPTN Usaha Selesai Isu Kos Khidmat Pinjaman, Berita Harian 18 April 2001

    [10] Shamsiah Mohamad (2001) Beza Riba dengan Keuntungan, Al Islam, April 2001.

    [11] Berita Harian, Khamis 31 Mei 207

    [12] Abdul Gaafor A.L.M (1996) Interest Free Commercial Banking . Kuala Lumpur : A.S Noordeen, hal 4.

    [13] Kenyataan terbaru pihak PTPTN yang ingin melaksanakan konsep qard al Hasan dalam pengurusan pinjaman PTPTN , Berita Harian 18 April 2001.

    Monday, December 17, 2007

    KAJI SELIDIK GOLONGAN MUDA 2007


    PERSPEKTIF TERHADAP PENGLIBATAN SOSIAL, POLITIK DAN PANDANGAN TERHADAP ISU-ISU SEMASA

    *Bagaimanakah trend politik golongan muda sekarang? Apakah kecenderungan mereka dan sejauhmana keterlibatan politik golongan yang bakal mengambil alih tampuk pemerintahan negara pada masa hadapan. Berikut ialah hasil rumusan kajian yang dilakukan oleh Merdeka Center mengenai golongan belia dan penglibatan sosial, politik dan pandangan mereka terhadap isu-isu semasa.

    Pengenalan

    Pada 8 Ogos hingga September 2007, Merdeka Center for Opinion Research telah mengendalikan satu kaji selidik melalui telefon terhadap 1,508 orang respinden dalam lingkungan umur 20 hingga 35 tahun yang telah dipilih secara rawak dari seluruh negara. Persampelan dibentuk dengan mengambilkira latar belakang populasi kebangsaan yang dibahagikan mengikut jantina, kaum dan negeri. Objektif kajian ini adalah untuk mendapatkan pandangan golongan muda di Malaysia mengenai penglibatan mereka dalam aktiviti kemasyarakatan dan politik, juga pandangan mereka terhadap pentadbiran kerajaan dan demokrasi. Enam diskusi berkumpulan (focus group) bersama golongan muda dan ahli pertubuhan belia telah dijalankan di Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Kota Bharu, Kota Kinabalu dan Kuching. Kaji selidik ini dibiayai bersama oleh Asia Foundation dan Kedutaan Belanda.

    Hasil Penemuan

    Tahap kemampuan diri yang rendah:

    Secara umumnya golongan muda di Malaysia tidak melihat diri mereka sebagai berkemampuan untuk melakukan perubahan dalam masyarakat walaupun mereka mengambil berat tentang isu seperti ekonomi, keselamatan umum atau kos sara hidup. Perasaan tidak ambil peduli ini direkodkan lebih tinggi di kalangan perempuan di mana satu daripada tiga orang merasakan sedikit sahaja yang boleh mereka lakukan di dalam masyarakat. Adalah tidak menghairankan, apabila kajian mendapati golongan muda tidak gemar menyertai kelab atau pertubuhan. Hanya seorang daripada lima orang dilaporkan menjadi ahli pertubuhan – hampir sebahagian daripada mereka menyertai parti politik atau persatuan belia anjuran kerajaan seperti Belia 4B, Majlis Belia Malaysia atau Rakan Muda. Ini bermakna kurang dari 10% belia menjadi ahli dalam sebarang pertubuhan. Secara keseluruhannya hasil kajian tidak menunjukkan banyak perubahan dari tahun 2006.

    Penglibatan politik yang sederhana:

    Jika pendaftaran pengundi diambil sebagai indikator kepada penglibatan politik, maka kajian mendapati penglibatannya adalah di peringkat sederhana. Lebih daripada separuh mendakwa telah mendaftar sebagai pengundi. Walau bagaimanapun, hasil kajian mendapati tahap penglibatan dalam politik berbeza di antara kaum – tinggi di kalangan Bumiputera dan rendah di kalangan bukan Bumiputera. Selain daripada mendaftar sebagai pengundi, kajian juga mendapati penglibatan belia dalam politik juga berada di tahap yang sederhana. Hanya seorang daripada sepuluh orang yang mendakwa sentiasa membincangkan tentang politik dan dasar dengan keluarga dan kawan-kawan dan hanya satu daripada sembilan orang yang terlibat dalam kempen politik dan memantau pilihanraya. Selebihnya mendakwa mereka hanya mengundi dan mungkin membaca tentang isu-isu yang ditimbulkan menjelang pilihanraya. Majoriti besar mengatakan seboleh-bolehnya mereka tidak ingin terlibat dengan politik.

    Keterbukaan terhadap kepelbagaian sistem politik:

    Secara keseluruhannya, golongan muda lebih terbuka dengan idea seperti parti pembangkang memainkan peranan yang lebih penting. Kajian mendapati pandangan ini dipengaruhi oleh latar belakang warisan budaya dan sosial. Responden bukan Bumiputera dan di kawasan bandar lebih cenderung untuk menyokong lebih ramai perwakilan pembangkang di dalam parlimen. Majoriti besar responden bersetuju bahawa peranan yang paling sesuai untuk parti pembangkang adalah menjadi pemerhati dan pengkritik kepada tindakan kerajaan.

    Bersikap konservatif terhadap demokrasi:

    Keseluruhan kajian menunjukkan pandangan responden terhadap konsep demokratik mencerminkan ‘nilai-nilai ketimuran’ yang sedang dilaungkan oleh kerajaan. Majoriti merasakan bahawa kepentingan umum mesti didahulukan sebelum kepentingan individu. Separuh daripada golongan muda menerima kritikan terbuka di kalangan pemimpin masyarakat terhadap isu-isu yang menjadi perbincangan umum. Pada masa yang sama golongan muda Malaysia mahukan pemimpin-pemimpin yang menghormati kedaulatan undang-undang.

    Pandangan berbeza mengenai kualiti pentadbiran:

    Akhir sekali, kajian menunjukkan bahawa separuh daripada golongan muda Malaysia berpandangan bahawa kerajaan melayan semua rakyat dengan adil. Pandangan golongan muda ini didasari oleh warisan dan budaya sepertimana mereka juga merasakan bebas untuk bersuara secara terbuka tentang masalah yang dianggap sensitif seperti hubungan kaum dan agama serta juga kritikan terhadap kerajaan. Lebih menyedihkan, majoriti kecil golongan muda percaya bahawa tidak banyak yang dapat dilakukan oleh rakyat biasa untuk memastikan kerajaan bertanggungjawab ke atas tindakannya apabila di luar musim pilihanraya. Pandangan ini disokong oleh penemuan lain yang menunjukkan sebahagian besar – tujuh daripada lapan orang – merasakan pegawai kerajaan tidak mematuhi undang-undang. Tambahan lagi, kajian juga mendapati hampir keseluruhan responden percaya bahawa kerajaan terlibat dengan rasuah.

    “Merdeka Center for Opinion Research. Bangi, Selangor.”

    Wednesday, December 12, 2007

    APABILA KEBEBASAN SENILAI DENGAN SEBUAH GARI…


    Benarkah Malaysia kini dikenali sebagai negara polis? Bukannya polis dunia seperti Amerika Syarikat yang mendabik dada menjaga keamanan muka bumi tetapi menjadikan polis bagi menyelesaikan apa sahaja masalah yang timbul. Negara polis yang menggunakan ugutan dan kekerasan sebagai senjata bukannya perdamaian dan rundingan seperti yang dilaungkan kepada Amerika, Thailand dan Myanmar. ISA menjadi bahan ugutan kepada rakyat dan menjadi senjata paling ampuh bagi melumpuhkan semangat gerakan masyarakat bagi menuntut sedikit kebebasan untuk bernafas dalam kehidupan yang kian menghimpit ini. Itu yang boleh dilihat kini dan mungkin kenyataan ini boleh disangkal. Terpulang kepada semua untuk melihatnya dari dimensi kaca mata masing-masing. Namun, apa yang berlaku kini benar-benar menjustifikasikan kenyataan di atas. Kebebasan rakyat sedikit demi sedikit diragut atas hujah dan alasan keselamatan.

    Bermula dengan himpunan rakyat di Istana Negara dan sebelumnya konflik yang berlaku di Batu Buruk yang sebenarnya ia bukanlah rusuhan tetapi himpunan yang diprovokasi sehingga mencetuskan kekacauan sehinggalah yang terkini perhimpunan HINDRAF yang penuh kontroversi. Saya tidak menyokong keganasan dan kami mahasiswa amat tidak bersetuju kekerasan dianggap penyelesai kepada segala permasalahan. Akan tetapi kami juga tidak bersetuju sesuatu yang dianggap mengancam keselamatan dan mencetuskan kekacauan walaupun tiada bukti yang kukuh dibalas kembali dengan kekerasan oleh pihak berkuasa. Peristiwa yang berlaku kini dilihat seolah-olah apa yang pernah berlaku sebelumnya semasa era Tun Dr Mahathir memerintah apabila OPS Lalang dijalankan. ‘Political cleansing’ dengan meminjam kata-kata Datuk Mustafa Ali dilaksanakan dan ia kini dilihat kembali berlaku apabila PRU semakin hampir. Dan peristiwa demi peristiwa ini berlaku mengikut flow yang sangat tersusun dan terancang. Media cetak dan eloktronik dijadikan senjata propaganda yang amat berkesan dalam menyebarkan sesuatu isu berkaitan hal ini. Peristiwa di Batu Burok dilihat sebagai penanda aras bahawa sebarang bentuk himpunan yang pada mulanya demi menerangkan tentang isu keadilan di Malaysia ini boleh mencetuskan keganasan. Polis yang cedera diwar-warkan tetapi bagaimana pula dengan keadaan dua orang mangsa yang cedera parah ditembak? Ia berterusan pula ke perhimpunan 100 000 manusia dari Dataran Merdeka ke Istana Negara pada 10 November yang lepas. Ia dipropagandakan sebagai himpunan yang tidak mendapat sambutan ramai, sia-sia dan mengancam keselamatan. Sebelum itu Putrajaya gempar sebentar apabila ribuan peguam di bawah seliaan Bar Council mengadakan peraarakan keadilan bagi menuntut sistem kehakiman yang adil. Kemudiannya ia disusuli dengan perhimpunan HINDRAF bagi menuntut keadilan dan pampasan dari kerajaan British. Sekali lagi media memainkan peranan yang sangat berkuasa dalam hal ini. Benarlah apa yang dikata bahawa sesiapa yang menguasai media maka dia akan menguasai dunia. Rupert Murdoch seorang bilionair Yahudi sanggup menghabiskan jutaan ringgitnya bagi melabur menguasai media-media utama dunia sehingga dia mampu menjadi salah seorang yang paling berkuasa di dunia. Dengan medialah pendapat umum dapat dibentuk seterusnya menghasilkan pemikiran dan tindakan dari masyarakat.

    Perhimpunan-perhimpunan rakyat ini dijadikan alasan oleh pihak berkuasa bagi menjustifikasikan segala perbuatan mereka. Tangkapan dan tahanan dibuat khususnya kepada pemimpin pembangkang dan beberapa NGO. Pendakwaan pula bukan dilakukan oleh orang yang bukan calang-calang tetapi Peguam Negara sendiri yang mengendalikan kes-kes ini. (Kita lihat nanti apakah keputusan Mahkamah Antarabangsa di The Hague bagi isu perebutan wilayah di Pulau Batu Puteh yang dikendalikan antaranya oleh beliau.) Dan seperti biasa ISA diberikan jawapan sebagai penyelesai kepada segala-galanya. Saya amat pelik ketika negara kita masih ada undang-undang, mahkamah, hakim dan peguam, ISA yang membenarkan penahanan tanpa bicara dijadikan penyelesaian. Ugutan demi ugutan ini dilakukan bagi menakutkan masyarakat dan memandulkan pemikiran mereka untuk berfikir secara adil, saksama dan bijaksana.

    Apa yang ingin saya luahkan di sini bukannya satu pandangan yang menyokong pembangkang dan menentang kerajaan. Apa yang diluahkan adalah sebagai salah satu manifestasi kepada permintaan untuk mendapatkan sedikit kebebasan dari sudut mengeluarkan pendapat, berhimpun secara aman dan mendapatkan informasi secara adil dari media. Terdapat banyak lagi perkara yang perlu kita lakukan secara bersama bagi menyelamatkan masyarakat kini dari gejala sosial yang kian meruncing dan pegangan agama yang semakin membimbangkan. Apakah salahnya diberikan sedikit ruang bagi rakyat mendapatkan hak mereka? Berlawan di padang yang rata dan dalam masa yang sama dikendalikan oleh hakim yang adil saksama. Kami yang bergelar mahasiswa sekarang dilihat gagal dalam memainkan peranan sebagai jurubicara ummah dan lidah kedua kepada masyarakat. Manakan tidak apabila ditunjukkan sedikit luahan maka mulut kami akan dihulurkan “stapler” untuk dikacip supaya tidak lagi boleh bercakap dan meluahkan pandangan. AUKU menjadi isu perjuangan gerakan mahasiswa nasional dan isu-isu masyarakat serta negara yang sepatutnya diambil peduli oleh golongan intelektual ini ditinggalkan. Dan memang inilah apa yang diinginkan. Mahasiswa disibukkan dengan perjuangan menuntut Pilihanraya Kampus yang adil, membebaskan rakan yang digantung atau dibuang dan berhimpun bagi memberikan sokongan kepada rakan yang dihakimi di mahkamah universiti. Perjuangan mahasiswa telah terarah ke sudut gelap yang tidak akan ada penyelesaiannya. Kebebasan mahasiswa digari dan diikat kemas dengan akujanji, undang-undang dan ugutan.

    Kebebasan memberi makna yang amat luas. Ia juga jauh bernilai dan memberi makna yang mendalam dalam kehidupan seseorang manusia. Masyarakat telah berjaya menghapuskan sistem perhambaan di mana dahulunya manusia menjadi hamba suruhan kepada tuannya. Namun masyarakat juga telah melahirkan hamba-hamba yang lain. Perhambaan kepada wang sebagai contohnya telah berjaya mengubah lanskap politik dunia dengan sistem kapitalis yang menguasai dunia. Kita tidak mahu rakyat kini menjadi hamba kepada kerajaan dengan pelbagai sekatan, tindakan, ugutan, hukuman dan propaganda. Yang perlu dinilai semula adalah kerajaanlah yang sepatutnya berkhidmat dengan penuh adil dalam menjaga kebajikan masyarakat. Kebebasan adalah sesuatu yang amat mahal untuk digantikan dengan sebuah gari.