Twitter Updates

    follow me on Twitter

    Saturday, June 19, 2010

    Kembara


    Kapuscinki melalui himpunan penulisan beliau dalam The Other menjadikan tulisan Malinowski sebagai tema buku tersebut. ‘To judge something, you have to be there’. Ayat ini memberi kefahaman bahawa jika ingin menilai dan menghakimi sesuatu maka kita harus berada di situ. Penilaian dan penghakiman ini bukan berasaskan soal lokasi semata tetapi membabitkan aspek emosi atau psikologi dan budaya atau antropologi. Oleh itu, kefahaman tentang maksud ‘berada di situ’ bukan sekadar tertakluk pada aspek tempat tapi melampauinya. Disiplin ilmu logik yang mula diperkenalkan oleh ahli-ahli falsafah Yunani bermatlamat memastikan akal fikiran dipandu untuk berfikir secara betul dan tepat. Namun, pepatah arab ada menyebut akal semata tidak mampu menggerakkan kehendak manusia. Manusia yang sangat lapar akan memakan apa sahaja yang ada dihadapannya walaupun mungkin makanan itu secara logiknya tidak akan dimakan dalam situasi beliau yang biasa. Justeru manusia yang turut mempunyai pancaindera yang menghasilkan pengalaman, hawa nafsu yang perlu dikekang dan hati yang perlu sentiasa dibersihkan ini mempunyai tanggungjawab besar untuk menggunakannya dengan seadilnya.

    Dalam konteks ini, bagaimana manusia menilai persekitaran di sekeliling, peristiwa yang dihadapi dan orang lain yang sentiasa ditemui. Kita kadang kala tidak adil dalam menilai sesuatu sama ada secara sedar mahupun tidak. Menonton bola sepak tidak sama dengan bermain sendiri di padang. Menjadi orang awam tidak sama dengan menjadi pemimpin Negara. Menjadi seorang rakyat Malaysia yang tinggal di Malaysia berbeza dengan menjadi rakyat Malaysia yang tinggal di Indonesia. Masing-masing mempunyai sifat subjektifnya. Di sini faktor dalaman dan luaran mempengaruhi keputusan yang dibuat dan di sini menentukan penilaian paling tepat berdasarkan segala maklumat yang berkaitan memainkan peranan sangat penting. ‘Berada di situ’ dengan maksud bercampur dengan budaya sesuatu masyarakat dan menyaksikan sendiri kehidupan mereka merupakan satu nilai tambah yang paling utama. Ia membuka minda, menemukan kita dengan suatu yang baru dan mencetuskan perasaan ibarat seorang kanak-kanak yang baru mengenal dunia kecilnya. Mengembara dan berjalanlah, ia bukan sekadar menemukan kita dengan sesuatu yang baharu tetapi menstabilkan penilaian yang kita buat.

    1 comment:

    Jasa Blog said...

    Nice Blog Verry Good
    .......
    .......
    .......
    .......
    .......
    .......
    .......