Twitter Updates

    follow me on Twitter

    Saturday, May 17, 2008

    KONSEP AKHLAK DALAM ISLAM: PEMBENTUK MODEL UMAT TERBAIK

    Melihat kepada situasi dunia yang kian bergolak, masyarakat dunia pada masa kini memerlukan perubahan dan anjakan secara langsung dengan menerima dan mengiktiraf Islam sebagai landasan kehidupan. Tiada apa jua pun di dunia ini yang mempunyai sifat kekal dan tetap. Perubahan pasti akan berlaku setiap masa, ketika dan suasana. Perubahan-perubahan ini kadang kala membawa unsur negatif dan dalam masa yang lain pula membawa perubahan positif. Mengurus perubahan adalah antara model yang telah diperkenalkan oleh Rasulullah S.A.W dalam melahirkan masyarakat madani yang beriman, bertakwa dan berakhlak mulia. Pengurusan perubahan yang dilaksanakan oleh Rasulullah S.A.W ini memerlukan kaedah yang cekap dan berhikmah. Perubahan yang dilaksanakan dengan asas ketauhidan melalui kaedah yang bijaksana ini telah menukar corak penghidupan masyarakat jahiliyyah kepada masyarakat madani.[1]

    Konsep akhlak dalam Islam merupakan sebuah konsep yang asli, murni dan terbaik dalam menyelesaikan konflik manusia yang berpanjangan. Ini kerana pencarian erti kemanusiaan yang dibawa oleh Islam (iaitu konsep asas sebelum pembentukan akhlak terbentuk) itu berbalik kepada Pencipta yang menciptakan manusia itu sendiri bukannya melihat hanya kepada aspek manusiawi dan persekitarannya.

    Menurut al-Attas hanya terdapat dua aliran pemikiran dalam tradisi intelektual Islam yang membahaskan berkenaan dengan hakikat kewujudan ini iaitu golongan Esensialis yang terdiri dari semua ahli falsafah serta sebahagian teolog Muslim, dan golongan Eksistentialis yang diwakili oleh para sufi cendiakawan.[2] Oleh itu manusia menurut Islam dilihat kepada kewujudan jatidirinya yang terangkum daripada dua elemen yang saling berkaitan iaitu jasad dan roh. Kedua-dua aspek ini mempunyai peranan dan fungsi masing-masing dengan dilengkapi oleh fakulti yang memiliki sebutan yang berlainan dalam keadaan yang berbeza iaitu roh (ruh), jiwa (nafs), hati (qalb) dan akal (‘aql).[3] Menurut al-Attas, fakulti ini memiliki dua makna iaitu yang merujuk kepada aspek jasad atau kebinatangan dan aspek kerohanian.[4] Ia dinamakan akal ketika bergelut dengan sesuatu yang berkaitan dengan intelektual dan pemahaman, disebut jiwa ketika mengatur tubuh, disebut hati ketika sedang mengalami pencerahan intuisi dan disebut roh ketika kembali ke dunianya yang abstrak. Kedudukan manusia di akhirat kelak bergantung kepada keutamaan yang diberikan dalam aspek-aspek tersebut.[5]

    Oleh itu dimensi kebahagiaan yang diidamkan oleh setiap manusia menurut Islam terletak kepada tujuan agama iaitu mengembalikan manusia ke kedudukan asalnya iaitu melihat diri dan kehidupan sebagai milik Allah S.W.T seperti yang difirmankan oleh Allah S.W.T dalam surah al-A’raf ayat 172.[6] Kebahagiaan menurut Islam bukan sekadar melihat kepada aspek fizikal dan material semata-mata tetapi ia harus mencapai kebahagiaan spiritual yang lebih kekal. Aspek fizikal atau jasadi ini tidak ditolak mentah-mentah tetapi menjadi sumber penting ke arah mencapai kebahagiaan abadi tersebut.[7]

    Melalui jasad dan fizikal inilah nilai-nilai kerohanian dapat diperolehi khususnya berkenaan dengan dunia dan pengalaman inderawi. Kebahagiaan yang menjadi matlamat kepada nilai akhlak tertinggi ini tidak terletak kepada usaha untuk meraih persamaan tetapi dilihat kepada usaha untuk mencapai keadilan dengan meletakkan sesuatu sesuai pada tempatnya.[8] Keadilan dan ketidakadilan ini bukan setakat membabitkan perhubungan antara dua orang atau lebih tetapi lebih mendasar kepada diri sendiri yang menjadi pemula dan pengakhir. Seorang manusia bukan sekadar boleh berlaku adil atau tidak adil kepada orang lain, malahan boleh juga bersikap atau berkelakuan begitu kepada dirinya sendiri.[9]

    Akhlak Islam merupakan akhlak yang bersifat universal dan sejagat. Aspek kesejagatan yang berlandaskan ketauhidan kepada Allah S.W.T ini dilihat mampu menjadi penyelesai paling baik dan berkesan dalam merawat masyarakat dunia yang berbilang bangsa, keturunan, warna kulit dan jantina ini. Tetapi adakah konsep akhlak dan pandangan alam Islam ini mampu dan dapat diterima secara syumulnya oleh umat manusia yang pelbagai. Sememangnya adalah satu kewajipan bagi semua umat manusia menjadikan Islam sebagai panduan dan pedoman cara hidup, tetapi adakah mereka yang tidak mempunyai kefahaman langsung berkenaan dengan Islam, atau jika mempunyai pengetahuan sekalipun ianya diseleweng oleh hasutan dan fitnah musuh atau mereka yang meletakkan rasional akal dan hawa nafsu sebagai kuasa pemutus boleh menerima Islam dengan mudah. Rasulullah S.A.W sendiri memerlukan tempoh masa yang panjang dan perlu melalui beberapa tingkat dan strategi sebelum berjaya menukar masyarakat jahiliyyah kepada masyarakat yang tunduk dan patuh kepada Allah S.W.T. Satu persoalan di sini. Bagaimanakah umat Islam perlu berperanan apabila berhadapan dengan situasi yang telah sekian lama wujud ini?

    No comments: