Twitter Updates

    follow me on Twitter

    Wednesday, November 28, 2007

    Perkembangan idea nasionalisme Arab: Faktor yang mencorakkan sosio politik di Asia Barat*


    Perkembangan politik Asia Barat bertitik tolak dan tercetus dari sejarah panjangnya yang memakan masa ratusan tahun yang lampau. Apa yang berlaku kini pula adalah kesinambungan daripada apa yang berlaku sebelumnya sehingga mencetuskan beberapa peristiwa dan iklim politik yang ada sehingga kini. Negara-negara di Asia Barat mula terbentuk dan berpecah menjadi sebuah kerajaan bersendiri menjelang awal abad ke-20 bermula sebelumnya dengan Iran dan Mesir seterusnya negara-negara yang lain selepas berlakunya Pemberontakan Arab yang dibawa oleh Syarif Husain Mekah dan selepas runtuhnya empayar Daulah Uthmaniyyah pada tahun 1924. Akan tetapi apakah punca yang menyebabkan umat Islam kini terus berpecah belah? Mereka dibentengi dengan semangat kenegaraan dan nasionalis sehingga semangat perpaduan atas nama Islam diabaikan. Lihat sahaja apa yang berlaku kepada nasib rakyat Palestin. Akibat dasar asobiyah yang melampau di samping pegangan kepada ideologi Barat yang kuat menyebabkan bangsa Arab yang berjumlah ratusan juta dan kaya dengan emas hitam yang dianugerahkan amat mudah diancam oleh kuasa Barat dan Israel. Liga Arab yang berfungsi bagi menyatukan orang Arab dilihat gagal memainkan peranannya yang sebenar. Begitu juga dengan apa yang berlaku di negara mereka sendiri. Lahir parti-parti politik yang khusus memperjuangkan semangat bangsa semata-mata sehingga mereka meninggalkan perjuangan sebenar iaitu untuk menegakkan semula Daulah Islamiyyah yang telah terkubur. Penulisan ini cuba mencungkil faktor yang menyebabkan berlakunya perpecahan di kalangan umat Islam khususnya pada akhir abad ke-19 dan awal abad ke-20. Di samping itu turut dijelaskan perkembangan konsep nasionalisme yang memainkan aspek penting dalam mencorakkan warna politik di Asia Barat selepas Perang Dunia Pertama dan Kedua.

    Definisi nasionalisme dan perkembangannya di Barat

    Nasionalisme adalah suatu gagasan yang bermula di Barat dalam konteks pengalaman sejarah perkembangan tamadun Eropah sendiri pada zaman moden. Istilah nasionalisme berasal daripada perkataan Inggeris iaitu nationalism. Nationalism ini pula terbit daripada perkataan nation yang berasal dari bahasa Latin iaitu nacio yang bererti bangsa.[1] Ia dikaitkan dengan ras atau kaum dan dihubungkan pada sesuatu negara atau tanah air tertentu. Konsep nation ini mula diutamakan sebagai asas perpaduan, kemegahan dan kedaulatan sesuatu bangsa di Eropah dengan timbulnya gagasan nation-state (negara bangsa) berikutan tercetusnya revolusi Perancis pada tahun 1789.[2] Sebelum itu bangsa Eropah umumnya mengaitkan ketaatan dan perpaduan mereka sebagai suatu kaum berasaskan agama yakni Kristian. Ketaatan pula diberikan kepada raja atau dinasti. Setelah berlakunya Revolusi Perancis 1789, masyarakat Eropah menekankan identiti diri mereka sebagai sebuah nation iaitu bangsa masing-masing yang berdaulat dengan wilayah yang tersendiri dan bebas.[3] Sebagai contoh bangsa Perancis menekankan identiti mereka sebagai bangsa Perancis yang berdaulat dengan wilayah mereka yang bebas iaitu France. Mereka berpegang kepada falsafah sekular yang menolak kuasa raja mutlak dan pengaruh golongan bangsawan serta pihak gereja. Hal yang sama turut tersebar kepada bangsa-bangsa yang lain di Eropah seperti Inggeris dengan negara mereka England, Jerman, Itali dan sebagainya. Idea ini kemudiannya menyerap masuk ke dalam kehidupan masyarakat Islam selepas tersebarnya pengaruh-pengaruh dari luar secara meluas.

    Sejarah nasionalisme Arab dan perkembangannya


    Sejarah nasionalisme Arab secara umumnya didasari oleh tiga kurun zaman iaitu zaman pra-Islam, zaman Islam dan zaman moden. Peringkat mengikut zaman ini menggambarkan kelompok bangsa Arab yang berkembang sehingga membentuk sebuah bangsa yang besar di Asia Tengah. Pada zaman sebelum Islam dan pra-Islam, mereka yang dikenali sebagai masyarakat Arab ialah mereka yang mendiami bahagian Yaman, Hijaz, Najd, Yamamah, dan tempat-tempat lain di Semenanjung Tanah Arab. Mereka juga termasuk masyarakat yang berhijrah dari kawasan-kawasan ini ke utara. Terdapat tiga bentuk masyarakat Arab iaitu Arab ‘Aribah (asli), Arab Badiyah (Arab Badwi) dan Arab Mustakribah (Arab kacukan).[4] Pada zaman selepas kedatangan Islam, umat Islam giat menjalankan kegiatan dakwah. Mereka bukan sahaja bergerak menyampaikan misi dakwah di sekitar Semenanjung Arab sahaja tetapi keluar kepada masyarakat bukan Arab di luar semenanjung seiring dengan pembukaan kota-kota oleh tentera-tentera Islam. Usaha dakwah ini meliputi proses pengIslaman iaitu mereka menganut Islam dan pengaraban iaitu mereka yang menganut Islam ini menggunakan bahasa Arab dan mencontohi cara hidup bangsa Arab. Apabila Daulah Islam bertambah luas, proses pengaraban menjadi semakin meluas sehingga membentuk sebuah ummah yang ramai meliputi bukan sahaja tanah Arab tetapi termasuk juga di bahagian Afrika dan Parsi.

    Oleh sebab itu sebelum berkembangnya nasionalisme, orang Arab merasakan mereka sebagai sebahagian umat Islam di bawah pemerintahan Daulah Uthmaniyyah. Akan tetapi walaupun mereka menerima kepimpinan yang diterajui oleh orang Turki namun mereka juga sangat terkenal dengan semangat kearaban sejak zaman Jahiliyyah lagi. Pada zaman Jahiliyyah, masyarakat Arab sangat menekankan semangat ‘asobiyyah atau perkauman yang mementingkan kelompok, keluarga, suku kaum atau kabilah mereka. Pada waktu ini sering kali berlaku pergaduhan dan peperangan antara kabilah yang tidak berkesudahan lantaran tebalnya semangat ‘asobiyyah yang mereka amalkan. Semangat ini kemudiannya berjaya dibendung dengan kedatangan Islam yang membawa suatu cara hidup yang berpaksikan Tauhid iaitu meyakini tentang keesaan Allah SWT dengan segala keagungan dan ketaatan yang tidak berbelah bahagi kepada-Nya. Ajaran Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW mementingkan persaudaraan Islam atas dasar akidah yang sama tanpa melihat kepada ras, bangsa dan keturunan.

    Idea nasionalisme bermula pada akhir abad ke-19, berkembang pada awal abad ke-20 dan menjadi realiti selepas Perang Dunia Pertama. Akhir abad ke-19 dan awal abad ke-20 memperlihatkan manifestasi idea nasionalisme dalam empayar Turki Uthmaniyyah. Pada waktu tersebut kerajaan mengalami kemerosotan, lemah dan terdedah kepada pengaruh luar seperti Perancis dan Britain. Pengaruh-pengaruh luar ini bukan setakat melakukan campur tangan politik dan ancaman fizikal semata-mata tetapi termasuk juga penyebaran idea-idea Barat yang diserapkan ke dalam kehidupan masyarakat Islam.[5]

    Orang-orang Arab melihat mereka sebagai bangsa yang mulia dan perlu dihormati. Ini kerana mereka menganggap bangsa mereka adalah bangsa yang lasak serta mampu hidup di padang pasir yang gersang. Mereka juga berbangga kerana bangsa mereka merupakan bangsa yang tidak pernah dijajah oleh kuasa-kuasa asing serta merupakan bangsa yang bertamadun. Antara sifat yang dimiliki oleh bangsa Arab ini adalah kelebihan mereka dalam berpidato dan bersyair. Selain itu mereka turut berbangga kerana Nabi Muhammad SAW adalah dari keturunan Quraisy yang berbangsa Arab. Ini menjadikan mereka menganggap bahawa mereka adalah bangsa yang terpilih serta mempunyai keistimewaan tersendiri atas pemilihan tersebut. Tambahan pula, bahasa al-Quran yang merupakan kitab suci serta panduan dan pedoman kepada umat Islam seluruh dunia adalah dalam bahasa Arab.

    Faktor-faktor perkembangan idea nasionalisme Arab

    Golongan Nasionalis Arab

    Perkembangan semangat nasionalisme ini dikembangkan pada peringkat awalnya oleh orang-orang Arab Kristian yang berpusat di Syria dan Lubnan. Antara tokoh yang mempelopori perkembangan idea nasionalisme ini adalah Nasif al-Yaziji, Butros al-Bustani dan Faris al-Shidayq yang kesemuanya beragama Kristian dan tinggal di Lubnan.[6] al-Bustani mempelopori penerbitan akhbar yang pertama iaitu al-Jinan yang melaungkan perpaduan, keadilan serta slogan cintakan tanah air. Mesej yang disampaikan melalui akhbar ini juga bersifat sekular di mana taat setia ditumpukan kepada tanah air bukannya kepada agama. Berdasarkan pertalian yang erat dengan Syria, al-Bustani bersama beberapa orang penuntut yang mengkaguminya menubuhkan sebuah pertubuhan sulit pada tahun 1875 bagi menuntut sebuah kerajaan autonomi untuk Syria dan Lubnan dalam Empayar Uthmaniyyah.[7] Gerakan yang dicetuskan oleh al-Bustani ini kemudiannya mempengaruhi masyarakat Syria sehingga menggerakkan mereka menuntut kemerdekaan untuk Syria Raya.[8] Faris al-Shidayq pula walaupun memeluk agama Islam dan menggunakan nama Ahmad, telah memperluaskan pengaruh bahasa Arab melalui kebudayaan.[9]

    Nasif Yaziji pula mencetuskan semangat kebangsaan atau nasionalisme melalui kebudayaan bahasa Arab dengan menghasilkan Kesusasteraan Arab Moden. Beliau merupakan seorang Kristian yang mahir dalam bahasa Arab dan telah menulis beberapa buku berkaitan nahu, logik dan mantik.[10] Selain itu antara tokoh nasionalisme Arab yang lain ialah Jurji Zaidan (1861-1914). Beliau yang pernah menuntut di Kolej Protestan Syria telah mengasaskan jurnal al-Hilal (Bulan Sabit) di Mesir dan menulis novel yang berunsur sejarah. Novel beliau tersebut telah menggalakkan kebudayaan Arabisme yang mampu menarik minat ramai pembaca kerana tidak berbentuk kajian kesusasteraan dan sejarah secara khusus serta tidak diterjemahkan ke dalam kegiatan bercorak politik.[11]

    Tokoh nasionalis yang terkenal di kalangan penulis Islam ialah Abdul Rahman al-Kawakibi (1840-1903). Beliau merupakan perintis kepada nasionalisme Arab dengan idea beliau yang menggalakkan pemulihan semula sistem khalifah Arab yang bertentangan dengan sistem khalifah Turki Uthmaniyyah.[12] Walaupun keluarga beliau berbangsa Kurdi dari Aleppo Syria, tetapi beliau melihat hanya orang Arab sahaja yang boleh membangkitkan agama Islam. Atas alasan itu beliau melarikan diri dari kekuasaan Sultan Abdul Hamid II untuk mencari perlindungan di Mesir. Hal ini memberikannya sebab kukuh untuk menyuarakan bantahan terhadap kezaliman dan dominasi orang Turki. Melalui bukunya Umm al-Qura yang diterbitkan dalam al-Manar, beliau mendakwa bahawa jawatan khalifah adalah hak orang Arab dan mesti dikembalikan kepada bangsa Quraisy.[13] Idea yang dibawa oleh al-Kawakibi ini ditolak oleh sebahagian pemikir Arab termasuk Syeikh Muhammad Rasyid Ridha yang dianggap beliau sebagai komplot bagi memecahbelahkan umat Islam. Motif sebenar perjuangan beliau turut diragui kerana beliau bukannya berasal dari bangsa Arab tetapi sangat hebat memperjuangkan semangat nasionalisme Arab.

    Idea yang dicetuskan oleh al-Kawakibi bagi mewujudkan semula seorang khalifah Arab ini turut disokong oleh Naquib Azouri seorang berbangsa Maronite Lubnan dan berpendidikan Perancis.[14] Beliau merupakan antara yang pertama yang melaungkan secara terbuka berkenaan dengan perjuangan kemerdekaan negara-negara Arab sebagai satu unit. Beliau juga telah menghasilkan sebuah buku bertajuk Le Reveil de la Nation Arabe dans l’ Asie Turque (Kebangkitan Negara Arab di Turki Asiatik) yang menyokong pandangan sekular al-Kawakibi. Buku tersebut juga menjelaskan keistimewaan bangsa Arab dan beliau mencadangkan agar dibuat pemisahan antara pemimpin yang mentadbir negara dengan pemimpin agama.[15] Beliau turut mencadangkan agar diwujudkan sebuah wilayah Arab yang merentangi dari Tigris dan Euphrates sehingga ke Laut Atlantik dan dari Lautan Mediteranian sehingga ke selatan Lautan Hindi. Selain itu, beliau juga secara terbuka menyeru bangsa Arab agar tidak lagi berada di bawah pemerintahan Daulah Uthmaniyyah. Selepas revolusi tahun 1908, Azouri pulang ke Palestin bagi menyebarkan idea Pan-Arabisme dan merintis idea kenegaraan Arab. Walaubagaimanapun fahaman pemisahan ini jarang dibincangkan di kawasan Uthmaniyyah Arab khususnya sebelum tahun 1908.[16]

    Selain itu, idea kebangsaan Arab ini juga turut dikembangkan oleh Shibli Shumayyil (1860-1917) dan Farah Antun (1874-1922) yang beragama Kristian sekular dari Lubnan.[17] Mereka menggalakkan pembentukan sebuah masyarakat yang waras dan adil di mana unsur agama dan negara dipisahkan. Shumayyil memperkenalkan ideologi sosialisme (ishtirakiyya) yang ditakrif oleh beliau sebagai sebuah negara yang memainkan peranan penting dalam memperbaiki kebajikan masyarakat dan menghapuskan kuasa pemisah di dalamnya.[18] Idea dwi bangsa turut diperjuangkan oleh golongan nasionalis ini. Aziz Ali al-Masri seorang pemimpin al-Qahtaniyya cuba mengembangkan idea dwi bangsa dalam Daulah Uthmaniyyah dengan membezakan bangsa Turki dengan bangsa-bangsa yang lain.[19]

    Penulisan dan persuratkhabaran

    Kegiatan penulisan dan penyampaian idea melalui surat khabar memberikan faktor penting kepada penyebaran idea nasionalisme ini. Pihak Britain yang menguasai Mesir telah membenarkan tulisan bercetak menjadi alat untuk menyebarkan semangat nasionalisme. Akhbar menjadi penyalur bahan-bahan pendidikan sosial, politik, kesusasteraan, keagamaan dan kebudayaan yang utama.[20] Akhbar-akhbar seperti al-Ahram, al-Muqattam, al-Muayyad, al-Liwa’, al-Jarida dan al-Watan al-Dustur memainkan peranan penting kepada penyebaran idea nasionalisme ini.[21]

    Turki Muda

    Di bawah Turki Muda, pemerintahan Uthmaniyyah semakin menjadikan Turki sebagai teras pemerintahan. Jika dilihat sebelum ini Sultan Abdul Hamid II berusaha menyatukan umat Islam sebagai satu ummah melalui idea Pan-Islamisme yang diterapkan oleh baginda dalam pemerintahan. Namun, ia akhirnya menemui kegagalan dan umat Islam terus berpecah belah akibat dasar yang telah dibentuk oleh Turki Muda.

    Penekanan dan keutamaan kepada bangsa Turki ini menyebabkan bangsa-bangsa bukan Turki termasuk orang Islam merasakan diri mereka didiskriminasikan. Sentimen anti Turki juga dikaitkan dengan idea yang dibawa oleh al-Kawakibi iaitu jawatan khalifah hanya sepatutnya dipegang oleh seorang yang berbangsa Arab. Tambahan pula, Turki Muda giat memperjuangkan Pan-Turkisme sehingga menyebabkan orang Arab merasa terpinggir sehingga mereka menggerakkan usaha menanam semangat kearaban sesama mereka. Penyatuan negara dengan menggunakan bahasa Turki sebagai bahasa perantaraan yang utama ini telah mengasingkan orang-orang Arab. Sokongan terhadap nasionalisme Arab ini bertambah merebak antara tahun 1912 dan 1914 apabila Empayar Uthmaniyyah berusaha mendapatkan semula jajahan di Balkan dan Afrika Utara yang terakhir.[22]

    Pada tahun 1912, pendukung pengagihan kuasa Empayar Uthmaniyyah cuba mengekalkan idea pelbagai kaum dengan menyeru diwujudkan kuasa berkerajaan sendiri di peringkat wilayah dan mengekalkan kedua-dua bahasa iaitu Turki dan tempatan untuk tujuan-tujuan rasmi dan pendidikan.[23] Selaras dengan itu diwujudkan Parti Pengagihan Kuasa Pusat Uthmaniyyah yang mempunyai cawangan di Syria dan Iraq. Sokongan kepada pengagihan kuasa ini turut disokong oleh sebuah jawatankuasa yang berpengkalan di Beirut tetapi berjaya ditumpaskan oleh Turki Muda. Bantahan demi bantahan dicetuskan dan ia kian merebak namun tiada tindakan yang diambil oleh pemerintah untuk melonggarkan usaha penturkian ini.

    Kemunculan pertubuhan-pertubuhan sulit

    Akibat dari dasar Pan-Turkisme yang dilaksanakan oleh Turki Muda, pertubuhan-pertubuhan sulit mulai muncul. Salah sebuah pertubuhan tersebut ialah al-Qahtaniyya (1909) yang menyokong corak pemerintahan beraja gabungan Arab-Uthmaniyyah.[24] Ia dinaungi oleh pegawai tentera Arab Uthmaniyyah seperti Aziz Ali al-Masri yang berbangsa Mesir. al-Masri terus mempertahankan negara dan mengetuai tentera Uthmaniyyah dalam usaha menentang pencerobohan Itali di Libya. Akan tetapi beliau juga akhirnya cenderung kepada pemisahan etnik Arab. Selain itu turut muncul dua kumpulan sebagai pemimpin kepada pergerakan anti-Turki Arab. Pertubuhan al-Fatat yang digerakkan di Paris berperanan mendesak pembentukan sebuah negara Uthmaniyyah yang memberikan hak yang sama kepada semua warganegara tanpa mengira agama dan kaum. Mereka melihat usaha Turkifikasi yang digerakkan oleh C.U.P akan mengasingkan jajahan bukan Turki dalam empayar tersebut. Selain itu, turut muncul kumpulan al-Ahd yang mengikuti perjuangan al-Qahtaniyya. al-Fatat mengadakan perhubungan dengan golongan cerdik pandai manakala al-Ahd pula menjalinkan hubungan dengan pegawai-pegawai tentera Arab. Pertubuhan yang digerakkan ini membentuk asas kepada kegiatan pergerakan kebangsaan selepas peperangan.

    Kesimpulan

    Sebagai kesimpulannya, gerakan nasionalisme telah berjaya memecahbelahkan penduduk Turki Uthmaniyyah sekaligus juga berjaya melemahkan pemerintahan pada waktu tersebut. Keadaan Daulah Uthmaniyyah yang lemah menyebabkan pembaharuan yang dilaksanakan tidak menjadi manakala ancaman pengaruh asing yang dibawa oleh Barat khususnya idea nasionalisme ini berkembang dengan pantas. Bagi mengukuhkan kekuasaan Daulah Uthmaniyyah, Sultan Abdul Hamid II[25] memperkenalkan dasar Pan-Islamisme.

    Pan-Islamisme merupakan satu fahaman yang menekankan perpaduan dan kerjasama umat Islam sejagat di bawah pimpinan seorang khalifah yang berperanan untuk membela umat Islam. Ia merupakan satu dasar terpenting dalam pemerintahan Sultan Abdul Hamid II. Beliau menyedari sistem kekhalifahan memberi kesan yang mendalam terhadap penduduk Islam yang tinggal di jajahan Asia dan Afrika empayar tersebut khususnya selepas umat Islam jatuh ke tangan pemerintahan bukan Islam pada abad kelapan belas.[26] Dasar ini juga amat bersesuaian dengan keperluan massa kerana membantu baginda untuk memperkukuhkan kuasa dan kedudukannya selepas diancam oleh pihak imperialisme Barat yang menyerang secara berterusan. Akan tetapi usaha yang diperjuangkan oleh beliau ini tidak kesampaian apabila pihak C.U.P berjaya merampas kuasa pemerintahan beliau dan mengamalkan dasar penturkian.

    Pan-Turkisme yang lebih mengutamakan bangsa Turki ini telah mencetuskan kesedaran semangat kebangsaan bangsa Arab sehingga menyebabkan umat Islam yang terdiri dari pelbagai bangsa dan keturunan berpecah belah. Wilayah-wilayah yang berada di bawah kekuasaan Daulah Uthmaniyyah cuba menuntut kuasa autonomi serta cuba untuk membebaskan diri dari kekuasaan Daulah. Keadaan yang berkecamuk ini memberikan kesempatan dan ruang yang luas untuk pihak Barat khususnya Britain dan Perancis untuk masuk campur dalam hal ehwal pemerintahan umat Islam. Ini seterusnya menyebabkan Daulah Turki Uthmaniyyah lenyap dari mata dunia selepas Perang Dunia Pertama akibat pemberontakan-pemberontakan yang diperjuangkan oleh masyarakat Arab yang menuntut kemerdekaan dan kebebasan dengan bantuan Barat. Hasil dari apa yang berlaku ini akhirnya mencorakkan situasi yang berlaku di Asia Barat pada masa kini.

    Penulisan ini hanya mengulas perkembangan yang berlaku sebelum Perang Dunia Pertama sahaja. Selepas peristiwa tersebut idea nasionalisme ini semakin berkembang dan diterima oleh hampir majoriti masyarakat Arab. Ia menjadi kenyataan apabila meletusnya Pemberontakan Arab sehingga membawa kepada lahirnya negara-negara Arab yang ada pada masa kini. Namun apa yang perlu ditekankan di sini ialah masyarakat Arab perlu dikembalikan semula kepada nilai murni Islam yang sebenarnya dan disatukan kembali di atas asas Tauhid. Jika tidak mereka selama-lamanya akan terus ditunggangi dan dipermainkan oleh Israel dan sekutu mereka. Perjuangan atas dasar semangat nasionalis dan asobiyah yang sempit bukan sahaja akan melemahkan mereka bahkan akan memundurkan mereka untuk selama-lamanya. Mereka yang sedar berkaitan perkara ini perlu terus berjuang bagi memastikan Islam kembali berada di atas manakala mereka yang masih lena dengan tidurnya perlu dikejutkan seberapa segera. Apa yang pasti perbincangan berhubung persoalan ini (kaedah menangani konflik Asia Barat) perlu dikupas secara panjang lebar di dalam penulisan yang lain pula.

    *Penulisan ini adalah hasil kajian penulis dari subjek Sejarah Timur Tengah, Jabatan Sejarah, Fakulti Sastera & Sains Sosial UM.


    No comments: