Twitter Updates

    follow me on Twitter

    Monday, December 17, 2007

    KAJI SELIDIK GOLONGAN MUDA 2007


    PERSPEKTIF TERHADAP PENGLIBATAN SOSIAL, POLITIK DAN PANDANGAN TERHADAP ISU-ISU SEMASA

    *Bagaimanakah trend politik golongan muda sekarang? Apakah kecenderungan mereka dan sejauhmana keterlibatan politik golongan yang bakal mengambil alih tampuk pemerintahan negara pada masa hadapan. Berikut ialah hasil rumusan kajian yang dilakukan oleh Merdeka Center mengenai golongan belia dan penglibatan sosial, politik dan pandangan mereka terhadap isu-isu semasa.

    Pengenalan

    Pada 8 Ogos hingga September 2007, Merdeka Center for Opinion Research telah mengendalikan satu kaji selidik melalui telefon terhadap 1,508 orang respinden dalam lingkungan umur 20 hingga 35 tahun yang telah dipilih secara rawak dari seluruh negara. Persampelan dibentuk dengan mengambilkira latar belakang populasi kebangsaan yang dibahagikan mengikut jantina, kaum dan negeri. Objektif kajian ini adalah untuk mendapatkan pandangan golongan muda di Malaysia mengenai penglibatan mereka dalam aktiviti kemasyarakatan dan politik, juga pandangan mereka terhadap pentadbiran kerajaan dan demokrasi. Enam diskusi berkumpulan (focus group) bersama golongan muda dan ahli pertubuhan belia telah dijalankan di Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Kota Bharu, Kota Kinabalu dan Kuching. Kaji selidik ini dibiayai bersama oleh Asia Foundation dan Kedutaan Belanda.

    Hasil Penemuan

    Tahap kemampuan diri yang rendah:

    Secara umumnya golongan muda di Malaysia tidak melihat diri mereka sebagai berkemampuan untuk melakukan perubahan dalam masyarakat walaupun mereka mengambil berat tentang isu seperti ekonomi, keselamatan umum atau kos sara hidup. Perasaan tidak ambil peduli ini direkodkan lebih tinggi di kalangan perempuan di mana satu daripada tiga orang merasakan sedikit sahaja yang boleh mereka lakukan di dalam masyarakat. Adalah tidak menghairankan, apabila kajian mendapati golongan muda tidak gemar menyertai kelab atau pertubuhan. Hanya seorang daripada lima orang dilaporkan menjadi ahli pertubuhan – hampir sebahagian daripada mereka menyertai parti politik atau persatuan belia anjuran kerajaan seperti Belia 4B, Majlis Belia Malaysia atau Rakan Muda. Ini bermakna kurang dari 10% belia menjadi ahli dalam sebarang pertubuhan. Secara keseluruhannya hasil kajian tidak menunjukkan banyak perubahan dari tahun 2006.

    Penglibatan politik yang sederhana:

    Jika pendaftaran pengundi diambil sebagai indikator kepada penglibatan politik, maka kajian mendapati penglibatannya adalah di peringkat sederhana. Lebih daripada separuh mendakwa telah mendaftar sebagai pengundi. Walau bagaimanapun, hasil kajian mendapati tahap penglibatan dalam politik berbeza di antara kaum – tinggi di kalangan Bumiputera dan rendah di kalangan bukan Bumiputera. Selain daripada mendaftar sebagai pengundi, kajian juga mendapati penglibatan belia dalam politik juga berada di tahap yang sederhana. Hanya seorang daripada sepuluh orang yang mendakwa sentiasa membincangkan tentang politik dan dasar dengan keluarga dan kawan-kawan dan hanya satu daripada sembilan orang yang terlibat dalam kempen politik dan memantau pilihanraya. Selebihnya mendakwa mereka hanya mengundi dan mungkin membaca tentang isu-isu yang ditimbulkan menjelang pilihanraya. Majoriti besar mengatakan seboleh-bolehnya mereka tidak ingin terlibat dengan politik.

    Keterbukaan terhadap kepelbagaian sistem politik:

    Secara keseluruhannya, golongan muda lebih terbuka dengan idea seperti parti pembangkang memainkan peranan yang lebih penting. Kajian mendapati pandangan ini dipengaruhi oleh latar belakang warisan budaya dan sosial. Responden bukan Bumiputera dan di kawasan bandar lebih cenderung untuk menyokong lebih ramai perwakilan pembangkang di dalam parlimen. Majoriti besar responden bersetuju bahawa peranan yang paling sesuai untuk parti pembangkang adalah menjadi pemerhati dan pengkritik kepada tindakan kerajaan.

    Bersikap konservatif terhadap demokrasi:

    Keseluruhan kajian menunjukkan pandangan responden terhadap konsep demokratik mencerminkan ‘nilai-nilai ketimuran’ yang sedang dilaungkan oleh kerajaan. Majoriti merasakan bahawa kepentingan umum mesti didahulukan sebelum kepentingan individu. Separuh daripada golongan muda menerima kritikan terbuka di kalangan pemimpin masyarakat terhadap isu-isu yang menjadi perbincangan umum. Pada masa yang sama golongan muda Malaysia mahukan pemimpin-pemimpin yang menghormati kedaulatan undang-undang.

    Pandangan berbeza mengenai kualiti pentadbiran:

    Akhir sekali, kajian menunjukkan bahawa separuh daripada golongan muda Malaysia berpandangan bahawa kerajaan melayan semua rakyat dengan adil. Pandangan golongan muda ini didasari oleh warisan dan budaya sepertimana mereka juga merasakan bebas untuk bersuara secara terbuka tentang masalah yang dianggap sensitif seperti hubungan kaum dan agama serta juga kritikan terhadap kerajaan. Lebih menyedihkan, majoriti kecil golongan muda percaya bahawa tidak banyak yang dapat dilakukan oleh rakyat biasa untuk memastikan kerajaan bertanggungjawab ke atas tindakannya apabila di luar musim pilihanraya. Pandangan ini disokong oleh penemuan lain yang menunjukkan sebahagian besar – tujuh daripada lapan orang – merasakan pegawai kerajaan tidak mematuhi undang-undang. Tambahan lagi, kajian juga mendapati hampir keseluruhan responden percaya bahawa kerajaan terlibat dengan rasuah.

    “Merdeka Center for Opinion Research. Bangi, Selangor.”

    No comments: