Twitter Updates

    follow me on Twitter

    Wednesday, December 12, 2007

    APABILA KEBEBASAN SENILAI DENGAN SEBUAH GARI…


    Benarkah Malaysia kini dikenali sebagai negara polis? Bukannya polis dunia seperti Amerika Syarikat yang mendabik dada menjaga keamanan muka bumi tetapi menjadikan polis bagi menyelesaikan apa sahaja masalah yang timbul. Negara polis yang menggunakan ugutan dan kekerasan sebagai senjata bukannya perdamaian dan rundingan seperti yang dilaungkan kepada Amerika, Thailand dan Myanmar. ISA menjadi bahan ugutan kepada rakyat dan menjadi senjata paling ampuh bagi melumpuhkan semangat gerakan masyarakat bagi menuntut sedikit kebebasan untuk bernafas dalam kehidupan yang kian menghimpit ini. Itu yang boleh dilihat kini dan mungkin kenyataan ini boleh disangkal. Terpulang kepada semua untuk melihatnya dari dimensi kaca mata masing-masing. Namun, apa yang berlaku kini benar-benar menjustifikasikan kenyataan di atas. Kebebasan rakyat sedikit demi sedikit diragut atas hujah dan alasan keselamatan.

    Bermula dengan himpunan rakyat di Istana Negara dan sebelumnya konflik yang berlaku di Batu Buruk yang sebenarnya ia bukanlah rusuhan tetapi himpunan yang diprovokasi sehingga mencetuskan kekacauan sehinggalah yang terkini perhimpunan HINDRAF yang penuh kontroversi. Saya tidak menyokong keganasan dan kami mahasiswa amat tidak bersetuju kekerasan dianggap penyelesai kepada segala permasalahan. Akan tetapi kami juga tidak bersetuju sesuatu yang dianggap mengancam keselamatan dan mencetuskan kekacauan walaupun tiada bukti yang kukuh dibalas kembali dengan kekerasan oleh pihak berkuasa. Peristiwa yang berlaku kini dilihat seolah-olah apa yang pernah berlaku sebelumnya semasa era Tun Dr Mahathir memerintah apabila OPS Lalang dijalankan. ‘Political cleansing’ dengan meminjam kata-kata Datuk Mustafa Ali dilaksanakan dan ia kini dilihat kembali berlaku apabila PRU semakin hampir. Dan peristiwa demi peristiwa ini berlaku mengikut flow yang sangat tersusun dan terancang. Media cetak dan eloktronik dijadikan senjata propaganda yang amat berkesan dalam menyebarkan sesuatu isu berkaitan hal ini. Peristiwa di Batu Burok dilihat sebagai penanda aras bahawa sebarang bentuk himpunan yang pada mulanya demi menerangkan tentang isu keadilan di Malaysia ini boleh mencetuskan keganasan. Polis yang cedera diwar-warkan tetapi bagaimana pula dengan keadaan dua orang mangsa yang cedera parah ditembak? Ia berterusan pula ke perhimpunan 100 000 manusia dari Dataran Merdeka ke Istana Negara pada 10 November yang lepas. Ia dipropagandakan sebagai himpunan yang tidak mendapat sambutan ramai, sia-sia dan mengancam keselamatan. Sebelum itu Putrajaya gempar sebentar apabila ribuan peguam di bawah seliaan Bar Council mengadakan peraarakan keadilan bagi menuntut sistem kehakiman yang adil. Kemudiannya ia disusuli dengan perhimpunan HINDRAF bagi menuntut keadilan dan pampasan dari kerajaan British. Sekali lagi media memainkan peranan yang sangat berkuasa dalam hal ini. Benarlah apa yang dikata bahawa sesiapa yang menguasai media maka dia akan menguasai dunia. Rupert Murdoch seorang bilionair Yahudi sanggup menghabiskan jutaan ringgitnya bagi melabur menguasai media-media utama dunia sehingga dia mampu menjadi salah seorang yang paling berkuasa di dunia. Dengan medialah pendapat umum dapat dibentuk seterusnya menghasilkan pemikiran dan tindakan dari masyarakat.

    Perhimpunan-perhimpunan rakyat ini dijadikan alasan oleh pihak berkuasa bagi menjustifikasikan segala perbuatan mereka. Tangkapan dan tahanan dibuat khususnya kepada pemimpin pembangkang dan beberapa NGO. Pendakwaan pula bukan dilakukan oleh orang yang bukan calang-calang tetapi Peguam Negara sendiri yang mengendalikan kes-kes ini. (Kita lihat nanti apakah keputusan Mahkamah Antarabangsa di The Hague bagi isu perebutan wilayah di Pulau Batu Puteh yang dikendalikan antaranya oleh beliau.) Dan seperti biasa ISA diberikan jawapan sebagai penyelesai kepada segala-galanya. Saya amat pelik ketika negara kita masih ada undang-undang, mahkamah, hakim dan peguam, ISA yang membenarkan penahanan tanpa bicara dijadikan penyelesaian. Ugutan demi ugutan ini dilakukan bagi menakutkan masyarakat dan memandulkan pemikiran mereka untuk berfikir secara adil, saksama dan bijaksana.

    Apa yang ingin saya luahkan di sini bukannya satu pandangan yang menyokong pembangkang dan menentang kerajaan. Apa yang diluahkan adalah sebagai salah satu manifestasi kepada permintaan untuk mendapatkan sedikit kebebasan dari sudut mengeluarkan pendapat, berhimpun secara aman dan mendapatkan informasi secara adil dari media. Terdapat banyak lagi perkara yang perlu kita lakukan secara bersama bagi menyelamatkan masyarakat kini dari gejala sosial yang kian meruncing dan pegangan agama yang semakin membimbangkan. Apakah salahnya diberikan sedikit ruang bagi rakyat mendapatkan hak mereka? Berlawan di padang yang rata dan dalam masa yang sama dikendalikan oleh hakim yang adil saksama. Kami yang bergelar mahasiswa sekarang dilihat gagal dalam memainkan peranan sebagai jurubicara ummah dan lidah kedua kepada masyarakat. Manakan tidak apabila ditunjukkan sedikit luahan maka mulut kami akan dihulurkan “stapler” untuk dikacip supaya tidak lagi boleh bercakap dan meluahkan pandangan. AUKU menjadi isu perjuangan gerakan mahasiswa nasional dan isu-isu masyarakat serta negara yang sepatutnya diambil peduli oleh golongan intelektual ini ditinggalkan. Dan memang inilah apa yang diinginkan. Mahasiswa disibukkan dengan perjuangan menuntut Pilihanraya Kampus yang adil, membebaskan rakan yang digantung atau dibuang dan berhimpun bagi memberikan sokongan kepada rakan yang dihakimi di mahkamah universiti. Perjuangan mahasiswa telah terarah ke sudut gelap yang tidak akan ada penyelesaiannya. Kebebasan mahasiswa digari dan diikat kemas dengan akujanji, undang-undang dan ugutan.

    Kebebasan memberi makna yang amat luas. Ia juga jauh bernilai dan memberi makna yang mendalam dalam kehidupan seseorang manusia. Masyarakat telah berjaya menghapuskan sistem perhambaan di mana dahulunya manusia menjadi hamba suruhan kepada tuannya. Namun masyarakat juga telah melahirkan hamba-hamba yang lain. Perhambaan kepada wang sebagai contohnya telah berjaya mengubah lanskap politik dunia dengan sistem kapitalis yang menguasai dunia. Kita tidak mahu rakyat kini menjadi hamba kepada kerajaan dengan pelbagai sekatan, tindakan, ugutan, hukuman dan propaganda. Yang perlu dinilai semula adalah kerajaanlah yang sepatutnya berkhidmat dengan penuh adil dalam menjaga kebajikan masyarakat. Kebebasan adalah sesuatu yang amat mahal untuk digantikan dengan sebuah gari.



    No comments: