Twitter Updates

    follow me on Twitter

    Monday, June 1, 2009

    Ominous Declaration


    Dalam strategi perang yang diperkenalkan oleh Sun Tzu (Art of War) dua prinsip peperangan diketengahkan iaitu pertama, tidak bergantung kepada musuh yang akan datang tetapi ia bergantung kepada kesediaan kita dan kedua, tidak bergantung kepada musuh yang tidak menyerang tetapi bergantung kepada kedudukan kita yang tidak boleh diserang. Dalam soal ini nampaknya kerajaan haram Israel jauh terkehadapan. Banyak strategi-strategi yang dilakukan mereka berasaskan dua lapis tindakan iaitu secara senyap-senyap dan terang-terangan dan kedua-duanya menghasilkan impak yang besar. Selepas 61 tahun menduduki tanah Palestin warga asal hanya menduduki Tebing Barat dan Gaza manakala sebahagian besar yang lain di khemah-khemah pelarian di negara sempadan. Sumber Israel Khamis lepas melaporkan parti Yisrael Beiteinu sebuah parti ekstrimis sayap kanan membawa usul kepada Knesset untuk meluluskan rang undang-undang mengharamkan penandaan Nakba sekaligus memaksa rakyat Palestin termasuk orang-orang Arab mengiktiraf Israel sebagai sebuah “Negara Demokratik Yahudi”. Rang undang-undang yang diperkenalkan oleh Menteri Luar Israel, Avigdor Lieberman (lahir di Russia) itu turut mendesak orang-orang Arab untuk berikrar setia kepada Israel sebelum mereka boleh mendapatkan kad-kad pengenalan dan kewarganegaraan. Bahkan setiap yang memohon untuk menjadi warganegara Israel diwajibkan mengikuti perkhidmatan militari sebagai syarat. Knesset pada 1hb Jun menolak rang undang-undang ini namun mereka bersetuju untuk melakukan ubah suai kepada ‘perundangan Nakba’ dengan menghalang dan menyekat mana-mana institusi yang menganjur atau terlibat dengan ‘hari memperingati Nakba’. Jelas walaupun peraturan baru ini cuba memberi sedikit nafas namun sebenarnya jika organisasi atau pertubuhan dilarang siapa lagi yang akan menganjurkan hari bersejarah tersebut?

    Hari Nakba disambut oleh warga Palestin setiap 15 Mei setiap tahun memperingati penubuhan negara haram Israel pada tahun 1948 di atas bumi Palestin dengan Yahudi Zionis telah bertindak kejam mengusir lebih daripada 60 peratus rakyat Palestin (lebih kurang 800,000 orang daripada sejumlah 1.39 juta rakyat) ke luar negara, manakala 30,000 yang lain telah diusir ke daerah-daerah yang ditakluki mereka. Nakba bermaksud malapetaka atau bencana besar. Daripada 580 perkampungan rakyat Palestin yang wujud sebelum perang 1948, rejim Zionis telah menghancurkan 478 daripadanya serta terlibat dalam lebih 34 jenayah pembunuhan beramai-ramai rakyat Palestin dan paling ganas di Deir Yassin pada 9 April 1948 yang melibatkan pembunuhan seramai 254 orang termasuk orang tua, wanita dan 52 orang kanak-kanak. ‘Ominous Declaration’ atau Pengisytiharan Celaka yang diisytiharkan oleh Arthur Balfour pada 2 November 1917 dengan menjanjikan masyarakat Israel dengan ‘tanah air’ di Palestin benar-benar membawa kecelakaan besar di rantau Timur Tengah. Strategi ini merupakan satu perancangan Israel mengambil alih sepenuhnya negara Palestin termasuk dengan memadamkan sejarah yang dahsyat tersebut. Peluasan wilayah dengan merampas ladang-ladang dan penempatan warga asal Palestin dilakukan secara tersusun. Namun Azzam Tamimi mengandaikan perluasan sempadan Israel sehingga melepasi Mesir, Lubnan, Jordan  dan Syria mungkin tidak tercapai apabila mereka sendiri meletakkan batu sempadan dengan membina tembok-tembok pemisah yang mempunyai ketinggian 8 meter dan ia masih dibina hingga kini.

    Namun dengan bantuan berterusan dari pihak luar dan negara-negara Islam turut sama ‘membantu’ maka tidak mustahil mereka berjaya menguasai bumi Palestin keseluruhannya dalam lima tahun lagi. Terbaru Perancis melanggar peraturan Kesatuan Eropah (European Union) dengan mengeksport persenjataan berharga 446 juta euro antara tahun 2003-2007 menjadikannya pembekal senjata terbesar di Eropah. (Peraturan EU menetapkan larangan penjualan senjata pada mana-mana pihak yang mampu memberi ketegangan pada mana-mana rantau dan digunakan untuk mencabuli hak asasi manusia.) Jelas strategi-strategi yang digunakan Israel sangat efisien dan berjaya. Mungkin kita boleh mengaplikasikan strategi Sun Tzu ini : When the men are united, the brave cannot advance alone, the cowardly cannot retreat alone.

    No comments: