Twitter Updates

    follow me on Twitter

    Sunday, December 30, 2007

    ISU RIBA DALAM PTPTN


    Pendahuluan

    Sejak kebelakangan ini terdengar rungutan daripada golongan mahasiswa yang mempertikaikan bantuan pinjaman pendidikan yang dikenakan ke atas mereka oleh Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN). Mereka mendakwa sistem pinjaman PTPTN yang disediakan oleh kerajaan kepada pelajar institusi pengajian tinggi diragui hukumnya memandangkan wujud lebihan tiga peratus pembayaran balik yang dikenakan ke atas pelajar.

    Latar Belakang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional

    PTPTN ialah sebuah badan berkanun yang bertanggungjawab menguruskan pembiayaan pendidikan para pelajar institusi pengajian tinggi awam dan swasta di Malaysia. Ia ditubuhkan di bawah Akta Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional 1997 (Akta 566) yang mula berkuatkuasa pada 1 Julai 1997 bagi menggantikan peranan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang sebelum ini menyalurkan bantuan pembiayaan pendidikan untuk para pelajar.

    Kelayakan pelajar untuk diberikan pinjaman adalah bergantung kepada tahap kemampuan kewangan keluarga dan mereka mestilah mengikuti program pengajian sepenuh masa pada peringkat ijazah pertama dan diploma (pra ijazah) di mana-mana institusi pengajian tinggi.[1]

    Konsep Pinjaman PTPTN

    Pelajar di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) yang mengambil kontrak pinjaman PTPTN bernilai RM19000 diwajibkan membayar balik sebanyak RM 23,083.89 setelah ditambah lebihan 3% bagi tempoh pembayaran 10 tahun. Manakala bagi pelajar institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) yang mengambil pinjaman sebanyak RM 60000 selama tiga tahun dikenakan bayaran balik sebanyak RM 87, 261.17.[2]

    Bayaran balik pinjaman pendidikan boleh dibuat secara ansuran bulanan untuk selama 10 hingga 20 tahun. Ia hendaklah mula dibuat selepas enam bulan tamat pengajian atau apabila mendapat pekerjaan, mana yang terdahulu. Bayaran balik hendaklah dibuat melalui Lembaga Hasil Dalam Negeri yang dilantik oleh kerajaan sebagai agen pemungut bagi pihak PTPTN. Bayaran balik juga boleh dibuat melalui lain-lain cara asalkan ianya dipersetujui oleh PTPTN. Pihak PTPTN sedia menerima bayaran yang dibuat secara sekaligus atau dalam apa jua amaun asalkan ianya tidak kurang dari amaun yang telah dipersetujui melalui surat perjanjian. Bayaran balik pinjaman mengandungi amaun pinjaman pokok serta kos pentadbiran yang dikenakan sebanyak 3% setahun berdasarkan baki setiap bulan.[3]

    Pandangan Islam Mengenai Pinjaman PTPTN

    Para fuqaha berpendapat bahawa dalam hukum Islam adalah dilarang keras meminjamkan wang dengan menggunakan sebarang tambahan. Apabila kita meminjam samada untuk kepentingan peribadi atau tujuan komersil, kita wajib mengembalikan wang itu sahaja dan tidak sesen pun lebih daripada itu.

    Pinjaman PTPTN merupakan satu kontrak di antara pelajar dan pihak PTPTN yang bertanggungjawab menyediakan bantuan kewangan atau pinjaman bagi para pelajar yang layak. Maka disini jelaslah bahawa kontrak yang berlaku di antara pelajar dan pihak PTPTN adalah kontrak hutang.

    Islam amat menitikberatkan umatnya agar berhati-hati ketika terlibat dalam urusniaga yang melibatkan hutang. Ini adalah kerana semua pinjaman bersyarat terlebih dahulu dalam menetapkan keuntungan adalah riba dan sebarang penambahan pada jumlah pokok hutang adalah dilarang sama sekali oleh Islam. Ini adalah bersesuaian dengan ayat Al Quran :

    وان تبتم فلكم رءوس أموالكم لا تظلمون ولا تظلمون

    “ Dan jika kamu bertaubat, maka hak kamu (yang sebenarnya) ialah pokok asal harta kamu. (Dengan demikian) kamu tidak melakukan zalim kepada sesiapa, dan kamu juga tidak dizalimi oleh sesiapa.”

    (Al Baqarah : 279)

    Ayat di atas dengan jelas menyatakan bahawa selebihnya daripada pokok pinjaman adalah riba, baik sedikit ataupun banyak. Bersepakat para fuqaha bahawa Islam Mengharamkan riba tanpa sebarang syarat.[4] Perintah larangan ini mencakupi semua lebihan atau tambahan ke atas wang pinjaman.

    Di sana wujud segolongan masyarakat yang mengatakan bahawa riba yang diharamkan adalah jumlah faedah yang mempunyai sifat berganda-ganda sahaja, manakala faedah yang sedikit misalnya tiga peratus seperti yang dikenakan PTPTN ini tidak termasuk dalam riba yang dilarang kerana ia tidak membebankan dan tidak menindas. Mereka berhujah dengan mengatakan bahawa Islam hanya mengharamkan riba yang berganda-ganda sahaja berdasarkan ayat :

    يأيها الذي ءامنوا لا تأكلوا الربواأضعفا مضعفة واتقوا الله لعلكم تفلحون

    “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan atau mengambil riba berlipat ganda, dan hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah supaya kamu berjaya. Dan peliharalah diri kamu dari api neraka yang disediakan bagi orang-orang kafir.”

    (ali Imran : 130)

    Oleh itu, pendapat yang mengatakan riba diharamkan bagi yang bersifat ad’af mudho’afah adalah juga tidak berasas. Sebenarnya pengharaman riba ad’af mudho’afah melalui ayat 130 surah ali Imran (wahyu ketiga dalam siri ayat-ayat yang diturunkan mengenai riba ) bukanlah bersifat mutlak. Ayat ini bukanlah bertujuan mengkhususkan jenis riba yang diharamkan kerana ia diwahyukan lebih awal dari ayat terakhir mengenai riba iaitu ayat 275-281 surah Al Baqarah.[5]

    Ayat riba terakhir ini secara terang mengharamkan apa jua bentuk riba tidak kira samada ianya berlipat kali ganda atau tidak. Tambahan pula ramai pentafsir berpendapat bahawa perkataan ad’af mudho’afah tidaklah menunjukkan sifat kadar bunga itu, sebaliknya ia menunjukkan arah aliran bunga yang bersifat mengikut tempoh masa pinjaman yang dibuat.

    Pengertian ad’af mudho’afah adalah satu keterangan dari suatu kejadian, bukan suatu syarat yang berkaitan dengan hukum. Bagi mereka yang memiliki rasa indah terhadap bahasa arab tentu sudah maklum apalagi bagi mereka yang memahami sistemnya. Sesungguhnya huraian seperti ini adalah untuk menghuraikan suatu fakta yang sekaligus mengungkapkan kekejiannya.

    Adalah merupakan prinsip yang dipersetujui dan diikuti oleh ahli-ahli fiqh bahawa dalam mengambil interpretasi satu ayat Al Quran mesti diperhatikan juga pada konteks yang menyeluruh dan tidak memencilkan atau mengabaikan ayat-ayat lain.

    Seandainya kita bersetuju dengan pendangan oleh pihak ini yang menyatakan bahawa riba yang tinggi sahaja diharamkan maka riba yang rendah dibolehkan. Kini wujud persoalan bagaimana kita dapat membezakan kadar riba yang tinggi dengan kadar riba yang rendah? Di samping itu, pengertian besar atau kecilnya riba itu adalah sangat relatif untuk dibincangkan.[6] Berapa ukuran yang biasanya dijadikan sebagai standard besar atau kecilnya riba itu.?

    Menurut Dr Muhammad Abd Allah Darraz Rahimahullah, lafaz ad’af mudho’afah dalam ayat tadi mungkin boleh diertikan mencapai enam puluh peratus.[7] Ini adalah kerana lafaz ad’af mudho’afah itu sendiri berbentuk jamak (menunjukan bilangan yang lebih dari tiga). Memang amat sukar untuk menentukan antara keduanya. Ini adalah kerana kemungkinan wujud keadaan apa yang dianggap sebagai kadar bunga biasa yang adil oleh satu pihak pada satu masa, tetapi dianggap sebagai kadar bunga yang terlalu tinggi oleh pihak yang sama pada masa yang lain atau pihak yang lain pada masa yang sama..

    Jelaslah bahawa perbezaan di antara dua istilah (riba yang tinggi dan riba yang rendah )ini bukanlah perbezaan dari segi jenis tetapi ia merupakan perbezaan dari segi tingkat kadar bunga yang berubah dengan mudah melalui peredaran masa (tempat) kerana apa yang dianggap kadar bunga yang terlalu tinggi pada hari ini mungkin kan dianggap sebagai kadar yang berpatutan pada hari esok.[8] Oleh yang demikian Islam tetap mengharamkan serta tidak membezakan di antara riba yang rendah kadarnya dan yang tinggi kadarnya.

    Sementara pihak PTPTN ada mengeluarkan kenyataannya yang menyebut bahawa kadar tiga peratus dalam pinjaman itu adalah bertujuan untuk menampung kos perkhidmatan dan wang untuk pusingan modal bagi memenuhi tuntutan pelajar akan datang[9]

    Jika pihak PTPTN mengenakan kadar 3 peratus itu sebagai untuk menampung kos perkhidmatan maka para ulama mempunyai pendapat mereka bagi masalah ini.

    Memang kita sedia maklum bahawa PTPTN adalah merupakan salah sebuah institusi yang ditubuhkan oleh kerajaan. Sesebuah institusi tidak dikendalikan oleh seorang individu tetapi ianya melibatkan ramai individu yang bekerja dibawahnya. Bukan itu sahaja, sesebuah institusi juga memerlukan banyak kos bagi menguruskan gaji pekerjanya, sewa bangunan, kos pengurusan dan bermacam-macam lagi. Oleh itu sekiranya PTPTN hendak mengenakan kos pengurusan, ia dibolehkan sebab ia bukannya pertambahan yang diambil kerana penangguhan masa tetapi untuk menampung kos pengurusan itu sendiri.

    Realitinya ulama zaman dahulu membincangkan aspek pinjaman tanpa ada perbincangan khusus tentang kos dan sebagainya kerana kebiasaannya pada zaman dahulu urusan hutang itu melibatkan antara individu dengan individu sahaja dengan tidak melibatkan kos. Tetapi sekiranya melibatkan antara satu institusi dengan institusi yang lain atau ianya dikendalikan oleh sebuah institusi maka ia melibatkan kos. Dalam keadaan ini kos pengurusan boleh dikenakan dan ia ditanggung oleh peminjam. Selagimana kos itu munasabah atau sebesar mana angkanya pun (jika ia merupakan kos sebenar) maka ianya halal[10]

    Ikhtilaf ulama berkenaan isu riba dalam PTPTN

    Penambahan tiga peratus ke atas jumlah modal menurut sesetengah ulama adalah riba (faedah) yang dikenakan oleh pemiutang terhadap penghutang.

    Hutang PTPTN boleh dikelaskan sebagai pinjaman penggunaan (consumption loan) dan bukannya pinjaman produktif (productive loan). Pinjaman penggunaan bertujuan kegunaan harian seperti kos-kos penginapan, makanan, alat bantuan belajar dan sebagainya. Manakala pinjaman produktif bertujuan pelaburan atau modal untuk memulakan perniagaan seperti yang diberikan oleh bank kepada pelabur-pelabur dan ahli perniagaan.

    Dengan ini penghutang mendapat faedah yang besar daripada pelaburan hasil wang pinjaman tersebut. Sesetengah ulama menyatakan pinjaman produktif yang wujud pada masa ini terkeluar daripada maksud riba yang diharamkan kerana pemiutang wajar meminta sedikit pulangan atau lebihan bayaran atas keuntungan yang diperolehi oleh penghutang.

    Namun begitu, lebihan yang dikenakan ke atas pinjaman penggunaan seperti PTPTN tertakluk dalam hukum riba - kerana pinjaman penggunaan bertujuan sebagai perbelanjaan hangus dan bukannya untuk pelaburan yang boleh mendatangkan keuntungan jangka panjang.

    Kos perkhidmatan juga lebihan yang dikenakan ke atas pinjaman yang berbentuk penggunaan harian bagi tujuan pendidikan dan pembelajaran dikira riba dan satu bentuk penindasan. Penindasan itu ternyata berlaku dalam pinjaman penggunaan sahaja kerana orang yang berhutang (pelajar) terdesak untuk memenuhi keperluan hariannya, sementara si pemiutang (PTPTN) pula mengambil kesempatan mengenakan kadar bunga yang tinggi yang berbentuk menindas.

    Bagaimanapun, Profesor Datuk Dr Mahmood Zuhdi mempunyai pandangan yang berbeza. Menurutnya, lebihan tiga peratus ini adalah jumlah untuk menyamakan nilai matawang bagi sepuluh tahun akan datang. Nilai RM10 tahun ini tidak sama nilainya dengan RM10 untuk sepuluh tahun akan datang. Maka lebihan tiga peratus ini adalah jumlah untuk menyamakan nilai tersebut pada masa akan datang. Beliau menggunakan teori “nilai barangan yang lebih rendah pada masa depan berbanding nilai sekarang.”

    Lebihan yang disebut agio ini merupakan nilai yang ditambah kepada pinjaman modal pada masa pembayarannya sebagai usaha untuk menyamakannya dengan nilai asal pinjaman modal. Dengan kata lain, bunga adalah sama dengan perbezaan (dari segi psikologi dan bukannya ekonomi) antara barangan masa kini dengan barangan masa depan. Sementara PTPTN pula mendakwa kadar itu sebagai kos perkhidmatan dan wang untuk pusingan modal bagi memenuhi tuntutan pelajar akan datang.

    Bagaimanapun Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Mohd Hashim Yahya secara lisan mengakui kadar itu adalah riba berdasarkan illah yang terdapat dalam pinjaman berkenaan. Ringkasnya, bolehlah dikatakan sebarang jumlah terakru (accrued) yang ditambahkan kepada jumlah pokok merupakan riba yang diharamkan walau apa alasan sekalipun (sama ada disebut kos perkhidmatan atau pusingan modal) selagi ia melibatkan urus niaga pinjaman. Namun ada ulama berpendapat, lebihan tersebut dibenarkan sebagai upah penulis hutang dan kos penyelenggaraan.

    Tetapi ia berbeza dengan PTPTN yang sewajarnya menjadi tanggungjawab kerajaan, bukannya tanggungjawab pelajar. Ia dikenali juga dengan riba al-Qur’an atau riba nyata. Utamakan rakyat atau perniagaan? Ibnu ‘Arabi menyatakan bahawa riba jenis ini terdapat dalam urusan masyarakat jahiliah (sebelum kebangkitan Nabi Muhammad) dan amalan ini terkenal pada masa itu. Oleh sebab itu, riba jenis ini juga dikenali dengan riba al-jahiliyyah. Sesetengah ulama di kalangan sahabat Rasulullah menganggap riba jenis ini sahaja yang diharamkan dalam Islam. Mereka bersandarkan pendapat Ibnu ‘Abbas yang menyatakan, “sesungguhnya riba itu ialah pada riba al-nasi’ah kerana berdasarkan hadis Rasulullah yang bermaksud: ‘Tiada riba kecuali pada riba al-nasi’ah’.

    Ada juga ulama, misalnya Ibn Hazm daripada mazhab al-Zahiri, berpendapat bahawa riba yang wujud pada hari ini tidak sama dengan yang wujud pada zaman Rasulullah kerana berlainan komoditi seperti yang dinyatakan dalam hadis Rasulullah. Antara komoditi yang terlibat dalam hukum riba ialah emas, perak, gandum, barli, tamar dan garam.

    Oleh kerana wang ringgit hanya wujud pada zaman sekarang, maka lebihan yang berlaku tidak dikira riba dan mereka meragui kesahihan illah yang digunakan dalam pembinaan hukum Islam melalui proses qiyas.

    Pemikir-pemikir Islam masa kini seperti Al-Maududi, Mufti Shafi, Fazlur Rahman dan lain-lain lagi menolak pandangan ini. Mereka berpendapat jika prinsip ini diterima pakai, maka masalah yang sama akan timbul, misalnya tentang jenis-jenis judi dan arak yang menggunakan pelbagai jenama sekarang - ia mestilah diisytiharkan halal kerana jenama-jenama ini tidak terdapat pada zaman Rasulullah.

    Cuma harus diingatkan bahawa asalnya pinjaman yang dibenarkan oleh Islam berdasarkan konsep at-ta’awun (kerjasama atau bantu-membantu) - golongan kaya menolong orang miskin dan begitu juga peranannya kerajaan terhadap pelajar.

    PTPTN adalah tanggungjawab sosial kerajaan yang berterusan, bukannya sebagai badan perniagaan bagi mendapatkan keuntungan. Tanggungjawab sosial itu boleh dikatakan pengorbanan kerajaan selagi ia tidak dianggap sebagai perniagaan. Tetapi amalan sekarang nampaknya bukan pengorbanan dan bukan pula perniagaaan. Jika kerajaan membuat pengorbanan moral, mereka harus berpuas hati mendapat keuntungan dari segi moral dan jika mereka bercakap tentang ganjaran wang ringgit, mereka tidak boleh mendakwa mereka telah melaksanakan tanggungjawab sosial.

    Mereka seharusnya bercakap secara langsung tentang perniagaan dan mengakui kerajaan kini adalah berorientasikan perniagaan (business government) dan bukannya berorientasikan rakyat (social government)

    Hal yang berbangkit

    PTPTN tidak akan melupuskan caj perkhidmatan yang dikenakan terhadap peminjamnya kerana kos itu digunakan untuk menampung faedah yang dikenakan terhadap pemberi pinjaman terutama KWSP. Ketua eksekutif PTPTN, Yunos Abd Ghani berkata caj itu akan diteruskan walaupun mendapat kritikan banyak pihak terutamanya peminjam. Beliau berkata pengenaan caj berkenaan sudah dimaklumkan kepada peminjam dan ia wajar bagi mengurangkan beban pengurusan kerana PTPTN terikat dengan syarat pemberi pinjaman.

    Sesungguhnya KWSP adalah antara agensi yang menyediakan pinjaman kepada PTPTN. Pemberian kemudahan itu dikenakan kadar faedah sebanyak 5%. Berdasarkan kadar itu, PTPTN mengenakan caj 3% kepada peminjam. Bagi mengurangkan beban peminjam, mereka hanya dikenakan caj 3% berbanding 4% sebelum ini. Baki 2% lagi daripada kadar faedah pinjaman KWSP ditanggung kerajaan. Tambahan pula caj berkenaan dikenakan berkuatkuasa 6 bulan daripada tarikh peminjam menamatkan pengajian.[11]

    Sejak PTPTN beroperasi 10 tahun lalu, kerajaan sudah membayar sejumlah RM788 juta kepada agensi yang menyediakan kemudahan pinjaman. Bagi mengurangkan bebanan kerajaan, wajar bagi PTPTN mengenakan caj perkhidmatan kepada peminjam. Jumlah caj 3 % itu katanya dikira berdasarkan baki akhir bagi jumlah pinjaman. Sebagai contoh jika peminjam dapat menjelaskan bayaran dengan cepat pada jumlah yang tinggi, kadar caj yang dikenakan berkurangan.

    Pengenaan kadar caj itu kata beliau berbeza dengan kadar faedah pinjaman yang dikenakan institusi kewangan. Ia sejajar dengan fungsi penubuhan PTPTN yang menyediakan kemudahan pinjaman kepada pelajar IPT dan bukan berorientasikan keuntungan.

    Cadangan kepada pihak PTPTN

    Pertama, kadar yang diwajibkan oleh PTPTN boleh dikatakan bukan riba dengan syarat ia dibuktikan dengan sejelas-jelasnya sebagai kos perkhidmatan dan bukan untuk menambah modal atau untung.Dalam kes PTPTN ini, jika pihak pengurusannya ingin mengenakan kos pengurusan ke atas pinjaman yang diberikan, ia adalah dibolehkan. Ini adalah kerana pertambahan ini bukan diambil berasaskan kepada penangguhan masa akan tetapi ia adalah untuk menampung kos pengurusan itu sendiri.[12]

    Bagaimanapun penting dalam kontrak antara kedua belah pihak dinyatakan dengan jelas bukan hanya menyebut pinjaman dibuat di antara PTPTN dengan si A sebanyak jumlah tertentu dan diminta membayar sebanyak jumlah tertentu dan tambahan sebanyak 3%. Adalah lebih baik sekiranya pihak pengurusan PTPTN menggunakan konsep syariah dalam menguruskan pinjaman pelajar bagi merealisasikan komitmen kerajaan dalam membantu pelajar terutama dari aspek kebajikan mereka.[13]

    Kedua, kerajaan mesti bertindak untuk menukar kontrak (akad) hutang yang sedia ada dalam PTPTN kepada akad jual beli. Dalam erti kata lain, kerajaan menjual perkhidmatan. Seperti yang kita ketahui transaksi bai’ boleh diambil keuntungan. Oleh itu mengapa perlu mengguna akad qard sedangkan hutang perlu bayar jumlah pokok sahaja. Jika tidak, ia akan dianggap sebagai riba. .

    Kesimpulan

    Kerapkali kita mendengar keluhan mahupun aduan berkaitan masalah peminjam PTPTN. Acapkali juga kita mendengar dan melihat di akhbar senarai panjang nama peminjam yang belum melunaskan hutang sejak sekian lama. Kebelakangan ini juga timbul isu di kalangan peminjam PTPTN mengenai kadar caj 3 peratus yang dikenakan terhadap peminjam setiap bulan yang dikatakan sebagai caj perkhidmatan.

    Walaupun pihak PTPTN sudah memberikan penjelasan, kekeliruan dan ketidakpuashatian hati peminjam masih timbul. Oleh itu, seharusnya perkara ini perlu diselesaikan dengan kadar segera agar masalah yang timbul pada masa kini tidak akan berulang lagi.

    [LAJNAH PENYELIDIKAN, PMIUM]



    [2] Berdasarkan 3% dari baki pinjaman

    [4] Muhammad Kamal Azhari (1993) Bank Islam Teori Dan Praktik. Kuala Lumpur : Dewan Pustaka Pelajar

    [5] Ab. Mu’min Ab Ghani (1993) ‘Bunga Dan Kaitannya Dengan Riba Yang Diharamkan’ Jurnal Syariah, Jilid 1 Bil 2, Julai 1993. hal 269-287

    [6] Afzal ur Rahman (1994) Doktrin Ekonomi Islam, Zaharah Salleh (ter) Kuala Lumpur : Dewan Bahasa Dan Pustaka Universiti Pertanian Malaysia.

    [7] Afzal ur Rahman (1994). Op.cit. hal 75

    [8] Azlan Khalili Shamsudin (1988)Banking And Public Finance In Islam, Kuala Lumpur : Pustaka Fajar. Hal 12

    [9] PTPTN Usaha Selesai Isu Kos Khidmat Pinjaman, Berita Harian 18 April 2001

    [10] Shamsiah Mohamad (2001) Beza Riba dengan Keuntungan, Al Islam, April 2001.

    [11] Berita Harian, Khamis 31 Mei 207

    [12] Abdul Gaafor A.L.M (1996) Interest Free Commercial Banking . Kuala Lumpur : A.S Noordeen, hal 4.

    [13] Kenyataan terbaru pihak PTPTN yang ingin melaksanakan konsep qard al Hasan dalam pengurusan pinjaman PTPTN , Berita Harian 18 April 2001.

    No comments: