Twitter Updates

    follow me on Twitter

    Friday, April 3, 2009

    Neokolonialisasi, Orientalisme dan Oksidentalisme 2


    Occidentalism (Oksidentalisme) berasal daripada perkataan Perancis, occident yang  secara harfiah bermakna “barat”, secara geografis bermakna “dunia belahan barat”, dan secara etnologis bermakna “bangsa-bangsa di barat”. Perkataan occidental bermakna hal yang berkaitan dengan dunia “Barat” iaitu bangsa-bangsa dan lingkungannya.

     

    Oksidentalisme juga disebut dengan pelbagai nama iaitu westernism, orientalisme in reverse (orientalisme terbalik), dan Europhology (ilmu tentang Eropah). Berbeza daripada Orientalisme yang mempunyai makna secara discursive, oksidentalisme hampir tidak pernah disebut sebagai satu disiplin ilmu kerana tidak mempunyai ciri khusus yang menempatkannya sebagai satu istilah discursive.

     

    Edward Said sendiri tidak memperincikan oksidentalisme tetapi hanya menggolongkannya ke dalam isme-isme lain seperti Afrosentrisme, Eurosentrisme, feminisme, Marxisme, dan dekonstruksionisme. Beliau meninggalkan istilah itu tanpa penjelasan dan tidak memaksudkannya sebagai perspektif hegemoni balas (counter hegemonic perspective), terhadap Barat seperti katanya: `…the answer to Orientalism is not Occidentalism. No former “Oriental” will be comforted by the thought that having been an Oriental himself he is likely—too likely—to study new “Orientals”—or “Occidentals”—of his own making.’

     

    Tugas oksidentalisme ialah menguraikan sejarah hubungan non-Eropah dengan Eropah, menumbangkan keagungan Eropah dengan menjadikannya sebagai objek yang dikaji, dan menghapuskan perasaan rendah diri non-Eropah (Timur) dengan menjadikannya sebagai subjek pengkaji.

     

    Oksidentalisme menghilangkan rasa tidak percaya diri atau inferiority complex di hadapan Barat dalam soal kebudayaan, bahasa, ilmu pengetahuan, teori, mazhab,dan pendapat, dan selanjutnya menimbulkan rasa tinggi diri (megah pada diri sendiri)  atau superiority complex . Secara ilusif, rasa rendah diri berubah menjadi super, seperti yang berlaku di Iran tatkala rejim Shah yang disokong oleh Barat ditamatkan oleh Ayatollah Khomeini yang membawa tradisi Islam fundamental. Rasa super (kehebatan diri) yang muncul secara ilusif itu bertitik tolak daripada reaksi terhadap superioriti kebudayaan Barat yang berkecenderungan rasialisme secara eksplisit mahupun implisit.

     

    Justeru, oksidentalisme ialah wajah lain bahkan berlawanan dengan Orientalisme tetapi bukanlah bertentangan secara keseluruhannya dengan Orientalisme. Oksidentalisme bikinannya tidak bertujuan melakukan pembalikan secara total kepada Orientalisme. Orientalisme bersifat tidak neutral dan berfungsi sebagai alat imperialisme, mengekalkan kuasa hegemoni walaupun selepas berlalunya era penjajahan politik dan ketenteraan, manakala oksidentalisme hanya bertujuan membebaskan diri daripada pengaruh pihak lain supaya wujud kesetaraan antara al-ana (dunia Islam dan Timur) dengan al-akhar (dunia Eropah dan Barat).

     

    Oleh itu wajar rasanya kini lahir ramai oksidental-oksidental yang bukan sahaja mampu mempertahankan Islam tetapi membantah dan menafikan pengaruh Barat yang merosakkan dengan kaedah dan metodologi yang sistematik dan tersusun. Kita terlampau sibuk dengan dunia politik hingga menjadikan hidup kita untuk politik sedangkan ia hanyalah alat. Saya sengaja memasukkan pengertian yang bersifat ilmiah dan akademik di sini. Tujuannya bagi mereka yang tidak rajin (bukan malas) membaca buku untuk memanfaatkannya. Sampai bila kita hendak pastikan diri hanya dihidangkan dengan penulisan picisan dan politik spastik yang kadang-kadang hanya bersifat gosip atau kontroversi. Kita umat Islam dihinggapi sindrom MASPEK (malas semua aspek). Ramai mempertikaikan kenapa kita perlu sentiasa berteori walhal ramai juga yang tidak menyedari setiap fenomena, isu atau peristiwa bermula dengan asas, doktrin atau ideologi tertentu. Ketidakfahaman kepada aspek ini dengan hanya membincangkan perkara cabang dan teknikal menyebabkan kita gagal menguasai dan memahami sesuatu isu. Dalam Islam ada tunjang asasnya iaitu akidah. Kelemahan umat Islam kini kerana tidak benar-benar memahami tunjang ini, tidak menggunakannya sebagai worldview dan akhirnya digantikan dengan ajaran Barat yang lebih dilihat agung.

     

    No comments: