Twitter Updates

    follow me on Twitter

    Saturday, May 17, 2008

    BARAT DAN KEHAMPAAN LUNAS PANDUAN

    Setiap individu yang merdeka dan menyedari nilai dirinya sendiri akan mengiktiraf setiap individu lain atas sifat yang sama.[1] Menurut Hegel manusia di era moden ini berjuang untuk mendapatkan pengiktirafan dan memuaskan keinginannya. Bagi Nietzsche pula seseorang yang ingin cemerlang, agung dan mulia perlu mempunyai keinginan untuk diiktiraf sebagai lebih baik dari orang lain.[2] Oleh itu manusia yang dilahirkan sama tidak akan berhenti membesar dan ‘membangun’ dengan sekadar menjadi serupa dengan orang lain tetapi ingin diiktiraf sebagai lebih unggul dari manusia yang lain itu.[3] Oleh sebab itu juga matlamat terakhir segala kegiatan dan perbuatan manusia adalah kebahagiaan.[4] Makna kebahagiaan itu didefinisi, difahami dan dipersepsikan mengikut pemahaman dan pandangan yang pelbagai. Malahan ramai manusia mengejar sebuah bentuk kebahagiaan yang tidak diketahuinya. Mereka bukan setakat tersekat dan lemas dalam pemahaman berkenaan pengertian kebahagiaan itu sendiri namun dalam masa yang sama bergelumang dengan syak wasangka, kebimbangan, keraguan dan kekeliruan yang merunsingkan. Manusia sedikit demi sedikit cuba memadamkan nama Tuhan dalam kehidupan mereka, membuang makna ghaib dan metafizik dalam pertuturan dan berputus asa terhadap kewujudan Tuhan dan perkara-perkara ghaib tersebut.

    Manusia masa kini juga semakin sangsi dengan keaslian dan ketulenan mutlak sebahagian besar tekstual agama mereka sendiri. Richard Simon, pengarang buku Histoire Critique du Vieux Testament atau Sejarah Kritikan tentang Perjanjian Lama mengakui kesulitan-kesulitan kronologi (urutan sejarah), ulangan-ulangan, tulisan-tulisan yang tidak teratur tentang riwayat-riwayat serta perbezaan tatabahasa dalam kitab tersebut.[5] Robert et Feuiller dalam bukunya Introduction a la Bible menyatakan bahawa terdapat lebih kurang 200,000 perbezaan dalam sejumlah besar manuskrip Yunani bagi Perjanjian Baru (New Testament).[6] Dr. Radhakrishnan pula menyatakan bahawa konsep umum Veda dalam agama Hindu tidak tetap dan terperinci. Ketidaksempurnaan ini membolehkan ia dibentuk mengikut pemikiran-pemikiran tertentu. Dr. Edward Conze pula menjelaskan melalui bukunya Buddhism: Its Essence and Development bahawa manuskrip asal agama Buddha dikenal pasti dengan menggunakan pendekatan yang tidak kukuh. Atas asas itu juga doktrin agama Buddha yang asal adalah berbeza daripada apa yang difahami oleh pengikut-pengikut Buddha pada hari ini.[7]

    Semua itu menggambarkan kehampaan manusia kepada ajaran yang berperanan memandu kehidupan mereka. Hasilnya mereka melakukan beberapa usaha dan percubaan bagi mencari penyelesaian tersebut. Namun usaha dan percubaan itu merupakan suatu usaha kosong dan sia-sia kerana kaedah penyelesaian yang digunakan adalah kaedah sama yang membawa mereka ke jalan buntu seperti sebelumnya. Akhirnya mereka berlingkar dalam lingkaran kejahilan tanpa mampu keluar dari persekitaran, cara hidup dan pemahaman tersebut.

    Sejarah telah menunjukkan bahawa pencarian manusia untuk memahami hakikat kewujudan telah dilakukan oleh sejumlah individu sejak zaman dahulu lagi.[8] Pencarian yang berterusan ini berlaku sepanjang zaman sehingga menimbulkan pelbagai pemahaman, perdebatan dan konflik yang berpanjangan sehingga ke hari ini. Pencarian yang dibuat ini bukannya memberi kemanfaatan dan kedamaian sebaliknya memunculkan permasalahan dan konflik yang lebih parah.

    Oleh sebab itu pencarian seperti yang dilakukan oleh Barat ini mempunyai perbezaan yang ketara dengan konsep yang dibawa oleh Islam. Mereka lebih banyak menghabiskan masa, wang dan tenaga dengan menumpukan kajian dan penyelesaian yang didasarkan kepada konsep dunia fizikal masa sekarang untuk mengetahui asal-usul dan makna kewujudan manusia. Mereka meletakkan kajian tentang fenomena alam, manusia itu sendiri dan jagat raya sebagai matlamat akhir. Hasilnya mereka meletakkan tendensi manusia itu sendiri sebagai tempat bergantungnya keseluruhan kehidupan bermoral dalam mencapai kebahagiaan dan kebaikan yang tertinggi iaitu Tuhan.[9] Terdapat juga yang meletakkan prinsip dan matlamat terakhir perlakuan manusia itu adalah kelazatan seperti yang dipegang oleh aliran Hedonisme, kegunaan sebagaimana konsep yang dibawa oleh Bentham dan John Stuart Mill, perikemanusiaan seperti yang dibawa oleh Auguste Comte, kemajuan seperti yang dipelopori oleh Herbert Spencer dan untuk melahirkan “superman” seperti yang dilperkenalkan oleh Nietzsche.[10] Mereka meletakkan pengalaman manusia (human experience), kebolehan mengetahui sesuatu tanpa berfikir dan mengkaji (intuation) dan akal (reason) sebagai kriteria bagi menilai sesuatu perkara itu baik atau buruk.[11]

    Melihat kepada apa yang berlaku sekarang, Barat kini dilihat sudah kembali ke arah kebuntuan dan kekacauan moral. Hal ini membuktikan bahawa masyarakat di Eropah, Amerika Utara dan Atlantik Utara termasuk Russia bakal terjerumus ke dalam situasi dan keadaan yang lebih buruk dan membimbangkan dari apa yang pernah dilalui semasa zaman Medieval sebelum tercetusnya era Renaissance.[12]

    No comments: