Twitter Updates

    follow me on Twitter

    Wednesday, December 12, 2007

    SISTEM PENDIDIKAN MALAYSIA: KEJAYAAN, KEGAGALAN @ ....?


    Malam Sabtu itu saya ke kampus UM atas hajat untuk menyelesaikan beberapa urusan persatuan yang tertangguh. Dalam kelam malam yang dingin kerana hujan baru usai sahaja berhenti serta suasana sunyi yang mencengkam kerana mahasiswa pulang ke kampung menghabiskan cuti semester, saya terpandang tiga orang lelaki tua sebaya datuk saya sedang menyusuri jalan kecil di bawah limpahan lampu yang kelam menuju ke Akademi Pengajian Islam. Terdetik di hati saya mungkin mereka keluar mencari makanan untuk makan malam kerana kafeteria tidak dibuka di APIUM pada waktu malam dan hujung minggu. Saya kenal mereka kerana mereka adalah pelajar yang mengambil kursus pengajian Syariah dan Usuluddin yang ditawarkan kepada orang awam yang berminat untuk mengukuhkan penguasaan pengajian Islam. Mereka bukan tinggal berdekatan tetapi ada yang datang dari Ipoh, Perak dan Kedah. Kelas berjalan pada hari Sabtu dan Ahad dan mereka akan tidur di Masjid APIUM bagi memudahkan pergerakan. Di masjid, mereka akan habiskan masa membaca buku-buku yang mereka pelajari dari kelas yang diikuti sementara menunggu esoknya. Pendidikan agama secara formal inilah yang sepatutnya dicontohi bukan setakat menadah telinga di masjid atau surau tanpa membawa sebatang pen untuk mencatat ilmu yang diberi. (kajian berkenaan peratus ingatan hanya berdasarkan pendengaran berbanding penglihatan, pendengaran dan catatan perlu diteliti oleh semua).

    Dalam masa yang sama hati dan minda saya terfikir dan membandingkan keadaan golongan belia kini terhadap ilmu dengan pakcik-pakcik yang rajin menelaah ulangkaji itu. Bila direnung kembali dan hasil pengamatan saya dari sekolah rendah, kemudian sekolah menengah sehingga ke menara gading berlaku beberapa fenomena yang membabitkan pelajar (yang terdiri dari diri sendiri dan sahabat yang lain) hasil dari sistem pendidikan negara yang dipraktikkan sejak puluhan tahun yang lampau. Fenomena yang saya maksudkan ini adalah perlakuan dan minat pelajar-pelajar terhadap ilmu yang dipelajari. Murid-murid di sekolah rendah dan menengah tidak begitu berminat untuk belajar. Apabila kerja rumah diberikan atau ujian dijalankan timbul keluhan di hati mereka seolah-olah perkara tersebut sesuatu yang sangat membebankan berbanding rutin mereka bermain dan menonton televisyen. Gejala ponteng sekolah menjadi suatu perkara biasa dan wajib ada pada setiap sekolah. Tempat lepak yang dipilih sebagai pengganti kelas bukannya selesa, bahkan ada yang memilih tandas, bawah jambatan, tangga pusat beli-belah, kafe siber dan sebagainya untuk mengelakkan diri dari kelas yang dianggap membosankan dan membebankan walaupun pada pandangan zahir ia dilihat lebih selesa berbanding tempat mereka membuang masa itu. Suasana dalam kelas pula dilihat agak membosankan. Murid-murid hanya pasif mendengar dan mengangguk apa yang cikgu ajar di hadapan. Ada yang bermain di belakang, tidur dan berborak apabila cikgu yang mengajar hanya sekadar mengajar.

    Begitu juga apa yang berlaku di IPT-IPT tempatan dan ia dilihat sebagai satu kesinambungan kepada gejala yang tidak boleh dipisahkan. Sesi perbincangan secara aktif langsung tidak ada, ajuan soalan hanya bergema di bilik kuliah apabila pensyarah memaksa mereka bertanya atau memanggil nama mereka dan paparan slide atau tulisan di ‘white board’ disalin bulat-bulat tanpa banyak soal. Jika tidak faham, mereka akan pendamkan dalam hati atau bertanya kawan yang dua kali lima dengan mereka juga. Jika ada yang mengajukan soalan mereka akan dilihat sebagai pelajar yang benar-benar hebat ataupun ‘pelik’ walaupun itu hanyalah apa yang dipanggil sebagai istilah bertanya. Hasilnya pelajar-pelajar ini bukannya mempelajari ilmu tetapi menyalin nota dan percakapan pensyarah tanpa benar-benar mengetahui ilmu yang mereka ambil dari cikgu atau pensyarah tadi.

    Bahkan ada yang fobia kepada matapelajaran yang dipelajari. Maka timbullah istilah-istilah baru seperti ‘fobia mate’, ‘fobia BI’ dan ‘fobia sains’. Melihat keadaan ini kerajaan tergopoh gapah tanpa kajian yang mendalam melaksanakan pembelajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris. Maka bertambahlah fobia-fobia dalam matapelajaran tersebut kerana dianggap sangat sukar dan menyulitkan. Semua ini adalah apa yang berlaku sekarang. Ia bukan rekaan tetapi dialami oleh saya sendiri selepas pengamatan hampir 12 tahun di sekolah dan lima tahun di IPT. Apabila peperiksaan menjelang barulah mereka akan sibukkan diri dengan nota-nota kuliah yang itupun dipinjam dari kawan-kawan yang rajin menyalin sewaktu kuliah. Nota-nota tersebut difotostat dan dibahagikan walhal ada yang tulisannya amat buruk, bersambung-sambung dan dilihat macam cacing (ini pengalaman saya). Buku-buku yang selayaknya dan paling berautoroti sebagai sumber rujukan untuk ulangkaji ditolak ketepi. Bahkan jika ada pensyarah yang memberi beberapa ‘klu’ atau contoh yang perlu dibaca sebagai persediaan peperiksaan, maka mereka akan hanya menumpukan dan memfokuskan kepada tajuk yang diberikan. Hal ini sama seperti yang berlaku di sekolah-sekolah. Buku ramalan peperiksaan begitu laris di pasaran khususnya yang membabitkan himpunan solan-soalan peperiksaan UPSR, PMR dan SPM.

    Sesetengah cikgu (bukan majoriti pada pandangan saya) menumpukan sejak awal pembelajaran lagi kepada soalan-soalan peperiksaan yang lepas. Satu tahun pembelajaran berfokus kepada soalan-soalan tersebut manakala silibus yang sepatutnya diajar secara keseluruhan ditinggalkan. Maka timbul pelbagai dialog seperti: “murid-murid perlu ulangkaji fokus pada tajuk sekian-sekian kerana pada tahun 2000 soalan ini pernah keluar, jadi saya ramalkan ia akan keluar pada tahun ini kerana sudah tujuh tahun ia tak keluar. Saya juga dapat maklumat dari rakan di kementerian bahawa tajuk ini penting dan perlu dibaca”. Itu perbualan biasa di kelas-kelas. Seminar-seminar ramalan peperiksaan giat dijalankan dan pusat tuisyen yang mengajar secara latih tubi menjadi tumpuan para ibubapa dan guru sekolah. Saya tidak mengatakan ia adalah sesuatu yang salah dan saya juga tidak nyatakan ia tindakan yang tepat. Akan tetapi apabila peperiksaan menjadi fokus utama sejak dari awal pembelajaran dan wibawa ilmu diketepikan saya melihat sesuatu yang tidak kena pada sistem pendidikan dan pembelajaran sekarang. Ia juga dilihat suatu yang tidak kena pada keadaan masyarakat Malaysia sekarang. Kita kini melahirkan manusia-manusia robot yang mengejar nombor satu, paling banyak A dan pointer PNGK yang paling tinggi. Buktinya mereka (yang saya maksudkan di sini adalah pelajar dan mahasiswa) hadir ke kelas pada waktu pagi (dan dalam masa yang sama ramai juga yang ponteng), mendengar apa yang diajar kemudian balik ke rumah atau asrama. Malamnya mereka sekali lagi berhadapan dengan ulangkaji yang menimbun. Bila peperiksaan menjelang, nota-nota dihimpunkan dan dibaca. Habis sahaja peperiksaan nota-nota yang pada mulanya disimpan rapi dan digenggam erat ketika masih berada di luar dewan peperiksaan sebelum ia berlangsung, akan disepahkan dan dibuang tak ubah seperti surat khabar lama yang dibuang bukan untuk dikitar semula. (surat khabar yang ingin dikitar semula akan disimpan secara baik atau diletakkan di tempat yang sepatutnya.)

    Tambah parah pelajar yang mendapat nombor satu, semua A atau 3.70 ke atas akan disanjung tinggi setinggi-tingginya. Apabila keputusan peperiksaan diumumkan (UPSR, PMR & SPM) maka sekolah-sekolah akan membandingkan rekod keputusan peperiksaan yang diperolehi. Pegawai Kementerian Pelajaran akan memuji sekolah yang dikatakan berjaya melahirkan pelajar yang paling ramai mendapat ‘A’ dan sebaliknya (saya tidak tahu istilah apa yang sesuai) untuk sekolah yang rekod peperiksaan pelajarnya rendah atau merosot. Di sekolah yang mencapai rekod yang dihajati, pengetua akan memuji-muji kejayaan yang dicapai akan tetapi bagi sekolah yang merosot para guru akan dimarahi kerana gagal melahirkan pelajar yang mampu mencapai A. Mungkin ada yang akan mempertikaikan kenyataan ini tetapi ia adalah apa yang saya dapati dari seorang cikgu yang mengajar di sebuah sekolah.

    Untuk setakat ini rekod 17A1 dalam SPM menjadi penilai kepada kehebatan maksimum kepada penguasaan ilmu pelajar sekolah dan ia bila-bila masa akan dipecahkan oleh pelajar yang diberi motivasi sebegitu. Mereka yang bertuah ini akan diberikan biasiswa, hadiah (biasanya basikal kepada murid sekolah rendah), dan ditempatkan di sekolah elit dan berasrama penuh. Saya tidak menolak anugerah ini bahkan mengalu-alukannya kerana hasil usaha gigih yang mereka lakukan dalam peperiksaan namun ia tidak patut dipromosikan, dihebahkan dan disanjung dengan tinggi yang sampai ke tahap langit ke tujuh. Bagaimana pula dengan mereka yang mendapat markah yang rendah, sedikit ‘A’ atau gagal dalam sesuatu peperiksaan. Mereka ini kebiasaannya akan dipanggil atau dilihat pemalas, bodoh dan tidak mahu berusaha. Penyanjungan yang amat tinggi kepada mereka yang berjaya dengan dihebahkan secara meluas di media cetak dan elektronik di samping pandangan negatif yang diberikan menyebabkan mereka akan merasa terpinggir dan jauh dari masyarakat yang kini mementingkan kebendaan, kedudukan dan pangkat. Perbincangan berkenaan fenomena dan gejala yang berlaku kini tidak akan habis dan mungkin memerlukan puluhan halaman yang lain pula. Penulisan ini bukan sekadar untuk memberikan kritikan yang membina tetapi secara ikhlas cuba untuk memberikan beberapa cadangan yang bagi saya dilihat sangat kecil berbanding sistem pendidikan yang telah dirangka sejak puluhan tahun yang lampau. Namun setelah melihat apa yang berlaku sekarang dan kemungkinan pada masa hadapan, maka kita harus berbuat sesuatu berkaitan sistem pendidikan sekarang.

    Cadangan Noh Omar, Timbalan Menteri Pelajaran bagi mengkaji semula silibus pendidikan sekolah wajar dipuji. Namun pemerkasaan secara radikal kepada sistem pendidikan negara perlu juga dikaji secara adil dan saksama bukan setakat terhadap silibus semata-mata. Sistem yang dimaksudkan ini meliputi silibus, teknik pengajaran, waktu pembelajaran dan kaedah peperiksaan. Akan tetapi perubahan ini perlulah melalui kajian yang mendalam dan mendasar, melalui perbincangan dan perdebatan ilmiah, perbahasan di Parlimen, pandangan masyarakat, serta melihat juga kepada kerangka sistem pembelajaran di luar negara. Kita tidak mahu pisang berbuah berkali-kali. Pembelajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris yang dilaksanakan secara tergesa-gesa dilihat memberi pelbagai kesan kepada pelajar, guru dan sistem pendidikan. Begitu juga dengan dasar-dasar yang digubal sebelum ini. Bilion ringgit dihabiskan namun ia terus menjadi bahan rungutan murid dan guru, kritikan ahli pendidik dan sindiran ahli politik. Sistem pendidikan yang berorientasikan peperiksaan ini perlu diubah. Pelajar-pelajar bukan dilihat secara syumulnya kepada ‘A’ semata-mata tetapi juga kepada bakat dan potensi yang ada. Kita perlu jelas bahawa IQ dan tahap pemikiran manusia ini berbeza-beza. Ada yang sehebat serta sebijak Stephen Hawking dan Albert Enstein yang dikatakan menggunakan 16-17% mindanya dan ada pula yang sebaliknya. Mereka yang pernah bersekolah di asrama penuh tidak semestinya cemerlang apabila menyambung pelajaran di IPT. Begitu juga mereka yang cemerlang di IPT kadang-kadang gagal menempatkan diri dalam bidang kerjaya yang setanding dengan pencapaian mereka. Nilai A dan markah tinggi bukan penentu kepada segala-galanya. Konosuke Matsushita yang tidak pernah mengikuti sistem pendidikan di Jepun apatahlagi mendapat ‘A’ dinobatkan sebagai usahawan paling luar biasa di abad ke-20. Beliau tidak menerima sebarang pembelajaran di sekolah tetapi mempelajarinya dari pengalaman beliau bekerja sejak dari umur sembilan tahun selama enam belas jam sehari. Dengan usaha yang berterusan dan potensi serta bakat yang digilap sendiri beliau berjaya mengasaskan Matsushita Electric Corporation dengan keuntungan AS$65 bilion setahun. Saya bukan mempertikaikan mereka yang cemerlang dalam peperiksaan. Mereka yang berjaya ini sememangnya bijak dan rajin berbanding mereka yang lain di samping keputusan tersebut adalah satu nilai tambah yang tinggi apabila mereka keluar ke alam pekerjaan kelak. Namun apa yang ingin diingatkan hasil contoh di atas, kecerdikan berdasarkan paling banyak ‘A’ dalam peperiksaan adalah subjektif dan seperti yang telah dijelaskan sebelum ini ia bukan penentu kepada segala-galanya.

    Alangkah baiknya jika sistem pembelajaran kita mampu melahirkan minat kepada pelajar untuk terus belajar dan belajar sehingga ke hujung usia. Mereka dilihat kepada bakat dan potensi yang dimiliki dan bukan setakat peperiksaan semata-mata. Mereka dilihat dari mana mereka bermula dan asas apa yang mereka ada. Bakat ini dikembangkan dengan pelbagai aktiviti yang bukan hanya terbatas di dalam kelas dan bukan setakat tertakluk kepada pendidikan jasmani dan ko-kurikulum sahaja. Latihan menganalisis, mengkritik dan berfikir secara kritikal dan lateral dilatih secara konsisten di dalam kelas. Guru pula bukan setakat mengajar semata-mata tetapi menjadi motivator dan kaunselor kepada anak murid mereka. Setiap cadangan atau soalan yang dikemukakan oleh murid disambut dengan semangat oleh si guru. Pembelajaran pula bukan setakat demi peperiksaan semata-mata tetapi dengan matlamat untuk menggilapkan lagi potensi yang mereka ada. Pelajar yang mendapat markah yang rendah tidak dipinggirkan bahkan terus dimotivasi dengan pandangan bahawa peperiksaan hanyalah salah satu aspek dalam proses pembelajaran yang berterusan sepanjang hayat. Sistem pembelajaran di sekolah antarabangsa yang dikhususkan kepada golongan ekspatriat dan kini dibuka kepada umum boleh dijadikan contoh dan indikator kepada perlaksanaan ini.

    Saya tidak mahu membahaskan konsep ilmu ini secara ilmiah dan terlalu akademik sehingga boleh memeningkan pembaca. Kita tinggalkan dahulu konsep klasifikasi ilmu al-Farabi, teori keagungan ilmu Frantz Rosenthal dan falsafah pendidikan Naquib al-Attas. Ia boleh dibahaskan secara panjang lebar dalam artikel yang lain. Apa yang ingin saya tekankan bahawa negara kita sudah mencapai 50 tahun kemerdekaan dan seiring dengan nikmat tersebut masyarakat telah mengecapi nikmat kemajuan hasil pendidikan yang melahirkan tenaga-tenaga mahir dan separa mahir. Namun kita perlu melihat kembali bahawa pemilihan pembelajaran hanya atas faktor komersil dan jawatan tidak akan membawa seseorang manusia itu ke mana. Jika ia penting sekalipun bidang yang diambil perlu seiring dengan pembelajaran agama yang bersepadu dan lengkap bagi membimbing mereka apabila keluar kelak. Masyarakat yang lahir dari sistem pendidikan negara harus mereka yang benar-benar berilmu, mampu mempraktikkanya dan mampu memberi manfaat kepada agama dan tanah air. Kita sudah sesak dengan kes-kes jenayah kolar putih yang dilakukan oleh mereka yang berpendidikan tinggi. Gejala rasuah, penyelewengan, politik kotor dan sebagainya adalah hasil mahsul yang lahir akibat kegagalan penerapan agama yang hakiki dan berterusan. Pensekularan sistem pendidikan ini perlu dihapuskan segera. Kita mahukan generasi yang mampu mencontohi generasi yang hidup pada zaman Rasulullah SAW. Para sahabat di zaman terbaik itu apabila membaca dan mempelajari al-Quran mereka bukan setakat membaca semata-mata tetapi akan terus mempraktikkannya. Selagi mana mereka tidak memahami ayat tersebut dan menghayatinya (tadabbur) maka mereka tidak akan berpindah ke ayat yang lain. Dalam konteks masyarakat berilmu ini saya petik penulisan Wan Mohd Nor Wan Daud dalam bukunya Pembangunan di Malaysia (2005):

    “Kita benar-benar perlu membangun negara yang kuat dan syumul budaya ilmunya; di mana ilmu dihargai sebagai sifat dan nilai yang utama. Dalam budaya sedemikian, kesemua keputusan-keputusan penting harus ditentukan berdasarkan wibawa ilmu dan hikmah, sementara pernyataan-pernyataan dan dasar serta rancangan yang cuma berdasarkan agak-agakan, pendapat dan kepentingan-kepentingan ekonomi dan politik sempit, perlu ditolak. Budaya sedemikian menjunjung ilmu sebagai kebaikan utama, dan abadi, dan ilmu itu tidak patut diperalatkan sebagai bahan dagangan, atau sebagai batu loncatan bagi mendapat jawatan.”

    Dunia kini melalui satu rentas masa yang pantas, mencabar dan berliku apabila globalisasi merajai seluruh pelusuk dunia. Dalam masa yang sama kita memerlukan pemimpin dan masyarakat yang benar-benar berkualiti dalam konteks mental, fizikal dan rohaninya. Buluh yang tinggi memuncak dilentur dari rebungnya. Manusia yang hebat dan mampu berhadapan dan bersaing dalam zaman yang mencabar dididik serta disemai dengan pendidikan yang berkualiti dan berhikmah sejak dari kecilnya. Kerajaan dan masyarakat tidak harus cepat berpuas hati dengan apa yang ada. Jika sesuatu sistem atau dasar itu mampu memberikan manfaat yang besar walaupun usaha ke arahnya sulit dan sukar maka ia perlu dilaksanakan walau dengan apa kaedah dan wasilah sekalipun. Mendidik dan menternak adalah dua istilah yang jauh berbeza. Kita bukan setakat menyuapkan ilmu semata-mata tetapi ilmu yang dipelajari itu perlu dibimbing dan dipraktikkan secara bijaksana. Paling penting ilmu yang dicurahkan perlu bertepatan dengan kehendak Islam agar mereka yang lahir dari didikan tersebut adalah seorang mu’min yang mampu memainkan tanggungjawabnya selaku warganegara yang baik. Dan saya teringat kembali kepada tiga orang tua yang menuntut ilmu di Akademi Pengajian Islam. Mereka sanggup meninggalkan keluarga dan kerehatan di kampung bagi mendapatkan ilmu yang tidak akan habis ini. Alangkah baiknya jika semua pelajar mencontohi semangat mereka yang berperilaku mulia ini. Belajar bukan untuk peperiksaan dan kerjaya tetapi demi memenuhi redha Allah dan digunakan bagi menunaikan tanggungjawab selaku khalifah yang memakmurkan muka bumi yang penuh ranjau ini.

    No comments: